TELEFON pintar iPhone keluaran Apple ini bakal dipasang dengan sistem yang menghalang pengguna menaip mesej ketika memandu.
NEW YORK - Pengguna telefon pintar iPhone keluaran Apple mungkin
tidak lagi dapat menaip mesej ketika sedang memandu pada masa hadapan.
Ia ekoran syarikat elektronik itu merancang memasang satu perisian
yang dapat menghalang pemandu mengguna telefon ketika menaiki kenderaan,
lapor akhbar
Mail Online semalam.
Menurut laporan akhbar itu, perisian itu telah dipatenkan di Amerika
Syarikat (AS). Ia berfungsi menghalang pengguna menggunakan semua
aplikasi pesanan atau mesej ketika sedang memandu.
Sistem berkenaan berfungsi dengan satu sensor dipasang pada telefon
tersebut yang akan mengukur kelajuan sesebuah kenderaan dan ia akan
mematikan aplikasi pesanan apabila mencapai had laju tertentu.
Sistem berkenaan hanya akan berfungsi sekiranya pengguna duduk di
kerusi pemandu sekali gus membolehkan penumpang yang lain menggunakan
telefon mereka.
Seorang pakar keselamatan jalan raya di AS, Paul Watters berkata,
Apple mempunyai kuasa untuk mengubah budaya bahaya berkenaan dan sistem
itu adalah satu langkah yang baik.
Katanya, satu kajian oleh sebuah badan keselamatan jalan raya AS
mendapati menaip mesej ketika memandu meningkatkan risiko kemalangan
sebanyak 23 kali ganda dan mengurangkan tindak balas pemandu. - Agensi
No comments:
Post a Comment