Tuesday 18 December 2018

Prestasi Saham Wall Street Merudum? 3 Faktor Ekonomi AS Anda Perlu Tahu.


Kalau anda nak tahu, pasaran saham Amerika Syarikat telah merekodkan kenaikan untuk tiga tahun berturut-turut. Kemenangan Donald Trump dalam Pilihanraya Amerika Syarikat pada tahun 2016 pada awalnya dianggap sebagai petanda buruk, namun sebaliknya yang berlaku.
Walaubagaimanapun, pasaran saham di negara itu merudum sejak bulan Oktober, jatuh hampir ke paras terendah yang pernah dicapai tahun lalu. Dan terbaru pada hari Jumaat 14 Disember 2018, kejatuhaan terbaru telah direkodkan oleh Wall Street berikutan kebimbangan pelabur terhadap prestasi ekonomi global yang semakin perlahan.

Kejatuhan Didorong Ekonomi Perlahan

Aktiviti ekonomi dilihat semakin perlahan dengan data-data ekonomi kurang memberangsangkan terutamanya dari ekonomi kedua terbesar dunia iaitu China. Hal ini sekaligus telah membenam ketiga-tiga indeks utama Wall Street ke paras rendah. Pada sesi dagangan Jumaat, Nasdaq jatuh hampir 2.3%, Dow Jones jatuh 2%, manakala S&P 500 susut 1.9%.
Tren Kejatuhan Indeks Dow Jones. Sumber : Investing.com
Seperti yang ditunjukkan pada carta di atas, Indeks Dow Jones mencapai paras tertinggi tahun ini pada 3 Oktober 2018 sebelum membuat kejatuhan ke paras terendah pada Jumaat (14 Disember 2018) lalu. Jika kedudukan semasa Wall Street kekal dan tiada kenaikan signifikan yang berlaku untuk baki 2018, kita akan menyaksikan kejatuhan Wall Street buat pertama kalinya sejak tiga tahun lalu.

Wall Street Jatuh, Pasaran Saham Lain Turut Jatuh

Kenapa? Kerana pasaran saham dan ekonomi Amerika Syarikat adalah yang terbesar di dunia dan sudah tentu ia mampu memberi kesan kepada pasaran saham global. Dan sebenarnya pasaran saham Asia juga telah menerima tempias negatif daripada kejatuhan Wall Street sejak tempoh tersebut, termasuklah di Malaysia sendiri. Bagi Malaysia pula, kita ada FBMKLCI yang menjadi penanda aras Bursa Malaysia. Cuba tengok carta di bawah sebagai bukti kejatuhan Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) pada tempoh yang sama sejak Oktober.
 Tren Kejatuhan Indeks KLCI. Sumber : Investing.com

3 Sebab Utama Penyumbang Perubahan Sentimen Pasaran Saham Amerika Syarikat

1. Momentum Saham Teknologi Yang Merudum

Pada puncak tertinggi yang dicapai pada Oktober, Dow Jones dan S&P 500 merekodkan kenaikan sebanyak 8% sejak awal 2018, manakala Nasdaq pula telah meningkat sebanyak 15%. Kenaikan ini dilihat banyak dipandu oleh sektor teknologi. Tengok saja Saham FAANG Di Amerika Syarikat Ditutup Pada Paras Tertinggi dan Syarikat Apple Kini Bernilai $1 Trilion US Dolar.
Kini kaunter-kaunter dominan seperti Apple dan Facebook merudum dan memberi kesan kepada pasaran secara keseluruhannya. Ketiga-tiga indeks utama kini jatuh sebanyak 10% daripada paras tertinggi yang dikatakan sebagai satu bentuk pembetulan harga (correction).
Memetik komen yang dibuat oleh strategist ekuti di US Bank Wealth Management, Terry Sandven berpendapat selagi sektor teknologi tidak pulih; selagi itu pasaran tidak akan membuat kenaikan semula.
2. Kenaikan Kadar Faedah Bank Pusat
The Federal Reserve (bank pusat Amerika Syarikat) telah menaikkan kadar faedah sebanyak tujuh kali daripada hanya 0.50% pada Disember 2016 kepada 2.25% pada September 2018. Walaupun telah beberapa kali menaikkan kadar faedah, The Fed dijangka sekali lagi menaikkan kadar faedahnya pada Khamis (20 Disember 2018) daripada 2.25% kepada 2.50%.

Pasaran secara umumnya bimbang jika kadar faedah bank pusat terus dinaikkan, ia akan menyebabkan kos pinjaman semakin tinggi seterusnya mengurangkan pelaburan oleh sektor swasta.
3. Pertumbuhan Ekonomi Semakin Perlahan
Pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat dijangka perlahan kepada 2.5% pada tahun 2019, susut daripada 3% tahun ini. Ia hasil penyelidikan oleh International Monetary Fund (IMF) dan Federal Reserve sendiri. Terdapat tanda-tanda yang memberikan isyarat ini, khususnya petunjuk ekonomi yang merekodkan kejatuhan.
Pada Oktober lepas, data jualan rumah telah merekodkan kejatuhan sebanyak lebih daripada 5% berbanding tahun lalu. Manakala perbelanjaan pembinaan juga merudum ditambah juga pertumbuhan perbelanjaan pengguna yang kurang memberangsangkan.
Nasib yang sama dijangka melanda negara kita, di mana Pertumbuhan Ekonomi Malaysia Dijangka Merosot – Kata Bank Dunia.

Dunia Sedang Menuju Krisis Ekonomi?

Memang tidak dinafikan, kita seolah-olah berada dalam kitaran 10-12 tahun sekali. Dan krisis ekonomi dijangka akan berlaku tidak lama lagi, atau telah pun bermula samada kita sedar atau pun tidak.
Tahun 1997 dengan Krisis Kewangan Asia, tahun 2008 pula kita ada Krisis Kewangan Global. Sama-samalah kita bersedia untuk menghadapinya. (ML)

No comments:

Post a Comment