Monday 10 December 2018

Pelabur dakwa ditipu pemaju

Pelabur dakwa ditipu pemaju
Johnson (dua, kiri) dan pelabur lain mengadakan himpunan di tapak projek pembangunan di Kuala Sawah, semalam.


SEREMBAN - Sebanyak 30 laporan polis telah dibuat di seluruh negara oleh Kesatuan Kebangsaan Pekerja Pekerja Bank (Nube) berhubung projek pembinaan di Kuala Sawah, Rantau yang didakwa gagal disiapkan.

Wakil pelabur, Johnson Joseph berkata, laporan tersebut dibuat kerana pelabur dan ahli kesatuan berkenaan mahu tindakan sewajarnya diambil terhadap Nube.
  
“Mereka kecewa kerana projek bukan saja gagal disiapkan tetapi tanah di kawasan itu dijual semula tanpa pengetahuan.
“Kami percaya kemungkinan terdapat pelbagai unsur penyelewengan, salah guna kuasa dan mungkin berlakunya salah laku rasuah dalam perkara ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut bawa isu berkenaan kepada Ketua Pengarah Kementerian Sumber Manusia kerana mendakwa terdapat pelbagai unsur melanggar Perdagangan Akta Kesatuan (1959).

“Nube perlu bertanggungjawab dan kami menuntut penjelasan daripada mereka.  
“Kita juga mahukan polis lakukan siasatan terperinci dan telus di mana kami percaya terdapat elemen jenayah komersial,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mendakwa, lebih kurang 11,000 ahli Nube dan bukan ahli yang membuat pelaburan ke dalam projek itu sejak 1997 merasa tertipu dan ditipu.

Sementara itu, Setiausaha Agung Nube, J. Solomon ketika dihubungi berkata, pihaknya telah beri penerangan berkenaan isu tersebut dan mengalu-alukan mana-mana ahli mahupun pelabur untuk datang ke Ibu Pejabat Nube bagi mendapatkan perincian.

"Jangan buat tuduhan ataupun fitnah terhadap kesatuan dan kita juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya perkara ini masih berlarutan," katanya. (SH)

No comments:

Post a Comment