Tuesday 24 May 2016

Trend bisnes secara online


Transaksi online merupakan kaedah jual beli yang semakin banyak dilakukan bagi menggantikan cara manual. – Gambar hiasan

MUSIM silih berganti dan zaman juga berubah. Penggunaan internet dalam kalangan masyarakat dunia semakin meningkat dan mengubah cara hidup mereka.
Perniagaan melalui internet atau lebih dikenali sebagai e-dagang pada masa kini telah menjadi satu trend.
Di Malaysia, perniagaan secara online semakin mendapat sambutan yang menggalakkan. Ramai usahawan menjadikan internet sebagai saluran untuk memulakan perniagaan kerana mereka tidak memerlukan modal yang besar.
Para usahawan hanya perlu memiliki sebuah komputer dan kebolehan sebagai aset utama untuk memulakan perniagaan.
Berdasarkan statistik Kementerian Komunikasi dan Multimedia pada 2013, nilai e-dagang di negara ini mencatatkan nilai pasaran berjumlah RM53 bilion. Ia dijangkakan meningkat kepada RM72 bilion pada penghujung 2015. Malah, disasarkan akan terus berkembang kepada RM88 bilion pada 2016.
Menurut Pengasas Syarikat Konsultasi, Castanea Resourses, Hardiana AJ, dalam perniagaan secara online menjadi pilihan pada masa kini kerana ia mempunyai banyak sisi positif.
“Perniagaan online membolehkan usahawan menjual produk lebih cepat dan mudah memasuki pasaran global.
“Selain dapat membantu pengguna mendapatkan barangan yang sukar dicari, ia juga menggantikan konsep konvensional yang memerlukan pelanggan datang ke kedai dan mengisi borang untuk membeli barang.
“Hari ini, hanya dengan sekali klik, semuanya dapat diuruskan dengan lancar,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Memandangkan modal untuk memulakan perniagaan di internet jauh lebih murah, maka ia membuka peluang kepada usahawan untuk mempelbagaikan perniagaan. Menurut kajian yang dijalankan oleh Harmony Hollow Software pada 2006, walaupun perniagaan online dipercayai mempunyai potensi yang lebih besar berbanding bisnes konvensional, kekangan dan cabarannya tetap ada.
Antaranya, rintangan kepada teknologi baharu, kekurangan pelanggan berpotensi, kesukaran pelaksanaan, kekurangan kemahiran teknologi dan masalah kos.
Selain kekangan daripada sudut teknologi, keyakinan dan kepercayaan para pengguna juga antara cabaran mereka yang mengendalikan bisnes ini.
Sesetengah pelanggan kurang yakin dengan transaksi tanpa kertas dan bersemuka dengan penjual.
Selain itu, sesetengah pelanggan lebih suka menjalankan aktiviti beli-belah secara konvensional. Melalui cara ini, mereka berpeluang melihat, meneliti dan memilih produk-produk yang diingini di depan mata.
Kekangan itu menyebabkan perniagaan online masih kurang diberi perhatian dan sukar dilaksanakan terutamanya di negara-negara yang kurang maju serta rakyatnya tidak celik teknologi. Kekangan itu mampu menyebabkan kegagalan pelaksanaan perniagaan online.
Hardiana menambah, isu penipuan, sekuriti, keselamatan dan kerahsiaan data juga menjadi perkara yang sering diperdebatkan oleh pelanggan. Hal ini boleh mengurangkan keyakinan mereka terhadap perniagaan online jika isu-isu ini tidak ditangani dengan baik.


Pembelian secara online semakin menjadi pilihan kerana ia lebih mudah dan fleksibel. – Gambar hiasan

“Kunci utama kejayaan seorang usahawan dalam memasarkan produk atau perkhidmatan secara online ialah kesungguhan mereka memastikan output yang ditawarkan berkualiti.
“Selain itu, bisnes secara online juga memerlukan peniaga yang sentiasa melihat perkembangan laman web mereka supaya segala pembelian daripada pelanggan dapat dihantar secepat mungkin,” ujarnya.
Kepuasan pelanggan akan menyebabkan pelanggan setia terhadap produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.
Lonjakan positif
Biarpun perniagaan online dilihat lebih banyak kelebihan dan besar potensinya, tanpa perancangan yang mantap, lemah mengatur strategi dan kurang kreativiti maka hasilnya tetap tidak memuaskan.
Pendek kata, baik perniagaan online mahupun tradisional, kedua-duanya memerlukan ilmu, kegigihan, kreativiti, inovasi dan kesungguhan.
Dalam pada itu, pengusaha perniagaan online Sweet n Cozy Collection, Rahayu Mohd. Tohari, 38 memberitahu, trend perniagaan online sebenarnya adalah satu lonjakan positif yang boleh memajukan sesebuah bisnes.
Menjual barangan keperluan buatan tangan untuk kanak-kanak dan wanita, pengalaman Rahayu selama lima tahun mengendalikan perniagaan online telah memberinya banyak peluang serta ruang bukan sahaja memperkenalkan produk rekaannya sendiri tetapi mendapat capaian pelanggan dari luar negara.
“Perniagaan online merupakan salah satu cabang bisnes yang sangat membantu dan fleksibel daripada aspek promosi serta penjualan barangan kepada pembeli.
“Ia membuka radius yang luas terutamanya kepada capaian pelanggan. Malah, saya sendiri pernah berurus niaga dengan pelanggan dari Finland, Amerika Syarikat dan Brunei,” katanya ketika hubungi Kosmo! baru-baru ini.
Mengulas tentang hala tuju dan masa depan perniagaan online, Rahayu mengakui bahawa konsep bisnes itu akan terus berkembang dan persaingan dijangka meningkat.
Ia jelas dalam tempoh lima tahun, kewujudan peniaga online boleh diumpamakan seperti cendawan tumbuh setelah hujan. Bagaimanapun, pada pandangannya, trend jual beli moden itu dilihat tidak akan menjejaskan konsep jualan terus atau langsung.
“Walaupun perniagaan online kini telah memasuki jualan barangan harian, ia tidak dilihat sebagai ancaman kepada jenis perniagaan tradisional. Ini berikutan masih ramai lagi pembeli yang mahu berurusan secara dua mata untuk memeriksa sendiri produk jualan.
“Ia bertujuan bagi mengelakkan kes penipuan oleh peniaga. Pada masa sama, penjual juga perlu arif tentang konsep transaksi pembayaran agar tidak menjadi mangsa kepada pembeli hantu,” ujarnya. (Kosmo!)

No comments:

Post a Comment