Sunday 15 May 2016

Pensijilan halal untuk bina keyakinan Muslim


Ibnu Hasyim semasa berada Ghuang Zhow, China, beberapa tahun lalu.


PENGASAS Sai Wai Xiang Halal Foodstuff Co., Deng Zhijun bukanlah seorang Muslim. Namun, siapa sangka syarikat yang ditubuhkan sejak 14 tahun lalu itu mampu meraih keuntungan lebih daripada AS$50 juta (RM196 juta) hasil penjualan produk halal kepada masyarakat Muslim di sekitar Asia.
Syarikat yang berpangkalan di Beijing, China itu juga merupakan pelopor kepada pasaran eksport makanan dan minuman halal dari China ke peringkat global termasuk Arab Saudi.
Halal berasal daripada kalimah Arab yang bermaksud dibenarkan atau dibolehkan oleh syarak.
Makanan halal boleh didefinisikan sebagai hidangan suci dan baik di samping tidak melanggar syariat Islam sewaktu mendapat dan menggunakannya.
Zhijun memberitahu, barang-barang keluaran syarikatnya sesuai dengan selera masyarakat Muslim.
Begitupun, dia mengakui terdapat kesukaran untuk mematuhi beberapa panduan pemakanan yang digariskan Islam.
“Umat Islam tidak boleh merokok dan minum minuman keras. Mereka juga tidak boleh makan beberapa jenis daging.
“Saya lupa mengenai larangan itu,” katanya sambil menikmati makan tengah hari di sebuah restoran bersebelahan syarikatnya.
Ujar Zhijun, kebanyakan maklumat berkaitan pemakanan Islam diperoleh daripada masyarakat Muslim di sekitar China yang dianggarkan mencecah lebih daripada 23 juta orang.
Sesetengah pengkaji bebas menganggarkan, penganut Islam di negara Tembok Besar itu mencecah lebih 50 juta orang.
Angka tersebut sekali gus melayakkan China tersenarai dalam 10 negara yang mempunyai penganut Islam terbesar di dunia.
Malah, syarikat milik Zhijun juga berpangkalan di salah sebuah wilayah yang mempunyai masyarakat Islam terbesar di China iaitu Ningxia. Masyarakat Islam etnik Hui itu dianggarkan berjumlah lebih dua juta orang.
Hui merupakan minoriti baharu yang diwujudkan di bawah polisi klasifikasi Beijing. Kebanyakan mereka merupakan etnik Han. Bezanya, etnik Hui beragama Islam.
Pasaran
Menurut laporan Dewan Perniagaan dan Industri Dubai, pasaran makanan dan minuman halal global dijangka berkembang kepada AS$1.6 trilion (RM6.3 trilion)menjelang tahun 2018 iaitu peningkatan sebanyak AS$1.1 trilion (RM4.3 trilion) berbanding tahun 2013.


PRODUK yang dikeluarkan oleh firma-firma di China perlu diperiksa oleh badan-badan pensijilan halal dari negara-negara Islam.

Terdorong daripada jangkaan itu, Zhijun dan beberapa eksekutif syarikat halal lain telah mengemukakan cadangan kepada Presiden China, Xi Jinping meningkatkan perdagangan dengan negara-negara Asia Selatan dan Asia Barat.
Mereka juga dijangka akan meraih durian runtuh hasil daripada langkah penjual eksport produk-produk halal.
Begitupun, terdapat kebimbangan masyarakat Muslim tempatan dan dunia mengenai tahap kesucian halal yang diamalkan di negara bekas komunis itu.
Tahun lalu, beratus-ratus masyarakat Muslim berhimpun di jalan-jalan sekitar Xi’an, Wilayah Shaanxi bagi membantah penjualan minuman keras di restoran-restoran halal.
Di Wilayah Qinghai pula, orang ramai telah bertindak memusnahkan sebuah kedai roti selepas penemuan sosej daging babi dan ham di dalam trak penghantarannya.
Pasaran eksport
Insiden tersebut telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat Muslim sekali gus menjejaskan pasaran eksport.
Ia juga menambah ketakutan dalam kalangan masyarakat dunia terhadap keselamatan makanan dari China yang sebelum ini terjejas akibat penggunaan minyak longkang dalam pembuatan susu tepung.
Memetik laporan berkaitan dokumen dan pensijilan halal, Profesor di Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan, Universiti Malaysia Sabah, Mariam Abdul Latif berkata, integriti makanan halal dari China boleh dipertikaikan.
Ujar Mariam, bagi membina kepercayaan pengguna, produk yang dikeluarkan oleh firma-firma China perlu diperiksa oleh badan-badan pensijilan halal dari negara-negara Islam.
Namun begitu, cadangan yang dikemukakan oleh Mariam itu agak sukar dilaksanakan di China memandangkan isu halal mempunyai kaitan yang rapat dengan agama dan pihak pemerintah.
Ketika ini, sistem pensijilan halal di China terletak di bawah kuasa undang-undang kerajaan tempatan di bawah Biro Etnik dan Hal Ehwal Agama.
Secara teknikalnya, masjid diberikan kuasa untuk memeriksa peralatan dan bahan-bahan yang digunakan dalam penghasilan produk atau makanan halal di kawasan sekitarnya.
Baru-baru ini, perwakilan dari Ningxia, Ma Guoquan telah mencadangkan di dalam mesyuarat tertinggi politik kebangsaan di Beijing supaya pensijilan halal diperketatkan dengan mewujudkan piawaian atau undang-undang khusus.
Dia juga mencadangkan agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap penjual yang tidak mematuhi pensijilan halal.
“Terdapat banyak masalah yang timbul mengenai pengurusan produk dan makanan halal. Ia tidak boleh dibiarkan begitu saja.
“Undang-undang ini munasabah dan perlu dipercepatkan kerana ia melibatkan perpaduan negara dan kestabilan sosial,” ujar Guoquan yang dipetik daripada akhbar Ningxia Daily.
Begitupun, sesetengah pihak menganggap cadangan pelaksanaan undang-undang tersebut akan membelakangkan pegawai pemerintah dan melanggar prinsip pemisahan kuasa antara pemerintah dan agama.
“Undang-undang ini bertentangan dengan prinsip sekularisme. Ia juga boleh menggugat keselamatan di China,” ujar Xi Wuy, pakar Marxisisme dari Akademi Sains Sosial China.
Sebahagian ulama tempatan turut senada dengan Xi Wuy terhadap cadangan undang-udang tersebut kerana mereka khuatir ia akan membuka pintu kepada pihak pemerintah untuk campur tangan dalam hal ehwal agama Islam.
Penguatkuasaan
Dalam pada itu, Naib Dekan Fakulti Falsafah di Universiti Renmin China, Wei Dedong menjelaskan, langkah terbaik untuk menyelesaikan isu halal bukanlah menerusi undang-undang.
Sebaliknya, Dedong berpendapat pihak pemerintah perlu meningkatkan penguatkuasaan berkaitan keselamatan makanan dan isu-isu lain yang berkaitan.
“Kebanyakan kawasan di wilayah Xinjiang telah pun melaksanakan peraturan tempatan mengenai makanan halal. Namun, penguatkuasaan sangat lemah,” ujarnya.
Selain penyelesaian menerusi undang-undang, kebanyakan masyarakat Islam di Ningxia lebih bergantung kepada hubungan peribadi dengan penjual dalam menjamin kualiti makanan yang dibeli.
“Saya tahu, daging yang saya beli ini halal. Ini kerana saya amat mengenali penjualnya. Saya melihat dia sering ke masjid untuk bersolat.
“Saya juga kenal keluarga pembuat roti dan mi di sini. Saya yakin makanan yang saya makan setiap hari halal,” ujar seorang penduduk di Ningxia, Na Liang. (Kosmo!)

No comments:

Post a Comment