Friday 4 November 2016

Ubah wang haram RM10.2 juta, ini hukumannya..


 Wan ASRI (kiri), Muhammad Ghazali dan Mohd. Azizi (kanan) didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam atas lapan pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM10.2 juta.
SHAH ALAM – Tiga pengarah syarikat penerbitan buku dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas lapan pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM10.2 juta antara Mac hingga Ogos tahun ini.
Tertuduh, Wan Asri Wan Hassan, 44, Mohd. Azizi Mahusin, 45, dan Muhammad Ghazali Abdul Majid, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah.
Kesemua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.
Mereka boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Malayan Banking Berhad, Tingkat bawah Aeon Mall, Jalan Akuatik, Seksyen 13 di sini.
Di hadapan Hakim Rozilah Salleh, tertuduh, Wan Asri didakwa dengan tiga pertuduhan iaitu menerima wang berjumlah RM100,000 melalui satu keping cek Malayan Banking Berhad milik Tetuan Alira & Co. yang merupakan hasil daripada aktiviti haram pada 6 April lalu.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh turut didakwa menerima wang berjumlah RM1,340,000 melalui lima keping cek bank yang sama di atas nama Ri Bina Niaga dan lima keping cek bernilai RM1,260,000 atas nama Kunci Niaga yang kesemuanya milik Tetuan Alira & Co. yang merupakan hasil daripada aktiviti haram pada 5, 6 April dan 2 Ogos lalu.
Seterusnya, tertuduh Mohd. Azizi yang turut dituduh di hadapan Rozilah didakwa menerima wang berjumlah RM1,250,000 melalui tiga keping cek Malayan Banking Berhad milik Tetuan Alira & Co yang merupakan hasil daripada aktiviti haram pada 30 Mac dan 6 Jun lalu. (Kosmo!)

No comments:

Post a Comment