Tuesday 8 November 2016

Akhbar The Brunei Times Ditutup Kerana Tidak Dapat Menampung Sumbernya..



Post Pic
 
PETALING JAYA: Akhbar berbahasa Inggeris The Brunei Times mengumumkan penutupannya, selepas 10 tahun beroperasi sejak penubuhannya pada 2006.
 
Akhbar itu mengumumkannya pada muka depan akhbarnya hari ini yang turut menyatakan ini hari terakhir penerbitan akhbar itu.
 
Brunei Times yang dimiliki oleh Brunei Times PLC bermula dengan format broadsheet sebelum bertukar kepada saiz tabloid pada 2010.
 
“Brunei Times tidak dapat lagi menampung sumbernya untuk meneruskan operasi media dan penerbitannya. Lembaga pengarah syarikat bersetuju tindakan terbaik ialah dengan menutup akhbar itu,” menurut pengumuman di muka depan akhbar itu.
 
“Ini disebabkan isu perniagaan, standard laporan dan kewartawanan yang perlu memenuhi tanda aras dan juga isu berkaitan kemapanan perniagaan, terutama dalam keadaan mencabar daripada media alternatif.”
 
Menurut Bangkok Post, penutupan akhbar itu akan menyebabkan kira-kira 130 kakitangan hilang pekerjaan.
 
The Brunei Times ialah salah satu akhbar utama di Brunei yang turut menerima kritikan oleh NGO kebebasan media antarabangsa Reporters Without Borders (RSF) kerana “penapisan sendiri”.
 
“Penapisan sendiri ialah peraturan untuk wartawan yang bekerja di Radio Television Brunei milik kerajaan dan akhbar utama – Borneo Bulletin, The Brunei Times dan Media Permata,” menurut rumusan rasmi NGO itu mengenai kebebasan media Brunei.

No comments:

Post a Comment