IBU pejabat bank Standard Chartered di London, Britain kelmarin.- Agensi
NEW YORK – Standard Chartered didenda AS$340 juta (RM1.08 bilion) kerana berurus niaga dengan beberapa pelanggannya dari Iran.
Denda itu dikenakan oleh pihak berkuasa Perkhidmatan Kewangan New
York selepas bank berkenaan dituduh menyembunyikan 60,000 transaksi
berjumlah AS$250 bilion (RM796.62 bilion) dengan beberapa klien Iran
selama lebih 10 tahun.
Standard Chartered beribu pejabat di London.
Penyelesaian tersebut jauh lebih ringan berbanding hukuman berat yang menjadi kebimbangan para pelabur sebelum ini.
Mereka khuatir pihak berkuasa perbankan Amerika Syarikat (AS) iaitu
Jabatan Perkhidmatan Kewangan akan membatalkan lesen Standard Chartered
di New York.
Antara klien Iran yang didakwa terlibat dalam skandal itu termasuk Bank Pusat Iran dan Bank Nasional Iran.
Kedua-duanya dituduh Washington sebagai membantu Iran membina senjata nuklear dan membiayai keganasan.
Berdasarkan terma penyelesaian dengan pihak berkuasa berkenaan,
Standard Chartered bersetuju menempatkan seorang pegawai antipenggubahan
wang haram selama dua tahun di cawangan bank berkenaan di sini.
Standard Chartered juga akan melantik beberapa juruaudit dalaman bagi
memeriksa sama ada bank berkenaan mematuhi sekatan-sekatan AS berhubung
operasinya dengan Iran.
“Standard Chartered sebelum ini menawarkan AS$5 juta (RM15.63 juta)
untuk menyelesaikan isu tersebut, jelas sekali, penyelesaian ini jauh
lebih tinggi,” kata penganalisis firma Morningstar, Erin Davis.
Menurutnya, denda AS$340 juta itu tidak akan mendatangkan impak yang besar ke atas kedudukan kewangan bank berkenaan.
Pada separuh pertama tahun ini, Standard Chartered melaporkan keuntungan berjumlah AS$3.95 bilion (RM12.58 bilion).
Sementara itu, sebuah kumpulan pelobi AS menyatakan hukuman yang dikenakan ke atas bank berkenaan terlalu ringan.
“Mana-mana institusi kewangan yang didapati melanggar sekatan Iran
sepatutnya dibatalkan lesennya di AS,” kata kumpulan itu dikenali
sebagai Barisan Penentang Nuklear.
Sejak sedekad lalu, AS dan sekutu-sekutunya telah melaksanakan
sekatan ke atas beberapa bank Iran, institusi dan individu dalam usaha
menghentikan program senjata Iran.
Persoalan tentang senjata nuklear Iran menjadi isu panas menjelang
pilihan raya Presiden AS pada November depan dengan beberapa kumpulan
berpengaruh memberikan tekanan kepada Presiden Barack Obama supaya
bertindak lebih tegas terhadap Iran. - AFP