KUALA LUMPUR: Kehilangan
Ketua Ekonomi Azrul Azwar Ahmad Tajudin di Bank Islam mempunyai potensi
untuk menjejaskan nama bank itu sebagai institusi kewangan negara.
Ini kerana ia kelihatan sebagai permainan politik oleh Bank Islam.
Lantas, badan pemikir Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU)
berpendapat kehilangan Azrul Azwar sebagai Ketua Ekonomi Bank Islam
merupakan suatu kerugian kepada bank itu dan keuntungan kepada mana-mana
institusi kewangan lain yang mungkin mengambil beliau.
Berikut kenyataan KPRU berhubung isu berkenaan.
Badan pemikir Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU) berpendapat
bahawa tindakan Bank Islam menggantung tugas Ketua Ekonomi Bank Islam,
Azrul Azwar Ahmad Tajudin, hanya menunjukkan Bank Islam mementingkan
kepentingan politiknya berbanding melindungi hak kebebasan bersuara
kakitangannya.
Justeru, KPRU menyarankan Bank Islam menyemak semula keputusan
menggantung tugas Azrul Azwar dan mengembalikan jawatan dan tugas Azrul
Azwar kepadanya.
Azrul Azwar mempunyai pengalaman selama melebihi sepuluh tahun dalam
bidang ekonomi. Beliau telah bertugas sebagai penganalisa di Meridian
Asset Management Sdn Bhd, RHB Bank, Malaysia Industrial Development
Finance Bhd (MIDF) dan Islamic Financial Services Board (IFSB).
Hanya kerana memajukan pendapatnya mengenai peluang kemenangan
Barisan Nasional, beliau telah digantung daripada tugasnya dan
menghadapi risiko untuk kehilangan jawatan beliau sebagai Ketua Ekonomi
di Bank Islam.
KPRU menyarankan individu seperti Ketua Ekonomi Bank Islam, Azrul
Azwar yang berpengalaman tinggi, dalam bidang ekonomi diangkat
penggantungannya dan dilayani sebagai aset dan bukannya musuh politik.
Memandangkan Bank Islam telah menjauhi daripada pendapat Ketua Ekonomi
Bank Islam Azrul Azwar maka, tindakan menggantung tugas merupakan suatu
tindakan ekstrem dan tidak mencerminkan sikap profesionalisme Bank Islam
dalam menangani pendapat politik berbeza-beza.
Kehilangan Ketua Ekonomi Azrul Azwar di Bank Islam mempunyai potensi
untuk menjejaskan nama Bank Islam sebagai antara institusi kewangan
negara kerana ianya kelihatan sebagai permainan politik yang dimainkan
oleh Bank Islam. Lantas, kehilangan Azrul Azwar sebagai Ketua Ekonomi
Bank Islam merupakan suatu kerugian Bank Islam dan suatu keuntungan
mana-mana institusi kewangan lain yang mungkin menggaji beliau.
Sebagai rakyat Malaysia, Azrul Azwar mempunyai hak kebebasan untuk
menyuarakan pendapatnya. Sebagai sebuah institusi kewangan negara ini,
Bank Islam seharusnya bersikap neutral terhadap para pekerjanya
terutamanya dalam mengendalikan pendapat politik yang berbeza. Kegagalan
Bank Islam untuk bersikap neutral hanya merugikan Bank tersebut dan
menampakkan Bank Islam sebagai suatu alat politik kerajaan Barisan
Nasional. (Hrkh)