Tuesday, 10 June 2014

3 pilihan MAS: Suntik modal, jual atau isytihar bankrap.



KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) selaku pemegang saham terbesar Malaysia Airlines System Bhd. (MAS) sedang menimbang tiga pilihan dalam usaha menyelamatkan syarikat penerbagan kebangsaan itu.

Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokthar berkata, tiga pilihan itu adalah menjual syarikat tersebut, menyuntik tambahan modal atau mengisytiharkan bankrap.

Semua pilihan itu kata beliau, bergantung kepada kesannya ke atas kewangan MAS serta kepentingan sosial dan imej negara.

Beliau juga menjelaskan bantuan kepada MAS oleh Khazanah adalah menggunakan wang pembayar cukai dan perkara itu juga harus dipertimbangkan dalam membuat keputusan.

"MAS merupakan pelaburan teras Khazanah kerana syarikat itu menjaga kepentingan negara," katanya pada sidang akhbar sempena persidangan Invest Malaysia 2014 di sini hari ini.

Dilaporkan MAS kerugian RM1.2 bilion pada tahun 2013 manakala kerugian bersih pada suku pertama 2014 adalah sebanyak RM433.4 juta.

Imej syarikat penerbangan itu juga semakin terjejas selepas tragedi kehilangan pesawat penerbangan MH370 sejak Mac lalu. - HARAKAHDAILY 10/6/2014

Wednesday, 4 June 2014

Beli alat besarkan zakar, dapat kanta pembesar

 

Seorang lelaki berang apabila alat yang dibelinya melalui  talian untuk membesarkan saiz zakarnya hanya mampu membuatnya nampak lebih besar tanpa sebarang pembesaran fizikal.

Menurut laporan Star Online, setelah membelanjakan RM450, beliau hanya menerima kanta pembesar.

Berang dengan apa yang berlaku, lelaki itu mengadu kepada MCA.

Pengerusi Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Michael Chong berkata lelaki dari Seri Kembangan itu, yang hanya dikenali sebagai Ong, adalah mangsa penipuan dalam talian.

"Apabila menerima bungkusan, dia terkejut apabila mendapati kanta pembesar di dalamnya," Chong dipetik sebagai berkata.

Untuk memburukkan lagi keadaan - tidak pasti sama ada ianya satu gurauan atau sebaliknya - ia datang dengan arahan ringkas yang berbunyi: "Jangan gunakan di bawah cahaya matahari".

Chong berkata Ong adalah antara beberapa mangsa yang kerugian sejumlah RM80,000 tahun ini sahaja kerana menjadi mangsa penipuan sedemikian. (MK)

Tuesday, 3 June 2014

Iklan Ganjil! Ini, Bakal Manusia Terkaya Dunia?





PETALING JAYA: Orang ramai yang melalui susur masuk dan keluar dari kedua-dua arah Jambatan Pulau Pinang kini tertanya-tanya siapakah lelaki muda yang muncul dalam papan iklan gergasi yang mendakwa dia adalah 'Bakal Orang Terkaya Di Dunia'.

Lelaki yang muncul dalam papan iklan gergasi tersebut dipercayai seorang warganegara China dan bukannya rakyat tempatan.

Seorang pengguna harian Jambatan Pulau Pinang, B.C Ong ketika menghubungi mStar Online memberitahu, papan iklan itu menimbulkan persoalan dan tanda tanya kepada orang ramai kerana ia tidak mempromosikan jenis perniagaan atau produk yang ingin diperkenalkan tetapi hanya wajah lelaki berkenaan.

"Pada papan iklan gergasi itu hanya terdapat gambar seorang lelaki muda yang bernama Zhang Jian selain tertulis "Bakal orang terkaya di dunia.
"Di sudut atas dan bawah papan itu pula tertulis dua laman web iaitu WWW.YLSM.HK dan www.cdtup.com. Tiada sebarang produk atau nama syarikat yang diperkenalkan di situ," katanya lagi.

Tambah Ong, berikutan itu, timbul persoalan mengenai perniagaan apakah disebalik papan tanda tersebut.
Sementara itu, hasil siasatan mStar di laman web tersebut dan laman sosial Facebook, https://www.facebook.com/jutawanyslm‎ mendapati, ia adalah sebuah kumpulan jutawan YslmLM.hk atau 'Group Jutawan Yslm.hk'.
Tiada produk yang diiklankan selain meminta orang ramai supaya menjana pendapatan dengan cara termudah tanpa perlu bekerja dan hanya 'bergoyang kaki' selepas mencari dua atau tiga rakan tajaan.

Untuk menyertainya, setiap peserta diberi pilihan untuk membeli pakej seperti VIP (RM300), VVIP (RM900), Emas (RM2,100) dan Intan RM4,500. Ia dijual secara lot.
Setiap peserta kemudian perlu mencari tajaan (downline) untuk membeli pakej itu sebagai usaha meningkatkan pendapatan kepada penaja (upline).
Setiap lot yang bermula dengan RM300 setahun didakwa mampu menjana pendapatan sehingga RM1,800 setahun manakala bagi lot bernilai RM4,800 setahun akan memberi pulangan berjumlah RM54,000 setahun.
Dari laman sosial tersebut, terdapat pautan yang membawa ke laman web http://www.jutawanyslm2u.com/.

Di laman web berkenaan menceritakan bahawa YSLM merupakan syarikat yang berpusat di China dan mengeluarkan lebih 3,000 produk yang tidak disenaraikan.
Syarikat itu milik seorang pemuda bernama Zhang Jian, berusia 26 tahun seperti yang terpapar pada papan iklan gergasi di laluan Jambatan Pulau Pinang serta menetap di China.
Turut disenaraikan ialah pejabat pertama YSLM di Setiawalk Puchong, Selangor yang telah dirasmikan pada 15 Januari yang lalu.
YSLM dikatakan berdaftar dibawah Akta Jualan Langsung di negara ini untuk melakukan perniagaan berkenaan.
Misi utama syarikat tersebut atau pemiliknya ialah menjadi individu terkaya di dunia dalam tempoh lima tahun. (mStar)

Friday, 30 May 2014

Bank Of China Lancar Syliling Emas Panda China Di Malaysia


KUALA LUMPUR: Bank of China (Malaysia) Bhd akan melancarkan Syiling Emas Panda China dengan kuantiti terhad di Malaysia sebagai tanda persahabatan mesra dan malar segar antara kedua-dua negara.

Bank itu berkata pelancaran itu juga bersempena dengan perayaan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia-China dan ketibaan pasangan panda China Fuwa dan Fengyi di Malaysia baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, bank itu berkata Syiling Emas Panda China yang dikeluarkan oleh Bank Rakyat China (BOC) itu boleh menjadi pengalaman pelaburan baharu bagi pembeli Malaysia.

"Ia adalah satu daripada lima syiling emas terunggul di dunia bagi pelaburan selain Syiling Emas Krugerrand Afrika Selatan, Syiling Emas Daun Maple Kanada, Syiling Emas Tema Helang Amerika dan Syiling Nuget Emas Australia," kata bank itu.

Syiling emas itu boleh didapati dalam lima saiz berbeza seberat 1 auns, 1/2 auns, 1/4 auns, 1/10 auns dan 1/20 auns.

"Secara tradisinya, emas merupakan instrumen kewangan pilihan yang boleh bertahan dalam menghadapi inflasi, yang terkenal dengan ciri-cirinya bagi kestabilan nilai, kemudahan tunai yang tinggi, boleh disimpan dan dibawa, serta diterima dengan meluas di peringkat dunia.

"Syiling emas dan bongkah emas merupakan pilihan utama bagi pelaburan emas fizikal utama di dunia," kata bank itu. (mStar)

Friday, 16 May 2014

100 bilionair diami UK

Foto
SRI dan Gopi Hinduja dinamakan pasangan paling kaya di Britain oleh Senarai Jutawan Sunday Times 2014.

Britain kini menjadi negara terkaya di dunia apabila lebih daripada 100 bilionair mendiami sekitar United Kingdom (UK). Perkara itu didedahkan baru-baru ini apabila 104 bilionair menjadikan Britain sebagai tempat bermastautin dengan jumlah kekayaan lebih RM1,645 bilion.

Ini bermakna, UK mempunyai lebih dari seorang bilionair berbanding negara lain. Sebahagian besar di antara mereka mempunyai rumah di London. Ini bermakna, jumlah bilionair dicatatkan di bandar itu lebih banyak berbanding New York dan Moscow.

London dianggap pusat tumpuan kelompok kaya-raya yang kini mencakupi 72 bilionair - meliputi 10 peratus daripada jutawan di dunia. Moscow di kedudukan kedua dengan 48 bilionair, diikuti New York (43), San Francisco, Los Angeles dan Hong Kong.

Tetapi menurut senarai bilionair yang dikeluarkan Sunday Times, hanya satu pertiga daripada jumlah itu dari Britain. Adik-beradik kelahiran India, Srichand dan Gopichand Hinduja menduduki senarai terkaya teratas di UK dengan gabungan mengumpul RM65 bilion hasil daripada konglomerat global mereka.

Ia diikuti dengan oligarki dan hartawan antarabangsa yang membuat keuntungan menerusi aluminium, minyak dan arang batu serta pemilik kelab bola sepak Chelsea, Roman Abramovich. Pemegang saham Arsenal, Alisher Usmanov dan pemegang amanah Queens Park Rangers serta hartawan keluli dari India, Lakshmi Mittal turut tersenarai.

Satu-satunya jutawan British dalam senarai itu ialah Duke of Westminster di tempat ke-10 dengan kekayaan berjumlah RM47 bilion. Reputasi Britain sebagai ibu negara kewangan dan kaitannya dengan percukaian yang agak rendah dianggap sebagai kredit untuk menarik penduduk bukan luar melabur dalam hartanah di London.

Negara terbabit kini mempunyai seorang bilionair bagi setiap 607,692 penduduk, berbanding seorang bilionair bagi setiap 1,022,475 penduduk di Amerika Syarikat. Tidak seperti Amerika Syarikat, Britain tidak mengenakan cukai kepada penduduk luar mengikut global kekayaan mereka kerana mereka hanya membayar cukai ke atas pendapatan yang diperoleh di UK.

Ketua empayar fesyen Gucci, Francois-Henri Pinault berpindah dari Perancis ke London bersama isterinya yang juga pelakon, Salma Hayek selepas kerajaan Perancis mengenakan 75 peratus kadar cukai ke atas golongan terkaya di negara terbabit.

Meskipun begitu, mereka menafikan hal terbabit sebagai punca perpindahan. Britain mempunyai bilangan bilionair lebih daripada tiga kali ganda dalam satu dekad. Jumlah kekayaan mereka kini mengatasi tahap pra kemelesetan tahun 2008 apabila kekayaan 75 jutawan di UK bernilai RM1,099 bilion. (myMetro)

Monday, 12 May 2014

Abdul Rahman bin Auf: Mujahid, dermawan dan zuhud

 

Oleh DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI

Abdul Rahman bin Auf (r.a); Seorang Sahabat Nabi saw, Mujahid, Ahli Perniagaan, Dermawan & Zuhud

Pengenalan

1. Nama dan keturunan Abdul Rahman bin 'Auf radiyallahu 'anhu (moga Allah meredhainya) ialah Abdul Rahman bin 'Auf bin 'Abd 'Auf bin 'Abd bin Harith bin Zahrah bin Kilab bin Murrah bin Ka'ab bin Lu'ai. Nama asal beliau sebelum Islam ialah Abdu Amrin atau Abdul Ka'bah lalu ditukar oleh Nabi saw kepada Abdul Rahman.

2. Beliau merupakan salah seorang daripada 8 orang yang awal menerima Islam setelah diperkenalkan oleh Abu Bakar al-Siddiq (r.a) bersama-sama 4 orang yang lain iaitu Uthman bin Affan, al-Zubair bin 'Awwam, Tolhah bin 'Ubaidillah dan Sa'ad bin Abi Waqqas radiyallahu 'anhum.

3. Beliau juga salah seorang daripada 10 sahabat Nabi saw yang diberi khabar gembira mendapat syurga selain Abu Bakar al-Siddiq, Umar bin al-Khattab, Uthman bin 'Affan, Ali bin Abi Tolib, al-Zubair bin al-'Awwam, Tolhah bin 'Ubaidillah, Sa'ad bin Abi Waqqas, Sa'id bin Zaid dan Abu 'Ubaidah bin al-Jarrah (r.a). (Rujuk Hadis Bukhari).

4. Beliau dilahirkan pada tahun ke 10 tahun gajah. Menurut Ibn al-Athiir beliau meninggal pada usia 75 tahun pada tahun 31 Hijrah di zaman Khalifah Uthman. Terdapat 2 riwayat sama ada beliau mati dan dikebumikan di bumi Syam (Suweilih, Jordan) atau mati di Madinah dan dikebumikan di Perkuburan Baqi'.

5. Beliau berhijrah ke Habsyah kemudian kembali ke Mekah seterusnya berhijrah kali kedua ke Habsyah. Setelah kembali ke Mekah beliau menjadi orang yang awal berhijrah ke Madinah apabila diarahkan oleh Nabi saw.

6. Beliau cedera ketika perang Uhud dengan luka di 20 tempat seluruh badan sehingga meninggalkan kesan tempang berkekalan pada betisnya. 2 gigi seri tengahnya patah sehingga memberi kesan yang jelas pada pertuturannya.

7. Beliau salah seorang daripada 6 orang yang dicalonkan  oleh Umar bin al-Khattab sebelum beliau wafat setelah ditikam untuk menggantikan beliau sebagai Khalifah. 5 lagi ialah Uthman bin 'Affan, Ali bin Abi Tolib, al-Zubair bin al-'Awwam, Tolhah bin 'Ubaidillah, Sa'ad bin Abi Waqqas (r.a). Kelima mereka bersetuju untuk memilih Abdul Rahman sebagai khalifah berdasarkan beberapa hujah. Namun, beliau telah menarik diri dan memilih Uthman menjadi Khalifah lalu dipersetujui oleh mereka semua.

8. Kehidupan sehariannya berlegar pada 3 perkara, sama ada di masjid mengerjakan solat wajib dan sunat atau dalam peperangan berjihad atau berniaga.

Minat dan kemahiran berniaga

1. Beliau seorang yang sangat mahir, bijak serta berjaya dalam perniagaan sehinggakan beliau sendiri berkata tentang dirinya sendiri: "sekiranya saya mengangkat satu batu pasti saya temui di bawahnya perak dan emas."

2. Anas bin Malik radiyallahu anhu menceritakan apabila Sa'ad bin Rabi' (r.a) menawarkan separuh harta dan salah seorang isterinya untuk diceraikan dan dinikahi oleh Abdul Rahman (r.a) sebagai satu tuntutan ikatan persaudaraan yang telah diarahkan oleh Nabi saw untuk dimenterai antara Ansar dan Muhajirin, Abdul Rahman (r.a) menolak dengan berkata: "moga Allah berkati keluarga dan harta kamu. Tunjukkan kepada saya pasar." Kata Anas lagi: "Lalu beliau keluar ke pasar seterusnya membeli, menjual dan mendapat untung".

Dalam hadis riwayat Bukhari menjelaskan lagi selepas beberapa hari beliau berjaya mengahwini seorang wanita Ansar dengan mas kahwin emas seberat timbangan sebutir biji kurma. Apabila diketahui oleh baginda beliau digesa supaya mengadakan walimah kenduri perkahwinan walaupun dengan seekor kambing.

Cerita ini menggambarkan minat dan kemahirannya berniaga sehingga membolehkannya mendapat untung yang banyak dalam masa singkat.

2. Delegasi perniagaannya datang daripada Mesir dan Syam membawa barang import ke Madinah mengandungi pakaian dan makanan seperti gandum yang diperlukan oleh masyarakat Semenanjung Tanah Arab.

3. Diriwayatkan oleh Anas bin Malik (r.a) pada satu hari bumi Madinah dikejutkan dengan angin kuat yang menerbangkan debu-debu yang disangkakan ribut tetapi rupanya kerana kedatangan rombongan perniagaan Abdul Rahman (r.a) dari Syam dengan 700 ekor unta yang penuh dengan barang dagangan yang berat. Keadaan itu mengkagumkan Aisyah (r.a) sehingga beliau berkata: "rombongan perniagaan sehingga menimbulkan gegak-gempa seumpama ini?". Orang ramai menjawab: "Benar! Aisyah lalu mengulas: "Saya mendengar Rasulullah saw bersabda bahawa Abdul Rahman berjalan ke syurga dalam keadaan merangkak". Berita itu sampai ke pengetahuan Abdul Rahman. Beliau lantas segera bertemu dengan Aisyah (r.a) lalu berkata: "kamu mengingatkan saya dengan ungkapan baginda saw yang saya tidak dapat lupakan sama sekali. Saya bersaksi wahai Aisyah bahawa seluruh rombongan perniagaan dengan unta dan isi barangannya saya sedekahkan di jalan Allah."
Harta itu lalu diagihkan kepada seluruh penduduk Madinah.

* (Keseluruhan  cerita (Aisyah r.a) bersumberkan Anas bin Malik (r.a) ini diriwayatkan oleh beberapa sumber antaranya Ibnu 'Asakir dalam Tarikh Dimasyq, Musnad al-Bazzar dan Ibnu Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah tapi keseluruhan sanad riwayatnya adalah lemah. Maka hadis Abdul Rahman ke syurga dalam keadaan merangkak adalah lemah sandarannya kepada Nabi saw. Bahkan beberapa jalur riwayat lain tentang hadis Abdul Rahman (r.a) ke syurga dalam keadaan merangkak dinilai palsu dan mungkar. Yang perlu diambil pengajaran ialah cerita kekayaan empayar perniagaan Abdul Rahman dan sifat dermawannya yang sabit dalam banyak lagi riwayat lain.)

Kekayaan dan sifat demawan

1. Sifat dermawan Abdul Rahman (r.a) digambarkan dengan kata-kata yang masyhur tentang dirinya bahawa:

قيل: {أهل المدينة جميعا شركاء لابن عوف في ماله، ثُلث يقرضهم، وثُلث يقضي عنهم ديونهم، وثلث يصِلَهم ويُعطيهم}.

"Dikatakan penduduk Madinah semuanya rakan kongsi bagi Abdul Rahman pada hartanya; 1/3 penduduk Madinah diberikan oleh beliau pinjaman tanpa faedah (Qard Hasan), 1/3 lagi dibantu oleh beliau dengan dibayar hutang mereka dengan orang lain dan 1/3 lagi disambung hubungan rahim dan diberikan pemberian".

2. Al-Zahabi dalam Siyar A'laam al-Nubalak menukilkan daripada Tolhah bin Abdullah bin 'Auf berkata: "Penduduk Madinah adalah tanggungan Abdul Rahman bin 'Auf. 1/3 mereka diberikan pinjaman, 1/3 dibayar hutang mereka dan 1/3 disambung hubungan dengan pemberian".

3. Al-Zahabi juga meriwayatkan daripada Imam Qatadah bahawa Abdul Rahman (r.a) pernah bersedekah separuh daripada hartanya iaitu sebanyak 4000 dinar di zaman Rasulullah saw sehingga orang-orang Munafiqin menuduhnya sebagai tersangat riya'. Lalu Allah turunkan ayat:
(الّذِينَ يَلْمِزُونَ الْمُطّوّعِينَ) [التوبة: 79]
Bermaksud: "orang-orang yang mencela golongan yang banyak melakukan perlakuan sukarela" Surah Taubah: 79.

4. Al-Zuhri meriwayatkan beliau kemudiannya menanggung 500 ekor kuda untuk jihad di jalan Allah seterusnya 500 ekor unta barangan untuk jihad.

5. Satu hari beliau menjual sebidang tanah miliknya dengan harga 40,000 dinar lalu diagihkan kepada ahli keluarganya daripada keturunan Bani Zahrah, isteri-isteri Nabi saw dan orang-orang fakir di kalangan muslimin.

6. 40,000 dinar menyamai 170,000 gram emas (1 dinar=4.25 gram) atau 178, 000 gram emas (1 dinar=4.45 gram) hari ini. Sekiranya 1 dinar emas (bersamaan 4.25 g) dinilai dengan rm632 (nilai dinar semasa yang bole dibeli oleh Kelantan Golden Trade pada 10.5.2014) maka nilainya hari ini ialah RM25,280,000 (RM25.28juta).

7. Sebelum mati beliau mewasiatkan agar hartanya diagihkan  50,000 dinar (RM31.6 juta) di jalan Allah.

8. Untuk para Sahabat Nabi yang pernah menghadiri perang Badar dan masih hidup ketika Abdul Rahman mati diwasiatkan 400 dinar seorang (RM252,800). Hinggakan Uthman bin Affan yang juga hartawan dan kaya-raya mendapat bahagian wasiat tersebut kerana beliau juga adalah ahli Badar. Jika diandaikan ahli Badar seramai 300 orang berbaki 150 orang Sahabat Ahli Badar yang masih hidup di saat itu dan setiap orang mendapat 400 dinar (RM252,800) maka anggaran hartanya untuk itu ialah 60000 dinar (RM37.92 juta).

9. Ditambah dengan wasiat di jalan Allah jumlahnya ialah 110,000 dinar. Konsep wasiat harta pula tidak boleh melebihi 1/3 harta. Ertinya harta yang dimiliki oleh beliau sebelum mati dijangka melebihi 330,000 dinar yang menyamai RM208,560,000 (RM208.56 juta).

Kehidupan zuhud

1. Satu hari beliau dihidangkan dengan hidangan berbuka puasa. Sebaik melihat makanan selera beliau hilang dan menangis. Kata beliau: "Sahabat Nabi saw Mus'ab bin 'Umair (r.a) yang lebih baik daripada diriku mati syahid lalu dikafankan dengan selimut yang jika ditutup kepalanya nampak kedua kakinya. Sekiranya ditutup kaki ternampak pula kepalanya. Hamzah (r.a) pula mati syahid, sedang dia lebih baik daripada diriku, tidak ada kafan melainkan selimut. Kita pula kemudiannya dibentangkan dengan dunia seluas-luasnya dan diberikan pemberian sebanyak-banyaknya. Sesungguhnya saya bimbang segala kebaikan-kebaikan pahala kita telah disegerakan lebih awal di dunia dan tiada bahagian pula di akhirat."

2. Satu hari yang lain dihidangkan makanan di saat beliau duduk bersama sahabat-sahabat. Beliau tiba-tiba menangis. Sahabat-sahabat beliau bertanya: kenapa menangis wahai Abu Muhammad? Ujar beliau: "wafatnya Nabi saw dalam keadaan baginda dan para isteri tidak pernah kenyang kerana sebuku roti."

Penutup

Sesungguhnya kehidupan sahabat Nabi ahli syurga ini benar-benar memberi keinsafan kepada kita:

1. Kita diberikan kelapangan masa, adakah dihabiskan untuk agama dan akhirat dengan masjid dan jihad?

2. Kita diberikan kelapangan rezki adakah dihabiskan dengan kemewahan dunia peribadi dan keluarga tanpa sedekah dan derma untuk ummah yang miskin dan jihad agama?

3. Kita diberikan makan-minum yang baik namun ingatkah kita dengan kezuhudan sahabat  melibatkan dunia?

"Kaya yang tidak masuk ke hati membawa diri membuat persiapan untuk alam Akhirat yang abadi"

Thursday, 8 May 2014

Peraga fesyen di dinding bangunan.. Kreatif..



TIGA orang model memperagakan fesyen semasa mereka berjalan di dinding sebuah bangunan Sony di Ginza semalam.

TOKYO - Beberapa orang model termasuk wanita memperagakan pakaian ketika mereka berjalan di dinding sebuah bangunan di Ginza di sini semalam. Dinding bangunan itu kelihatan dihias supaya ia kelihatan seperti pentas peragaan.

Tali keselamatan diikat pada pinggang model-model itu semasa mereka berjalan di dinding bangunan tersebut. Model-model tersebut memperagakan fesyen jenama Gucci di dinding bangunan syarikat elektronik, Sony.

Mereka melakukan perbuatan itu bagi mempromosikan majalah fesyen Jepun, Precious. - Agensi