Thursday, 18 February 2016

Masuk 1.5 Juta Lagi Pekerja Asing, Ini Rahsianya?



Keuntungan, berbanding permintaan pasaran, kemungkinan menjadi punca rancangan membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh, kata kumpulan perdagangan memandangkan perniagaan tempatan menghadapi tahun yang sukar dan lebih ramai rakyat Malaysia hilang pekerjaan.

Dua kumpulan majikan terbesar negara dan pekerja sektor swasta jarang mencapai persetujuan apabila kedua-duanya berterusan mencabar tuntutan kerajaan yang industri ini memerlukan 1.5 juta pekerja asing tambahan.

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) biasanya tidak bersetuju dalam semua perkara berkaitan isu buruh.

Tetapi dalam temu bual berasingan, kedua-dua mereka berkata pembekal industri buruh asing bernilai bilion ringgit boleh mempengaruhi kononnya “permintaan” terhadap 1.5 juta pekerja baharu ini.

Ini kerana setiap pekerja asing biasanya memberi pembekal antara RM3,000 dan RM4,000 bagi setiap orang dalam bentuk keuntungan bersih, kata mereka.

Satu lagi yang memberi keuntungan ialah perkhidmatan dalam talian untuk memproses permohonan.

Pengkritik lain bagi rancangan itu seperti Ahli Parlimen Klang Charles Santiago juga membangkitkan kehadiran bekas pegawai kementerian dalam perniagaan sebagai satu tanda industri ini mempunyai pengaruh tidak wajar dalam pelan dan dasar buruh asing secara amnya.

Dan kemudiannya, terdapat sebilangan besar pekerja-pekerja asing tanpa dokumen, yang didakwa kumpulan itu berkemungkinan berjumlah 2.3 juta atau 1 juta bagi setiap pekerja asing sah.

"Jadi persoalannya ialah mengapa tidak menjadikan mereka sah dan menggunakan pekerja yang sudah berada di sini," soal Santiago.

Benarkah ada permintaan?

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, 1.5 juta pekerja Bangladesh akan dibawa secara berperingkat dan mereka diperlukan dalam sektor perladangan.

Beliau juga berkata bilangan mereka akan diubah suai dan diagihkan kepada sektor-sektor lain termasuk pembuatan dan pembinaan.

Persatuan Pengeluar Pertanian Malaya (Mapa) menyangkal cadangan sektor itu memerlukan sebanyak 1.5 juta warga asing, mengatakan secara purata hanya terdapat kekurangan 10,000 hingga 20,000 setiap tahun kerana pekerja kembali ke negara asal dan kekosongan perlu diisi semula.

Pengarah Mapa Mohamad Audong menambah, keseluruhan sektor hanya menggunakan antara 350,000 dan 400,000 pekerja pada satu-satu masa.

"Kita juga tidak perlu 1.5 juta pekerja baharu jika dapat menyerap pekerja tanpa izin," kata Mohamad, yang organisasinya terdiri daripada pemain besar dalam perniagaan kelapa sawit seperti Sime Darby, Tabung Haji dan Felda Global Ventures.

Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, persatuan itu tidak melihat sebarang bukti atau tinjauan yang menunjukkan syarikat Malaysia memerlukan 1.5 juta warga Bangladesh baharu.

"Dengan pasaran yang melebihi permintaan, kami juga ragu-ragu pengambilan yang ramai ini baik untuk kesihatan jangka panjang ekonomi," kata Shamsuddin.

"Kita kini mempunyai 2.3 juta pekerja asing yang sah. Saya ragu-ragu dalam iklim ekonomi sekrang kita boleh menyerap 2.3 juta serta 1.5 juta warga asing tambahan. Pelan ini hanya akan berfungsi jika kita mengusir 1.5 juta pekerja tanpa izin terlebih dahulu. "

Shamsuddin berkata, jika aspek perniagaan dibuang dalam pengambilan pekerja asing, permintaan mereka tidak akan setinggi 1.5 juta.

Pelan ini juga tidak masuk akal memandangkan syarikat-syarikat menghadapi penurunan teruk dalam perniagaan dan pekerja Malaysia ramai diberhentikan kerja.


Tahun lalu 200,000 pekerja diberhentikan kerja dan MEF menjangkakan trend itu berterusan tahun ini. 

Kekurangan bukti terdapatnya permintaan daripada syarikat menyebabkan Santiago mengesyaki rancangan itu ditaja syarikat dan pembekal buruh yang terlibat dalam industri ini.

Sebagai contoh, laporan yang mendakwa Synerflux, dikawal bekas menteri dalam negeri Tan Sri Azmi Khalid. Namanya juga berkait dengan Bestinet, sebuah syarikat yang dianugerahkan kontrak untuk menjalankan sistem memproses visa dan menjalankan pemeriksaan biometrik pekerja asing.

Sistem ini digantung pada Januari tahun lalu selepas PKR mengaitkan syarikat itu dengan Azmi dan bekas pengarah Jabatan Tenaga Kerja Datuk Tengku Omar Tengku Bot.

"Tiada siapa tahu bagaimana perjanjian itu ditandatangani dan terdapat kemungkinan pembekal mempengaruhi penjawat awam yang menjalankan urusan tawaran.

"Tiada siapa dapat melihat perjanjian itu dan tidak pernah ada wakil-wakil daripada kesatuan sekerja atau syarikat apabila tawaran ini dibuat."

Melainkan Putrajaya mengeluarkan penilaian kesan keperluan buruh untuk menyokong dakwaannya, akan sentiasa ada kekhuatiran yang rancangan itu didorong ketamakan dan bukan keperluan sebenar, kata Santiago ~ The Malaysian Insider

India lancar telefon pintar paling murah di dunia.

AGENSI - SYARIKAT Ringing Bells menjual telefon pintar yang baru dilancarkan semalam pada harga serendah AS$7.30.

NEW DELHI – Sebuah syarikat kurang dikenali di India melancarkan telefon pintar dipercayai paling murah di dunia semalam untuk bersaing dalam pasaran yang kini didominasi telefon pintar berharga murah.
Sebuah telefon pintar Freedom 251 buatan syarikat Ringing Bells itu berharga cuma AS$7.30 (RM30.30) atau bersamaan satu peratus daripada harga iPhone terbaharu.
Ringing Bells ditubuhkan pada September 2015 dan mula menjual telefon pintar menerusi laman webnya sejak beberapa minggu lalu menggunakan jenama Bell, kata seorang jurucakap syarikat itu.
“Ini merupakan model utama kami dan kami percaya ia akan merevolusikan industri ini,” katanya.
Menurutnya, pada masa ini, Ringing Bells mengimport komponen telefon pintar dari luar negara dan memasangnya di India namun, merancang untuk mengeluarkan telefon pintar secara domestik dalam tempoh setahun lagi.
Telefon pintar murah, kebanyakannya dibuat di China, membanjiri pasaran India tetapi pesaing domestik semakin pesat mengeluarkan jenamanya sendiri yang rata-rata berharga kurang daripada AS$20 (RM83).
India yang memiliki pasaran telefon pintar kedua terbesar di dunia kini mempunyai lebih satu bilion pelanggan alat komunikasi berkenaan. – AFP

Thursday, 11 February 2016

Majlis Halal Malaysia kemudi Industri Halal Negara


PUTRAJAYA, Khamis – Jawatankuasa Khas Kabinet Pengurusan dan Pembangunan Industri Halal Malaysia dibubarkan mulai hari ini dan digantikan dengan Majlis Halal Malaysia (MHM).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika mengumumkan perkara itu berkata melalui MHM, pembahagian tugas mengenai perkembangan industri halal akan dibahagikan antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Halal Industry Development Corp (HDC).
“Jakim akan menumpukan terhadap proses pensijilan, tadbir urus serta perkara berkaitan Syariah manakala HDC akan memberi fokus terhadap memperkembang industri halal dan mengantarabangsakan industri itu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat terakhir jawatankuasa kabinet itu di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata badan dan agensi lain di pelbagai kementerian, akan disatukan di bawah MHM, yang dijangkakan mampu memberi keberhasilan yang tinggi kepada industri tersebut.
“Negara kita telah lama memulakan pensijilan halal dan harus diambil beberapa langkah proaktif dalam menjadikan Malaysia sebagai negara yang sentiasa berada dibarisan hadapan dalam pengeluaran produk halal,” katanya.
Ahmad Zahid menegaskan bahawa pengeluaran produk halal tidak harus tertumpu hanya kepada bahan makanan sahaja malah dikembangkan dalam bidang farmaseutikal, pelancongan, perkhidmatan serta perbankan dan insurans.
Untuk itu katanya satu akta khusus mengenai MHM akan disediakan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Jakim.
Pembentangan akta itu di Dewan Rakyat dan Dewan Negara akan dilakukan selepas Jabatan Peguam Negara memuktamadkan akta itu yang akan diserahkan oleh Jakim dan MITI selepas kelulusan Kabinet, katanya.
Mengenai Mesyuarat Jawatankuasa Induk Majlis Perundingan Islam (MPI) hari ini, Ahmad Zahid berkata mesyuarat bersetuju menubuhkan tujuh kluster yang akan dipengerusikan tokoh tertentu dalam mencari persamaan dalam pelbagai isu terutama berkaitan agama Islam.
“Setiap kluster akan melakukan percambahan fikiran dan perbincangan perbezaan yang wujud sesama mereka, dan kesemua tujuh kluster tersebut akan berjumpa semula enam bulan dari sekarang bagi mencari titik persamaan dan persetujuan,” katanya.
MPI dianggotai tokoh daripada pelbagai latar belakang seperti tokoh agama, akademik, korporat dan pemimpin badan bukan kerajaan, berperanan sebagai kumpulan pemikir bagi memberikan idea dan cadangan kepada kerajaan ke arah melaksanakan agenda pembangunan negara menurut hukum Syarak.
Mesyuarat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang dipengerusikan Ahmad Zahid, turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha dan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din.- Bernama

Saturday, 6 February 2016

Tidak.. untuk TPPA -Presiden PAS..



Tidak.. untuk TPPA  -Presiden PAS..

Video: MP PAS Marang Bahas TPPA

Thursday, 4 February 2016

12 Negara Tangani TPPA, 10 Manfaat Untuk M'sia.

Malaysia dan 11 negara lain hari ini menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik di Aukland, New Zealand. 12 negara yang terlibat mewakili 40 peratus ekonomi dunia dan akses pasaran yang luas kepada perniagaan Malaysia.
Ini 10 manfaat utama TPPA kepada Malaysia menurut rangkuman Bernama.
1. Peningkatan gaji untuk pekerja tidak mahir diunjur meningkat sebanyak  0.45-0.91 peratus dan pekerja mahir sebanyak 0.38-0.78 peratus.
2. Dasar Bumiputera dan PKS kekal pada status quo sedia ada.
3. Lebih daripada 90 peratus peningkatan ekonomi disumbangkan menerusi langkah bukan tarif yang lebih rendah.
“Kerajaan Malaysia telah menimbang pendapat akar umbi, pengusaha dan pemimpin industri, dan mereka memberi sokongan yang baik.” -Datuk Seri Mustapa Mohamad, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
4. Eksport dijangka meningkat mengatasi pertumbuhan import, sekali gus lebihan dagangan dijangkakan mengecil kepada 4.3-5.2 peratus KDNK pada 2027
5. Sektor yang menyumbang kepada 20 peratus KDNK Malaysia pada 2014 dijangkakan akan mencatat pertumbuhan keluaran yang lebih tinggi, terutama subsektor pembuatan.
6. Syarikat berorientasikan eksport akan memproleh manfaat daripada akses pasaran yang lebih luas.
“Kami yakin akses pasaran sangat penting bagi Malaysia, terutama dengan negara yang kita tidak mempunyai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), seperti Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan Peru. Akses pasaran merupakan antara sebab kita menyertai TPPA.”  -Datuk Seri Mustapa Mohamad, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
7. Syarikat akan memperoleh manfaat menerusi akses kepada pemerolehan kerajaan, liberalisasi digital yang lebih luas selain penguatkuasaan perlindungan rahsia perdagangan
8. Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia diunjur meningkat sebanyak US$107 bilon kepada US$211 bilion antara 2018-2027.
9. Pelaburan diunjur meningkat kepada US$239 bilion antara 2018-2027 – disumbang pelaburan yang lebih tinggi dalam industri tekstil, pembinaan dan perdagangan pengedaran.
“Kami telah mengambil langkah yang belum pernah berlaku sebelum ini dengan membawanya ke Parlimen walaupun ia bukanlah suatu keperluan undang-undang, dengan tujuan untuk diperdebatkan dan dibincangkan bagi memperoleh pandangan yang lebih baik daripada pelbagai pihak berkepentingan.”  -Datuk Seri Mustapa Mohamad, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
10. Penyelesaian pertikaian pelabur (ISDS) mungkin meningkatkan kos kepada kerajaan, namun perlindungan sudah disediakan bagi menangani saman dan melindungi dasar terutama dalam bidang kesihatan, keselamatan dan alam sekitar.
Ia juga meningkatkan perlindungan ke atas syarikat Malaysia yang melabur di luar negara. (IH)

Neelofa Jual Tudung Kepada Orang Israel

PELAKON dan usahawan tudung berjaya, Neelofa Mohd Noor baru-baru ini dikecam netizen gara-gara memuat naik gambar penghantaran pos produknya ke Israel. Peminat dan pengikutnya menerusi laman sosial Instagram mengecam perbuatannya yang menghantar barangan hijabnya kepada penduduk di negara Zionis tersebut.
israel
Menulis kapsyen, “It’s from Israel. Thank you, Alhamdulillah”, Neelofa dikatakan tidak sensitif yang mana negara kita tidak mengamalkan sebarang hubungan diplomatik dengan rejim Israel.
Walaupun ramai yang mencemuh hos program Meletop itu, namun ada juga yang mempertahankan Neelofa dan memujinya kerana sanggup berniaga kepada umat Islam yang ditindas di kawasan bergolak itu.
neelofa1
Neelofa, 27, menguasahakan perniagaan tudung, Naelofar Hijab yang mana lokasi butiknya terletak di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.
Dia sebelum ini dilaporkan meraih jualan sebanyak RM50 juta tahun lalu menurut sumber portal berita antarabangsa BBC. (IH)