Friday, 20 October 2017

Burger Malaysia Kini Terkenal Di Kota New York!


Burger Malaysia Kini Terkenal Di New York!

BURGER adalah antara makanan simple yang diminati semua lapisan masyarakat. Jadi, tidak hairanlah banyak restoran segera yang menyelitkan burger sebagai menu wajib mereka.

Namun, tidak semua orang memilih burger dari restoran makanan segera, sebaliknya lebih memilih burger jenis biasa yang lazim dijual di gerai mahupun warung di tepi jalan.
Tetapi tahukah anda kini burger Malaysia atau lebih dikenali dengan nama ‘Burger Ramly’ sedang popular di New York, Amerika Syarikat?
Ya, burger yang disaluti telur itu kini makin mendapat tempat di hati penduduk di sana apabila Insider Food memuat naik video mengenai ‘burger special‘ itu di laman sosialnya.
“Di Malaysia, kami biasanya memanggil burger tersebut sebagai Burger Ramly, tapi di sini kami panggil burger gaya Malaysia,” kata pemilik The Malaysian Project, Calvin Leong kepada Insider Food dalam satu laporan video yang disiarkan mereka.
Namun, burger ini tidak menggunakan penambah perasa Maggi dan sos cili yang selalu digunakan di Malaysia, sebaliknya mereka menggunakan rempah kari, mayonis pedas serta sos Worcestershire.
“Ia pedas, sedap dan dipenuhi banyak perasa umami (manis, masam dan masin) serta dibungkus. Saya makan burger ini sejak kecil. Burger ini boleh didapati di mana-mana di Malaysia,” tambah Calvin lagi.
Kumpulan The Malaysian Project telah menjual burger special itu dengan harga AS$12 atau kira-kira RM51 di beberapa tempat sekitar bandar raya New York.
Menurut Insider Food, The Malaysian Project banyak terlibat dalam kebanyakan festival yang diadakan di New York City. Burger ini juga malah boleh didapati di Pasar Malam Queens di sana.
Siapa kata makanan Malaysia tidak boleh dibanggakan? Tengok sahaja permintaan yang tinggi terhadap burger ini di sana.
Disebabkan makanan Malaysia jugalah ada orang asing yang dari luar negara sanggup datang tinggal di Malaysia seperti Rhys William, seorang blogger makanan yang kini menetap di Malaysia. – MYNEWSHUB.CC

Thursday, 19 October 2017

Filem Tombiruo Raih Lebih RM2 Juta Dalam 4 Hari


Baru empat hari ditayangkan di pawagam, filem Tombiruo: Penunggu Rimba yang diadaptasi daripada novel Ramlee Awang Murshid sudah berjaya meraih kutipan lebih RM2 juta.

Filem bergenre aksi drama itu ditayangkan di 115 pawagam seluruh Malaysia termasuk Brunei dan Singapura.
Memetik kenyataan dikeluarkan Astro Shaw Sdn Bhd pada hari ini, ramai penonton memberikan respon positif menerusi perkongsian di media sosial mengenai filem berkenaan.
Tombiruo ketika ini juga berada di tangga kedua untuk carta filem GSC (Golden Screen Cinema) dan sekaligus mengetepikan filem-filem luar negara seperti The Foreigner, Blade Runner 2049 dan Kingsman: The Golden Circle.
Selain itu, video Tayangan Perdana filem Tombiruo : Penunggu Rimba juga mendapat perhatian umum apabila video berdurasi 25 minit ini berada di nombor enam dalam kategori video tular di Youtube.
Sesi jelajah filem
Barisan pelakon tanah air yang menjayakan filem ini adalah Zul Ariffin, Farid Kamil, Nabila Huda, Faizal Hussein, Farah Ahmad, Artu, Hasnul Rahmat, Michael Chen, Dato’ M Nasir, Datin Marlia Musa, Faye Khusyairi, Dynas Mokhtar dan adik Muhammad Al-Rayyan.
Mereka juga akan menemui penonton di sebelah selatan bagi sesi jelajah filem ini selama tiga hari bermula 20 hingga 22 Oktober 2017 ini.
Sementara itu, Ramlee berkata, beliau bersyukur Tombiruo berjaya mencatatkan kutipan memberangsangkan tatkala perkembangan industri tanah air mempunyai pasang dan surut tidak menentu.
“Alhamdulillah, dalam keadaan kutipan industri filem tempatan yang agak kurang menentu sekarang ini, karya Tombiruo : Penunggu Rimba dilihat diterima oleh kebanyakan penonton. Kami amat menghargai sokongan penonton serta komen-komen yang dikongsi.
“Saya mewakili pihak penerbit berharap penonton yang telah menonton filem ini akan mengajak rakan-rakan serta keluarga untuk menyaksikan filem ini di pawagam. Tambahan pula minggu ini telah bermula cuti sekolah dan cuti umum bakal tiba Rabu ini,” katanya.
Lelaki bertopeng
Tombiruo : Penunggu Rimba memaparkan kisah Ejim yang digelar sebagai Tombiruo, (watak dilakonkan Zul Ariffin) kerana dianggap sebagai penjaga rimba.
Dalam cerita itu, Tombiruo disisihkan oleh penduduk kerana memiliki wajah bukan manusia.
Apabila satu insiden yang tragis berlaku pada Tombiruo, ia telah menimbulkan kemarahannya dan dendam.
Sementara itu, Amiruddin (Farid Kamil) menganggap Tombiruo sebagai punca keperitan hidup keluarganya dan mula menjejaknya. ‘
Pergelutan diantara mereka berlaku demi menegakkan kebenaran masing-masing.
Dalam sejarah perfileman tanah air setakat ini, terdapat tujuh buah filem yang dapat mencapai kutipan sepanjang tempoh tayangan melebihi RM10 Juta iaitu KL Gangster, Ombak Rindu, The Journey, Polis EVO, Ola Bola, Munafik dan BoBoiBoy: The Movie.
Filem Sembilu 2 menjadi filem pertama yang mencapai kutipan lebih RM6 Juta pada tahun 1995. Sementara itu, filem Ngangkung pula ialah filem pertama yang mencapai kutipan melebihi RM8 Juta pada tahun 2010.
Manakala pada tahun 2011, filem KL Gangster merupakan filem pertama yang mencapai kutipan RM10 Juta.-Malaysiakini

Tuesday, 17 October 2017

Tony Fernandes kahwini gadis Korea.


TONY dan isterinya, Chloe bergambar bersama Rafidah (kiri) di sebuah resort di Cote d’Azur, tenggara Perancis baru-baru ini.


KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd., Tan Sri Tony Fernandes mendirikan rumah tangga dengan teman wanitanya yang dikenali sebagai Chloe dari Korea Selatan di Perancis baru-baru ini.
Kedua-dua mereka dilaporkan melangsungkan perkahwinan di sebuah resort di Cote d’Azur atau lebih dikenali sebagai French Riviera di tenggara negara tersebut.
Majlis istimewa itu turut dihadiri oleh ahli keluarga dan rakan-rakan rapat termasuk bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz.
Beberapa keping gambar perkahwinan mereka tersebar di laman media sosial apabila ia dikongsi oleh ramai pengguna menerusi aplikasi WhatsApp. (Kosmo)

Sunday, 15 October 2017

7 Produk Kosmetik Dikesan Mengandungi Racun - NPRA/KKM


PENGGUNA
Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk-produk kosmetik berikut kerana dikesan mengandungi racun berjadual seperti di bawah:
Notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM berikutan pengesanan bahan racun berjadual di dalam produk berkenaan.
PERIHAL BAHAN RACUN BERJADUAL DAN KESANNYA PADA KESIHATAN
Produk yang mengandungi hydroquinone dan tretinoin adalah merupakan produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.
Produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, malah kulit menjadi hipersensitif. Kesan dari penggunaan hydroquinone boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.
Produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan tretinoin biasanya dipromosikan untuk tujuan merawat masalah jerawat dan membantu mengurangkan kedutan. Penggunaan tretinoin tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.
Produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan merkuri boleh memudaratkan kesihatan kerana merkuri yang terkandung dalam produk kosmetik boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Ia juga boleh menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan.
Selain itu, kesan mudarat akibat pendedahan kepada merkuri boleh juga dialami oleh orang sekeliling terutamanya kanak-kanak apabila produk kosmetik yang mengandungi merkuri yang disapu pada kulit meruap dan dihidu. Bayi dan kanak-kanak kecil boleh terdedah kepada merkuri apabila mereka menyentuh produk kosmetik yang mengandungi merkuri atau orang yang menggunakan produk kosmetik tersebut dan kemudiannya memasukkan jari-jari mereka ke dalam mulut. Penggunaan produk yang mengandungi merkuri boleh juga menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.
PERINGATAN KEPADA PENJUAL DAN PENGEDAR PRODUK KOSMETIK INI
Penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini diberi amaran untuk menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta. Penjual adalah diingatkan bahawa penjualan dan pengedaranproduk-produk kosmetik ini adalah melanggar PeraturanPeraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
PERINGATAN KEPADA ORANG AWAM
Orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat dari ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.
Sebarang pertanyaan berkaitan produk kosmetik boleh diemel kepadakosmetik@npra.gov.my atau menghubungi talian 03-78835400. Pengguna dan orang ramai adalah dinasihatkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA http://npra.moh.gov.my/
Sila klik di sini untuk : Lampiran A
http://mrem.bernama.com/pdf/LampiranProduk.pdf
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
SUMBER : Kementerian Kesihatan Malaysia
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Nor Suzaman Abdul Rahman
Tel : 03-8883 3470 / 013-399 7025
Emel : n.suzaman@moh.gov.my
-BERNAMA

Saturday, 14 October 2017

Lagi, Ratusan Staf Dipecat, Jualan Merudum Di S'pura.


SINGAPURA – Firma media cetak terbesar Asia, Singapore Press Holdings (SPH) milik pemerintah terpaksa membuang 230 pekerja menjelang akhir tahun ekoran jualan akhbarnya merosot teruk!

Dalam kenyataan dipetik agensi berita AFP, gergasi surat akhbar terkemuka yang memonopoli penerbitan akhbar di republik itu sejak berpisah daripada Malaysia pada 1965; turut merancang memberhentikan ratusan lagi staf.
SPH mendakwa, seperti organisasi media lain di seluruh dunia, perniagaan akhbar yang merupakan teras syarikat itu terjejas akibat berita online, dengan pendapatan daripada pengiklanan dan pengedarannya pula kian merosot.
Hampir separuh daripada 400 kakitangan yang bakal diberhentikan sudah diberitahu tentang rancangan tersebut. Pihak SPH dilaporkan pada mulanya merancang untuk hanya berbuat demikian sebelum akhir tahun 2018 depan.
Namun ia mengumumkan langkah drastik itu terpaksa dibuat akhir tahun ini. Pada 1 Oktober lalu, SPH tutup akhbar kompak popular percuma TODAY yang diterbitkan sejak tahun 2000 dan beralih kepada platform online.
Ia ekoran edarannya jatuh dan kini hanya 300,000 naskhah sehari. Tahun lalu, SPH terpaksa menggabungkan harian The New Paper dan My Paper untuk menjadi akhbar dwibahasa Inggeris dan Cina diedarkan percuma.
SPH ketika ini menerbitkan 17 judul akhbar antaranya The Straits Times, Berita Harian, Lianhe Zaobao dan Tamil Murasu, selain beberapa portal berita terkenal seperti Stomp serta mengendalikan tiga stesen radio tempatan.
 BANGUNAN IBU PEJABAT SINGAPORE PRESS HOLDINGS DI TOA PAYOH, SINGAPURA
Dengan modal pasaran S$6 bilion (RM18.2 bilion) – lebih dua kali ganda daripada nilai modal syarikat akhbar terkemuka Amerika Syarikat, The New York Times Co., SPH juga menerbitkan lebih 100 judul majalah di Singapura.
Dalam pada itu, AFP turut dimaklumkan bahawa sebilangan besar daripada kakitangannya yang akan diberhentikan adalah dari bilik berita di jabatan editorial. SPH mempunyai seramai 4,410 kakitangan setakat hujung Ogos lalu.
Ini termasuk kira-kira 1,000 wartawan dan koresponden di seluruh dunia. Ketua eksekutif SPH, Ng Yat Chung dilaporkan berkata, belum ada lagi rancangan untuk menutup mana-mana akhbar di bawah naungan syarikat itu.
“Keuntungan daripada perniagaan media cetak jauh lebih rendah disebabkan oleh gangguan penyebaran berita secara digital,” kata beliau pada sesi taklimat untuk mengumumkan hasil pendapatan penuh syarikat berkenaan.
Walaupun terdapat masalah serius dalam sektor media tradisional itu, Yat Chung berkata, pelbagai bahagian perniagaan SPH yang lain, termasuk cabang hartanah pula ironinya mencatatkan prestasi kewangan lebih baik.
SPH mendedahkan bahawa keuntungan bersih kumpulannya bagi tahun kewangan yang berakhir pada bulan Ogos lalu mencapai S$350 juta (RM1.09 bilion), naik sebanyak 32 peratus berbanding rekod pada tahun sebelumnya.
Pendapatan operasi perniagaan media yang merupakan terasnya pula jatuh 13 peratus tahun ini. Pendapatan iklan menjunam sebanyak 16.9 peratus, manakala hasil edaran akhbar turun 5.1 peratus. – Agensi.

Benarkah Durian Raja Kunyit Berharga RM5,760?


SESETENGAH orang mungkin tidak meminati raja segala buah ini. Tapi, kalau yang memang ‘hantu’ durian, harga beratus-ratus ringgit pun mereka sanggup bayar demi menikmati keenakannya.

Apabila sampai saja musim durian, maka belambaklah khemah dipacak di tepi jalan dengan susunan buah yang menarik. Tapi yang tak bestnya, harga durian sekarang ni makin mengarut dan tak masuk akal langsung!
Sekilo durian dengan nama-nama pelik dijual sampai mencecah puluhan ringgit sekilogram! Menjadikan hanya kelompok tertentu dalam masyarakat kita yang mampu menjamah buah berkenaan.
Sampai orang bertanya, mana pergi durian kampung yang harganya semua orang mampu beli dahulu?
Ok… dalam banyak-banyak harga durian yang mengarut…..pernah tak kalian jumpa beberapa biji yang mencecah berharga RM5,790.00? Baca betul-betul…durian tau, bukan harga iPhone 8.
Yea betul….tersebar di media sosial mengenai seorang pembeli dikatakan telah membayar durian jenis Raja Kunyit dengan harga hampir 6k! Tergagap sekejap nak sebut harga durian tu.
Bil dan gambar di bawah adalah bahan yang tersebar itu.
Mungkin inilah harga durian yang paling tak masuk akal setakat ni. Betul ke harga durian raja kunyit mahal macam tu? Boleh buat bayar duit muka untuk beli kereta dah.
Kami telah cuba untuk menghubungi nombor yang tertera di resit tersebut, namun tiada sebarang jawapan yang berjaya diperoleh.
Kami pun teringin nak tahu sangat apakah benar itu harga yang telah dibayar atau semuanya itu sekadar salah faham.
Mungkin selepas ini pihak yang berkenaan akan memberikan jawapan mengapa harga durian itu mencecah 6k.
Apakah ia sebenarnya merujuk kepada 100 kiliogram dan bukan 1 kilogram?
Peliknya di resit syarikat penjual itu ditulis 1 raja kunyit. Takkan sebijik semahal itu? Pelancong mana la kena kencing agaknya kalau ia benar.
Bagi anda yang peminat tegar durian ni… Agak-agak masuk akal ke harga durian Raja Kunyit semahal macam tu? Menangis jugak rasanya kalau nak bayar tu. – MYNEWSHUB.CC / Ainaa Hafizah
*Video sekadar hiasan.