Tuesday, 19 December 2017

Kisah Karipap Inti ‘Oksigen’, Apam Balik Kosong.


‘KUIH karipap inti oksigen!’… Pasti ramai pernah terbaca dan masih ingat kisah seorang pembeli berkongsi dalam media sosial mengenai kuih karipap dibeli di sebuah bazar Ramadan sebelum ini.

Karipap inti oksigen merujuk kepada kuih karipap yang dalamnya hampir 90 peratus kosong, sekadar dipenuhi angin, cuma ada seciput inti tidak kiralah kentang, ayam mahupun sardin.
Kisah yang tular itu mendapat respon daripada pelbagai golongan masyarakat khususnya pembeli lain yang turut berkongsi pengalaman mereka yang lebih kurang serupa cuma berlainan versi.
Rata-rata mempersoalkan sikap peniaga yang raih untung dengan cara tidak sepatutnya atau boleh dikategorikan menipu pembeli. Baru-baru ini, saya sendiri melalui pengalaman sama ketika mahu beli kuih apam balik.
Seperti kita maklum, apam balik adalah sejenis kuih dibuat daripada tepung, ada jagung, kacang dan gula sebagai isi. Kebiasaannya harga sekeping adalah sekitar RM2.50 hingga RM3, namun bergantung kepada lokasi ia dijual.
Harga yang saya katakan itu ialah apam balik yang biasa dijual di tepi jalan, di depan kedai atau pun di pasar malam.
“Pak cik, apam balik satu,” kata saya ketika membuat pesanan kepada si penjual apam balik yang berniaga di depan sebuah pasar raya di Damansara.
“Nak jagung ke biasa?” soal beliau kembali kepada saya. “Nak jagung? Biasa macam mana? Tak faham,” balas saya musykil dengan pertanyaan si penjual yang boleh kata sebulan sekali juga saya beli apam balik daripadanya tapi selalu tiada pun soalan nak jagung atau biasa.
“Biasa tak ada jagung dik, kalau nak jagung kene tambah RM1.50,” jawabnya memberi penjelasan. “Pulak (macam tu pula),” bisik hati kecil saya.
“Oh kalau macam tu bagi biasa je lah pak cik,” balas saya kembali sambil memerhatikan si penjual membuat apam balik saya tanpa jagung!
Berkata di dalam hati, “memang tak sedaplah apam balik aku ni nanti sebab tak ada jagung tapi tak apalah nak tengok dan rasa juga apa hasilnya.”
Masuk ke dalam kereta, saya membuka bungkusan dan terus menyuap apam balik tadi ke dalam mulut.
Allah! Memang ‘out’ rasanya. Seperti makan kuih tepung dengan kacang tabur dan gula pasir semata. Macam ni rasanya apam balik tanpa jagung. Memang tak sedap!
Saya bukan kedekut untuk membayar RM4 bagi mendapatkan apam balik yang ada jagung, sebaliknya sengaja saya berbuat demikian kerana ingin merasai sendiri apam balik ‘tidak cukup sifat’ itu.
Beberapa hari selepas kejadian itu, saya terlihat status laman sosial Facebook seorang kenalan juga mengenai apam balik. Rupa-rupanya bukan saya seorang yang berhadapan pengalaman apam balik tak ada jagung, Farid yang menetap di Shah Alam juga berhadapan situasi sama.
Beliau juga perlu membayar tambahan RM1.50 bagi mendapatkan apam balik yang ada jagung, menjadikan harga seketul ‘apam balik lengkap’ RM4.50.
Memetik sebahagian status Facebook miliknya beliau menulis, “Apam balik bukan memang dijual ada jagung ke? Aku membesar makan apam balik ada jagung. How come? Kena bayar untuk rasa kenikmatan jagung tu?”
Status Facebooknya itu mendapat pelbagai komen yang kritik sikap si penjual yang disifatkan mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan semata-mata.
Rata-ratanya mempersoal dan tidak boleh hadam apabila dikatakan apam balik tanpa jagung!
Meskipun rasa kelakar malahan saya ketawa sendirian apabila membaca komen-komen netizen mengenai isu apam balik ini, tetapi secara logik memang ada betulnya mereka membantah apam balik tanpa jagung itu.
Pertamanya, memang sifat semula jadi, sejak dahulu lagi, apam balik memang ada jagung.
Tidak lengkaplah apam balik tanpa jagung kerana majoriti kita beli apam balik pun memang sebab jagungnya.
Kedua, kita bukan minta ‘extra jagung’ untuk dikenakan caj tambahan sebanyak RM1.50. Kita membeli sesuatu yang sepatutnya kita dapat dengan sewajarnya.
Ada perbezaannya jika kita minta ‘extra’. Contohnya, jika kita beli burger di tepi jalan dan mahu ‘extra cheese’ atau beli nasi lemak di warung mak cik Salmah (nama samaran) kita mahu sambal atau ikan bilis lebih.
Itu baru logik dikenakan caj tambahan kerana kita minta lebih.
Kadang-kadang minta sambal dan ikan bilis lebih pun tidak dikenakan caj atas faktor peniaga memikirkan lebih ramai pelanggan akan datang kerana sikap lebih kurang dan tidak berkira.
Bertimbang rasalah wahai peniaga. Jika bayaran tambahan RM1.50 dikenakan untuk apam balik dengan jagung, bayaran tambahan RM1-RM1.50 pula dikenakan jika pembeli mahu ‘extra jagung’.
Akhirnya, harga sekeping apam balik dengan ‘extra jagung’ boleh mencecah RM5.50! Itu baru kisah apam balik tanpa jagung dan karipap oksigen.
Belum lagi saya kongsikan kisah rakan lain yang beli nasi lemak dengan telur bagai dibelah 20 (sebiji telur dibelah 20 bahagian) hingga ibarat senipis tisu!
Laksa utara sekadar mee dan kuah cair tanpa bawang, timun, salad dan telur dengan alasan ‘bahan dah habis’ sedangkan datang hari-hari pun tetap begitulah menunya.
Saya bukan sengaja mahu menghentam jauh sekali memburukkan peniaga yang menaikkan harga barang jualan mereka kerana kita semua sedia maklum harga barang dan harga minyak pun naik.
Sebagai pengguna saya memahami jika golongan peniaga perlu menaikkan sedikit harga demi memastikan mereka tidak rugi dan boleh menampung kos perniagaan.
Akan tetapi biarlah dengan cara yang sepatutnya. Bukan dengan menidakkan perkara atau hak yang ada untuk si pembeli meskipun ada yang menganggap ia sebagai sesuatu yang remeh.
Mungkin dengan RM3 atau RM3.50 kita boleh menikmati apam balik dengan jagung, tanpa sebarang caj tambahan dan jika mahu ‘extra jagung’ barulah sesuai dikenakan bayaran tambahan sewajarnya.
Saya juga percaya, ramai dalam kalangan kita pembeli dan pengguna tidak kisah untuk bayar lebih sedikit asalkan betul-betul berbaloi dengan rasa dan memuaskan hati.
Peniaga juga perlu bijak merancang strategi perniagaan agar tidak dilihat terlalu obses mengaut untung sehingga mengabaikan hak pengguna. Jika sedap dan berbaloi, pengguna pasti akan datang lagi ke kedai anda.
Dan jangan lupa, kuasa media sosial hari ini boleh memberi keuntungan atau kerugian kepada anda bergantung kepada layanan, produk dan perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan. – BERNAMA
*Video bawah sekadar hiasan…

Sunday, 17 December 2017

Beza Antara ‘Kaya Gila’ Dengan ‘Gila Nak Tunjuk Kaya’



Setakat artikel ini ditulis, saya belum menemui lagi Warren Buffet dan Mark Zuckerberg, pengasas Facebook beria-ria berswafoto untuk menunjukkan kekayaan mereka, tidak kisahlah sama ada mahu menunjuk-nunjuk kereta, duit, cincin atau pun rumah.
Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Warren Buffet masih lagi tinggal di rumah yang dibelinya pada tahun 1958 dengan harga USD31,500.
Rumah banglo milik Warren Buffett
Rumah banglo milik Mark Zuckerberg
Kereta hitam itu merupakan mereka yang dipandu oleh Mark Zuckerberg setiap hari ke tempat kerja. Bila ditanya mengapa, jawab beliau tidak suka dikenali orang ramai. MashaAllah, humble-nya orang kafir.
Manakala kereta coklat di bawah ini merupakan milik kepada manusia kedua terkaya di dunia, Warren Buffet.

Ada dua jenis orang kaya:

Pertama – Kaya gila
Kedua – Gila nak tunjuk kaya


Bagi kategori pertama, Kaya Gila, kebanyakkan kafir manakala bagi kategori kedua pula, Gila Nak Tunjuk Kaya, kebanyakkannya bani Melayu.

Bukan susah mahu mengenali orang yang kaya seperti Rockefeller, Bloomberg, Bill Gates, Vincent Tan, Warren Buffet, Robert Kuok dan lain-lain billionaire di dunia.

Mereka ini boleh dikategorikan sebagai spesis singa, duit tidak pernah habis. Sama ada anda suka dengan kami ataupun tidak, kami ada duit berbillion sebab kami pandai membuat duit. Kami tidak kisah apa yang orang fikirkan tentang kami.

Tetapi, spesis yang gila nak tunjuk kaya pun ramai dan senang mahu cam. Biasanya public figure Melayu yang ramai terlibat. Jenis macam ini namanya spesis kambing, berak tahi warna hitam macam makjun. Kaya jenis suam-suami kuku. Baru jadi jutawan sudah terkena kejutan budaya dan kebiasaanny, kekayaan mereka ini tidak bertahan lama.

Sekarang ini, di dalam Malaysia, spesis macam ini berlambak dan membiak di Facebook. Contohnya bila mahu ber-shopping di Louis Vuitton ataupun mahu membeli beg tangan Channel, Marc Jacobs ataupun Hermes, mereka akan buat live ataupun paling kurang berswafoto.

Bila mahu tempah kereta mewah, mereka suka beritahu satu dunia. Rumah berharga RM10 juta yang masih di dalam pembinaan pun mahu ditunjukkan kepada semua orang seperti mahu membuktikan kepada dunia bahawa mereka ini memang jutawan.


Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary adalah salah satu contoh orang kaya spesis singa.

Anak beli Bentley pun kena cerita supaya anak aku tahapnya lebih tinggi daripada orang lain. Jadi inilah perangai orang-orang yang suam-suam kuku kaya sebab itu dia kena beritahu orang ramai bahawa mereka ini kaya.

Mereka ini takut kalau-kalau orang lain tidak tahu yang mereka ini kaya, takut nanti orang cakap bisnes mereka tidak maju. Jadi imej mesti mahu dijaga. Ini namanya orang kaya tetapi low class. Sebab mereka ini ingat kelas itu terletak semata-mata pada material. Pakai Prada tetapi otak tiada.

Berlainan dengan spesis singa, mereka tidak perlu berswafoto depan butik Louis Vuitton semata-mata mahu memberitahu yang aku mampu, sebab mereka ini memang mampu. Tiada siapa yang boleh menghalang mereka daripada membeli.

Apa yang lawaknya, Melayu yang jenis kaya suam-suam kuku mahu beli beg tangan mahal, tetapi tanya harga, nampak sangat tidak cukup kaya. Orang kaya gila mana ada tanya harga, kecuali jenis yang suka tunjuk kaya saja yang tanya harga, takut-takut duit mereka tidak mencukupi. Manakala orang kaya jenis singa pula mentaliti mereka adalah “I want this,I will pay.”

Orang kaya gila, habitatnya memang gila. Mindset mereka memang kaya. Cara berfikir mereka pun memang kaya sebab mereka menjadi kaya melalui proses yang bernilai dan matang. Mereka tidak perlu mahu menunjuk kaya sebab mahu approval daripada orang ramai. Mereka tidak perlu berswafoto di dalam helikopter semata-mata mahu beritahu:

“I dalam heli yang I beli RM5 juta semalam…”
atau…
“Hari ini I naik business class siap belanja kawan-kawan sebab bisnes sudah boom. Habis RM50k, tetapi takpe, nanti tuhan tambah lagi..”

Tetapi, spesis singa beli beg tangan berharga RM200k sebuah bagi mereka tiada masalah, macam RM20 saja. Mereka pakai pun sebab mereka mampu dan puas, bukannya mahu beritahu orang lain yang mereka sudah mampu.




Ironinya, jenis yang kaya suam-suam kuku kena tunjuk di Facebook ataupun Twitter untuk beritahu yang dia sudah belanjakan RM20k beli sebuah be tangan. Jadi, nampak sangat dia yang excited jadi kaya.

Orang kaya gila seperti Bloomberg ataupun Bill Gates, money has no value to them because its already there. They are already successful.

Berbeza pula dengan yang kaya suam-suam kuku ini, kena beritahu satu dunia betapa hebatnya menjadi kaya, lalu kena tunjuk rumah sudah ada lima bilik, tengah rancang mahu membeli lagi 5 buah rumah lagi. Jadi terpaksa ambil gambar dan post di media sosial.

Kebiasaannya, orang terkenal yang suka menunjuk kaya berjayanya tidak akan bertahan lama. Sebab fokus mereka hanyalah mahu menayangkan kekayaan mereka. Cuba beritahu satu nama tauke produk Melayu yang sudah buat produk yang dapat bertahan selama 50 tahun dan pergi ke peringkat antarabangsa, ada? Normally, jenis yang suka menunjuk ini ialah ibarat berperangai seperti beruk dapat bunga. Terkejut sebab jadi kaya.

Kaya atau material are a product of success.

Tetapi di Malaysia ini, semakin ramai orang yang bodoh-bodoh dan memuja-muja orang terkenal ini sebab kekayaan mereka. Terkedu tengok hebatnya si kaya itu pakai Ferrari.

Orang kafir, mereka nilaikan kejayaan, bukannya materials. Mereka hormati orang sebab nilai kejayaan mereka, bukan materials. Mereka mahu tahu macam mana Mark boleh berjaya buat Facebook, bukannya mahu tahu Mark boleh beli apa. Bukannya mereka mahu tengok Mark pakai baju kot yang berharga cecah berjuta-juta ringgit.

Pernah nampak Mark selfie tunjuk cincin berlian berharga RM5 juta?

Budaya di Malaysia ini semakin penuh dengan aksi badut dan propa, semakin banyak orang yang suka. Waktu orang tengah suka, jual tahi kambing pun boleh dikatakan mujarab untuk kuruskan badan. Orang ramai beli sebab aksi badut yang dibuat.

Kemudian, beli cash gelaran Dato’ atau pun Dato’ Seri. Jadi semakin terserlahlah ‘kekayaan’ mereka dan dapatlah approval bahawa orang ini sebenarnya betul-betul hebat.

Lagi banyak buat aksi menarik perhatian orang ramai, walaupun sekadar aksi bodoh semata-mata, jadi semakin lakulah produk mereka. Tak pernah pulak saya nampak Armani atau Chanel buat aksi bodoh untuk mendapatkan perhatian.

Satu lagi,boleh cuba taja rancangan “agama”, maka tunduklah Melayu dan yakinlah mereka tauke produk ini sangat beriman, lalu berkerumunlah bani Melayu datang membeli produk mereka.

Kalau sudah memang berjaya dan bertaraf jutawan seperti Ronaldo ataupun Messi dan Usain Bolt, tidak perlu ambil gambar snediri dan tunjuk harta benda.

Paparazzi yang akan volunteer mengambil gambar kita tanpa pengetahuan kita. Paparazzi yang akan kejar mahu melihat koleksi kereta mewah kita, walaupun kita sorok.

Tetapi jenis gila mahu tunjuk kaya tidak berhenti-henti bercerita apa yang mampu mereka beli, macam tiada cerita lain di dalam hidup mereka. Dia menjadi seronok bila orang lain tahu yang dia kaya, bukannya seronok sebab produk dia sudah berjaya sembuhkan 500 juta orang di dalam dunia.

Cubalah baca kisah Leonardo De Caprio. Dia suka kehidupan yang low profile, kereta ada sebuah saja sebelum ini. Tetapi, anehnya satu dunia tahu betapa berjayanya dia di dalam kerjaya beliau. Tidak perlu pun beritahu betapa “aku mampu beli sebuah mansion di Malibu sebab aku pelakon terkenal di Hollywood…” Malulah sikit dengan orang kafir.

Ramai lagi artis Hollywood yang hebat seperti Matt Damoin, Denzel Washington, Daniel Day Lewis, semuanya hidup sangat low profile, jauh daripada orang dan tidak sukakan skandal ataupun gossip. Mereka tidak perlu mahu beritahu kisah percintaan mereka, anak sekolah di mana sebab bagi mereka itu semua kehidupan peribadi.

Tapi spesis Melayu kambing mahu beritahu satu dunia yang betapa gembiranya mereka menjadi kaya berbanding dengan orang lain. Kadang-kadang produk pun tahap mediocre saja, bukannya luar biasa pun. Tetapi kisah bodoh dalam kainnya yang lebih banyak dijaja dan ditertawakan.

Sumber: Dean Kadeer, http://www.blogmazeer.com

Saturday, 16 December 2017

100 usahawan berpengaruh di Kelantan




KERAJAAN negeri bersama Dewan Usahawan Kelantan (Duke) akan mengumumkan 100 usahawan yang paling berpengaruh di negeri itu pada Februari depan.
Presiden Duke, Zaki Zakaria berkata, inisiatif itu turut mendapat sokongan kerajaan negeri khususnya Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan.
"Kita sangat menggalakkan anak muda agar menceburi bidang keusahawanan dengan sokongan yang ditunjukkan anggota Exco, Dato' Abdul Fattah Mahmood bagi menjayakan program tersebut di Kelantan.
"Pada Februari depan kita akan mengumumkan 100 usahawan paling berpengaruh, bukan sahaja di Kelantan sahaja malah seluruh Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas perasmian Seminar Marketing Luar Biasa dan Anugerah Harapan Usahawan di Dewan Besar Duyong Perdana Resort, Kota Bharu, hari ini.
Pada majlis yang dianjurkan bersama Majalah Niaga, PKINK dan Air Kelantan Sdn Bhd itu, seramai 10 usahawan menerima Anugerah Harapan Usahawan disampaikan Abdul Fattah. – HARAKAHDAILY 16/12/2017

Kilang Mi, Kuetiau Tiada Sijil Halal Sah Diserbu




BUTTERWORTH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang pada Khamis menyerbu sebuah kilang memproses mi dan kuetiau di Mak Mandin, di sini kerana menyalah guna logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Bertindak hasil maklumat daripada orang awam yang curiga dengan status halal produk yang dikeluarkan kilang itu, sepasukan penguatkuasa KPDNKK Seberang Perai Utara (SPU) bersama pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menyerbu premis berkenaan kira-kira pukul 12 tengah hari.


Ketua Cawangan KPDNKK SPU, Zalina Aziz berkata, ketika serbuan ke atas kilang itu terdapat beberapa pekerja sedang membungkus mi dan kuetiau menggunakan plastik tertera logo halal.

Katanya, siasatan awal mendapati produk mi dan kuetiau yang dikeluarkan premis terbabit dipasarkan sekitar Pulau Pinang.

"Produk berkenaan dibungkus menggunakan plastik tertera logo halal JAKIM tetapi pemeriksaan awal mendapati premis berkenaan tidak mempunyai sijil halal sah.
"Berikutan itu, kami menyita 175.1 kilogram plastik bercetak logo halal dan 15,600 keping pelekat logo halal dari premis berkenaan," katanya di sini, Khamis.

Zalina berkata, pihaknya turut mengarahkan kilang itu untuk memberhentikan kerja-kerja memproses mi dan kuetiau sehingga siasatan dijalankan selesai.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan pihaknya turut mengambil keterangan pemilik premis berkenaan berusia 50-an untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya. - Bernama

Thursday, 14 December 2017

McDonald's tutup 169 restoran di India. Mengapa?


NEW DELHI: McDonald's menutup 169 restorannya di wilayah utara dan timur India berikutan pertikaian francais.
Rangkaian makanan segera Amerika Syarikat (AS) itu, mendakwa berlaku kegagalan pembayaran royalti, justeru menamatkan perjanjian antara McDonald's India Pvt Ltd dan Connaught Plaza Restaurant Ltd (CPRL).
Usaha sama 50:50 antara ahli perniagaan tempatan, Vikram Bakshi dan syarikat AS, CPRL telah mengusahakan ​restoran McDonald's di wilayah utara dan timur India.
McDonald's berkata, CPRL perlu 'menghentikan penggunaan keseluruhan sistem McDonald's (yang termasuk hak milikan nama, cap dagangan, reka bentuk, penjenamaan, amalan serta dasar operasi dan pemasaran, resipi makanan serta spesifikasi McDonald's) dan harta inteleknya berkaitan semua restoran berkenaan dalam tempoh 15 hari dari tarikh notis penamatan terbabit.
McDonald's mengalami pertikaian berpanjangan dengan Bakshi, yang dipecat daripada jawatan pengarah urusan CPRL pada 2013.
Tribunal Undang-undang Syarikat Negara India pada bulan lalu memutuskan mengembalikan semula jawatan itu kepada Bakshi.
Bakshi berkata, beliau akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap penamatan perjanjian​​​​​​​ francaisinya.
McDonald's menutup 43 daripada 55 restorannya di ibu negara India setakat Jun 2017.
Penutupan perniagaan keseluruhan McDonald's di utara dan timur India akan menjejaskan ribuan pekerja.
Syarikat AS itu memasuki India ketika pembaharuan pasaran pada 1990-an dan hari ini ia mengendalikan lebih 300 restoran di 65 bandar.
Rakan francaisnya di wilayah selatan dan barat India ialah Hardcastle Restaurants Private Ltd. - BERNAMA

Bermula 10 Itik 3 Tahun Lalu, Kini...


Kuala Berang: Bermula hanya dengan suka-suka memelihara 10 itik tiga tahun lalu, seorang wanita kini mampu meraih pendapatan sehingga RM3,000 sebulan hasil jualan telur ternakannya.
Zaitun Hasan, 37, dari Kampung Tengkawang di sini, berkata, dia kini mebela 100 itik maskobi atau lebih dikenali sebagai itik nila atau serati selain itik kampung yang mampu bertelur hingga 70 biji sehari bergantung kepada makanan diberikan.
Menurutnya, dia memanfaatkan kawasan belakang rumah untuk menternak itik selain mendapat bantuan Jabatan Veterinar Daerah yang datang ke reban bagi menyembur ubat menghilangkan bau selain kerjasama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).


“Menternak itik tidak terlalu cerewet dan hasilnya menguntungkan kerana ia bertelur dua kali sehari jika diberi makanan secukupnya.
“Untuk menjamin pengeluaran telur berkualiti saya tidak memberi sisa makanan dari rumah sebaliknya mendapat bekalan dari kantin dengan nasi dan palet atau makanan khas yang dibeli di pasaran,” kata ibu empat anak berusia empat hingga 19 tahun itu.
Menurutnya, telur itik diproses sebagai telur masin dan dijual pada harga antara 80 sen hingga RM1 sebiji selain dijual mentah.
Katanya, permintaan terhadap telur masin amat tinggi dan perancangan tahun depan dia ingin menambah 100 hingga 200 itik bagi meningkatkan pengeluaran sekali gus memenuhi permintaan.
Hasil carian imej untuk perusahan itik
“Telur masin dipasarkan di sekitar daerah ini tetapi ia belum mencukupi berikutan permintaan tinggi terutama ketika Ramadan.
Bagaimanapun, itik kurang bertelur pada musim tengkujuh, malah permintaannya juga rendah. Sebaliknya, apabila tiba musim panas, itik lebih aktif bertelur.
“Pendapatan saya tidak menentu tetapi ia tidak mengecewakan kerana paling sedikit saya mampu dapat RM1,500 dan paling tinggi mencecah RM3,000 sebulan dengan hanya menternak itik,” katanya. (HM)

Wednesday, 13 December 2017

Robot Mudahkan Kerja Petani Di Kebun



KUALA LUMPUR – Bagi Mohd Ashraf Shuib, 36, bidang pertanian sudah sebati dalam diriya kerana sejak kecil lagi membanting tulang membantu keluarga mengusahakan sawah dan ladang getah.


Bahkan selepas tamat pengajian di Universiti Putra Malaysia pada 2005, beliau kembali ke kampungnya di Abi Kampung Tengah, Kangar, Perlis untuk mengusahakan pertanian ‘rock melon’ dan timun menggunakan teknik fertigasi.
Bermula 2015 beliau mengusahakan tanaman pisang dengan menyewa tanah seluas kira-kira sehektar di Padang Lati, Perlis di samping menanam jambu batu secara kecil-kecilan untuk menambah mata pencarian.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains (Pembangunan Manusia) ini juga mengusahakan kedai menjual peralatan perkebunan yang diberi nama Abi Agro. Kedai ini turut menjual secara maya dalam laman sesawang www.abiagro.com.my.
Untuk berkongsi ilmu serta pengalamannya dalam bidang pertanian, Ashraf bersama sahabatnya yang juga penggiat perkebunan, Izham Alias menghasilkan buku bertajuk “Jimat Dari Dapur” pada 2015 dan ia masih dipasarkan.
GALAKKAN PENGGUNAAN TEKNOLOGI
Bukan setakat itu sahaja yang diusahakan oleh usahawan tani ini. Beliau juga begitu gigih mahu menggalakkan penggunaan teknologi dalam bidang pertanian dalam kalangan petani tempatan.
Satu perkara yang menjadi perhatian berat Ashraf ialah penggunaan racun perosak yang umum mengetahui pendedahan terlalu kerap kepada bahan kimia ini boleh mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan manusia.
“Sebagai petani saya memahami keperluan penggunaan racun serangga selain penjagaan air dan baja. Semburan racun organik atau kimia sekurang-kurangnya sekali seminggu boleh mengurangkan risiko serangan serangga.
“Bagaimanapun, kekurangan tenaga kerja boleh mengakibatkan aktiviti meracun tidak dapat dijalankan dengan sempurna atau mengikut jadual tertentu. Di sinilah pentingnya penggunaan robot untuk membantu aktiviti pengurusan kebun,” kata Ashraf dalam wawancara dengan Bernama baru-baru ini.
Beliau dengan bantuan dua rakan, Ahmad Aizhad Abd Razak, 29, dan Mohd Firdaus Ibrahim, 27, kemudiannya berjaya membangunkan robot yang diberi nama ‘Farm Assist Robot For Multi Operation’ (FARMO) yang boleh membantu melaksanakan pelbagai kerja di kebun dan ladang termasuk aktiviti meracun.
Mereka juga bertuah kerana mendapat sokongan kewangan serta kepakaran reka bentuk daripada usahawan tempatan, Jefri Efendi Mohd Salih yang sudah lama berharap petani konvensional tempatan akan berani mencuba teknologi robotik dalam bidang pertanian.
Robot Farmo versi pertama (Farmo v1) dilancarkan pada Oktober 2010 diikuti versi kedua (Farmo v2) tujuh tahun selepas itu pada Ogos 2017 dan terkini, robot versi ketiga (Farmo v3) baru sahaja dilancarkan pada 5 Dis lepas.
Secara keseluruhan, Jefri melabur lebih RM50,000 untuk kerja-kerja Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) bagi ketiga-tiga model Farmo itu.
FUNGSI AUTOMATIK
Fungsi utama Farmo adalah untuk menjalankan kerja-kerja penyemburan racun. Dengan cara ini petani tidak akan terdedah kepada bahan berbahaya ketika melakukan aktiviti berkenaan.
Bagaimanapun, fungsi robot ini juga boleh dinaik taraf dengan pemasangan aksesori tambahan yang membolehkan ia menjalankan kerja memotong rumput, mengangkut hasil kebun dan memantau keadaan kebun menggunakan siaran video.
Farmo bergerak menggunakan sistem kawalan jauh yang membolehkan ia dikawal dalam jarak sejauh 100 meter. Ia juga boleh berputar 360 darjah untuk memberi kemampuan bergerak secara optimum di lapangan.
Penggunaan tayar getah pada Farmo v2 digantikan dengan penggunaan jejak roda bagi Farmo v3 yang membolehkan ia bergerak di atas permukaan konvensional seperti kebun sayur, getah dan kelapa sawit.
Menggunakan teknologi bateri cas semula sebagai sumber kuasa, Farmo boleh digunakan selama dua jam dengan sekali pengecasan.
Dengan kapasiti tangki racun 30 liter, semburan racun boleh dibuat kepada dua barisan tanaman secara serentak. Ini menjimatkan 50 peratus waktu semburan sambil menjimatkan 30 peratus penggunaan bahan semburan kerana proses penyemburan dapat dilakukan dengan lebih sempurna.
FAKTOR KOS PETANI
“Cabaran terbesar saya membangunkan Farmo adalah untuk mendapatkan reka bentuk dan penggunaan teknologi yang murah untuk membolehkan petani mampu memiliki robot ini. Penggunaan teknologi yang murah adalah elemen penting dalam Farmo,” kata Ashraf.
Tambah beliau, Farmo direka menggunakan komponen yang biasa didapati di pasaran supaya pembeli boleh mendapatkan alat ganti dengan mudah bagi tujuan penyelenggaraan dan pembaikan.
Anggota pasukan Farmo, Mohd Firdaus berkata beliau teruja membangunkan teknologi Farmo bersama Ashraf dan seorang lagi ahli pasukan, Ahmad Aizhad kerana mahu membantu memperkasa sektor pertanian dengan penggunaan teknologi baru.
Beliau, yang berasal dari Johor, sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Ijazah Sarjana Kejuruteraan Mekatronik di Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) juga berharap penggunaan Farmo dapat diperluaskan di seluruh negara dan seterusnya di peringkat Asia Tenggara.
Ahmad Aizhad, graduan Ijazah Sarjana Muda UNIMAP pula berkata pengalaman membangunkan Farmo benar-benar menguji kemampuan beliau untuk membina robot yang menggunakan 90 peratus komponen buatan dalam negara.
Untuk rekod, Robot Farmo v1 sudah tidak lagi dijual dan yang ada, Farmo v2 dijual dengan harga RM3,999 manakala Farmo v3 boleh didapati dengan harga RM6,999.
Maklumat lanjut mengenai Farmo boleh dilayari melalui laman sesawang www.farmo-robot.com. Mereka yang berminat untuk membeli robot ini boleh juga membuat pesanan dalam laman sesawang berkenaan.
CUBA NASIB
“Melalui tinjauan yang kami lakukan di beberapa komuniti pertanian dalam laman sosial Facebook, konsep Farmo mendapat respon baik para pemilik kebun. Malah ada yang berminat menggunakan Farmo di kebun mereka.
“Kami turut mendapatkan nasihat badan-badan kerajaan seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Malaysian Technology Development Corporation Sdn. Bhd. (MTDC),” jelas Ashraf.
Untuk mendapatkan geran bagi mengembangkan lagi pembangunan Farmo, Ashraf dan pasukannya membawa robot berkenaan menyertai beberapa pertandingan dan pameran teknologi.
Ogos lepas mereka layak ke peringkat akhir Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) Siri Kedua tahun 2017. Walaupun tewas, Ashraf tidak berputus asa dan menyertai siri ketiga skim itu yang berlangsung pada 13–18 Nov lepas dan cuma layak ke peringkat separuh akhir.
Farmo juga menyertai beberapa pameran teknologi di ibu negara. Pada 16 Sept lepas ia dipamerkan pada program Jom Launch 5.0 yang berlangsung di TM Convention Centre, Kuala Lumpur.
Robot ini turut mengambil bahagian sebagai bahan pameran di ‘National Innovation and Creative Economy Expo’ (NICE) 2017 yang berlangsung Oktober lepas di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Selain itu, ia menarik minat beberapa portal tempatan berasaskan sains dan teknologi seperti Amanz.my dan Otakit.my untuk membuat liputan mengenainya.
“Bagi kami, bantuan geran amat perlu untuk kami mencipta robot pertanian yang lebih baik. Semoga dengan adanya bantuan teknologi seperti Farmo dapat menarik lebih ramai golongan belia untuk menceburi bidang pertanian dan menjadikan ia satu profesion yang dipandang tinggi oleh masyarakat,” ulas Ashraf pada akhir temubual dalam talian bersama Bernama. – BERNAMA