Saturday 18 September 2010

Negara Pilihan Pelabur, M'sia Corot, Indo Melonjak

DAMANSARA 18 SEPT: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata, Malaysia akan terus kehilangan pelabur selagi amalan rasuah, sistem keadilan yang bersih dan kepimpinan yang culas.

Katanya, semua pihak harus berasa bimbang dengan Laporan Bank of America Merill Lynch yang menempatkan Malaysia sebagai antara negara di Asia Pasifiz yang tidak digemari pelabur berdasarkan tinjauan di kalangan pandangan pengurus dana.

Beliau kesal kerana pentadbiran Datuk Seri Najib Razak cuba memberi gambaran serba indah, hakikatnya Malaysia jatuh dua anak tangga dari kedudukan di tangga ke 10 dan kini di kedudukan tercorot.

“Pastinya berita ini menerbitkan rasa bimbang saya berhubung kedudukan ekonomi semasa negara tatkala kononnya pentadbiran Najib akan mengemukakan satu kebijakan ekonomi yang diwar warkan bertujuan menarik minat pelabur,” katanya.

Ketua Pembangkang itu berkata beberapa perkara mustahak wajar diberi perhatian terutama pandangan pelabur yang melihat Malaysia sebagai tidak lagi mampu bersaing dengan negara jiran seperti Indonesia.

Berbeza dengan Malaysia, Indonesia melonjak 10 anak tangga ke kedudukan 44 dari 139 mengikut tinjauan Forum Ekonomi Dunia (World Economic Forum).

Anwar turut sangsi dengan perincian Model Ekonomi Baru (MEB) yang bakal diumumkan Najib sebagai usaha memulihkan ekonomi negara yang lembap.

Katanya, hasrat kerajaan untuk menjana pelaburan bernilai RM 2.2 trillion dalam masa 10 tahun dengan 92 peratus datangnya dari pelaburan swasta, pasti menimbulkan kemusykilan lantaran pelabur menjauhi Malaysia.

“Pemerintah harus sedar, kebijakan ekonomi yang menafikan perkara dasar serta gagal memberi keutamaan untuk melakukan perubahan terhadap sistem yang curang pastinya dipandang sepi.

“Secara tuntas saya tegaskan, pelabur memberi keutamaan terhadap sistem keadilan yang bersih, iklim yang tidak rasuah dan culas serta kepimpinan negara yang meyakinkan.

"Pembentangan serta perincian dasar ekonomi namun menafikan perkara yang mendasar tersebut hanya akan disambut dingin,” katanya.

Malangnya, Anwar berkata hakikat ini terus dinafikan elit pemerintah walaupun rakyat terpaksa menderita menahan beban.

No comments:

Post a Comment