Thursday 7 February 2013

Tauke stevia didakwa

 
 
 
 
 
ZUBIR berjalan keluar dari Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Usahawan internet dan Ketua Pengarah Eksekutif Syarikat Megaherbs Bioextreme Sdn. Bhd. dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua tuduhan membuat tawaran pembelian saham membabitkan skim pelaburan ‘Rakan Niaga Kontrak Stevia’ yang tidak sah tahun lalu.

Tertuduh, Datuk Dr. Zubir Yahya, 46, yang pernah menerbitkan filem seram Gentayangan empat tahun lalu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua tuduhan tersebut dan mohon dibicarakan.

Megaherbs Bioextreme adalah syarikat yang menjalankan perniagaan serta kursus keusahawanan berasaskan penanaman pokok stevia bagi menggantikan gula sebagai bahan pemanis.
Syarikat tersebut mendapat publisiti meluas dan sering menyiarkan iklan bukan sahaja di akhbar-akhbar tetapi juga di media elektronik.

Zubir didakwa menawarkan kepada orang awam pembelian saham bagi skim pelaburan itu walhal syarikatnya bukan menjalankan perniagaan sedemikian.

Tawaran itu dilarang mengikut Seksyen 363 (3) Akta Syarikat 1965 dan jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara 10 tahun atau denda RM250,000.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menawarkan pembelian saham skim pelaburan yang sama walhal tidak mempunyai surat ikatan yang diluluskan.

Kedua-dua kesalahan didakwa dilakukan antara 1 April 2011 hingga 13 April 2012 di Megaherbs Bioextreme, di 36-3, Blok G, Platinum Walk, No. 2, Jalan Langkawi, Danau Kota di sini.
Bagi tuduhan kedua, Zubir didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 91(1) Akta Syarikat 1965 dan dihukum mengikut Seksyen 94(1) akta sama.

Sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda RM100,000.

Pegawai pendakwa dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Mohd. Zulkhairi Kamaruzaman yang menawarkan jaminan RM30,000 dan RM20,000 masing-masing untuk setiap tuduhan memberitahu, tertuduh telah menyerah diri kepada polis dan memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan.

Zubir kemudian memaklumkan dia telah mempunyai peguam namun gagal hadir pada prosiding semalam selain memohon dikurangkan wang jaminan dengan isteri hadir sebagai penjamin.

Hakim Rozana Ali Yusoff membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 bagi kedua-dua tuduhan dan menetapkan 12 Mac depan untuk sebutan kes. Tertuduh membayar jaminan tersebut.

Filem Gentayangan yang menelan belanja sebanyak RM2.5 juta diarahkan oleh Zulkiflee M. Osman dan dibintangi pelakon Rusdi Ramli, Nasir Bilal Khan, Hasnol Rahmat dan Yasmin Hani. Ia mengisahkan empat sekawan yang pulang bercuti di sebuah kampung, namun menemui pelbagai peristiwa misteri dan dan menyeramkan.

Bagaimanapun, penayangan filem itu terpaksa ditangguhkan atas sebab-sebab tertentu. (Kosmo)

No comments:

Post a Comment