KUALA LUMPUR: Indeks komposit FTSE Bursa Malaysia (FBM
KLCI) yang mengalami kejatuhan 32.94 mata atau 1.85 peratus, baru-baru
ini dijangka akan memberi kesan penurunan kepada nilai mata wang negara.
Biarpun,
terdapat beberapa pihak yang beranggapan perkara itu turut dialami
pasaran serantau lain, kekhuatiran mengenainya perlu dilihat kerana ia
akan memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah.
Pengarah
Penyelidikan PAS Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad (gambar), menegaskan golongan
berpendapatan rendah ini akan menghadapi kesan langsung sekiranya nilai
mata wang negara mengalami penurunan.
"Berlatarbelakangkan
Malaysia yang terbeban dengan hutang yang tinggi, seperti hutang
korporat, hutang KDNK dan juga hutang isi rumah, maka Malaysia terdedah
dengan ciri-ciri yang membolehkan berlakunya penurunan nilai mata wang,"
kata beliau pada satu sidang media, di Pusat Media PAS, Jalan Raja
Laut, hari ini.
Jelas beliau lagi, apabila negara berdepan dengan
penurunan nilai mata wang, ia tidak mampu berdepan dengan keyakinan
pelabur, dan tidak mampu meningkatkan kadar faedah.
"Sekiranya
kerajaan ingin meningkatkan semula kadar faedah, orang yang berhutang
tadi seperti hutang isi rumah akan menghadapi bebanan yang lebih tinggi
kerana terpaksa membayar faedah yang lebih tinggi," jelas beliau.
Sehubungan
itu, tegas Dzulkefly, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
dinasihatkan melakukan tindakan segera bagi memperkukuhkan nilai mata
wang dari terus menjunam.
Antara langkah segera yang boleh
dilakukan, saran Dzulkefly, kerajaan boleh menjual semula mata wang
asing agar dapat memberi dokongan kepada mata wang negara.
Kerajaan
juga, tegas Dzulkefly, digesa segera mengadakan komunikasi dengan
kelompok pelabur, agensi penarafan dan penganalisis ekonomi supaya
mereka dapat memahami apa langkah kerajaan dalam memastikan pertumbuhan
ekonomi negara terjamin.
Malaysia, tambah Dzulkefly mempunyai
ciri-ciri negara yang mengalami nilai mata wang bermasalah apabila
berhadapan dengan defisit fiskal yng dikatakan perbelanjaan melebihi
pendapatan, mengalami pertumbuhan yng menguncup, selain mempunyai
pegangan bon asing yang tinggi. (Hrkh)