Monday 28 August 2017

RCI Forex kena siasat juga sebab rizab negara merosot RM141.64 bilion


BANGI, 5 Zulhijjah 1438H, Ahad – Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin mencadangkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Forex yang sedang bersidang sekarang mengambil kesempatan menyiasat punca kemerosotan rizab Bank Negara sebanyak RM141.64 bilion.
Beliau berkata, dalam tempoh tiga tahun iaitu dari 30 Jun 2014 hingga 30 Jun 2017, rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia jatuh sebanyak AS$32.94 bilion atau kira-kira RM141.64 bilion.
Katanya, pada 30 Jun 2014, rizab negara berjumlah AS$131.86 bilion (RM566.99 bilion), tetapi pada 30 Jun 2017 ia jatuh kepada AS$98.92 bilion (RM425.35 bilion).
“Kita tidak tahu secara sahih apakah punca kemerosotan itu. Ada ramalan kata kerana Bank Negara guna rizab untuk pertahan nilai ringgit dan ada yang kata untuk bayar balik hutang luar negara.
“Boleh jadi kita ambil kesempatan daripada sidang suruhanjaya diraja forex sekarang untuk dapat kepastian apa punca sebenar susutan AS$32.94 bilion itu. Ini jauh lebih besar daripada jumlah yang sedang disiasat,” katanya.
RCI Forex yang mula bersidang beberapa hari lalu, ditubuhkan kerajaan bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara sekitar 1980-an dan 1990-an, iaitu pada masa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri. Ia dipengerusikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang juga Pengerusi PPetronas.
Penubuhan RCI itu dipercayai sebagai usaha membalas dendam pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadap Dr Mahathir yang mengkritik beliau secara keras dan tegas dalam isu penyelewengan dan kehilangan wang 1MDB berjumlah berbilion-bilion ringgit, dan RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi Najib.
Ia juga adalah cubaan mengalih perhatian rakyat terhadap skandal 1MDB yang disiasat di lebih lima negara serta saman sivil oleh Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat (AS), yang kini diubah menjadi jenayah.
Malah, selepas Dr Mahathir mula mengkritik pentadbiran negara, barulah Najib mahu supaya kerugian Bank Negara 25 tahun lalu disiasat. Bukankah kes ini telah disiasat dan individu-individu terbabit telah lama meletak jawatan? Apa pula muslihat Najib menubuhkan suruhanjaya ini?
Kritikan pedas Dr Mahathir terhadap Najib dan pentadbirannya, termasuk mengatakan Perdana Menteri Malaysia adalah pencuri dan perompak wang rakyat, menyebabkan pentadbiran Najib berusaha memadam pelbagai legasi yang ditinggalkan oleh Dr Mahathir dan bertindak ke atas mereka yang rapat dengan bekas Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun itu.
Antaranya, Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh Dr Mahathir kini diganti dengan Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Bekas Ketua Pengarang New Straits Times itu juga berkata, adalah penting anggota RCI Forex faham apa yang mereka lakukan dan mengetahui yang antara lain tugas Bank Negara adalah memastikan kestabilan ringgit.
“Sebab itulah tugas Bank Negara memastikan kestabilan ringgit sangat penting. Apabila nilai ringgit stabil, harga barang dan perkhidmatan pun stabil. Atas dasar itulah semua bank negara di dunia terlibat dengan perniagaan tukaran mata wang (forex),” katanya menulis dalam Sinar Harian, hari ini.
Selain itu, Kadir juga setuju dengan saranan Pengerusi Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM), Tan Sri Dr Lim Wee Chai supaya pertumbuhan ekonomi turut diukur dalam dolar Amerika, bukan sahaja ringgit.
Wee Chai dalam saranannya berkata, ukuran mengikut dolar adalah logik dan lebih tepat kerana Malaysia negara perdagangan dan mata wang utama perdagangan antarabangsanya adalah dolar.
“KDNK berkembang 5.8 peratus pada suku kedua tahun 2017. Tetapi itu dalam nilai ringgit. Jika kita kira ikut Dolar Amerika, KDNK sebenarnya kecut 3.3 peratus sebab kadar tukaran ringgit jatuh sembilan peratus,” katanya.

No comments:

Post a Comment