Tuesday 19 March 2019

Lebur RM13,000



WARGA emas kerugian RM13,000 selepas diperdaya warga asing yang meminta pertolongan bagi bayaran kos rawatan untuk menyelamatkan nyawa saudaranya di hospital.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, peneroka dari Jerantut berusia 73 tahun itu ditegur seorang lelaki 1 tengah hari Rabu lalu ketika berada di sebuah pasar raya di bandar itu.
“Suspek bertanya mengenai lokasi pejabat Pos dan meminta bantuan mangsa mengambil wang kemenangan tiket nombor ekor. Bagaimanapun mangsa tidak mengendahkannya.
“Selepas keluar dari pasar raya itu mangsa ditegur seorang lelaki lagi yang meminta bantuan menebus hadiah kemenangan dengan menunjukkan tiket nombor ekor dimenanginya,” katanya hari ini.

Beliau berkata, mangsa mengikuti suspek menuju ke sebuah kereta yang dipandu suspek ketiga sebelum suspek pertama bersama seorang wanita warga Indonesia masuk ke dalam kereta itu dan membawa mangsa ke sebuah bank di bandar itu.
Katanya, mangsa ditemani pemandu kereta mengeluarkan RM13,000 sebelum kembali semula ke kereta dan menyerahkan wang itu kepada suspek kononnya bayaran kos rawatan saudaranya di hospital.
Katanya, sebagai balasan mangsa dijanjikan wang kemenangan nombor ekor RM30,000 sebelum dihantar pulang semula ke pasar raya terbabit.
Mangsa hanya menyedari ditipu selepas berada di rumah dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda dan sebat jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 11:45 AM

No comments:

Post a Comment