Monday 20 May 2019

Ditipu? Nak Sijil Pengurusan Tapi Disuruh Jaga Mesin Kopi!


Itu nasib malang menimpa 18 individu yang juga lepasan sekolah dari seluruh negara selepas membayar RM1,350 untuk mendaftar masuk ke sebuah akademi latihan di Lembah Klang.


KUALA LUMPUR: Impian menggunung mereka ingin menggenggam sijil dan diploma dalam bidang pengurusan pejabat selepas tamat pengajian namun lain pula jadinya apabila diminta bekerja sebagai penjaga mesin kopi di ibu negara.
Malah, ada antara mereka dihantar bekerja sebagai jurujual untuk mempromosikan produk di pusat panggilan di Bangsar, Kuala Lumpur.
Itu nasib malang menimpa 18 individu yang juga lepasan sekolah dari seluruh negara selepas membayar RM1,350 untuk mendaftar masuk ke sebuah akademi latihan di Lembah Klang.
Mangsa, Juanah Luham, 18, berkata, dia hanya mengetahui mengenai akademi itu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima ibunya sebelum ini.
“Apabila ibu mendapat mesej itu, dia suruh saya membacanya dan teruja kerana menyatakan peluang bekerja dalam sektor kerajaan.
“Bagi menyertai akademi itu, saya perlu membayar RM1,350 yuran dan tempat kediaman. Malah, saya memerlukan perbelanjaan tiket penerbangan dari kampung halaman di Kudat, Sabah.
“Ayah terpaksa meminjam wang daripada saudara-mara kerana kami bukan keluarga senang. Namun, apabila tiba di sini bulan lalu, saya diminta bekerja di pusat panggilan untuk menjual barang,” katanya ketika ditemui Harian Metro bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sentosa, G Gunaraj di sini, semalam.

GUNARAJ (kanan) mendengar keluhan mangsa yang ditipu akademi latihan.
Juanah berkata, dia menyertai akademi itu untuk mengubah kehidupan keluarga ke arah lebih baik dengan menggenggam segulung diploma dalam bidang pengurusan pejabat.

“Namun, saya tidak sangka ditipu dan menghubungi keluarga untuk pulang semula ke Sabah,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Mitchelle Lau Zhi In, 18, dari Sibu, Sarawak berkata, dia tertarik menyertai akademi itu kerana dijanjikan pekerjaan dalam sektor kerajaan.
“Ketika ditemu duga Mac lalu, akademi itu menawarkan jurusan diploma pengurusan pejabat dan memberitahu ia hanya untuk individu terpilih.
“Namun apabila tiba di akademi itu, saya dihantar bekerja di pusat panggilan mempromosikan produk.
“Saya bertahan selama seminggu sebelum dihantar pula untuk menjaga mesin kopi,” katanya yang memperoleh keputusan 6A 3B dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018.

Bagi Tan Yong Yau, 18, akademi itu turut menjanjikan bayaran elaun untuk menjaga mesin kopi.
“Namun selepas hampir tiga bulan, saya tidak mendapat sebarang elaun seperti dijanjikan dan berasa diperdaya,” katanya yang berasal dari Klang.
Sementara itu, Gunaraj berkata, beliau akan menghantar surat kepada Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berhubung perkara itu dalam tempoh terdekat.
“Mereka masuk untuk belajar bagi mendapatkan diploma, tetapi akademi itu hantar pergi bekerja. Bagi saya, ia bukan akademi namun seperti membekalkan tenaga buruh.
“Malah, ada yang tidak dibayar elaun bekerja selepas dijanjikan akademi berkenaan walaupun terpaksa bekerja hampir lapan hingga 12 jam.
“Ia seperti penipuan. Kita akan minta kementerian siasat akademi itu dan mengambil tindakan sewajarnya secepat mungkin,” katanya.

Dalam pada itu, usaha Harian Metro mendapatkan penjelasan pengurusan akademi berkenaan tidak berjaya berikutan mereka tidak menjawab panggilan telefon dibuat.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 6:30 AM

No comments:

Post a Comment