Tuesday, 15 November 2011

Obama Mahu Luaskan Zon Perdagangan Bebas


Obama(tengah) bergambar bersama para pemimpin APEC di Kapolei, Hawaii, kelmarin.

HONOLULU, Hawaii - Usul Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama untuk mewujudkan zon perdagangan bebas terbesar di dunia mendapat sokongan para pemimpin rantau Asia Pasifik kelmarin.

Jepun, Kanada dan Mexico telah menyatakan persetujuan untuk menyertai rundingan bagi menganggotai zon berkenaan.

Semasa menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di sini, Obama berkata, potensi rantau Asia Pasifik yang dinamik sebagai rakan dagangan AS perlu dimanfaatkan.

Pada masa yang sama, beliau menggesa negara-negara APEC supaya menyertai blok Perkongsian Rentas Pasifik (TPP) yang diterajui AS.

TPP merupakan perjanjian perdagangan bebas multilateral bertujuan menjadikan rantau Asia Pasifik sebagai zon perdagangan bebas.

"Hari ini kami (AS) berpeluang untuk mengorak kemajuan ke arah matlamat terbesar iaitu perdagangan serantau yang bebas," kata Obama.

"Saya mahu menekankan bahawa rantau Asia Pasifik adalah kritikal terhadap perkembangan ekonomi AS.

"Kami tidak akan dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara kami melainkan rantau Asia Pasifik turut berjaya," tambahnya.

TPP sebelum ini merupakan pakatan kecil melibatkan empat anggota APEC iaitu Brunei, Chile, New Zealand dan Singapura.

Namun, Obama mengubahnya sebagai inisiatif dagangan bebas utama dengan Australia, Malaysia, Peru, AS dan Vietnam turut serta dalam blok itu.

Sementara itu, harapan media untuk merakam gambar para pemimpin APEC memakai baju santai Hawaii hampa apabila Obama menghentikan tradisi tersebut. - AFP

MAS-A/Asia: Fernandes Jawab Bung Mohtar

Paparan skrin respons Tony Fernandes menerusi ruang Twitter pagi tadi.
KL, 15 Nov 11: Ketua syarikat tambang murah AirAsia Tan Sri Tony Fernandes menggunakan ruang sosial Twitter sekitar dua jam pagi ini untuk menjawab kritikan ke atas beliau oleh beberapa wakil rakyat semalam sambil berkata, empat Ahli Parlimen telah menyerang beliau secara “peribadi” sejak lima tahun lalu.

“Empat Ahli Parlimen telah mengkritik saya. Menjadikan ia sesuatu yang peribadi selama lima tahun.

“(Malah) seorang Ahli Parlimen mengatakan saya telah merompak orang kampung (rakyat biasa) yang miskin,” kata Fernandes pagi ini.

Malah jawab beliau: “Orang kampung tidak boleh terbang (menggunakan perkhidmatan udara) sebelum ini.”

“Kami telah bekerja keras untuk membolehkan mereka terbang dan 130 juta orang sudah terbang kerana kami,” kata beliau yang syarikatnya telah menandatangani perjanjian tukaran saham dengan Penerbangan Malaysia (MAS) Ogos lalu.

Kata beliau, pendekatan AirAsia ialah bersusah payah untuk membolehkannya menyediakan perkhidmatan tambang murah bagi rakyat berpendapatan rendah.

“Cukai lapangan terbang dibayar oleh semua rakyat Malaysia. Wang itu tidak pergi kepada AirAsia, tetapi MAB (Malaysia Airport Berhad. Bagi setiap RM25 adakah anda fikir mendapat nilai (yang sepadan) di (terminal murah) LCCT,” katanya lagi.

AirAsia sebelum ini dianggap menjadi saingan kepada MAS. Ogos lalu ia menandatangani kerjasama dengan MAS dalam usaha memulihkan syarikat penerbangan nasional tersebut. Usaha itu mendapat kelulusan Putrajaya.

Semalam, beberapa Ahli Parlimen Umno menuduh Tan Sri Azman Mokhtar dan Fernandes telah menipu rakyat dalam urusan perjanjian saham melibatkan MAS dan AirAsia Ogos lalu.

Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mohtar Radin mahu Azman, ketua eksekutif Khazanah disoal siasat ekoran keputusan agensi pelaburan kerajaan memutuskan untuk menukar 20.5 peratus saham dalam MAS bagi mengambil 10 peratus saham dalam AirAsia.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus memanggil Tan Sri Azman... kesemua mereka... jika ada penyelewengan, humban mereka ke dalam penjara,” kata beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN-BBC ini di Dewan Rakyat.

“Bagaimana Khazanah boleh diperbodohkan, macam mana boleh jadi bodoh, diperdayakan oleh Tony Fernandes. Jika saya berada dalam kedudukan, saya akan letak jawatan daripada menyusahkan orang lain,” katanya lagi.

“Kemungkinan mereka bukan bodoh. Kemungkinan mereka mendapat keuntungan besar dengan mengaut wang rakyat,” kata beliau dengan kedudukan Tune Air, milik Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, kini memiliki satu perlima pegangan dalam MAS.

Ahli Parlimen Sri Gading Mohamad Aziz juga mendakwa AirAsia dengan jelas menipu publik dan “sekarang cuba untuk menipu MAS.”

“Jika orang macam ini (Fernandes) menguasai kita, astaghfirullah,” katanya ketika membahaskan Bajet 2012.

Bung Mohtar juga berkata bahawa kerajaan tidak harus takut dengan Fernandes.

“Apa sahaja beliau mahu, kita beri. Beliau mahu kenakan caj tambahan bagi lebihan (muatan) bagasi dan hisap darah rakyat miskin.

“Sekarang saya dengar beliau ada rancangan untuk mengambil alih keseluruhan penerbangan dalam negeri dan MAS hanya akan ada penerbangan antarabangsa,” kata beliau sambil menambah, “jika kita beri yang ini kepada beliau, negara akan rosak. Ia tanda berakhirnya dunia bagi kita,” kata beliau lagi.

Perjanjian pertukaran saham antara MAS-AirAsia berhadapan dengan kecaman daripada ahli-ahli politik dan kesatuan sekerja syarikat penerbangan kebangsaan itu. Kenyataan kedua-dua wakil rakyat itu juga mendapat reaksi berbelah bahagi daripada pembaca dan orang ramai.

Fernandes juga bertanya mengapa wakil rakyat terbabit tidak pernah mempersoalkan kos lapangan terbang dan memperjuangkan usaha mengurangkan cukai lapangan terbang demi rakyat. “Mengapa PAC tidak melihat kos lapangan terbang LCCT baru dan mengapa laluan ketiga diperlukan,” katanya lagi.

Menjawab soalan pemegang akaun @gbeejipp sama ada pembinaan LCCT baru dan laluan ketiga idea beliau, Fernandes menulis: “Kami mahukan terminal dibina di belakang terminal utama. Dan bukan laluan ketiga.”

Apabila didakwa beliau seorang yang angkuh oleh pengguna bernama @firdyfire, Fernandes membidas dengan berkata “tanya 9,000 pekerja saya (sama ada) saya angkuh.” (IH/MI)

Monday, 14 November 2011

MAS-A/Asia: Khazanah Dibodohkan Fernandes -Bung Mohtar


KL, 14 Nov 11: Bagaimana Khazanah boleh diperbodohkan, diperdayakan oleh Tony Fernandes? Berikutan, beberapa ahli Parlimen Umno hari ini menuduh Tan Sri Azman Mokhtar dan Tan Sri Tony Fernandes telah menipu rakyat dalam urusan perjanjian saham melibatkan Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia Ogos lalu.

Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mohtar Radin (gambar) mahu Azman, ketua eksekutif Khazanah disoal siasat ekoran keputusan agensi pelaburan kerajaan memutuskan untuk menukar 20.5 peratus saham dalam MAS bagi mengambil 10 peratus saham dalam AirAsia.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus memanggil Tan Sri Azman... kesemua mereka... jika ada penyelewengan, humban mereka ke dalam penjara,” kata Timbalan Pengerusi BN-BBC ini di Dewan Rakyat hari ini.

“Bagaimana Khazanah boleh diperbodohkan, macam mana boleh jadi bodoh, diperdayakan oleh Tony Fernandes. Jika saya berada dalam kedudukan, saya akan letak jawatan daripada menyusahkan orang lain,” katanya lagi.

“Kemungkinan mereka bukan bodoh. Kemungkinan mereka mendapat keuntungan besar dengan mengaut wang rakyat,” kata beliau dengan kedudukan Tune Air, milik Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, kini memiliki satu perlima pegangan dalam MAS.

Ahli Parlimen Sri Gading Mohamad Aziz juga mendakwa AirAsia dengan jelas menipu publik dan “sekarang cuba untuk menipu MAS.”

“Jika orang macam ini (Fernandes) menguasai kita, astaghfirullah,” katanya ketika membahaskan Bajet 2012.

Bung Mohtar juga berkata bahawa kerajaan tidak harus takut dengan Fernandes.

“Apa sahaja beliau mahu, kita beri. Beliau mahu kenakan caj tambahan bagi lebihan (muatan) bagasi dan hisap darah rakyat miskin.

“Sekarang saya dengar beliau ada rancangan untuk mengambil alih keseluruhan penerbangan dalam negeri dan MAS hanya akan ada penerbangan antarabangsa,” kata beliau sambil menambah, “jika kita beri yang ini kepada beliau, negara akan rosak. Ia tanda berakhirnya dunia bagi kita,” kata beliau lagi.

Katanya, jika kerajaan tidak boleh memberi jawapan yang memuaskan, bermakna “pegawai-pegawai kerajaan bersubahat dengan AirAsia dan ada kepentingan peribadi.”

Perjanjian pertukaran saham antara MAS-AirAsia berhadapan dengan kecaman daripada ahli-ahli politik dan kesatuan sekerja syarikat penerbangan kebangsaan itu. (IH/The Malaysian Insider)

Anak Najib jadi pengarah, harga saham melonjak


KL 14 Sept 11: Harga saham Harvest Court Industries Bhd, syarikat balak yang kurang diketahui sebelum ini, melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh sebelas tahun selepas anak kedua perdana menteri Mohd Nazifuddin Najib dilantik sebagai ahli lembaga pengarah syarikat itu, bulan lalu.

Harga sahamnya mencecah RM2.14 kira-kira jam empat petang tadi, atau lebih 2,575 peratus daripada 8 sen yang dicatatkan bulan lalu.

Harga itu kemudiannya ditutup pada RM2.13. Ia adalah rekod lonjakan 48 sen atau sehingga 29 peratus sejak semalam.

The Edge Financial Daily dalam laporannya bertarikh 8 November lalu berkata Nazifuddin dan rakan perniagaannya Raymond Chan dilantik antara pengarah Harvest Court Industries pada 28 Oktober.

Nazifuddin juga dilaporkan membeli dua hingga tiga juta saham dalam syarikat itu - sehingga 1.7 peratus pada 4 November, manakala Chan pula dikatakan mempunyai kepentingan sebanyak 13.83 peratus.

Sejak itu, harga saham melepasi RM1 dan kekal dalam senarai jumlah tertinggi untuk beberapa hari.

Nazifuddin, 28, anak kedua Datuk Seri Najib Razak dengan isteri pertama Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar. Pasangan itu berpisah pada 1987 dan Najib kemudiannya mengahwini Rosmah Mansor.

Chan, ahli perniagaan yang aktif di Sabah, memiliki saham yang kukuh dalam Sagajuta (Sabah) Sdn Bhd, yang membangunkan 1Borneo Mall di Kota Kinabalu. Nazifuddin merupakan pengerusi Sagajuta. (Malaysiakini)

Krisis hutang Eropah merebak ke Perancis


PRESIDEN NICOLAS SARKOZY berucap merasmikan Muzium Perang Dunia Pertama di Paris Jumaat lalu.

PARIS - Presiden Nicolas Sarkozy belum bersedia untuk mengakuinya tetapi para pemimpin Perancis mula bimbang negara berkenaan ditimpa krisis hutang Eropah yang merebak dari Greece dan Itali.

Kebimbangan tersebut menyusul selepas firma penarafan antarabangsa Standard & Poor menurunkan nilai kredit Perancis pada Khamis lalu sebelum menarik semula penarafan tersebut.

Namun, insiden tersebut di samping beberapa petanda lain sudah cukup untuk mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pemimpin Perancis bahawa negara kuasa besar itu kini diambang kemelesetan ekonomi.

Pada minggu lalu, para pelabur mula meminggirkan Perancis dengan melabur di negara-negara yang memiliki suasana ekonomi yang lebih kukuh.

"Selepas Greece dan Itali, kini Perancis?" lapor akhbar tempatan, Le Monde pada Jumaat lalu.

Menurut akhbar berkenaan, Perancis kini memiliki hutang mencecah 1.7 trilion euro (RM7.3 trilion) dengan Itali pula menanggung hutang berjumlah 1.9 trilion euro (RM8.2 trilion).

Hutang kedua-dua negara itu, kata Le Monde, adalah jauh lebih tinggi daripada pelan penyelamatan ekonomi yang mampu ditawarkan oleh Kesatuan Eropah (EU).

Pada minggu lalu, Sarkozy berjanji untuk melaksanakan langkah-langkah penjimatan buat kali kedua tetapi ia gagal meyakinkan ibu pejabat EU di Brussels.

Para pelabur juga sangsi dengan inisiatif Sarkozy manakala beberapa pakar ekonomi menyatakan, negara berkenaan sudah dilanda krisis hutang. - AFP

Sunday, 13 November 2011

PM Italy Undur Kerana Hutang. AS Paling Banyak..

Sehingga penghujung tahun 2010,

-Amerika Syarikat (AS) menduduki tangga pertama negara paling banyak hutang iaitu AS$13.9 trilion
-Kesatuan Eropah (AS$13.7 trilion),
-Britain (AS$8.9 trilion), Jerman (AS$4.7 trilion),
-Perancis (AS$4.6 trilion dan
Jepun (AS$2.4 trilion).



PERDANA MENTERI Itali, Silvio Berlusconi merupakan seorang lelaki yang hebat. Dia berjaya menepis beberapa skandal seks dan perbicaraan rasuah melibatkan dirinya. Malah, jutawan media berusia 75 tahun itu boleh berbangga kerana mampu memerintah Itali selama 17 tahun.

Namun, pemilik kelab bola sepak AC Milan itu akhirnya terpaksa akur dengan tekanan ekonomi yang memaksanya berundur. Sebenarnya, Itali merupakan antara gergasi ekonomi dunia. Siapa yang tidak mengenali jenama kereta mewah Ferrari, Maserati, Lamborghini dan Pagani.

Ia juga merupakan pengeluar motosikal berkuasa tinggi Aprilia, Ducati dan Piaggio. Deruman enjin kenderaan mewah itu sahaja sudah membuatkan ramai orang terpukau, belum lagi memilikinya. Tetapi kini Itali sedang sakit. Hutang hutang luar negara itu mencecah AS$2.6 trilion (RM8.1 trillion).

Ini membuatkan Kesatuan Eropah (EU) menuntut reformasi ekonomi bagi menghalang Itali daripada terjerumus lebih jauh ke dalam kancah hutang Eropah. Berlusconi sendiri mengesahkan dia tidak akan bertanding dan akan meletakkan jawatan setelah kehilangan majoriti di Parlimen ekoran anggota partinya belot.

Greece


KEHILANGAN pekerjaan telah menimbulkan kemarahan rakyat Greece.

Itali adalah negara Eropah terbaharu yang terpaksa menanggung beban hutang selepas Greece, Ireland dan Portugal menghadapi masalah yang sama tahun ini.

Menurut Pesuruhjaya Tinggi Republik Cyprus ke Malaysia, Nafsika Krousti, situasi di Eropah kini sememangnya sukar dengan sesetengah negara berhadapan krisis hutang yang teruk.

“Greece mempunyai hutang sebanyak 160 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar berbanding 60 peratus bagi Cyprus. Greece juga mempunyai defisit 11 peratus, kadar pengangguran 15 peratus dan pertubuhan ekonomi yang negatif,” katanya mengenai negara jirannya itu.

Keadaan itu memaksa Perdana Menteri Greece, George Papandreou meletak jawatan berikutan kemelut ekonomi negaranya yang tiada kesudahan. Sebelum ini, pemerintah Greece telah menjual beberapa buah pulau di negara itu untuk membayar balik hutang negara. Turut dijual ialah tanah milik negara di Pulau Mykonos, destinasi pelancongan paling popular di Greece.

Hakikatnya, negara-negara kaya merupakan penghutang terbesar di dunia.

Sehingga penghujung tahun 2010, Amerika Syarikat (AS) menduduki tangga pertama negara paling banyak hutang iaitu AS$13.9 trilion diikuti Kesatuan Eropah (AS$13.7 trilion), Britain (AS$8.9 trilion), Jerman (AS$4.7 trilion), Perancis (AS$4.6 trilion dan Jepun (AS$2.4 trilion).

Beban hutang kerajaan yang kini perlu ditanggung oleh pekerja di negara kaya meningkat dua kali ganda di antara tahun 2007 dan 2015. Perkara tersebut menyebabkan berlaku pengecutan terhadap kesejahteraan rakyat khususnya sistem kesihatan mereka.

Masalah hutang sudah lama dideritai oleh negara-negara mundur seperti Sub-Sahara Afrika yang melibatkan 42 buah negara.

Menurut Noreena Hertz, penulis buku The Debt Threat: How Debt is Destroying the World, setiap hari rakyat di benua yang terkenal dengan kemiskinan itu membayar AS$30 juta hutang sedangkan pada masa yang sama 26 juta rakyatnya dijangkiti HIV dan Aids.


Pasca Perang Dunia Kedua, kerajaan di negara-negara maju, bank-bank swasta serta badan kewangan antarabangsa seperti Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) memberikan pinjaman hutang kepada Negara-Negara Dunia Ketiga untuk membiayai projek infrastruktur mega seperti lebuh raya dan pelabuhan.

Malangnya, kegagalan untuk membayar balik pinjaman telah menjerat negara-negara peminjam. Krisis yang sama kini dihadapi oleh negara maju khususnya di Eropah. Pakar ekonomi, Profesor Eswar Prasad dari Universiti Cornell, AS berkata negara kaya yang banyak hutang hakikatnya memberi sumbangan yang kecil dalam membantu pertumbuhan ekonomi global.

Menurut beliau, negara kaya seperti Jepun akan menyaksikan hutang kerajaan bagi setiap penduduk meningkat daripada AS$31,700 pada tahun 2007 kepada AS$68,500 pada tahun 2015.

Jepun

Dengan beban hutang yang bertambah secara automatik ia mempengaruhi pertumbuhan dan kestabilan sesebuah negara. Ia turut menjadi ancaman kepada ekonomi global, ujar Prasad. Pengarah Urusan IMF, Christine Lagarde berpendapat jika krisis ekonomi Eropah bertambah buruk, negara Asia akan menerima tempiasnya.

Hakikatnya kini, kuasa ekonomi Asia, Jepun mengalami kadar hutang negara lebih 200 peratus daripada KDNK. Semua ini didorong oleh pertumbuhan ekonomi yang perlahan sejak beberapa tahun yang lalu. Pensyarah Kanan Pengurusan Strategik, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Haim Hilman Abdullah, berkata kemerosotan ekonomi dan pertambahan hutang di negara Eropah adalah disebabkan oleh kegagalan menguruskan polisi dan sistem kewangan dengan baik.

Kerajaan Greece, kata beliau, tidak berjaya melaksanakan penggubalan dasar ekonomi yang baik untuk rakyatnya.

“Kejatuhan ekonomi sesebuah negara akan turut mengheret masalah politik dan sosial.


WALAUPUN tinggal di negara kaya, penduduk Eropah kini lebih berhati-hati dalam perbelanjaan mereka.

“Tidak hairanlah jika negara yang muflis dan dibelenggu hutang ini menjadi huru-hara kerana rakyat tidak menerima manfaatnya.

Beliau bagaimanapun tidak begitu bimbang dengan masalah ekonomi yang dihadapi Greece kerana Malaysia tidak terikat dari segi perdagangan dengan negara Eropah itu.

“Tetapi kita perlu bersedia kerana ia juga mampu memberi kesan kepada negara Eropah lain.

“Apabila negara yang mempunyai hubungan dagang dengan kita seperti Jerman, Britain dan Perancis terkesan, kita juga akan menerima tempiasnya,” katanya. (IH/Kosmo)

Thursday, 10 November 2011

Nike MAG 2011 - Kasut Nike Paling Canggih

Dicipta berdasarkan kasut yang dipakai oleh Marty McFly dalam filem 'Back to the Future 2', Nike MAG adalah kasut Nike paling canggih pada 2011. Ia dicipta melalui gabungan lampu-lampu LED electroluminescent yang dibina didalam tumit kasut dan turut dilengkapi dengan sepasang bateri kecil yang boleh dicas semula. Sebuah pengecas turut disertakan dengan setiap pembelian kasut ini.



source: http://www.coolpicturegallery.us