Tuesday 15 November 2011

Obama Mahu Luaskan Zon Perdagangan Bebas


Obama(tengah) bergambar bersama para pemimpin APEC di Kapolei, Hawaii, kelmarin.

HONOLULU, Hawaii - Usul Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama untuk mewujudkan zon perdagangan bebas terbesar di dunia mendapat sokongan para pemimpin rantau Asia Pasifik kelmarin.

Jepun, Kanada dan Mexico telah menyatakan persetujuan untuk menyertai rundingan bagi menganggotai zon berkenaan.

Semasa menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di sini, Obama berkata, potensi rantau Asia Pasifik yang dinamik sebagai rakan dagangan AS perlu dimanfaatkan.

Pada masa yang sama, beliau menggesa negara-negara APEC supaya menyertai blok Perkongsian Rentas Pasifik (TPP) yang diterajui AS.

TPP merupakan perjanjian perdagangan bebas multilateral bertujuan menjadikan rantau Asia Pasifik sebagai zon perdagangan bebas.

"Hari ini kami (AS) berpeluang untuk mengorak kemajuan ke arah matlamat terbesar iaitu perdagangan serantau yang bebas," kata Obama.

"Saya mahu menekankan bahawa rantau Asia Pasifik adalah kritikal terhadap perkembangan ekonomi AS.

"Kami tidak akan dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara kami melainkan rantau Asia Pasifik turut berjaya," tambahnya.

TPP sebelum ini merupakan pakatan kecil melibatkan empat anggota APEC iaitu Brunei, Chile, New Zealand dan Singapura.

Namun, Obama mengubahnya sebagai inisiatif dagangan bebas utama dengan Australia, Malaysia, Peru, AS dan Vietnam turut serta dalam blok itu.

Sementara itu, harapan media untuk merakam gambar para pemimpin APEC memakai baju santai Hawaii hampa apabila Obama menghentikan tradisi tersebut. - AFP

No comments:

Post a Comment