Friday, 18 November 2011

Hutang AS Tidak Sihat, Cecah RM47.39 Trilion

AHLI-AHLI Kesatuan Jururawat Kebangsaan dan penyokong mereka mengadakan tunjuk perasaan di Washington DC pada 3 November lalu yang menuntut hutang Amerika Syarikat dikurangkan.

RICK PERRY (kanan) yang mengkritik hutang pentadbiran Presiden Barack Obama berucap dalam kempen pemilihan sebagai calon Presiden Amerika Syarikat (AS) di Nashua, AS kelmarin.

WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Beban hutang pentadbiran AS melepasi takat AS$15 trilion (RM47.39 trilion) kelmarin ketika ahli-ahli politik terus bertelagah berhubung langkah-langkah yang perlu diambil bagi mengurangkan perbelanjaan negara.

Agensi berita AFP melaporkan, angka daripada Perbendaharaan AS menunjukkan beban hutang persekutuan yang ditanggung rakyat negara itu kini berjumlah AS$15,033,607,255,920.32 (RM47,490,698,234,988.44), meningkat sebanyak AS$55.8 bilion (RM176.28 bilion) sejak Selasa lepas. Jumlah tersebut dianggarkan menyamai 99 peratus saiz keseluruhan ekonomi AS untuk tahun 2011 yang disifatkan amat tidak sihat oleh pakar-pakar ekonomi.

Sementara itu, dilaporkan juga wakil-wakil rakyat daripada Parti Republikan memberikan reaksi berhubung laporan mengenai beban hutang pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama yang mencecah lebih AS$15 trilion (RM47.39 trilion). Pengerusi Jawatankuasa Bajet Parti Republikan, Paul Ryan menyifatkan jumlah itu tersebut menandakan hari yang popular dalam sejarah AS.

Beliau membuat kenyataan itu dalam laman Twitternya kelmarin. Gabenor Texas, Rick Perry turut menyatakan dalam Twitter tersebut dengan menyalahkan dasar-dasar sosialis Obama kerana sedang memufliskan negara. Perry bertanding untuk menjadi calon Presiden AS bagi mewakili Parti Republikan untuk menentang Obama.

Seorang lagi anggota Parti Republikan, Michele Bachmann pula menyifatkan negara ini seperti sebuah bot yang sedang menuju ke arah air terjun.

Kesimpulan yang dicapainya ialah: "Kita perlu hentikan perbelanjaan, berhenti menjadi negara kebajikan."

Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Parti Republikan, Reince Priebus berkata: "Amerika telah melintasi angka yang dapat difikirkan, hutang negara sekarang melebihi AS$15 trilion (RM47.39 trilion)," katanya. Menurutnya, hutang besar itu akan merencatkan ekonomi serta merugikan rating kredit.

Hutang AS ialah AS$10.62 trilion (RM33.55 trilion) ketika Obama mengambil alih tugasnya dan ia meningkat kepada AS$14.304 trilion (RM 45.193 trilion) pada bulan April lalu. Perbendaharaan AS kelmarin mendedahkan hutang negara ini ialah AS$15,033,607,255,920.32 (RM47,490,698,234,988.44). (Sumber Kosmo)

Lihat sebelum ini..

  • E-Buku IH-17: Fokus Sejarah PAS 1950 Hingga Kini...
    E-Buku IH-17: Fokus Sejarah PAS 1950 Hingga Kini...

Thursday, 17 November 2011

Biskut beras terbesar di dunia


BEBERAPA ahli Jawatankuasa Biskut Beras Terbesar Dunia bergambar dekat biskut beras terbesar di dunia di wilayah Chiba, Tokyo semalam.

TOKYO - Sekumpulan peminat snek di Jepun semalam mendakwa mereka mencatat rekod untuk biskut beras terbesar di dunia. Memiliki diameter 160 sentimeter, biskut itu jauh lebih besar daripada biskut beras biasa yang dikenali sebagai senbei.

Senbei yang diperbuat daripada tepung beras, dimakan dengan meluas di Jepun. Michihiro Yamaguchi yang merupakan seorang ahli Jawatankuasa Biskut Beras Terbesar Dunia di bandar Kioroshi, timur Tokyo menganggap ia adalah detik kejayaan buat mereka.

"Kami berjaya melakukannya. Inilah dendam yang amat manis," katanya selepas gagal dalam percubaan untuk berada dalam buku rekod dunia pada bulan lalu selepas biskut yang dihasilkan itu kurang tiga sentimeter daripada sasaran mereka. - AFP

Wednesday, 16 November 2011

Peniaga Kreatif, Jual Barang Pelik Di Musim Banjir...

JOM KREATIF
BANGKOK - Banjir yang melanda ibu kota Thailand di sini memberi durian runtuh kepada peniaga-peniaga kecil yang menjual pelbagai barang yang digunakan semasa banjir. Antara barangan tersebut termasuk but getah beraneka warna, jet ski, pam air, kipas bot dan pembalut plastik. Selanjutnya .. klik di sini..

Tuesday, 15 November 2011

Obama Mahu Luaskan Zon Perdagangan Bebas


Obama(tengah) bergambar bersama para pemimpin APEC di Kapolei, Hawaii, kelmarin.

HONOLULU, Hawaii - Usul Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama untuk mewujudkan zon perdagangan bebas terbesar di dunia mendapat sokongan para pemimpin rantau Asia Pasifik kelmarin.

Jepun, Kanada dan Mexico telah menyatakan persetujuan untuk menyertai rundingan bagi menganggotai zon berkenaan.

Semasa menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di sini, Obama berkata, potensi rantau Asia Pasifik yang dinamik sebagai rakan dagangan AS perlu dimanfaatkan.

Pada masa yang sama, beliau menggesa negara-negara APEC supaya menyertai blok Perkongsian Rentas Pasifik (TPP) yang diterajui AS.

TPP merupakan perjanjian perdagangan bebas multilateral bertujuan menjadikan rantau Asia Pasifik sebagai zon perdagangan bebas.

"Hari ini kami (AS) berpeluang untuk mengorak kemajuan ke arah matlamat terbesar iaitu perdagangan serantau yang bebas," kata Obama.

"Saya mahu menekankan bahawa rantau Asia Pasifik adalah kritikal terhadap perkembangan ekonomi AS.

"Kami tidak akan dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara kami melainkan rantau Asia Pasifik turut berjaya," tambahnya.

TPP sebelum ini merupakan pakatan kecil melibatkan empat anggota APEC iaitu Brunei, Chile, New Zealand dan Singapura.

Namun, Obama mengubahnya sebagai inisiatif dagangan bebas utama dengan Australia, Malaysia, Peru, AS dan Vietnam turut serta dalam blok itu.

Sementara itu, harapan media untuk merakam gambar para pemimpin APEC memakai baju santai Hawaii hampa apabila Obama menghentikan tradisi tersebut. - AFP

MAS-A/Asia: Fernandes Jawab Bung Mohtar

Paparan skrin respons Tony Fernandes menerusi ruang Twitter pagi tadi.
KL, 15 Nov 11: Ketua syarikat tambang murah AirAsia Tan Sri Tony Fernandes menggunakan ruang sosial Twitter sekitar dua jam pagi ini untuk menjawab kritikan ke atas beliau oleh beberapa wakil rakyat semalam sambil berkata, empat Ahli Parlimen telah menyerang beliau secara “peribadi” sejak lima tahun lalu.

“Empat Ahli Parlimen telah mengkritik saya. Menjadikan ia sesuatu yang peribadi selama lima tahun.

“(Malah) seorang Ahli Parlimen mengatakan saya telah merompak orang kampung (rakyat biasa) yang miskin,” kata Fernandes pagi ini.

Malah jawab beliau: “Orang kampung tidak boleh terbang (menggunakan perkhidmatan udara) sebelum ini.”

“Kami telah bekerja keras untuk membolehkan mereka terbang dan 130 juta orang sudah terbang kerana kami,” kata beliau yang syarikatnya telah menandatangani perjanjian tukaran saham dengan Penerbangan Malaysia (MAS) Ogos lalu.

Kata beliau, pendekatan AirAsia ialah bersusah payah untuk membolehkannya menyediakan perkhidmatan tambang murah bagi rakyat berpendapatan rendah.

“Cukai lapangan terbang dibayar oleh semua rakyat Malaysia. Wang itu tidak pergi kepada AirAsia, tetapi MAB (Malaysia Airport Berhad. Bagi setiap RM25 adakah anda fikir mendapat nilai (yang sepadan) di (terminal murah) LCCT,” katanya lagi.

AirAsia sebelum ini dianggap menjadi saingan kepada MAS. Ogos lalu ia menandatangani kerjasama dengan MAS dalam usaha memulihkan syarikat penerbangan nasional tersebut. Usaha itu mendapat kelulusan Putrajaya.

Semalam, beberapa Ahli Parlimen Umno menuduh Tan Sri Azman Mokhtar dan Fernandes telah menipu rakyat dalam urusan perjanjian saham melibatkan MAS dan AirAsia Ogos lalu.

Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mohtar Radin mahu Azman, ketua eksekutif Khazanah disoal siasat ekoran keputusan agensi pelaburan kerajaan memutuskan untuk menukar 20.5 peratus saham dalam MAS bagi mengambil 10 peratus saham dalam AirAsia.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus memanggil Tan Sri Azman... kesemua mereka... jika ada penyelewengan, humban mereka ke dalam penjara,” kata beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN-BBC ini di Dewan Rakyat.

“Bagaimana Khazanah boleh diperbodohkan, macam mana boleh jadi bodoh, diperdayakan oleh Tony Fernandes. Jika saya berada dalam kedudukan, saya akan letak jawatan daripada menyusahkan orang lain,” katanya lagi.

“Kemungkinan mereka bukan bodoh. Kemungkinan mereka mendapat keuntungan besar dengan mengaut wang rakyat,” kata beliau dengan kedudukan Tune Air, milik Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, kini memiliki satu perlima pegangan dalam MAS.

Ahli Parlimen Sri Gading Mohamad Aziz juga mendakwa AirAsia dengan jelas menipu publik dan “sekarang cuba untuk menipu MAS.”

“Jika orang macam ini (Fernandes) menguasai kita, astaghfirullah,” katanya ketika membahaskan Bajet 2012.

Bung Mohtar juga berkata bahawa kerajaan tidak harus takut dengan Fernandes.

“Apa sahaja beliau mahu, kita beri. Beliau mahu kenakan caj tambahan bagi lebihan (muatan) bagasi dan hisap darah rakyat miskin.

“Sekarang saya dengar beliau ada rancangan untuk mengambil alih keseluruhan penerbangan dalam negeri dan MAS hanya akan ada penerbangan antarabangsa,” kata beliau sambil menambah, “jika kita beri yang ini kepada beliau, negara akan rosak. Ia tanda berakhirnya dunia bagi kita,” kata beliau lagi.

Perjanjian pertukaran saham antara MAS-AirAsia berhadapan dengan kecaman daripada ahli-ahli politik dan kesatuan sekerja syarikat penerbangan kebangsaan itu. Kenyataan kedua-dua wakil rakyat itu juga mendapat reaksi berbelah bahagi daripada pembaca dan orang ramai.

Fernandes juga bertanya mengapa wakil rakyat terbabit tidak pernah mempersoalkan kos lapangan terbang dan memperjuangkan usaha mengurangkan cukai lapangan terbang demi rakyat. “Mengapa PAC tidak melihat kos lapangan terbang LCCT baru dan mengapa laluan ketiga diperlukan,” katanya lagi.

Menjawab soalan pemegang akaun @gbeejipp sama ada pembinaan LCCT baru dan laluan ketiga idea beliau, Fernandes menulis: “Kami mahukan terminal dibina di belakang terminal utama. Dan bukan laluan ketiga.”

Apabila didakwa beliau seorang yang angkuh oleh pengguna bernama @firdyfire, Fernandes membidas dengan berkata “tanya 9,000 pekerja saya (sama ada) saya angkuh.” (IH/MI)

Monday, 14 November 2011

MAS-A/Asia: Khazanah Dibodohkan Fernandes -Bung Mohtar


KL, 14 Nov 11: Bagaimana Khazanah boleh diperbodohkan, diperdayakan oleh Tony Fernandes? Berikutan, beberapa ahli Parlimen Umno hari ini menuduh Tan Sri Azman Mokhtar dan Tan Sri Tony Fernandes telah menipu rakyat dalam urusan perjanjian saham melibatkan Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia Ogos lalu.

Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mohtar Radin (gambar) mahu Azman, ketua eksekutif Khazanah disoal siasat ekoran keputusan agensi pelaburan kerajaan memutuskan untuk menukar 20.5 peratus saham dalam MAS bagi mengambil 10 peratus saham dalam AirAsia.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus memanggil Tan Sri Azman... kesemua mereka... jika ada penyelewengan, humban mereka ke dalam penjara,” kata Timbalan Pengerusi BN-BBC ini di Dewan Rakyat hari ini.

“Bagaimana Khazanah boleh diperbodohkan, macam mana boleh jadi bodoh, diperdayakan oleh Tony Fernandes. Jika saya berada dalam kedudukan, saya akan letak jawatan daripada menyusahkan orang lain,” katanya lagi.

“Kemungkinan mereka bukan bodoh. Kemungkinan mereka mendapat keuntungan besar dengan mengaut wang rakyat,” kata beliau dengan kedudukan Tune Air, milik Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, kini memiliki satu perlima pegangan dalam MAS.

Ahli Parlimen Sri Gading Mohamad Aziz juga mendakwa AirAsia dengan jelas menipu publik dan “sekarang cuba untuk menipu MAS.”

“Jika orang macam ini (Fernandes) menguasai kita, astaghfirullah,” katanya ketika membahaskan Bajet 2012.

Bung Mohtar juga berkata bahawa kerajaan tidak harus takut dengan Fernandes.

“Apa sahaja beliau mahu, kita beri. Beliau mahu kenakan caj tambahan bagi lebihan (muatan) bagasi dan hisap darah rakyat miskin.

“Sekarang saya dengar beliau ada rancangan untuk mengambil alih keseluruhan penerbangan dalam negeri dan MAS hanya akan ada penerbangan antarabangsa,” kata beliau sambil menambah, “jika kita beri yang ini kepada beliau, negara akan rosak. Ia tanda berakhirnya dunia bagi kita,” kata beliau lagi.

Katanya, jika kerajaan tidak boleh memberi jawapan yang memuaskan, bermakna “pegawai-pegawai kerajaan bersubahat dengan AirAsia dan ada kepentingan peribadi.”

Perjanjian pertukaran saham antara MAS-AirAsia berhadapan dengan kecaman daripada ahli-ahli politik dan kesatuan sekerja syarikat penerbangan kebangsaan itu. (IH/The Malaysian Insider)

Anak Najib jadi pengarah, harga saham melonjak


KL 14 Sept 11: Harga saham Harvest Court Industries Bhd, syarikat balak yang kurang diketahui sebelum ini, melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh sebelas tahun selepas anak kedua perdana menteri Mohd Nazifuddin Najib dilantik sebagai ahli lembaga pengarah syarikat itu, bulan lalu.

Harga sahamnya mencecah RM2.14 kira-kira jam empat petang tadi, atau lebih 2,575 peratus daripada 8 sen yang dicatatkan bulan lalu.

Harga itu kemudiannya ditutup pada RM2.13. Ia adalah rekod lonjakan 48 sen atau sehingga 29 peratus sejak semalam.

The Edge Financial Daily dalam laporannya bertarikh 8 November lalu berkata Nazifuddin dan rakan perniagaannya Raymond Chan dilantik antara pengarah Harvest Court Industries pada 28 Oktober.

Nazifuddin juga dilaporkan membeli dua hingga tiga juta saham dalam syarikat itu - sehingga 1.7 peratus pada 4 November, manakala Chan pula dikatakan mempunyai kepentingan sebanyak 13.83 peratus.

Sejak itu, harga saham melepasi RM1 dan kekal dalam senarai jumlah tertinggi untuk beberapa hari.

Nazifuddin, 28, anak kedua Datuk Seri Najib Razak dengan isteri pertama Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar. Pasangan itu berpisah pada 1987 dan Najib kemudiannya mengahwini Rosmah Mansor.

Chan, ahli perniagaan yang aktif di Sabah, memiliki saham yang kukuh dalam Sagajuta (Sabah) Sdn Bhd, yang membangunkan 1Borneo Mall di Kota Kinabalu. Nazifuddin merupakan pengerusi Sagajuta. (Malaysiakini)