Tuesday, 10 January 2012

Pendapatan Kerajaan Tidak Mampu Bayar Pinjaman.

Hutang negara dan GDP sama menjelang 2019 jika Putrajaya terus boros, kata pakar ekonomi

KUALA LUMPUR, 10 Jan — Hutang Malaysia akan mencecah 100 peratus Keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2019 sekiranya Putrajaya berterusan meminjam lebih daripada hasil pendapatan, kata pakar ekonomi.

Bekas pengarah ekskutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Mohamad Ariff Abdul Kareem mengingatkan bahawa kadar perolehan pendapatan kerajaan pusat terlalu perlahan dan tidak mampu membayar pinjaman yang meningkat 53.1 peratus KDNK pada 2010.

Beliau berkata jumlah hutang ditanggung kerajaan tidak terlalu besar namun kadar pertumbuhan dalam beberapa tahun kebelakangan ini menimbulkan kebimbangan.

Nisbah hutang-KDNK meningkat dari 41.1 peratus pada 2008 kepada 53.1 peratus pada 2010 manakala hutang kerajaan bertambah 14.6 peratus pada 2008 dan 18.3 peratus pada 2010, jauh mengatasi pertumbuhan KDNK negara, tambah Mohamad Ariff.

“Jika tiada perancangan untuk mengubah trend ini dalam perbelanjaan dan hasil negara, hutang negara akan mencecah 100 peratus KDNK menjelang 2019.

“Sekiranya pertumbuhan hutang semakin laju, ini boleh berlaku tidak lama lagi,” katanya melalui emel kepada The Malaysian Insider.

Mohamad Ariff menjelaskan ketika kerajaan mengambil langkah rangsangan fiskal untuk menghadapi krises ekonomi dunia yang mana ia digunakan untuk pembangunan infrastruktur terdapat keperluan untuk mengurangkan perkhidmatan awam, yang menjadi asas pengurusan perbelanjaan Putrajaya.

Katanya perkhidmatan awam Malaysia - terbesar setiap kapita di Asia Pasifik mengikut OECD - meningkat dari 23.3 peratus pada 2007 operasi bajet kepada 33.1 peratus pada 2010, meningkat kepada 41.6 peratus pada 2010 jika bayaran pencen dimasukkan.

Ini adalah beban kewangan utama kerajaan iaitu daripada kos berlebihan, pembaziran dan rasuah yang didedahkan setiap tahun oleh Ketua Audit Negara, kata seorang profesor dari Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF).

“Ia satu keperluan untuk kerajaan mengawal perbelanjaan yang mana ia termasuk mengurangkan perkhidmatan awam, membawa kerajaan untuk meningkatkan ketelusan dan tanggungjawab serta melaksanakan reformasi kutipan cukai untuk mendapat pendapatan,” kata Mohamad Ariff.

Ketua Pakar Ekonomi RAM Holdings Bhd Dr Yeah Kim Leng berkata Putrajaya perlu mempunyai “kemahuan politik” untuk melaksanakan Program Transformasi Kerajaan (GTP), yang bertujuan untuk menhentikan kenaikan defisit.

“Kita mesti melakukannya secara konsisten kerana (defisit fiskal) merupakan kelemahan utama ekonomi Malaysia,” katanya.

Yeah berkata Malaysia akan berada dalam kedudukan terbaik untuk mengurangkan defisit fiskal untuk jangka masa panjang jika Putrajaya kekal melaksanakan rancangan itu tetapi mengingatkan ia berdasarkan pertumbuhan tahunan KDNK antara lima hingga enam peratus.

Ini kerana mana-mana kelembapan ekonomi yang berlaku akan mendorong berlakunya potongan gaji dan kadar pengangguran lebih tinggi, yang akan memberikan impak negatif kepada hasil cukai, katanya.

“Terdapat satu hubungan antara pertumbuhan dan hasil kerajaan,” katanya menambah pengurangan setiap satu peratus dalam pertumbuhan KDNK, kutipan cukai akan menurun 0.8 petaus.

“Semasa perlahan kita boleh jangkakan defisit kewangan kerajaan sebenarnya besar.”

Beliau menambah bahawa kerajaan tidak mempunyai masa untuk mengukuhkan kedudukan fiskal sebagai pendapatan daripada sektor minyak dan gas, yang membantu meningkatkan jumlah pendapatan kerajaan kira-kira 40 peratus, namun dijangka akan menurun dalam tempoh lima hingga 10 tahun kerana hasil minyak Malaysia berkurangan. (The Malaysian Insider)

Sunday, 8 January 2012

Kad Kredit: Israel Ancam Balas Tindakan Hacker Saudi

Timbalan Menteri Luar Negeri Israel Danny Ayalon berjanji akan membalas terhadap penyiaran online dari ribuan perincian kad kredit warga Israel oleh seorang hacker Arab Saudi.

"Israel memiliki kemampuan aktif untuk menyerang mereka yang berusaha untuk merosak, dan tidak ada agen atau hacker yang akan kebal dari tindakan pembalasan kami," katanya pada hari Sabtu lalu (7/1).

Sebelumnya dilaporkan, seorang hacker berusia 19 tahun Saudi mendedahkan perincian sekitar 6.000 akaun aktif warga Israel Khamis malam lalu .

Hacker, mengidentifikasi dirinya sebagai 0xOmar, mendakwa telah menerbitkan perincian dari 400.000 kad kredit warga Israel.

0xOmar menyalahkan "lobi Zionis" atas tindakan bengis mereka di Palestin sehingga dia membocorkan perincian kad kredit, dalam sambutannya yang dipublikasikan di Internet.

"Saya sudah meng-hack lebih dari yang dapat anda bayangkan," tulis hacker itu, mendakwa bahawa dia mengumpulkan hampir satu juta nombor kad kredit warga Israel dan akan segera mendedahkan semuanya.(IH/sumber)

Berita Bergambar: Perkebunan Teh Nairobi, Kenya

Klik gambar di bawab ini...

Kenya merupakan salah satu negara pengekspor terbesar teh hitam. Namun pada bulan Januari ini, produksi teh di Kenya menurun akibat suhu udara yang dingin di beberapa wilayah. Sekitar 20 juta kilogram daun teh rusak dan layu. (Foto: REUTERS/Thomas Mukoya)

Saturday, 7 January 2012

Pelajar Jurutera Indonesia Buat Kereta Sendiri


SEORANG pelajar jurutera menunjukkan enjin kereta Kiat Esemka di Solo, Jawa Tengah semalam.

SOLO - Kereta prototaip buatan pelajar-pelajar kejuruteraan Indonesia telah mendapat sambutan menggalakkan daripada beberapa pegawai kanan pentadbiran negara ini yang mahu membelinya.

"Sepuluh buah kereta Kiat Esemka dihasilkan di bengkel Kiat Motor di bandar ini," kata pemilik bengkel tersebut, Sukiyat.

Model pertama dikeluarkan pada 2009 tetapi laporan media menyatakan Datuk Bandar Solo, Joko Widodo telah membeli sebuah kereta tersebut untuk kegunaan pejabat.

Beberapa pegawai lagi mula menunjukkan minat untuk membeli kereta tersebut yang dibina untuk lapan tempat duduk dan empat tempat duduk.

Kereta tersebut mendapat pujian Presiden Susilo bambang Yudhoyono.

Menurut Sukiyat: "Buat masa ini, ia mengambil masa dua hingga tiga bulan untuk menghasilkan sebuah kereta."

Sebanyak 80 peratus komponen kereta itu dibuat di Indonesia dan kos pengeluaran pada skala kecil ialah di antara AS$8,200 (RM25,797) hingga AS$10,400 (RM32,718).

Kereta itu dikeluarkan sebagai satu latihan untuk pelajar sekolah tinggi vokasional dan bengkel itu belum bersedia untuk membuat pengeluaran pada skala besar-besaran. - AFP

DC Avanti supercar pertama India

BENTUK kereta DC Avanti yang dipamerkan pada Ekspo Motor Delhi di New Delhi kelmarin.

NEW DELHI - Firma reka bentuk, DC Design memperkenalkan jentera supercar pertama India yang diberi nama DC Avanti.

Jentera tersebut dilancarkan oleh pelakon terkenal Bollywood, Amitabh Bachchan pada Ekspo Motor Delhi 2012 kelmarin. Kereta itu dikuasakan oleh unit enjin bersesaran 2.0 liter empat silinder yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 240 kuasa kuda.

Menurut laman kenderaan RushLane di Internet semalam, enjin daripada Ford Ecoboost yang ditala khas untuk menjana lebih kuasa tersebut dipadankan dengan kotak gear manual enam kelajuan. Dipasang dengan rim aloi bersaiz 19 inci, kelajuan maksimum yang dihadkan secara mampu dicapai oleh DC Avanti ialah 250 kilometer sejam (km/j).

Jentera itu akan mula dijual pada tahun 2013 di semua pengedar DC di seluruh India. Bakal diproduksi pada tahun 2013, ia merupakan ciptaan pereka Dilip Chhabria. Kereta itu dijual pada harga kira-kira AS$70,000 (RM220,219).

"Kami sangat teruja untuk memperkenalkan DC Avanti pada hari ini. DC Avanti bukan sekadar menjadi manifestasi kepada minat yang mendalam terhadap kereta sport.

"Malah ia membuktikan kemampuan kami yang kini sudah bergerak daripada penggayaan kepada penghasilan prototaip penuh," katanya.

DC dilihat mengikut langkah banyak firma reka bentuk Itali misalnya Bertone, Ghia, Pininfarina dan Stola yang turut menghasilkan kereta edisi terhad masing-masing untuk dijual kepada pasaran umum. Tempahan berdasarkan kepada siapa cepat dia dapat akan dibuka sebaik sahaja ekspo itu berakhir. Penghantarannya dijadual bermula suku terakhir 2013. - Agensi

Friday, 6 January 2012

Polis Singapura siasat pengeluaran tidak sah akaun POSB/DBS

SINGAPURA 06/01/2012 2:56am: Polis Singapura sedang menyiasat beberapa kes pengeluaran secara tidak sah dari akaun bank DBS dan POSB yang dikatakan dibuat di Malaysia.

Televisyen tempatan Channel NewsAsia melaporkan beberapa orang pelanggan Bank DBS dan POSB memberitahu DBS pada Rabu bahawa pengeluaran itu dibuat di Malaysia menerusi ATM DBS/POSB dan kad debit.

Sehingga 8 malam tadi, kira-kira 200 pelanggan telah memberitahu bank itu mengenai pengeluaran secara tidak sah.

Purata setiap amaun dikeluarkan kira-kira S$1,000.

Media tempatan berkata pengarah urusan Bank DBS dan ketua bagi kumpulan banking pengguna (Singapura), Jeremy Soo, memberitahu MediaCorp bahawa pihak bank telah ”de-activate” kad berkenaan serta merta dan akan menampung ganti rugi pelanggan sepenuhnya.

DBS berkata sesiapa yang mendapati kad ATM dan kad debit mereka diganggu hendaklah menghubungi pihak bank dengan segera di 1800-220-1111 atau di mana-mana cawangan DBS/POSB.

Ia memberi jaminan kepada pelanggan bahawa mereka akan dibayar ganti rugi sepenuhnya bagi sebarang pengeluaran tidak sah dalam tempoh 24 jam. — BERNAMA

Saturday, 31 December 2011

Rest & Go, Hotel Bajet Tiada Bilik Air, Konsep Baru?


KEMUDAHAN...hotel murah untuk pengunjung TBS-BTS.
KEMUDAHAN...hotel murah untuk pengunjung TBS-BTS.
SELESA...bilik yang disediakan sesuai bagi konsep hotel bajet di SPRG.
SELESA...bilik yang disediakan sesuai bagi konsep hotel bajet di SPRG.

KUALA LUMPUR: Pernahkah anda terfikir untuk menginap di tempat yang tidak menyediakan kemudahan bilik air? Mungkin konsep hotel atau motel jenis ini begitu asing bagi kita.

Namun, itulah kemudahan baru yang disediakan di Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS), di sini khusus untuk orang ramai tidur atau merehatkan tubuh buat seketika sebelum menaiki bas bagi perjalanan jauh.

Motel bajet yang ringkas itu disediakan oleh Southest Poineer Rest & Go (SPRG) dengan menyediakan 13 bilik dan beroperasi di dalam bangunan kompleks TBS-BTS yang serba canggih itu.

Pengurusnya, Noorizan Abd Shukor berkata, idea menyediakan motel itu diinspirasikan daripada hotel bajet yang mudah dan ringkas di luar negara.

“Seperti Jepun, permintaan terhadap percutian ringkas yang menjimatkan semakin menjadi pilihan sehingga membawa kepada kewujudan hotel bajet.

“Malah, di negara kita juga, hotel bajet berkembang begitu pantas dengan perkhidmatan hampir sama dengan hotel lain.

“Bagi memberi kelainan, kami memikirkan satu konsep yang dapat memudahkan orang ramai dan dalam masa sama menjimatkan,” katanya.

Idea itu dilihat selaras dengan pembukaan TBS-BTS sebagai terminal bas baru yang moden dan menjadi tumpuan orang ramai bermula 1 Januari lalu.

Walaupun berkonsepkan ‘rest & go’ dan tidak menyediakan bilik air seperti hotel bajet lain, bagi Noorizan ia bukan masalah utama sebaliknya menganggap konsep itu lebih relevan terutama di kawasan hub transit moden seperti di TBS-BTS.

Orang ramai boleh menggunakan kemudahan tandas awam di dalam terminal dan terletak tidak jauh dari motel berkenaan.

Dalam masa sama, kebersihan SPRG juga dijaga dengan baik. Ini kerana dengan tiadanya tandas, maka tiada kerja menguruskan tempat basah di dalam motel lebih-lebih lagi dengan keadaan motel yang tertutup dan berada di dalam terminal.

“Saya melihat keperluan orang ramai yang tiba di sini sekitar tengah malam dan awal pagi, mereka tiada tempat berehat sementara menunggu waktu siang dan pengangkutan awam lain seperti sistem transit aliran ringan (LRT) atau komuter mula beroperasi.

“Oleh itu, mereka boleh datang menginap di sini untuk berehat dengan selesa sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya,” katanya.

Walaupun tidak seperti hotel bajet lain, SPRG masih lagi mengutamakan pelanggan dengan menyediakan perkhidmatan setanding hotel terkemuka.

Dengan menggunakan tilam, katil, cadar yang berkualiti serta disusun mengikut dekorasi menarik, pemiliknya dilihat cuba memberi kepuasan pelanggan yang maksimum dengan kadar bayaran minimum.

Bayaran RM70 sehari atau RM15 sejam, motel yang beroperasi 24 jam ini mempunyai 13 bilik, terdiri daripada ‘standard room’ (memuatkan maksimum dua orang dewasa) dan ‘family room’ (dua dewasa dan dua kanak-kanak atau tiga orang dewasa).

Selain itu, motel ini turut menyediakan kemudahan kafe untuk melayari Internet, simpanan bagasi serta khidmat refleksologi. (myMetro)