Thursday, 30 May 2013

Kreatif: Makan Pucuk Ubi Dengan Roti..





PERALATAN moden digunakan bagi mempercepatkan proses memasak rendang pucuk ubi yang memakan masa selama enam jam.


JOM KREATIF

SEBUT sahaja ubi kayu, pasti mereka yang pernah hidup pada zaman penjajahan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1940-an amat menghargai nostalgia makanan popular tersebut.

Disebabkan kesempitan hidup pada era tersebut, ubi kayu menjadi makanan utama sebagai pengganti nasi. Biarpun ada yang menganggap ubi kayu makanan golongan miskin, ia memiliki khasiat yang banyak.

Ubi kayu atau nama botaninya Manihot Esculenta Crantz ialah tumbuhan tropika dan subtropika daripada keluarga Euphorbiaceae yang terkenal sebagai sumber utama karbohidrat manakala daunnya boleh dijadikan sayur.

Ubi kayu berasal dari bahagian tropika Amerika Selatan tetapi kini taburannya hampir di semua kawasan tropika seluruh dunia. Populariti ubi kayu telah mendorong sebuah syarikat bumiputera, Innova Food Industries mengkomersialkan makanan tradisional Negeri Sembilan iaitu rendang pucuk ubi bagi memenuhi permintaan penggemar makanan kampung itu.

Walaupun berlainan dari segi pembungkusan, jenama Rendang Pucuk Ubi Mak Long Timah tetap mengekalkan rasa rendang tradisi yang menyelerakan. Ia didatangkan dalam dua perisa iaitu udang dan ikan bilis.

Malah masakan rendang yang popular di Malaysia dan Indonesia ini juga telah diiktiraf oleh sisipan pelancongan CNN Go pada tahun 2011 sebagai 50 masakan terlazat di dunia. Ia sering dihidangkan ketika perayaan dan sambutan acara tertentu. 

Bercerita lanjut, Pengurus Operasi Innova Food, Mohd. Fadzil Mohd. Isa memberitahu, idea kreatif resipi rendang pucuk ubi keluaran syarikatnya itu merupakan resipi turun-temurun daripada ibunya.

"Pada mulanya kami hanya memasak rendang pucuk ubi ini untuk dimakan sendiri selain memasarkannya secara kecil-kecilan di restoran kepunyaan ibu yang terletak di pekan Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan.

"Ketika itu kami hanya meletakkan rendang pucuk ubi di dalam bekas plastik sebelum mendapat idea untuk mengkomersialkannya kira-kira setahun yang lalu.

"Untuk tujuan itu, kami tampilkan rendang pucuk ubi di dalam bungkusan yang menarik dan senang dibawa ke mana sahaja termasuklah ke luar negara. Produk ini sedia dimakan begitu sahaja," ujarnya ketika ditemui kru Jurnal di kilang memasaknya di Kampung Tembun, Jelebu.

Tambah Mohd. Fadzil, keunikan produk keluaran syarikatnya itu terletak pada pengekalan kualiti masakan rendang itu sendiri selain tahan lama. Rendang pucuk ubi itu terdapat dalam perasa pedas, sederhana pedas dan asli.

"Setakat ini, belum ada syarikat lain yang mengeluarkan produk makanan tradisional seperti ini. Untuk itu, kami mengambil inisiatif mengkomersialkan produk ini yang sememangnya sudah mempunyai penggemar.

"Dengan harga RM8 bagi 100 gram, rendang pucuk ubi ini sesuai dimakan bersama nasi, lemang, ketupat, roti dan kuih-muih. Ia juga boleh dipanaskan semula untuk mendapatkan rasa yang lebih enak.

"Proses memasak rendang pucuk ubi ini mengambil masa selama enam jam bermula dengan proses penyediaan bahan mentah, memasak, menimbang dan membungkus. Pada kebiasaannya, kami akan memasak pada hari Selasa, Rabu dan Khamis.

"Setelah siap dimasak, ia disejukkan terlebih dulu sebelum dibungkus," jelasnya yang mengusahakan produk itu bersama adik-beradiknya yang lain.

Menurut Mohd. Fadzil, setiap sukatan perlu tepat bagi mengekalkan rasa asli rendang pucuk ubi resipi ibunya yang sememangnya sudah terkenal di sekitar Jelebu.

"Apabila sebut sahaja rendang pucuk ubi Mak Long Timah, pasti ramai yang mengetahuinya. Kami menggunakan daun pucuk ubi pulut kerana rasanya yang lebih sedap berbanding daun pucuk ubi batang merah yang biasanya dijadikan ulam itu.

RENDANG pucuk ubi Mak Long Timah mula dikomersialkan pada tahun lepas.

Makanan sejuk beku

"Kami tidak menggunakan bahan pengawet dalam penyediaan produk ini, jadi kami kena pastikan rendang pucuk ubi ini benar-benar kering supaya ia tahan lama.

RENDANG pucuk ubi Mak Long Timah dijual pada harga RM8 untuk 100 gram.

"Jika dahulu kami menggunakan kaedah manual dengan memasaknya menggunakan kuali dan mengacaunya seperti dodol tetapi seiring dengan perkembangan teknologi, kini kami menggunakan peralatan moden bagi membantu mempercepatkan proses memasak.

"Dalam seminggu, kami berjaya memproses sebanyak 100 kilogram (kg) daun pucuk ubi bagi menampung tempahan sebanyak 5,000 peket sebulan," ujarnya sambil memberitahu, proses memetik daun pucuk ubi sahaja mengambil masa satu hingga dua jam kerana dilakukan secara manual.

Jelasnya, bagi memastikan bekalan bahan mentah sentiasa mencukupi, mereka mengambil inisiatif dengan menanam sendiri kira-kira 5,000 pokok ubi kayu di tanah seluas 0.4 hektar di belakang rumah. (IH/Kosmo)

Wednesday, 29 May 2013

Ciputra: Edukasi wirausaha online buat TKW jadi pengusaha sukses

Ciputra: Edukasi wirausaha online buat TKW jadi pengusaha sukses
TKW Jeddah. ©2012 Merdeka.com

Pengusaha sukses di bidang properti, Ciputra, berkomitmen untuk membangun Indonesia menjadi negara entrepreneur. Upaya tersebut dilakukan melalui jalur pendidikan. 
 
"Harus kita kembangkan entrepreneurship di Indonesia. Bagaimana menjadikan negara ini negara entrepreneur. Oleh karena itu kita terus selama lima tahun membagi dan ingin membantu Indonesia menjadi negara entrepreneur," ungkap Ciputra di Hotel Ciputra, Jakarta, kemarin.

Setelah sukses mendirikan empat universitas dengan lebih dari 20.000 mahasiswa, dan melatih lebih kurang 4.000 tenaga guru dan dosen untuk menjadi entrepreneur, Ciputra melanjutkan komitmennya mengedukasi masyarakat Indonesia menjadi entrepreneur tangguh melalui jalur edukasi secara online.

"Kami akan bikin entrepreneurship education online. Oleh Universitas Ciputra, entrepreneur centre online, secara gratis, kami akan launching 24 Agustus (2013) mendatang, gratis semua orang bisa ikut dan saya sudah coba di TKW Hong Kong," ungkap Ciputra.

Ujicoba sekolah entrepreneur online tersebut berhasil menjangkau 1.000 tenaga kerja migran (TKW) di Hong Kong. "Kita ajarkan lebih dari 1.000 orang TKW kita latih entrepreneur dan ternyata berhasil. Waktu kita coba dahulu, siapa yang paling berhasil? Bukan S-1, bukan tamat SMS, (tapi) tamatan Sekolah Dasar TKW yang berhasil entrepreneur di Hong Kong. Jadi entrepreneur adalah ilmu kehidupan," tutur Ciputra.
Ciputra optimis bisa membangkitkan jiwa entrepreneur masyarakat Indonesia dan menjadikan Indonesia sebagai negara entrepreneur, melalui berbagai upaya yang dikembangkannya.

"Kalau bisa menjadi entrepreneur, bisa membuka tambak, bisa membuka pertanian, bisa buka online di bidang fashion. Kita yakin Indonesia akan berhasil, apalagi kalau ditambahkan dengan pembelajaran entrepreneur, kita akan mulai, kita dorong," tegas Ciputra. (IH/M)

Thursday, 23 May 2013

Syarikat makanan di Balkan tingkatkan pengeluaran produk halal

SEORANG pekerja Bosnia mengatur sosej halal untuk dibungkus di sebuah kilang makanan dekat Sarajevo pada 16 Mei lalu.- AfP

SARAJEVO - Dalam usaha menangani krisis ekonomi di Balkan, para pengilang makanan di rantau ini kini memberi tumpuan untuk mengeluarkan makanan halal bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat di negara-negara Barat dan Islam.

Pada satu pameran makanan halal yang pertama di Balkan yang berlangsung di ibu kota Bosnia di sini, sekitar 30 pengeluar makanan di rantau berkenaan berkumpul untuk memperkenalkan produk mereka termasuk, keju, manisan, minyak masak dan barangan kosmetik.

"Pasaran halal mewakili lebih satu bilion orang di seluruh dunia. Ia merupakan pasaran baharu tetapi memiliki kuasa beli yang penting," kata seorang penganjur festival makanan halal tersebut, Amel Kovacevic.

Menurutnya, permintaan produk halal pula meningkat antara 10 hingga 20 peratus pada setiap tahun.
Selain kos buruh yang rendah, katanya, rantau Balkan juga merupakan lokasi strategik untuk pengeluar makanan halal kerana ia terletak di kawasan Mediterranean sekali gus hampir dengan pasaran Asia Barat dan Eropah.

Kilang Brajlovic yang terletak dekat Sarajevo merupakan antara 150 pengeluar makanan di Balkan yang memperoleh sijil halal untuk mengeluarkan 2,000 produk makanan.

Sejumlah syarikat makanan di rantau Balkan seperti di Croatia, Serbia, Montenegro Macedonia turut berusaha mendapatkan sijil halal walaupun negara-negara tersebut mempunyai bilangan penduduk Islam yang kecil.

Jumlah produk halal yang dikeluarkan dari Balkan meningkat sehingga 40 peratus dengan jualan tahunan kini dianggarkan sekitar 550 juta euro (RM2 bilion). - AFP

Tuesday, 21 May 2013

Pemuda 26 Tahun Jadi Bilionair

GAMBAR fail menunjukkan Karp (kanan) bersama Presiden Media Kabel Warner, Joan Gilman.- AP

NEW YORK - Seorang pemuda berusia 26 tahun, David Karp bakal menjadi bilionair apabila syarikat Yahoo! bersetuju untuk membeli laman rangkaian sosial ciptaannya, Tumblr pada harga AS$1.1 bilion (RM3.31 bilion).

Karp yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Tumblr dijangka mengekalkan sebahagian besar kawalannya ke atas syarikatnya itu selepas penjualan tersebut berlaku. Pemuda yang berasal dari New York itu sebelum ini merupakan pelajar sekolah tinggi yang tercicir. Karp mula mempelajari kod komputer semasa dia berumur 11 tahun.

Dia mencipta laman tersebut di sebuah unit apartmen kecil milik ibunya pada tahun 2007. Sebelum ini, laman tersebut dianggarkan bernilai AS$800 juta (RM2.4 bilion). Karp tinggal di sebuah apartmen yang sederhana bersama kekasihnya, Rachel Eakley yang merupakan seorang lulusan universiti dan chef. Dia kemudian berpindah ke sebuah apartmen mewah bernilai AS$1.6 juta (RM4.82 juta) di Williamsburg, Brooklyn. 

Syarikat Yahoo! turut mendedahkan tentang urus niaga itu menerusi ketuanya, Marrisa Mayer semalam. Pada minggu lalu, kedua-dua buah syarikat itu mengesahkan spekulasi berhubung wujudnya perikatan melibatkan kedua-dua syarikat berkenaan. Bagaimanapun, Tumblr dibenarkan untuk beroperasi sebagai sebuah syarikat yang bebas selepas penjualan tersebut.

"Tumblr merupakan rangkaian media yang berkembang dengan pesat di dunia.
"Ia memberikan sesuatu yang bermakna kepada para pengguna Yahoo!," kata Mayer. - Agensi

Sunday, 12 May 2013

Nilai saham hartanah naik


Nilai saham hartanah naik
Ilustrasi menunjukkan projek Mah Sing iaitu Bandar Southbay di Batu Maung, Pulau Pinang yang dijangka siap dalam tempoh lima tahun lagi.
 
Saham mewah hartanah dan pembinaan seperti Sunway Bhd, UOA Development Bhd, Mahsing Group Bhd, Glomac Bhd, Gamuda Bhd, IJM Corp Bhd, WCT Bhd dan Kimlun Corp Bhd dijangka mengetuai aliran harga meningkat Bursa Malaysia pasca Pilihan Raya Umum (PRU), menurut penganalisis.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidik Runcit Affin Investment Bank Dr Nazri Khan berkata, berdasarkan sentimen positif pasca pilihan raya serta peningkatan hartanah dan pembinaan, sektor ini berada pada kedudukan yang baik bagi meneruskan dasar Program Transformasi ekonomi sebelum ini.

“Petunjuk asas tempatan, FBMKLCI, dijangka mencecah paras 1,800 (diketuai sektor hartanah dan pembinaan) apabila tumpuan beralih kepada penyambungan dasar-dasar pertumbuhan proekonomi susulan kemenangan kerajaan sedia ada pada 5 Mei,” katanya.

Nazri berkata, saham sektor pembinaan dan hartanah tempatan mencatatkan prestasi pasaran paling kukuh pasca pilihan raya.

“Ini kebiasaannya merupakan petunjuk baik untuk pasaran saham. Kami yakin saham hartanah dan pembinaan sekurang-kurangnya mempunyai dua faktor positif untuk mengekalkan aliran meningkat pasaran secara menyeluruh iaitu peningkatan carta peringkat awal dan harga asas yang rendah secara relatifnya bagi yang lain dalam pasaran,” katanya.

Nazri berkata, peningkatan hartanah yang sensitif kepada prestasi ekonomi selain saham pembinaan merupakan elemen penting dalam pasaran saham yang sihat. - Bernama

Sunday, 7 April 2013

Bisnes gaharu Suku Batek



RATA-RATA anak muda yang sebaya Faizal akan memasuki hutan mencari gaharu.



AGAK pelik apabila sebuah kampung yang dilawati sunyi seperti tidak berpenghuni sehingga terbayang cerita dongeng sebuah kampung yang diserang burung garuda.
Begitulah gambaran awal yang dialami kru Jurnal apabila berkunjung ke perkampungan Orang Asli Kampung Balai, dekat Felda Aring 10, Gua Musang, Kelantan baru-baru ini.
Perkampungan ini berusia lebih 50 tahun. Sungguhpun sudah separuh abad, hanya kelihatan enam orang lelaki suku kaum Batek berteduh di bawah bangsal beratap nipah sambil menghisap rokok daun.
Rumah mereka hanya bersaiz kecil serta tidak menggunakan simen manakala dinding hanya dilatari buluh dan atapnya pula daun nipah.
Salah seorang lelaki itu, Faizal Yusup, 20, berkata, mereka sedang menunggu rakan-rakan dari kampung berhampiran untuk masuk ke Taman Negara Kuala Koh, Gua Musang.
“Kami semua akan masuk ke hutan selama sebulan atau dua bulan untuk mencari kayu gaharu.
“Ahli keluarga, termasuklah kaum ibu dan anak-anak kecil akan turut serta ke hutan,” ujarnya.
Kebiasaan sekitar 200 orang akan menjelajahi hutan untuk mencari gaharu untuk dijual kepada orang tengah.
Harga sekilogram gaharu boleh mencecah RM15,000 bagi gred A.
“Untuk gred B, RM10,000 dan gred C pula RM8,000 untuk satu kilogram.
“Setiap satu pokok gaharu yang dijumpai boleh mencecah sehingga satu tan.
“Setelah dijual setiap orang akan memperolehi pendapatan mencecah RM5,000,” terang Faizal.
Purata wang sebanyak itu menyerupai gaji seorang eksekutif swasta.
Setiap tahun, mereka akan masuk hutan sebanyak lima atau enam kali.
Menurut Faizal, sudah menjadi rutin penduduk kampung itu untuk memasuki hutan setelah satu atau dua bulan tinggal di rumah.

BESAR impian Zainal untuk melihat anaknya menjadi seorang doktor.


Minyak wangi
“Saya hanya bersekolah sehingga darjah enam dan sekarang saya turut masuk ke hutan untuk mencari kayu gaharu,” cerita Faizal.
Jelas Faizal, apabila ke hutan, mereka akan membawa bekalan makanan yang mencukupi untuk tempoh dua bulan atau sebulan.
“Kita akan membawa beras dan lauk kering seperti ikan masin untuk dijadikan juadah.
“Tempat tinggal sementara kami pula ialah khemah atau bangsal sementara ,” jelasnya.
Jelas Faizal, aktiviti yang dilakukan semasa di hutan adalah sama seperti di kampung, kaum wanita akan memasak serta menjaga anak-anak manakala kaum lelaki akan pergi mencari gaharu
“Bukan mudah mencari gaharu kerana tidak semua pokok yang dijumpai boleh diambil batangnya dan dijual kerana hanya gaharu yang matang dan berkualiti sahaja akan dipilih.
“Batang pokok gaharu akan ditakik untuk melihat kualitinya,” ujar Faizal.
Katanya, peralatan yang digunakan semasa menakik batang pokok tersebut ialah kapak atau parang.
“Kayu gaharu ini tinggi nilainya kerana berbau sangat wangi dan digunakan sebagai bahan utama menghasilkan minyak wangi.
“Selain itu, tumbuhan ini juga didakwa mampu mengubat penyakit,” jelas Faizal.
Sementara itu, menurut Zainal Tebu, 45, mencari kayu gaharu menjadi punca pendapatan utama penduduk kampungnya.
“Jika kami tinggal di rumah, bagaimana kami dapat menyara keluarga kami kerana itulah satu-satunya punca pendapatan utama,” keluhnya ketika ditemu bual.
Ketika ditanya tentang impiannya, Zainal yang merupakan bapa kepada empat orang anak mahu melihat anak-anaknya berjaya dan mengubah nasib keluarga.
“Saya mahu anak sulung saya belajar ke peringkat tertinggi dan menjadi doktor,” ujarnya penuh dengan harapan.
Menurutnya, anak sulungnya yang baru berusia lima tahun itu berminat untuk menjadi seorang doktor.
“Biar mereka keluar dari kepompong ini,” katanya. berfalsafah. (Kosmo)

Wednesday, 3 April 2013

Bubar Parlimen, Saham Merudum -Nik Aziz

KOTA BHARU: Kelantan negeri mahu Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU13) bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) diadakan serentak dengan Parlimen Malaysia, walaupun ianya boleh ditangguhkan dua minggu lagi.

Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, bagaimanapun tarikh pembubaran Dun hanya akan diumumkan sebaik sahaja ianya diperkenankan oleh Sultan Kelantan.

Katanya, tarikh untuk mendapatkan perkenan Sultan Kelantan bagi pembubaran Dun pula akan diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Lajnah Politik dan Pilihanraya negeri jam 2.30 petang ini.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat exco di Kota Darulnaim di sini tengahari ini.

Ianya susulan pengumuman pembubaran parlimen oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yam 11.30 pagi tadi bagi memberi laluan kepada PRU13 berlangsung.


Saham merudum

Mengulas pengumuman pembubaran parlimen pagi tadi beliau berkata, beliau terkejut apabila dimaklumkan pasaran saham Malaysia tidak stabil malah jatuh hingga 29 mata sejurus pengumuman oleh Najib itu.

Biarpun mungkin ianya situasi biasa, namun ianya juga membuktikan pelabur tidak yakin kepada sistem negara ini.

“Ianya memang begitu, kita tidak boleh berdolak dalih lagi.

“Marilah kita sama-sama berdoa semoga ekonomi Negara kita kukuh walaupun situasi itu berlaku khususnya setelah pembentukkan kerajaan baru,” ujarnya. (Hrkh)