Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan diesel dan minyak petrol RON95 naik 20sen seliter mulai tengah malam ini. Najib mengumumkan perkara itu dalam sidang media di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya sebentar tadi.

Menurutnya, ini salah satu langkah rasionalisasi subsidi oleh kerajaan, Sehubungan itu, RON95 akan berharga RM2.10 seliter manakala diesel pula RM2.00 seliter. Ini kenaikan pertama sejak kenaikkan sama pada Disember 2010.
Sementara itu,
Bernama melaporkan
pada masa ini kerajaan menanggung subsidi sebanyak 83 sen seliter bagi
RON95dan RM1 seliter bagi diesel, kata Najib yang juga menteri kewangan.
Jumlah bahan api yang diperuntukkan oleh kerajaan bagi tahun ini ialah RM24.8 bilion. Pengurangan
subsidi sebanyak 20 sen ini bermakna kerajaan masih memberi subsidi
sebanyak 63 sen seliter bagi RON95 dan 80 sen seliter untuk diesel.

Bagi
mengurangkan bebanan golongan berpendapatan rendah dan mudah terjejas
berikutan rasionalisasi subsidi bahan api, kerajaan akan meningkatkan
pemberian BR1M dalam Bajet 2014 yang jumlahnya akan diumumkan dalam
ucapan bajet.
Najib terdahulu mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa dasar fiskal yang berlangsung setiap enam bulan sekali.
Jimat RM1.1 bilion tahun ini
Perdana
Menteri berkata melalui dasar rasionalisasi subsidi bahan api ini yang
akan bermula esok, kerajaan akan menjimatkan sejumlah RM1.1 bilion pada
tahun ini.
"Bagi tahun sepenuhnya, kita menjangka kira-kira
RM3.3 bilion, tetapi tahun ini kerana kita akan bermula esok pagi,
jumlah itu kira-kira RM1.1 bilion, kata beliau.
Beliau yang juga
Menteri Kewangan berkata untuk menangani lebihan akaun semasa yang
berkurangan, pelaksanaan projek-projek sektor awam akan dipertimbangkan
dengan teliti.

"Projek-projek
yang mempunyai kandungan import yang rendah akan diberi keutamaan dan
kesan pengganda yang tinggi akan diberi keutamaan bagi memastikan
pertumbuhan ekonomi tidak terjejas.
"Manakala, pelaksanaan
projek yang mempunyai kandungan import yang tinggi akan disusun mengikut
jadual yang sewajarnya supaya tidak mendatangkan kesan negatif kepada
imbangan pembayaran," kata beliau.
Bagaimanapun, jelas Najib
projek Mass Rapid Transit Jajaran 1, 2 dan 3 akan diteruskan seperti
dirancang dan Projek Rel Kelajuan Tingi Koridor Selatan pula masih dalam
proses rundingan.
"Kita akan meneliti mana satu projek yang akan dijadualkan semula dan mana projek yang akan diteruskan," tambahnya.
Menurut
Perdana Menteri dalam jangka sederhana dan panjang, kerajaan akan
mengkaji kaedah untuk meningkatkan daya saing ekonomi dan mempelbagaikan
lagi pasaran eksport negara.
"Pelancongan, sumber terimaan luar yang besar akan diberi tumpuan selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2014," kata beliau.
Najib
berkata Jawantankuasa Dasar Fiskal (FPC) telah menekankan bahawa
komitmen kerajaan untuk melaksanakan konsolidasi fiskal akan diteruskan
bagi mencapai sasaran defisit fiskal dalam lingkungan 3.0 peratus kepada
keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2015 dan belanjawan berimbang
menjelang 2020.
"Melalui penilaian FPC, persekitaran luar
didapati semakin mencabar," kata beliau dan menambah bahawa lebihan
akaun semasa imbangan pembayaran yang sederhana di samping defisit
fiskal yang berterusan boleh mendatangkan risiko jangka sederhana kepada
ekonomi.
Oleh itu, langkah mengukuhkan kedudukan fiskal adalah
penting untuk mengekalkan daya tahan ekonomi dan meningkatkan lagi
keyakinan rakyat dan pelabur, kata Perdana Menteri.
"Pada masa
ini, subsidi dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, termasuklah dalam
kalangan mereka yang berpendapatan tinggi dan rakyat asing.
"Oleh
itu, kita perlu melaksanakan sistem subsidi yang lebih mensasarkan
golongan yang memerlukan dan mudah terjejas," kata beliau.
'Inflasi masih rendah'Menjawab
mengenai kemungkinan kenaikan inflasi selepas kenaikan harga bahan api
tersebut, Najib berkata inflasi pada masa ini masih rendah dan
dijangkakan kesan itu tidak akan memudaratkan rakyat.
"Mungkin peningkatannya tidak begitu tinggi," kata beliau.
Semasa
ditanya mengenai cukai barangan dan perkhidmatan, beliau berkata: "Apa
sahaja berkaitan GST akan diumumkan dalam ucapan belanjawan."
Menyentuh mengenai ringgit, beliau berkata ringgit mendapat kesan ekonomi luar dan di luar kawalan negara.
"Bank
Negara menyedari akan hal ini dan tidak memberi kita tekanan yang tidak
wajar pada masa ini tetapi kita percaya apa yang penting ialah untuk
mengukuhkan asas ekonomi," kata beliau. (MK)