KUALA LUMPUR – Akta Syarikat 2016, yang diluluskan Parlimen dalam tahun lepas, akan berkuatkuasa secara berperingkat mulai 31 Januari 2017, kata Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
SSM dalam satu kenyataan hari ini, berkata Akta Syarikat 2016 akan menggantikan Akta Syarikat 1965 dan akan memudahkan lagi tatacara menjalankan perniagaan di negara ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Jamil Haji Salleh berkata penyusunan semula rangka kerja undang-undang itu bertujuan bagi memupuk semangat keusahawanan di kalangan orang awam kerana ia mempunyai banyak dasar yang memberikan kesan yang positif ke atas sesebuah syarikat.
“Salah satu daripadanya, membabitkan pengenalan konsep untuk menubuhkan sebuah syarikat hanya dengan satu pemegang saham dan seorang pengarah bagi memudahkan perniagaan.
“Di bawah akta baharu ini, pelbagai langkah yang menyenangkan peraturan akan diperkenalkan bagi membolehkan syarikat-syarikat beroperasi dengan lebih cekap,” katanya.
Katanya, sebagai contoh, mesyuarat agung tahunan tidak lagi perlu dibuat oleh syarikat swasta, sebaliknya, resolusi boleh dibuat melalui pekeliling.
Jamil berkata, bagi menambah baik pelaksanaan Akta Syarikat itu, Peraturan-Peraturan Syarikat 2017 dan Akta Skim Kepentingan 2016 juga akan dikuatkuasakan pada tarikh yang sama.
“Akta Skim Kepentingan merupakan platform alternatif untuk syarikat mengumpulkan dana melalui skim kepentingan,” katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai Akta Syarikat 2016, Peraturan-peraturan Syarikat 2017 dan Akta Skim Kepentingan 2016, orang ramai boleh melayari laman sesawang SSM pada www.ssm.com.my. – BERNAMA
SELEPAS pendedahan Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS) berhubung skandal Bumiputera Malaysia Finance (BMF), kali ini nama Tun Dr. Mahathir Mohamad kian tercemar.
Berbeza isu BMF yang menyaksikan anak syarikat Bank Bumiputera itu ‘hilang’ AS$1 bilion dan seorang juruaudit mati dibunuh secara misteri bagi menutup kes, skandal Bank Negara Malaysia (BNM) ini pula jauh jauh teruk.
Sebenarnya ini baharu permulaan dan dijangka lebih banyak ‘najis’ dibuat Mahathir bakal dibongkar sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri dan mustahil beliau langsung tidak tahu atau cuba menyalahkan angkara pihak lain.
Malangnya ‘najis’ yang dilakukan Mahathir itu kemudian terpaksa ditanggung oleh pengganti beliau iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dipulihkan semula selepas rosak teruk.
Terbaharu bekas Penolong Gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid mendedahkan bank pusat itu mencatatkan kerugian AS$10 bilion (RM44 bilion) melalui kegiatan perdagangan mata wang sepanjang 1991 hingga 1993.
Ia jauh lebih besar daripada jumlah yang pernah dilaporkan media antarabangsa sebelum ini. Katanya Laporan Tahunan BNM pada 1994 hanya mencatatkan kerugian sebanyak RM9 bilion sahaja akibat kegiatan itu.
Walhal menurut beliau dalam satu sidang media tergempar di ibu negara semalam, angka sebenar adalah amat tinggi tetapi sengaja dibiarkan oleh Mahathir konon kerugian mega itu sebagai tidak menjejaskan ekonomi negara.
Menurut Abdul Murad, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di Parlimen pernah meminta BNM memberi penjelasan tentang kerugian yang dikatakan terbesar pernah dicatatkan dalam sejarah perbankan antarabangsa itu.
“Apa yang pelik, tiada siasatan lanjut pernah dijalankan walaupun kerugian BNM mencecah AS$10 bilion. Pihak berkuasa hanya mempersoalkan perkara ini namun ia terhenti di situ begitu sahaja,” jelas beliau lagi kehairanan.
Isu kerugian yang dialami oleh BNM akibat kegiatan perdagangan mata wang secara spekulatif itu menggemparkan negara pada 1994 namun tiada tindakan lanjut diambil terhadap pihak yang terlibat secara langsung atau dalangnya.
Pada masa itu, pelbagai pihak termasuk bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin mempersoalkan mengapa BNM dilibatkan dalam kegiatan spekulasi mata wang global yang cukup berisiko tinggi untuk mengalami kerugian.
Bagaimanapun, Mahathir pada 3 April 1994 dilaporkan berkata, kerugian sebanyak RM5.7 bilion yang dialami oleh BNM dalam transaksi perdagangan wang asing pada 1993 konon tidak menjejaskan kedudukan kewangan negara.
Abdul Murad menambah, transaksi berbentuk spekulasi melibatkan pelbagai mata wang asing termasuk pound sterling Britain, dolar AS, mark Jerman dan yen Jepun itu direkodkan seorang kakitangan berpangkat rendah BNM.
Beliau memberitahu, sebarang kerugian dalam transaksi itu sepatutnya dilaporkan kepada Bahagian Akaun BNM namun perkara tersebut didakwa tidak berlaku seolah-olah cuba menutup kesalahan dan tiada apa-apa berlaku.
“Mereka (dalang di sebalik tabir BNM) mungkin menyembunyikan maklumat tentang kerugian besar tersebut dengan memindahkan caj kepada akaun rizab yang lain,” terang beliau yang kesal dengan permainan berkenaan.
Abdul Murad berkata, tindakan dalaman juga tidak diambil bagi memastikan pihak yang terlibat menggantikan semula dana rizab BNM yang hilang akibat transaksi berkenaan yang nilainya hari ini dianggarkan RM44.2 bilion.
“Tiada jawatankuasa dalam BNM yang memantau transaksi ini. Semuanya dilakukan oleh seorang individu,” kata beliau dan berpandangan, kegiatan spekulasi mata wang sebenarnya adalah di luar skop tugas sebenar BNM.
Bank pusat berkenaan sepatutnya memainkan peranan aktif untuk mengawal kecairan peredaran ringgit dalam pasaran domestik dan antarabangsa agar mata wang tempatan tersebut kekal stabil tanpa ada masalah besar.
Sehubungan itu, Abdul Murad yang menyertai BNM pada 1976 sebelum meletak jawatan pada 1999, menggesa pihak berkuasa membuka semula siasatan kes tersebut malah beliau bersedia memberi kerjasama jika diperlukan.
Untuk rekod, kerugian mega itu turut menyebabkan Gabenor BNM ketika itu, Tan Sri Ahmad Mohamed Don dan timbalannya, Datuk Fong Weng Phak melepaskan jawatan mereka masing-masing sebagai memikul tanggungjawab.
Abdul Murad pernah menggemparkan negara pada 1999 apabila beliau mendedahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki 20 akaun induk bernilai RM3 bilion ketika menjadi Menteri Kewangan. – Agensi.
KEMAMAN – Kuih bakul atau ‘Nian Gao‘ pastinya menjadi makanan wajib bagi kaum Cina setiap kali menjelang perayaan Tahun Baharu Cina, namun tentu tidak ramai menyangka bahawa ada juga gadis Melayu yang mampu menghasilkannya.
Kuih bakul hasil air tangan Haziqah Nurul Huda Harun, 20, yang merupakan orang kelainan upaya (OKU), lebih istimewa kerana beliau mempelajari pembuatan kuih itu dari sahabat Facebooknya, yang berasal dari Beijing, China, dua tahun lepas.
Ternyata, kuih bakul yang diperbuat daripada adunan tepung pulut, air dangula hasil resepi gadis berkerusi roda ini lebih enak, apabila menerima tempahan tinggi iaitu 4,000 biji sempena sambutan Tahun Baharu Cina ini dan tahun lepas beliau turut menerima tempahan 500 biji dari Singapura dan Qatar.
Kuih bakul Haziqah atau lebih mesra dengan panggilan Yaya, sentiasa ‘menjadi’ walaupun ada yang menyatakan penghasilan kuih bakul mempunyai banyak pantang larangnya.
Yaya yang tinggal di Kampung Bukit Kuang, di sini lumpuh selepas mengalami demam panas empat tahun lalu, berkata beliau mengambil masa tiga hari untuk menghasilkan kuih bakul bermula daripada proses mengadun, mengukus sehinggalah proses pembungkusan.
“Proses untuk sediakan adunan memakan masa selama empat jam iaitu Yaya buat adunan 70 kilogram tepung secara manual. Selepas adunan dibuat, Yaya akan mengisi adunan tersebut dalam acuan sebelum mengukusnya selama 12 hingga 15 jam bergantung kepada saiz kuih.
“Selepas siap proses mengukus, kuih tersebut akan dibiar dan disejukkan selama sehari sebelum proses pembungkusan dijalankan,” kata Yaya ketika ditemuiBernama di kediamannya di sini.
Anak keempat daripada lima beradik itu berkata perniagaannya berkembang dari hari ke hari sehingga beliau mendapat tempahan hampir 2,000 kuih bakul setiap bulan dan ia bertambah sekali ganda menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina.
“Selain kaum Tionghoa, Yaya juga dapat tempahan daripada syarikat minyak dan gas, kaum Melayu dan ada juga permintaan dari luar negara.
“Yaya hasilkan kuih bakul dengan dua perisa iaitu perisa asli dan perisa durian yang setiap satu dijual dengan harga RM8 hingga RM15 mengikut saiz,” katanya.
Yaya berkata pada mulanya beliau hanya menggunakan modal RM300 hasil daripada duit raya yang diperolehnya, kemudian beliau terpaksa meminjam duit daripada bapanya Harun Che Muda, 62, untuk membeli barang kelengkapan.
“Yaya pinjam duit abah untuk beli oven, pengukus berkapasiti tinggi dan alat-alat lain…tetapi bila dah dapat untung, Yaya ganti balik duit abah dan sehingga sekarang Yaya habis dalam RM50,000 termasuk mengubah suai dapur untuk dijadikan tempat memproses kuih bakul, sesuai dengan keadaan fizikal Yaya, katanya.
Berkongsi saat getirnya, Yaya berkata suatu ketika beliau pernah menganggap masa depannya hancur apabila beliau tidak dapat menguruskan diri dan hanya mampu terlantar hampir dua tahun.
“Masa tu Yaya tingkatan empat, Yaya diserang demam panas kemudian kedua-dua mata tidak dapat melihat dan doktor juga beritahu gegendang telinga Yaya pecah.
Yaya terpaksa berhenti sekolah awal dan ketika itu Yaya terlantar…hanya kepala sahaja yang dapat bergerak.
“Tapi, alhamdulillah berkat dorongan mama dan abah, Yaya bangkit semula dan mereka berdua yang banyak membantu Yaya untuk melakukan fisioterapi di rumah sehinggalah sekarang ini Yaya dapat bergerak menggunakan kerusi roda walaupun kaki sebelah kiri belum pulih dan tak dapat bergerak,” katanya.
Gadis cekal ini berkata beliau berhasrat membuka bengkel dan menggaji pekerja untuk memenuhi permintaan pelanggannya.
“Sebenarnya kuih bakul ini Yaya hasilkan setiap bulan kerana ada permintaan daripada pelanggan. Selain kuih bakul, Yaya turut menjual kuih bulan yang menawarkan 29 perisa dan ia dijual dengan harga RM6 hingga RM14 mengikut saiz.
“Lepas ini, insya-Allah Yaya nak kembangkan lagi bisnes dan Yaya berhasrat untuk buka bengkel serta menggaji pekerja sebab nak buat seorang diri dengan kuantiti yang lebih banyak memang tak mampu,” katanya.
Beliau yang tidak pernah mendapat apa-apa bantuan daripada mana-mana pihak turut berharap agar kerajaan negeri membantunya untuk merealisasikan harapan untuk membina sebuah bengkel bagi memudahkan urusannya.
“Ini sahaja yang Yaya mampu buat untuk masa sekarang…Yaya tak pernah mengikuti mana-mana kursus dan tidak memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Yaya harap sangat ada pihak yang sudi membantu,” katanya. – BERNAMA
TAHNIAH kepada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang telah berjaya mengutip RM41.2 bilion untuk tahun 2016, ia melebihi sasaran hanya RM39 bilion. Ini sebagai penanda aras kecekapan pegawai perkhidmatan awam di Malaysia. Pihak Kastam juga mensasarkan kutipan tahun 2017 sebanyak RM40 bilion hingga RM42 bilion. Pengarahnya, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, selain itu, jumlah individu dan syarikat yang berdaftar dengan GST turut meningkat kepada 431,000 sejak pelaksanaan cukai tersebut pada 1 April 2015.
Pada tahun 2015 hasil GST sebanyak RM27.1 bilion dalam tempoh 9 bulan.
Pihak Jabatan Kastam hanya melaksanakan polisi kerajaan untuk memastikan bagi membantu kewangan negara, terutama kejatuhan harga petrol di peringkat antarabangsa. Ia menjejas pendapatan negara. Dari setahun ke setahun pendapatan negara melalui Petronas semakin merosot 2014 (RM62 bilion), 2015 (RM44 bilion) dan 2016 (RM31.7 bilion). Maka jalan pintasnya dengan dikenakan GST pada kadar 6%.
Walaupun kerajaan memberi jaminan GST tidak akan berlaku kenaikan harga barang. GST hanya kepada orang kaya, orang miskin tidak kena. GST menstabilkan nilai ringgit. Bebanan GST akan dibantu dengan BR1M untuk orang miskin. GST akan diguna oleh kerajaan untuk meningkat kualiti hidup rakyat.
Realitinya semua penyataan di atas hanya ilusi semata-mata. Pendapatan kerajaan semakin bertambah bukan semakin menurun. Misalnya jika dicampur hasil Petronas tahun 2016 sebanyak RM31.7 bilion dan GST pula RM41.2 bilion, berjumlah RM72.9 bilion. Ertinya pendapatan kerajaan semakin bertambah tetapi kenapa kualiti hidup rakyat semakin menurun.
Barang keperluan meningkat. Ikan sardin RM12 sekilo, ikan kembung RM16 sekilo. Daging import daripada RM12 naik RM17 untuk 900 gram. Minyak masak RM13 naik RM21.
Paling sedih sekali kelengkapan hospital tidak mencukupi. Berlaku di depan mata saya sendiri di wad 17 Hospital Taiping, jururawat terpaksa menggunakan tangan untuk bantuan oksigen kepada pesakit kerana tidak cukup alat.
Ke mana wang kita hilang? Cukai dipungut, sepatutnya perlu dikembali kepada rakyat di dalam bentuk perkhidmatan. Rakyat tidak kisah, jika cukai dipungut tetapi mereka mendapat kemudahan yang baik. Tetapi apa yang berlaku sebaliknya.
Ustaz Idris Ahmad Naib Presiden PAS / Ahli Parlimen Bukit Gantang 25 Rabiul Akhir 1438 / 24 Januari 2017 - HARAKAHDAILY 23/1/2017
Peluang Kerja dan Jadi Usahawan Gunting Rambut. Tel Terus.. ABBU 011 33111321 (KL) E-Persatuan Pengusaha Barbershop (E-PPB) Bermatlamat: Lahirkan Usahawan Gunting Rambut. Beri Kursus, Bimbingan dan Kerja.
RM200-RM300 Sehari. Peluang Kerja Korea Selatan. Hanya RMXXXX Tiket & Khidmat..
E-Buku IH-106: Kerja Ladang, Australia & Islam.
Peluang Kerja Kutip Buah Di Australia, Gaji RM40-48 Per Jam.. Bagaimana?
IBNU HASYIM adalah nama samaran bagi Hj Mohd Hashim. Pernah menulis dibeberapa akhbar tempatan. Mantan Pengarang Majalah Al-Ummah dan pernah menghasilkan beberapa buah buku politik, sejarah dan agama. Menjadi ahli bisnes separuh jalan..
-
Pindah milik tanah secara tidak sah di Selangor? January 16, 2025 Share
SHAH ALAM: PAS Selangor melahirkan rasa bimbang dan kesal dengan kegiatan
pindah mi...