Sunday 29 January 2017

Akta Syarikat 2016 Berkuatkuasa Dari 31 Januari 2017


Akta Syarikat 2016 Berkuatkuasa Dari 31 Januari 2017
KUALA LUMPUR – Akta Syarikat 2016, yang diluluskan Parlimen dalam tahun lepas, akan berkuatkuasa secara berperingkat mulai 31 Januari 2017, kata Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
SSM dalam satu kenyataan hari ini, berkata Akta Syarikat 2016 akan menggantikan Akta Syarikat 1965 dan akan memudahkan lagi tatacara menjalankan perniagaan di negara ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Jamil Haji Salleh berkata penyusunan semula rangka kerja undang-undang itu bertujuan bagi memupuk semangat keusahawanan di kalangan orang awam kerana ia mempunyai banyak dasar yang memberikan kesan yang positif ke atas sesebuah syarikat.
“Salah satu daripadanya, membabitkan pengenalan konsep untuk menubuhkan sebuah syarikat hanya dengan satu pemegang saham dan seorang pengarah bagi memudahkan perniagaan.
“Di bawah akta baharu ini, pelbagai langkah yang menyenangkan peraturan akan diperkenalkan bagi membolehkan syarikat-syarikat beroperasi dengan lebih cekap,” katanya.
Katanya, sebagai contoh, mesyuarat agung tahunan tidak lagi perlu dibuat oleh syarikat swasta, sebaliknya, resolusi boleh dibuat melalui pekeliling.
Jamil berkata, bagi menambah baik pelaksanaan Akta Syarikat itu, Peraturan-Peraturan Syarikat 2017 dan Akta Skim Kepentingan 2016 juga akan dikuatkuasakan pada tarikh yang sama.
“Akta Skim Kepentingan merupakan platform alternatif untuk syarikat mengumpulkan dana melalui skim kepentingan,” katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai Akta Syarikat 2016, Peraturan-peraturan Syarikat 2017 dan Akta Skim Kepentingan 2016, orang ramai boleh melayari laman sesawang SSM pada www.ssm.com.my. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment