Monday 9 January 2017

AGROGEMS 2017 sasar lahir jutawan tani muda


 KL: Program Agro Generasi Muda Selangor (AGROGEMS) 2017 diteruskan dengan sasaran melahirkan lebih ramai petani muda di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani negeri, Zaidy Abdul Talib berkata, program tersebut diyakini membantu golongan muda mendapat pemahaman jelas berkait peluang pertanian, lapor SelangorKini.

“2016 menyaksikan penyertaan yang saya sifatkan sebagai ‘dasyat’ kerana kita menerima ramai penyertaan daripada golongan muda.

“Perkembangan ini membuktikan bahawa individu terlibat dalam sektor pertanian juga mampu berjaya dan menjana pendapatan yang baik khususnya kepada golongan muda,” katanya.

Beliau berkata, pengisian program bagi tahun ini diteruskan dengan sesi seminar membabitkan peserta dan individu yang berjaya dalam bidang pertanian.

“Mereka akan diberikan taklimat dan panduan oleh usahawan tani yang pernah menyertai program ini dan telah bergelar jutawan tani hasil daripada aktiviti pertanian diusahakan.

“Selepas seminar, mereka juga akan diberikan khusus lanjutan dan ilmu secara praktikal supaya mereka boleh mengaplikasikan pemahaman secara terus dalam sektor pertanian,” katanya yang juga Adun Taman Templer.

Program AGROGEMS mula diperkenalkan Januari 2016 sebagai suntikan kerajaan negeri menggalakkan penyertaan usahawan tani di bawah umur 40 tahun dalam sektor pertanian.

Mereka berminat boleh mendaftar di pejabat Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani di Tingkat 15 bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

No comments:

Post a Comment