Sunday 22 January 2017

Rancang Buka Kilang Robot di Malaysia



PETALING JAYA – Syarikat dari Singapura, GT Robot merancang untuk membuka kilang pembuatan dan pemasangan robot bernilai RM300 juta di Malaysia.

Presiden GT Group, Dr. Paul Zhang Baolu berkata, kilang itu dijangka dibina di lokasi sempadan Melaka dan Negeri Sembilan.

Kilang itu diunjur menjana pendapatan kira-kira AS$20 bilion atau bersamaan dengan 10 juta robot mudah alih.

“Ia adalah kilang pertama bagi pembuatan robot di Asia dengan perkakasan berteknologi tinggi selepas China,” katanya ketika berucap sempena pelancaran GT Dollar di Sime Darby Convention Centre, Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Sabtu lepas.

Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

GT Robot dan GT Dollar adalah syarikat di bawah GT Group yang berpangkalan di Singapura dan merupakan sebuah entiti khusus dalam penyelesaian inovatif dalam teknologi maklumat dan e-perdagangan yang ditubuhkan pada tahun 2014.

Menurut Paul, kilang itu dijangka menyediakan 10,000 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun.

Sementara itu, Pengurus Produk GT Robot, Yiting Hao berkata, syarikat itu masih belum memutuskan bila kilang itu akan dibina.

Katanya, pada masa ini GT Robot sudah membangunkan robot protaip yang dinamakan GT Wonder Boy dan akan dipasarkan untuk komersial pada Mac ini di Beijing dan California pada bulan April.

Robot itu dianggarkan bakal dijual pada harga AS$2,000 sebuah.

Robot setinggi 238 milimeter itu berupaya melakukan penjejakan automasi, navigasi suara, boleh berkomunikasi dua hala, pendidik interaktif, perkhidmatan pelanggan pintar, jurugambar peribadi, menyanyi dan menari serta boleh bercakap dalam pelbagai bahasa.


No comments:

Post a Comment