Wednesday, 12 April 2017

Trend Online Diguna Sindiket Dadah Rentas Negara. Begini Modus Operandi..













Mokhtar (tiga dari kanan) membuat sidang akhbar mengenai tangkapan beberapa ahli sindiket dadah oleh polis Johor di Johor pada Disember 2016.

KUALA LUMPUR – Penjualan pelbagai barangan secara online yang kini menjadi trend di seluruh negara turut ditiru oleh sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang melakukan urus niaga jual beli bahan terlarang tersebut secara lebih mudah dan cepat.
Bagi mengelak jual beli dadah secara online dihidu pihak berkuasa, sindiket yang bergerak di serata dunia itu kini dikatakan berhubung sesama mereka menerusi media sosial seperti Facebook, aplikasi WeChat atau WhatsApp.
Satu sumber memberitahu, rangkaian pengedaran dadah kini berkembang mengikut kemajuan teknologi malah bagi pengedar besar dan berpengalaman, sindiket itu membina laman web sendiri untuk berurusan mengenai pesanan dan penghantaran barang terlarang itu.
“Promosi menjual dadah kini banyak dilakukan menerusi laman sosial dan sindiket menyediakan katalog bagi menawar atau mempromosi pelbagai jenis dadah bagi memudahkan pelanggan membuat pilihan dan pesanan.
“Ibaratnya jual beli dadah zaman ini sudah seperti jual beli baju di internet,” kata sumber itu ketika dihubungi semalam.
Menurut sumber itu, setiap ahli sindiket akan mempunyai kata laluan yang dikongsi menerusi mesej peribadi bagi memasuki laman web yang dicipta khas oleh sindiket-sindiket dadah besar.
Mengulas lanjut, sumber itu memberi­tahu, ini merupakan modus operandi terbaharu sindiket pengedaran dadah antarabangsa melakukan jual beli dadah merentasi negara.
“Bagi penghantaran, sindiket ini sama ada akan menggunakan khidmat kurier bagi menghantar dadah kepada pelanggan atau bekalan yang dipesan dihantar oleh orang tengah ke destinasi yang dinyatakan,” jelas sumber itu. (kosmo!)

Tuesday, 11 April 2017

Ramen Cengkerik, Ulat Goreng Laris Di Jepun. Baaimana Kalau Di M'sia?


Ramen Cengkerik, Ulat Goreng Dapat Sambutan Di Jepun

TOKYO – Pencinta makanan Jepun sanggup beratur di luar sebuah restoran untuk merasai hidangan ramen dengan cangkerik serta ulat goreng.

Dalam masa hanya kira-kira empat jam, restoran Ramen Nagi menjual 100 mangkuk ramen “tsukemen serangga” dalam satu acara yang diadakan pada Ahad.
Ramen itu akan dihidangkan bersama-sama dengan kira-kia sedozen cengkerik dan ulat di mana pelanggan akan mencelupnya di dalam sup dengan perisi cengkerik, belalang atau ulat sutera.
“Ia digoreng, jadi ia benar-benar ranggup dan tiada rasa yang kurang enak,” kata salah seorang pelanggan, Anri Nakatani, 22 tahun.
“Ia seperti rasa udang yang digoreng. Acara itu dianjurkan oleh pemilik restoran, Yuta Shinohara, 22, yang memperkenalkan hari makan serangga di Tokyo,” katanya.
Menurut Shinohara, dia mula makan serangga sejak kecil memperkenalkan hari makan serangga bagi mempromosikan budaya makan alternatif di Jepun dan seluruh dunia melalui ramen iaitu makanan popular Jepun.
“Melalui ramen, saya mahu menyebarkan bagaimana seronoknya dan lazat makan serangga,” katanya.
Hidangan 1 set makanan berharga 3,000 yen (RM120) iaitu ramen serangga, semangkuk nasi dengan cengkerik, popia cacing goreng dan ais krim yang berperisa serannga manakala harga bagi semangkuk ramen ialah 1,500 yen (RM 60).
Serangga dimakan oleh penduduk beberapa negara seperti China, Ghana, Mexico dan Thailand. – Reuters

Niaga Atas Talian, Tingkat Pendapatan.


online business
Perniagaan atas talian.
KUALA LUMPUR: Perniagaan atas talian dijangka berkembang dengan pesat pada tahun ini dan dapat membantu meningkatkan pendapatan isi rumah.
Peningkatan pesat perniagaan atas talian itu dipacu oleh perkembangan teknologi terkini, terutamanya dengan kewujudan blog, laman sosial serta sistem optimisasi enjin carian yang secara tidak langsung membantu memudahkan aktiviti pemasaran dan perniagaan.
Penceramah daripada SifuFBads.com, Jamaluddin Bahari berkata dengan kos pemasaran dan pengiklanan yang lebih murah dalam sistem perniagaan atas talian, peniaga dapat menjana pendapatan lumayan dengan lonjakan jualan dalam masa satu hingga dua bulan.
Peniaga juga berpeluang untuk merekrut ejen-ejen perniagaan mereka secara atas talian.
"Kos pemasaran dan pengiklanan bagi perniagaan atas talian jika dibandingkan dengan cara konvensional adalah 10 kali lebih murah.
"Bagi mereka yang baru menceburi perniagaan atas talian ini, kos pemasaran secara percuma boleh dicapai dengan menggunakan beberapa teknik melalui medium seperti blog, forum usahawan, kumpulan pengiklanan serta laman sosial," kata beliau ketika ditemui di Seminar Usahawan Super Muslim (SUPERB) 2014 di sini, Rabu.
Seminar tersebut dianjurkan oleh PPZ-MAIWP secara kerjasama dengan Smartwork Ventures.
Menurut Jamaluddin, perniagaan atas talian perlu dilakukan secara agresif, sama ada dari segi variasi dan ketahanan produk serta kualiti perkhidmatan yang disediakan, terutamanya perkhidmatan penghantaran dan perkhidmatan selepas jualan.
Peniaga juga boleh mengenal pasti produk laris di pasaran untuk mengukuhkan lagi strategi pemasaran mereka, katanya.
Beliau berkata, lebih daripada 50 peratus peniaga atas talian menjalankan perniagaan mereka dari rumah, dan bilangan ini dijangka bertambah berikutan fleksibiliti yang ditawarkan oleh teknologi canggih sekarang.  Bernama.

Monday, 10 April 2017

Belia Islam Pamer Kreativiti.




PUTRAJAYA: Makanan merupakan lambang budaya dan hidangan berbeza boleh didapati di bawah satu bumbung di Anjung Floria di sini yang menjadi lokasi Festival Makanan & Fesyen Islam 2017.
Festival selama dua hari itu yang berakhir pada Ahad dianjurkan bersama Forum Persidangan belia Islam untuk Dialog dan Kerjasama (ICYF-DC), Kementerian Belia dan Sukan serta Perbadanan Putrajaya.
Ia bertujuan mempamerkan kreativiti belia Islam dalam bidang masakan, fesyen dan muzik.
Usahawan Kyrgyz, Ulanbek Ergeshov bukan sahaja mengetengahkan hospitaliti dari negara Asia Tengah itu tetapi juga makanan ringan.
"Saya menyertai festival ini untuk menunjukkan kepada pengunjung sebahagian budaya masyarakat Kyrgyzstan seperti pakaian dan membolehkan orang ramai mencuba makanan kami," katanya.
Makanan ringan masyarakat Kyrgyz seperti boorsok, campuran doh yang digoreng dan kurut, snek berasaskan susu kering dan masin boleh diperolehi di gerai miliknya.
"Kyrgyzstan terkenal dengan madu yang sangat manis dan saya juga membawa beberapa walnut Kyrgyz dan aprikot kering untuk dicuba pengunjung," kata Ergeshov.
Terdapat kira-kira 20 gerai yang mempamerkan pelbagai jenis makanan halal daripada negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Usahawan dari Malaysia, Adlin Amira Ahmad Ridzwan, 18, pula menawarkan snek tempatan dikenali sebagai kerepek bronis diperbuat daripada brownies coklat konvensional yang rangup.
"Tidak ramai tahu mengenainya, jadi kami mahu mempromosikan makanan ini," katanya.
Mansour Elh Amani, 28, dari Republik Niger menyediakan hidangan alkaki yang dihasilkan menggunakan doh gandum goreng yang direndam dalam madu, kacang tanah dan kek bijan.
"Ia pertama kali saya berada di Malaysia dan saya amat gembira dapat mempromosikan makanan dari negara saya," katanya.
Selain itu, pertunjukan fesyen Islam dan persembahan kelab muzim SMK Cheras dipanggil Sapelele turut diadakan.
Dengan bantuan alat muzik tradisional Sarawak, sape dan gendang, pelajar tersebut melakukan persembahan dan menyanyikan lagu popular dalam bahasa Melayu, Hindi, Mandarin dan Thai.  (IH)

Sunday, 9 April 2017

6 Dicekup Cuba Jual 45 Jongkong Emas Palsu


SINGAPURA – Sebanyak 45 jongkong emas palsu dirampas dan enam lelaki ditangkap kerana cuba jual barangan itu, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu kenyataan media hari ini.

Suspek-suspek berusia antara 17 hingga 24 tahun itu, berjaya dicekup selepas beberapa operasi secara serentak dijalankan kelmarin dan semalam di sekitar Yishun, Joo Koon Road, Kampong Java Road dan Outram Road.
Secara keseluruhan, 45 jongkong emas palsu dijumpai semasa operasi itu. Tiga daripada suspek itu – berusia 17, 19 dan 24 tahun – didakwa di mahkamah hari ini atas tuduhan menipu di bawah Seksyen 420 dan 109 Kanun Jenayah.
Akhbar popular TODAY melaporkan siasatan terhadap suspek yang lain masih dijalankan. SPF menambah bahawa mereka menerima aduan mengenai percubaan untuk menjual jongkong emas palsu antara 13 Mac hingga 5 April.
Siasatan awal SPF mendedahkan bahawa suspek-suspek tersebut cuba menjual barangan palsu berkenaan kepada beberapa kedai pajak gadai dan orang awam di seluruh Singapura untuk mengelak daripada dikesan.
Agensi Mediacorp difahamkan, bahawa dua lelaki rakyat Singapura, yang ditangkap pada Rabu lalu berhubung kes sama iaitu cuba untuk memajak dua jongkong emas palsu di sebuah kedai pajak gadai berhampiran Pasar Tekka.
Pihak polis republik tersebut dalam kenyataan berkenaan turut mengingatkan orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak terus beli jongkong emas daripada sumber-sumber tidak boleh dipercayai meskipun harganya menarik.
Tertuduh sekiranya disabitkan kesalahan oleh pihak mahkamah atas dakwaan penipuan tersebut boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, dan boleh sejumlah denda. – Agensi

FAMA Sedia Import 2 Juta Kelapa Untuk Ramadan.


Kelapa

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan mengimport dua juta biji kelapa dari Indonesia untuk kegunaan sepanjang Ramadan akan datang.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata langkah itu dijangka dapat memenuhi permintaan peniaga dan pengguna sepanjang bulan berkenaan.
“Setiap bulan kita mengimport sejuta biji kelapa dari Indonesia untuk kegunaan tempatan, namun untuk Ramadan ini kita bersedia menambah bekalan sehingga dua juta biji berikutan permintaan yang tinggi,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pasar Tani Masjid Saidina Umar Al-Khattab Bukit Damansara di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi FAMA, Tan Sri Badruddin Amiruldin dan Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Ishak.
Sementara itu, Badruddin berkata Fama menyasarkan pembukaan 50 pasar tani baharu sepanjang tahun ini di seluruh negara.
“Sehingga kini, sebanyak 664 buah pasar tani telah beroperasi dan berjaya mengumpul keuntungan berjumlah RM822 juta bagi tahun lalu,” katanya.
Pasar tani Masjid Saidina Umar Al-Khattab Bukit Damansara merupakan pasar tani keempat yang beroperasi di perkarangan masjid. – BERNAMA

Saturday, 8 April 2017

Bikini Pramugari VietJet Air, Di Negara Umat Islam Terbesar Di Dunia.


Indonesia Kecoh Isu Bikini Pramugari VietJet Air

Indonesia Kecoh Isu Bikini Pramugari VietJet Air

JAKARTA – Pihak berkuasa Indonesia kini dilaporkan dalam keadaan dilema menerima kehadiran VietJet Air yang berhasrat terbang ke pelbagai destinasi utama di negara terbesar Asia tenggara itu.

Ini bukan kerana bimbang isu monopoli laluan oleh operator udara kos rendah antarabangsa Vietnam ke Indonesia yang ketika ini tiada penerbangan terus antara dua negara berkenaan tetapi lebih kepada isu pakaian pramugarinya.
Akhbar berpengaruh KOMPAS melaporkan, Kementerian Perhubungan sedang meneliti isu pakaian seksi pramugari VietJet Air yang berbikini ekoran pengumuman syarikat itu mahu mendarat di beberapa destinasi di Indonesia.
Menterinya, Budi Karya Sumadi berkata, setakat ini pihaknya belum menerima permohonan secara rasmi daripada VietJet Air dan sedia berbincang dengan Jawatankuasa Dasar Awam di peringkat Parlimen mengenai isu bikini itu.
“Penetapan busana pramugari bukan di bawah bidang kuasa kementerian tetapi kami pasti melakukan sesuatu dengan berhati-hati kerana masyarakat Indonesia ada norma tertentu,” ujarnya di pejabatnya di sini semalam.
Indonesia Kecoh Isu Bikini Pramugari VietJet Air
Budi Karya menegaskan, pihaknya boleh meminta syarikat penerbangan asing yang terbang ke Indonesia agar selalu memelihara kesopanan pakaian pramugarinya sejajar dengan budaya asli Indonesia tanpa mencetuskan polemik.
“Saya akan pertahan budaya Indonesia. Bahagian ini kami tetap pelihara,” kata bekas Pengarah Urusan PT Angkasa Pura II, penguasa lapangan terbang di Indonesia itu dan mengesahkan pihak VietJet Air tidak menemuinya pun.
Ketua Bahagian Kerjasama dan Hubungan Masyarakat Direktorat Jeneral Perhubungan Udara Kementerian, Agoes Soebagio dalam pada itu menyatakan, syarikat asing perlu mendapat kebenaran pihak berkuasa negara asalnya.
Justeru VietJet Air kena menyertakan persetujuan daripada pemerintah Vietnam sebelum terbang ke Indonesia dan kelulusan tidak diberikan serta-merta kecuali berjaya memenuhi segala peraturan ditetapkan kementerian tersebut.
“Jadi kami buat penilaian terlebih dahulu seperti keizinan laluan dan teknikal operasi. Kalau semua syarat dipenuhi, baharulah mendapatkan kebenaran, tetapi kalau belum waima satu perkara, pun tetap belum dapat izin,” jelasnya.
VietJet Air yang ditubuhkan sejak 2011 dengan memiliki 38 buah pesawat buat masa ini terbang ke 53 destinasi antarabangsa termasuk China, Korea Selatan, Macau, Hong Kong, Taiwan, Thailand, Myanmar dan Singapura.
Tahun lalu, syarikat dimiliki bilionaire wanita terkaya di Vietnam, Nguyá»…n Thị Phương Thảo itu terbang ulang alik setiap hari ke Kuala Lumpur, Malaysia tanpa masalah setelah isu pakaian pramugarinya diselesaikan secara baik.
Ini menyaksikan krew wanitanya tidak mengenakan bikini sebaliknya berseluar pendek dan kemeja lengan pendek berbanding pramugari syarikat penerbangan kebangsaan Vietnam Airlines yang memakai busana tradisional ao dai.
Foto memaparkan petugas seksi berbikini yang menjadi tular di seluruh dunia pada tahun lalu itu sebenarnya hanya melibatkan beberapa penerbangan sewa khas VietJet Air terutama destinasi tertentu di Vietnam dan China.
Operator udara itu kini menguasai 40 peratus daripada pasaran penerbangan di Vietnam dan turut merancang untuk membeli lagi 197 buah pesawat baharu bagi meluaskan perkhidmatannya. – Agensi