Wednesday 12 April 2017

Trend Online Diguna Sindiket Dadah Rentas Negara. Begini Modus Operandi..













Mokhtar (tiga dari kanan) membuat sidang akhbar mengenai tangkapan beberapa ahli sindiket dadah oleh polis Johor di Johor pada Disember 2016.

KUALA LUMPUR – Penjualan pelbagai barangan secara online yang kini menjadi trend di seluruh negara turut ditiru oleh sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang melakukan urus niaga jual beli bahan terlarang tersebut secara lebih mudah dan cepat.
Bagi mengelak jual beli dadah secara online dihidu pihak berkuasa, sindiket yang bergerak di serata dunia itu kini dikatakan berhubung sesama mereka menerusi media sosial seperti Facebook, aplikasi WeChat atau WhatsApp.
Satu sumber memberitahu, rangkaian pengedaran dadah kini berkembang mengikut kemajuan teknologi malah bagi pengedar besar dan berpengalaman, sindiket itu membina laman web sendiri untuk berurusan mengenai pesanan dan penghantaran barang terlarang itu.
“Promosi menjual dadah kini banyak dilakukan menerusi laman sosial dan sindiket menyediakan katalog bagi menawar atau mempromosi pelbagai jenis dadah bagi memudahkan pelanggan membuat pilihan dan pesanan.
“Ibaratnya jual beli dadah zaman ini sudah seperti jual beli baju di internet,” kata sumber itu ketika dihubungi semalam.
Menurut sumber itu, setiap ahli sindiket akan mempunyai kata laluan yang dikongsi menerusi mesej peribadi bagi memasuki laman web yang dicipta khas oleh sindiket-sindiket dadah besar.
Mengulas lanjut, sumber itu memberi­tahu, ini merupakan modus operandi terbaharu sindiket pengedaran dadah antarabangsa melakukan jual beli dadah merentasi negara.
“Bagi penghantaran, sindiket ini sama ada akan menggunakan khidmat kurier bagi menghantar dadah kepada pelanggan atau bekalan yang dipesan dihantar oleh orang tengah ke destinasi yang dinyatakan,” jelas sumber itu. (kosmo!)

No comments:

Post a Comment