Monday 3 April 2017

Program Tenaga Nuklear, Apa Yang Masyarakat Perlu Faham?


KEMALANGAN loji nuklear di luar negara membuatkan rakyat di negara ini bimbang untuk menerima sumber tenaga alternatif itu. – Gambar hiasan


WALAUPUN Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengesahkan kesediaan Malaysia membuat keputusan berdasarkan maklumat untuk memperkenalkan tenaga nuklear, masih terdapat persoalan sama ada orang awam sudah bersedia untuk menerima sumber tenaga alternatif itu atau sebaliknya.
Ramai yang masih dihantui bencana yang melanda loji nuklear Fukushima Daiichi di Jepun pada Mac 2011 berikutan gempa bumi dan tsunami, selain kemalangan loji tenaga nuklear Chernobyl di Ukraine pada 1986 yang menyebabkan kematian akibat radiasi.
Menurut Pengarah Eksekutif Pusat ASEAN untuk Tenaga (ACE), Dr. Sanjayan Velautham, isu-isu keselamatan tetap menjadi kebimbangan utama orang ramai berhubung aktiviti nuklear.
Biarpun kemalangan reaktor nuklear telah lama ditegaskan sebagai peristiwa yang mempunyai kebarangkalian rendah namun akibatnya tinggi, dan sesetengah orang masih keberatan untuk mengambil risiko, walau betapa rendah sekalipun kebarangkalian bencana seumpama itu berlaku.
Bercakap kepada Bernama selepas Persidangan Tahunan Kelapan Nuclear Power Asia, di ibu negara baru-baru ini, beliau berkata, sebelum mana-mana negara memutuskan untuk menggunakan atau membina loji tenaga nuklear, mereka perlu mematuhi garis panduan IAEA yang menekankan aspek 3S (safety, security and safeguard) yang sangat penting iaitu selamat, terjamin dan terkawal.
Agensi itu juga telah membangunkan pendekatan IAEA Milestone Approach untuk membantu negara-negara yang sedang mempertimbangkan atau merancang untuk membina loji tenaga nuklear pertama.
Panduan
“Milestone Approach ini (disediakan untuk memberi panduan mengenai aktiviti yang perlu dilaksanakan) bagi tujuan membangunkan infrastruktur yang mencukupi untuk menyokong program tenaga nuklear negara,” katanya.
Persidangan itu dianjurkan oleh Clarion Events bersama Perbadanan Kuasa Nuklear Malaysia dengan kerjasama Agensi Nuklear Malaysia dan disokong oleh Korean Nuclear Energy Agency dan Badan Tenaga Nuklir Nasional Indonesia.
Dalam ucapan pembukaannya pada persidangan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, misi Laporan Akhir Kajian Semula Infrastruktur Nuklear Bersepadu (INIR) IAEA telah menilai pembangunan infrastruktur Malaysia untuk program tenaga nuklear dan membuat kesimpulan bahawa negara ini bersedia sepenuhnya dan telah membangunkan asas pengetahuan yang sewajarnya untuk membuat keputusan bagi memperkenalkan tenaga nuklear.
Beliau berkata laporan akhir misi, yang diserahkan oleh IAEA kepada beliau pada awal bulan ini akan dibentangkan di Kabinet tidak lama lagi.
Misi INIR agensi itu menilai status negara-negara anggota dan tahap kesediaan untuk membangunkan program-program tenaga nuklear.
Penemuan pasukan INIR dijangka dapat membantu negara-negara berkenaan untuk membangunkan pelan tindakan bagi mengisi sebarang jurang yang ada ke arah pembangunan infrastruktur nuklear negara.
Antara kebimbangan utama awam mengenai pelaksanaan program nuklear ialah sisa radioaktif yang mungkin berbahaya kepada manusia dan alam sekitar.
Sanjayan bagaimanapun berkata, industri nuklear telah menetapkan langkah-langkah keselamatan dalam menguruskan kesemua kategori sisa radioaktif yang dikenali sebagai sisa tahap rendah (LLW), sisa tahap pertengahan (ILW) dan sisa tahap tinggi (HLW).
Beliau berkata, sebahagian besar (97 peratus) daripada jumlah sisa yang dihasilkan terdiri daripada LLW dan ILW yang dilupuskan dengan selamat di tapak pelupusan di banyak negara supaya tidak mendatangkan bahaya atau risiko dalam jangka panjang.
Amalan ini dijalankan sejak bertahun-tahun sebagai satu perkara rutin di negara-negara seperti Amerika Syarikat, Perancis, Kanada, Korea Selatan dan China.
Mengimbangi
Bagi HLW, jumlah yang dihasilkan sebenarnya masih kecil berbanding sisa daripada sektor-sektor industri lain, katanya.
“HLW kini tersimpan dan diuruskan dalam kemudahan penyimpanan sementara yang selamat, menyediakan persekitaran yang sesuai untuk membendung dan menguruskan sisa berkenaan.
“Kemudahan ini juga membolehkan haba dan keradioaktifan daripada sisa menjadi rosak sebelum pelupusan (repositori) geologi jangka panjang,” jelas beliau.
Negara-negara seperti Amerika Syarikat, Kanada, Perancis dan Finland sedang menjalankan penyelidikan dan pembangunan untuk membangunkan repositori muktamad atau pelupusan geologi untuk HLW, kata Sanjayan.
Negara lain seperti China dan Korea Selatan telah terlibat dalam usaha-usaha untuk memproses semula bahan api yang digunakan untuk mengurangkan jumlah bahan buangan dan menggunakannya semula di loji jana kuasa nuklear mereka.
Sambil menegaskan bahawa nuklear bukanlah saingan bagi sumber tenaga lain, Sanjayan bagaimanapun berkata, ia penting bagi negara untuk mempertimbangkan pelbagai sumber bagi mengimbangi campuran tenaga sedia ada dan mengekalkan jaminan tenaga jangka masa panjang.
Beliau berkata, tenaga nuklear boleh memberi sumbangan besar ke arah mengurangkan kesan perubahan iklim, dan menjamin peningkatan tenaga dan pembangunan ekonomi. (Kosmo!)

No comments:

Post a Comment