Sunday, 3 September 2017

Jutawan Melayu 24 Tahun Di S'pura Jual Bertih, Ini Rahsianya..


“SAYA tidak memikirkan tentang rancangan kegagalan. Jika fikir itu, saya tiada masa untuk maju ke hadapan.” Itulah kata-kata motivasi anak Muslim Singapura bernama Aaron Rylan Keder.

Kisah inspirasi kejayaan pemuda Melayu tempatan yang kini berusia 29 tahun itu dan pernah hidup susah menjual bertih jagung, mula menjadi tular di republik tersebut setelah menjadi jutawan pada usia seawal 24 tahun sahaja!
Rahsia Aaron Jadi Jutawan Usia 24 Tahun Di Singapura
Aaron, adalah pemilik dua buah syarikat, ejen hartanah dan juga jurulatih motivasi, yang pernah menarik perhatian media tahun lalu apabila kereta Lamborghini miliknya menjadi sasaran aksi seorang penunggang basikal lasak.
Tidak dapat dinafikan, aura, gaya dan cara perbualan dirinya mudah membuat seseorang itu terpaku untuk terus mendengar dan menimba ilmu daripada kisah pengalaman peribadi beliau.
Apa tidaknya, beliau berjaya bergelar seorang jutawan pada usia muda sedang ramai rakan sebayanya baru mula bekerja. Ditambah pula dengan kejayaan serta kemewahan yang diraihnya setakat ini.
Jejaka bujang ini turut menjadi sumber inspirasi dan dorongan bagi ramai belia mahupun usahawan yang mahu mengikut jejak langkahnya dan menjadi seorang yang berjaya.
“Jika kebanyakan orang fikir rancangan kegagalan hingga lupa bergerak ke hadapan, saya rasa saya lebih banyak luang masa untuk berfikir tentang peluang sehingga terlupa memikirkan tentang kegagalan,” kongsi Aaron lagi.
Mendedahkan tentang cara pemikiran yang diamalkannya kepada agensi beritaMediaCorp. yang pasti, matlamat pemilik syarikat Newash Facility Management dan syarikat reka bentuk ARK-hitecture ini adalah jelas!.
Beliau fokus untuk sentiasa cari peluang dan jana pendapatan. Malah, berbekalkan ilmu dalam bidang hartanah, Aaron turut memanfaatkannya untuk kukuh perniagaan bagi dua syarikat selain memastikan pendapatan terjamin.
“Sebagai seorang ejen hartanah, saya menyasarkan kepada pasaran khusus besar iaitu bagi hartanah berlaman sahaja (landed property), untuk membantu perniagaan saya selama ini.
“Ini kerana di akhirnya, saya tidak mahu menjadi seorang ejen. Matlamat utama saya adalah untuk memajukan bisnes saya dan membina sebuah empayar,”kongsinya, yang membuka bisnes Newash terlebih dahulu.
Memiliki sebuah syarikat pengurusan kemudahan dan raih pendapatan besar dari penjualan hartanah berlaman mungkin dapat memuaskan sesetengah pihak, tetapi tidak semudah itu bagi Aaron.
Beliau ternyata enggan berhenti setakat di situ. Bahkan, beliau bertindak untuk berkolaborasi dengan seorang rakan yang memiliki syarikat reka bentuk dalaman bagi memberikan khidmat kepada klien dalam bidang hartanah.
Bagaimanapun, Aaron akhirnya bertekad untuk membuka syarikat reka bentuk dalamannya sendiri meskipun tidak ada sebarang pengalaman, selepas berlaku apa yang didakwanya ketidakadilan dalam kolaborasi tersebut.
“Secara jujur, bidang ini bukanlah minat saya. Saya tidak gemar melukis dan saya bukan jenis teknikal. Tetapi ada peluang kerana pasaran ini kian luas dengan ada lebih banyak flat Bina-Ikut-Tempahan dan flat jualan semula.
“Dan dengan bisnes-bisnes di bawah naungan saya setakat ini, saya kini dapat melakukan semua khidmat langsung di bawah satu bumbung,” jelasnya, yang mempunyai sekitar 300 pekerja bagi kedua-dua syarikatnya.
Yang jelas, beliau berjaya maju setapak demi setapak untuk capai kejayaannya. Malah, kejayaan ‘bertahap’ itu juga dapat dilihat menerusi kereta Lamborghini Gallardo LP560 miliknya, iaitu kereta keenam yang dibelinya setakat ini.
Bermula dengan sebuah van Fiat Doblo, beliau kemudian menukar kepada kereta pertamanya, Mazda 3 dan beralih ke Toyota Silica, BMW Z4, Maserati Granturismo sebelum memiliki Lamborghini Gallardo Generasi Pertama.
Aaron memberitahu: “Saya menetapkan matlamat jangka 1 tahun enam bulan untuk tukar kereta. Jika saya mampu beli, saya akan beli sebagai ganjaran kepada diri saya sendiri,” katanya, yang membeli tanpa sebarang pinjaman.
Mustahil wang tidak sedikit sebanyak membawa kebahagiaan. Begitu juga yang dirasakan oleh Aaron sewaktu beliau menginjak dewasa. Bahkan, itu jugalah yang menjadi pendorong utamanya untuk terus berjaya ketika itu.
Namun, semakin beliau meningkat dewasa, Aaron kini lebih terdorong apabila melihat mereka yang lebih berjaya. Meskipun begitu, beliau kini lebih memberikan tumpuan kepada usaha menghulurkan bantuan kepada orang lain.
“Dahulu, saya terlalu memberikan tumpuan kepada urusan kerja sehingga terlupa pada mereka yang berada dalam kesukaran terutama dalam masyarakat setempat saya sendiri.
“Bahkan, pada bulan Ramadan lalu, saya mula tertanya-tanya, dengan semua kemewahan ini, adakah ia cukup bagi saya? Anda mungkin berfikir saya berasa gembira, tetapi tidak. Saya sedar kebendaan tidak membuat saya gembira.
“Dan sebagai seorang Muslim, saya yakin bahawa, lebih banyak kebaikan yang kita lakukan, lebih banyak keberkatan dari Allah. Dan apabila saya membantu orang lain dan melihat mereka tersenyum, saya berasa gembira.
“Jadi itulah matlamat sekarang. Saya tidak hanya mahu bergantung kepada kemewahan, tetapi mahu bantu orang lain dan harap mereka mendoakan saya, sementara saya terus bekerja keras capai apa saya inginkan,” kongsi Aaron.
Untuk rekod, beliau sendiri tidak pernah malu apabila bertugas sebagai seorang penjual bertih jagung dan tukang pembersih sebelum dikerah menjalani Perkhidmatan Negara (NS) sewaktu zaman remaja dahulu.
Juga ingin membantu melatih para usahawan belia, Aaron turut berkongsi pendapat tentang cara untuk mengembangkan idea selain memberi panduan bagi memulakan bisnes baharu.
Antaranya adalah untuk mendapatkan geran pemerintah bagi syarikat pemula SME dan perbanyakkan bertanya serta mendapatkan bantuan daripada mereka yang terlibat dalam industri yang ingin diceburi itu.
“Selain itu, jangan membeli sesuatu di luar kemampuan anda. Elakkan pinjaman kerana ia boleh membebankan anda. Jika anda sudah mengembangkan bisnes, cari pelabur untuk memperluaskan portfolio anda.
“Juga sentiasa berasa terdorong. Jika anda berada dalam zon selesa, sudah tiba masa untuk anda keluar dan bergaul dengan mereka yang lebih berjaya bagi kongsi pendapat, tetapi usah lupa untuk pijak di bumi nyata,” katanya.
Aaron turut menasihati usahawan muda supaya jika boleh mengelakkan ada dua pemilik serentak dalam sesebuah syarikat tetapi pemilik tersebut digalakkan untuk berkolaborasi.
Beliau juga menekankan pentingnya mencari peluang untuk berkembang dengan sentiasa rajin membaca akhbar harian selain membuat lebih ramai rakan agar dapat melihat gambaran dunia yang lebih luas.
“Pendek kata, seperti yang dinasihatkan ibu saya – jangan pernah menaiki lif untuk elak naik tangga; sentiasa naik tangga itu setapak demi setapak,” katanya, yang turut ada hasrat untuk menceburi bisnes makanan suatu hari nanti.
Aaron turut gembira, prestasi masyarakat Islam Singapura kini semakin baik, dengan ada lebih ramai graduan dari universiti tempatan. Cara pemikiran masyarakat juga kian berubah dan ramai kalangan Melayu berani mencuba.
“Saya berasa gembira apabila melihat perubahan ini. Ia adalah suatu perubahan positif. Tetapi mereka kurang mendapat bimbingan bagi memulakan bisnes pada peringkat permulaan.
“Lantas, saya ingin bantu melatih dan menghubungkan mereka dengan pihak yang sewajarnya bagi memperluaskan idea dan perniagaan mereka,” katanya lagi. – Agensi.

Thursday, 31 August 2017

Penilaian GDP perlu dalam ringgit.



LAJNAH Ekonomi dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat (LEPU) ingin memberikan respon tehadap cadangan daripada Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) bahawa penilaian Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) harus dilakukan dalam matawang Amerika USD.
MazliZSebagaimana yang dilaporkan oleh harian The Edge pada 24 Ogos 2017, Presiden FMM Tans Sri Dr. Lim Wee Chai menyatakan bahawa sebagai negara yang terlibat dalam perdagangan antarabangsa, nilai GDP Malaysia dalam situasi sebenar akan menguncup sekiranya dikira dalam USD.
Perlu ditekankan bahawa penilaian GDP adalah dalam faktor penggunaan, pelaburan, berbelanjaan kerajaan dan ekspot import. Jesteru itu, penilaian yang diamalkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sekarang adalah mewakili keadaan sebenar ekonomi negara. Ini adalah kerana pertimbangan-pertimbangan berikut:
1. Formula penilaian GDP sudahpun mengambil kira nilai imbangan pembayaran ekspot dan impot. Oleh itu sekiranya berlaku pergerakan yang marginal atau substantif dalam nilai Ringgit, ianya telah pun diambil kira sebagaimana sepatutnya. Bagi menghasilkan nilai hakiki pertumbuhan 5.8 peratus untuk suku kedua (2Q) 2017, sudah pasti nilai imbangan ekspot impot adalah dalam julat positif.
2. Antara elemen utama dalam penilaian GDP adalah penggunaan dan pelaburan, samada yang dilakukan oleh sektor swasta ataupun awam. Justeru itu bagi menghasilkan pertumbuhan positif, nilai penggunaan dan pelaburan adalah juga positif dan substantif.
Nilai penggunaan dan pelaburan yang kukuh juga mampu untuk menampung imbangan ekspot impot, walaupun jika ianya bernilai negatif bagi membolehkan pertumbuhan positif dihasilkan. Dalam kes GDP untuk 2Q, nilai penggunaan sektor swasta adalah tumbuh pada 7.1 peratus manakala pelaburan pada 7.4 peratus.
3. Ekonomi Malaysia termasuk seluruh struktur dan infrastrukturnya adalah berada dan beredar dalam dinamika eko-sistem Ringgit. Jesteru penilaian yang lebih tepat hanya boleh diwakili dalam Ringgit. Sebarang sensitiviti yang berlaku dalam perdagangan antarabangsa telahpun diambil kira dalam proses penilaian GDP bagi menghasilkan nilai hakiki sebenar.
Oleh itu LEPU perpandangan penilaian GDP haruslah dilakukan dalam nilai Ringgit.
MAZLI NOOR
Timbalan Pengerusi
Lajnah Ekonomi & Pembangunan Usahawan PAS Pusat (LEPU)
06 Zulhijah 1438/28 Ogos 2017 – HARAKAHDAILY 28/8/2017

Monday, 28 August 2017

RCI Forex kena siasat juga sebab rizab negara merosot RM141.64 bilion


BANGI, 5 Zulhijjah 1438H, Ahad – Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin mencadangkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Forex yang sedang bersidang sekarang mengambil kesempatan menyiasat punca kemerosotan rizab Bank Negara sebanyak RM141.64 bilion.
Beliau berkata, dalam tempoh tiga tahun iaitu dari 30 Jun 2014 hingga 30 Jun 2017, rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia jatuh sebanyak AS$32.94 bilion atau kira-kira RM141.64 bilion.
Katanya, pada 30 Jun 2014, rizab negara berjumlah AS$131.86 bilion (RM566.99 bilion), tetapi pada 30 Jun 2017 ia jatuh kepada AS$98.92 bilion (RM425.35 bilion).
“Kita tidak tahu secara sahih apakah punca kemerosotan itu. Ada ramalan kata kerana Bank Negara guna rizab untuk pertahan nilai ringgit dan ada yang kata untuk bayar balik hutang luar negara.
“Boleh jadi kita ambil kesempatan daripada sidang suruhanjaya diraja forex sekarang untuk dapat kepastian apa punca sebenar susutan AS$32.94 bilion itu. Ini jauh lebih besar daripada jumlah yang sedang disiasat,” katanya.
RCI Forex yang mula bersidang beberapa hari lalu, ditubuhkan kerajaan bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara sekitar 1980-an dan 1990-an, iaitu pada masa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri. Ia dipengerusikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang juga Pengerusi PPetronas.
Penubuhan RCI itu dipercayai sebagai usaha membalas dendam pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadap Dr Mahathir yang mengkritik beliau secara keras dan tegas dalam isu penyelewengan dan kehilangan wang 1MDB berjumlah berbilion-bilion ringgit, dan RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi Najib.
Ia juga adalah cubaan mengalih perhatian rakyat terhadap skandal 1MDB yang disiasat di lebih lima negara serta saman sivil oleh Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat (AS), yang kini diubah menjadi jenayah.
Malah, selepas Dr Mahathir mula mengkritik pentadbiran negara, barulah Najib mahu supaya kerugian Bank Negara 25 tahun lalu disiasat. Bukankah kes ini telah disiasat dan individu-individu terbabit telah lama meletak jawatan? Apa pula muslihat Najib menubuhkan suruhanjaya ini?
Kritikan pedas Dr Mahathir terhadap Najib dan pentadbirannya, termasuk mengatakan Perdana Menteri Malaysia adalah pencuri dan perompak wang rakyat, menyebabkan pentadbiran Najib berusaha memadam pelbagai legasi yang ditinggalkan oleh Dr Mahathir dan bertindak ke atas mereka yang rapat dengan bekas Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun itu.
Antaranya, Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh Dr Mahathir kini diganti dengan Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Bekas Ketua Pengarang New Straits Times itu juga berkata, adalah penting anggota RCI Forex faham apa yang mereka lakukan dan mengetahui yang antara lain tugas Bank Negara adalah memastikan kestabilan ringgit.
“Sebab itulah tugas Bank Negara memastikan kestabilan ringgit sangat penting. Apabila nilai ringgit stabil, harga barang dan perkhidmatan pun stabil. Atas dasar itulah semua bank negara di dunia terlibat dengan perniagaan tukaran mata wang (forex),” katanya menulis dalam Sinar Harian, hari ini.
Selain itu, Kadir juga setuju dengan saranan Pengerusi Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM), Tan Sri Dr Lim Wee Chai supaya pertumbuhan ekonomi turut diukur dalam dolar Amerika, bukan sahaja ringgit.
Wee Chai dalam saranannya berkata, ukuran mengikut dolar adalah logik dan lebih tepat kerana Malaysia negara perdagangan dan mata wang utama perdagangan antarabangsanya adalah dolar.
“KDNK berkembang 5.8 peratus pada suku kedua tahun 2017. Tetapi itu dalam nilai ringgit. Jika kita kira ikut Dolar Amerika, KDNK sebenarnya kecut 3.3 peratus sebab kadar tukaran ringgit jatuh sembilan peratus,” katanya.

Sunday, 27 August 2017

Bill Gates kekal individu paling kaya dunia.


Bill Gates


LONDON 25 Ogos - Pengasas Microsoft, Bill Gates kekal pada kedudukan nom­­bor satu dalam senarai Forbes bagi 100 individu paling kaya di dunia dengan jumlah kekayaan sebanyak AS$84.5 bilion (RM361.1 bilion) pada tahun ini.

Gates yang pernah tercicir dari Universiti Harvard, mencatat kali ke-18 sebagai bilionair terkaya di dunia.

Daily Mail melaporkan, tangga kedua menyaksikan pemilik laman web bidaan Amazon, Jeff Bezos, 53, dengan nilai aset sebanyak AS$81.7 bilion (RMM349.1 bilion).

Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg, 33, menjadi individu ketiga paling kaya dengan memiliki aset sebanyak AS$69.6 bilion (RM297.4 bilion).

Forbes mendedahkan, Zuckerberg juga merupakan antara 50 warga Amerika Syarikat (AS) pa­ling kaya dan berpengaruh.

Pada masa yang sama, Zuckerberg dan Bezos kini sudah mula menghampiri nilai aset Gates de­­ngan peningkatan sebanyak AS$15 bilion (RM64 bilion) secara mendadak tahun ini.

Pengasas Oracle, Larry Ellison menduduki tempat keempat de­ngan nilai kekayaan sebanyak AS$59.3 bilion (RM293.4 bilion) sementara Larry Page pula tempat kelima dengan kekayaan berjumlah AS$43.9 bilion (RM187.6 bilion).

Individu lain tersenarai dalam 10 individu terkaya dunia terma­suk Sergey Brin dengan kekayaan AS$42.7 bilion (RM182.4 bilion), ahli perniagaan China, Jack Ma pula mempunyai aset sebanyak AS$37.4 bilion (RM159.8 bilion).

Ahli perniagaan Ma Huateng pula mempunyai AS$36.7 bilion (RM156.8 bilion), Steve Ballmer dengan AS$32.9 bilion (RM140.6 bilion) dan Michael Dell AS$22.4 bilion (RM95.7 bilion).
Individu Paling Kaya Dunia

Bill Gates : RM361.1 bilion
Jeff Bezos : RM349.1 bilion
Mark Zuckerberg : RM297.4 bilion
Larry Ellison : RM293.4 bilion
Larry Page : RM187.6 bilion
Sergey Brin : RM182.4 bilion
Jack Ma : RM159.8 bilion
Ma Huateng : RM140.6 bilion
Michael Dell : RM95.7 bilion

(IH)

Saturday, 26 August 2017

Rasuah: 5 Tahun Penjara Untuk Bos Samsung.



AP - Lee (kanan) meninggalkan sebuah mahkamah di Seoul selepas keputusan perbicaraannya semalam.


SEOUL – Bilionair yang juga ketua konglomerat Samsung Group, Jay Y. Lee dipenjara lima tahun semalam kerana rasuah selepas perbicaraan selama enam bulan yang turut menyaksikan Pre­siden Korea Selatan sebelum ini, Park Geun-hye tumbang.
Lee membayar rasuah bagi mendapatkan ganjaran daripada Geun-hye, demikian menurut keputusan sebuah mahkamah di Seoul yang turut mendapati dia bersalah kerana menyembunyikan aset di luar negara, melesapkan wang dan ber­bohong.
Lee, 49, yang merupakan antara pewaris empayar korporat terbesar di dunia itu ditahan sejak Februari lalu atas dakwaan memberikan rasuah kepada Geun-hye untuk menguasai konglomerat yang memiliki syarikat Samsung Electronics.
Selain menjadi pengeluar telefon pintar dan cip utama dunia, Samsung Electronics memiliki kepentingan dalam pelbagai perniagaan termasuk ubat, perkakasan rumah, insurans dan hotel.
Lee menafikan bersalah, manakala peguamnya, Song Wu-cheol berkata, anak guamnya akan merayu kepada mahkamah lebih tinggi.
“Keputusan ini tidak dapat diterima,” kata Wu-cheol.
Hukuman penjara lima tahun itu merupakan antara yang terpanjang dikenakan terhadap seorang pemimpin perniagaan Korea Selatan.
– Reuters

Jenayah Kewangan: Australia Rugi Lebih AS$28 Bilion Setahun.



AGENSI - IMEJ menunjukkan Commonwealth Bank of Australia.

SYDNEY – Jenayah terancang dalam sektor kewangan mengakibatkan Australia kerugian AS$28.43 bilion (RM161.69 bilion) setahun, kata pihak berkuasa perisikan jenayah semalam.
Pengubahan wang haram menjadi ancaman utama berikutan peningkatan perbankan online dan mata wang digital, kata Suruhanjaya Pe­risikan Jenayah Australia (ACIC) dalam satu laporan berhubung jenayah terancang di negara itu.
Kerajaan Australia pada awal bulan ini menuduh bank kedua terbesar di negara itu, Commonwealth Bank of Australia melanggar undang-undang kewangan kerana terlibat dalam pengubahan wang haram.
Kerajaan juga bimbang teknologi penyulitan data termasuk penyulitan mata wang membolehkan transaksi kewangan dilakukan tanpa dikesan sekali gus mendorong aktiviti jenayah dan perbuatan mengelak cukai.
“Bitcoin, contohnya boleh diniagakan tanpa pendedahan identiti dan nilainya setara dengan wang tunai. Mata wang maya ini diniagakan di kebanyakan bursa utama,” kata Menteri Keadilan, Michael Keenan semalam.
Dalam laporannya, ACIC turut mengetengahkan tentang peningkatan aktiviti pengubahan wang haram melalui pertaruhan sukan.
Menurutnya, beberapa sindiket jenayah antarabangsa kini memiliki perniagaan pertaruhan secara online. – Reuters

Friday, 25 August 2017

Tidak Tahu BNM Rugi RM30 Bilion -Tan Sri Annuar Musa


Kabinet 1993 Tak Tahu BNM Rugi RM30 Bilion

BONGKAR… Tan Sri Annuar Musa menjelaskan Kabinet pada 1993 tidak tahu kerugian RM30 billion akibat skandal tukaran wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) ketika zaman Mahathir Mohamad.

Ketua Penerangan UMNO itu dalam sidang media Pasca Mesyuarat Majlis Tertinggi 2017 berkata, perkara tersebut telah dibincangkan di luar pengetahuan barisan Kabinet lain.
Dikatakan hanya beberapa individu sahaja mengenai perkara itu, iaitu Mahathir sendiri dan menteri kewangan pada waktu itu, Anwar Ibrahim. Ketika itu, Annuar merupakan Menteri Pembangunan Luar Bandar sehingga 1999.
“Pemimpin DAP, Lim Kit Siang telah membawa perkara itu di dalam Parlimen tentang forex seawal tahun 1994 yakni setahun setelah dikatakan ada kerugian besar berlaku.
“Tapi waktu itu hatta saya dalam Kabinet pun tak diberitahu dan kita merasakan waktu itu kerana perkara itu tak di brief oleh kabinet, maka kita tak tahu pun perkara itu serius sebab perkara itu dibuat di luar pengetahuan Kabinet.
“Selepas itu 12 tahun kemudian iaitu pada 2006, Kit Siang berucap dalam Parlimen supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) diadakan dan dia telah berikan figure yang lebih detail lagi.
“Dia antara orang pertama yang memberi gambaran jumlah kerugian daripada Forex Trading boleh mencecah setengah daripada reserve BNM. Kabinet tak diberitahu tentang perkara ini.
“Yang tahu mungkin menteri kewangan dan PM sahaja (Mahathir) pada waktu itu,” katanya dalam satu sidang media khas di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pada Jumaat.
Terdahulu, tokoh veteran DAP itu pernah berkata bahawa RCI perlu ditubuhkan bagi mendedahkan laporan pasukan petugas khas berkenaan kerugian BNM akibat dagangan mata asing.
Ia juga bertujuan untuk menyiasat kerugian AS$10 bilion (bersamaan RM42 bilion mengikut kadar tukaran semasa, tetapi RM25 bilion ketika itu) yang dialami bank pusat itu antara 1991 dan 1993.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Annuar berkata kerugian tersebut telah disahkan dalam siasatan yang dijalankan kini dan pastinya jumlah wang tersebut tidak dapat dikembalikan sampai bila-bila.
Forex adalah kerugian sebenar separuh dari reserve BNM pada 1993. Ini satu peristiwa rekod dunia, besar, tidak pernah ada dalam negara mengalami kerugian dalam forex trading separuh daripada reserve.
“Pada 1993, reserve BNM kira-kira berjumlah RM60 billion, kerugian ini disahkan dalam siasatan yang sedang berjalan sekarang berjumlah RM30 billion,
“Ini bermakna kerugian tersebut adalah kerugian sebenar yang tidak boleh dapat balik sampai bila-bila. Tapi pun Malaysia masih lagi tidak bankrap sehingga kini.
“Tahu reserve BNM kita berapa sekarang? Melebihi RM400 bilion di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak,” ujar Annuar lagi.
Maka jelas Annuar lagi, penubuhan RCI itu adalah bergantung kepada permintaan rakyat meskipun ia pada asalnya adalah desakan daripada DAP sendiri.
Begitu juga perisitiwa berdarah Memali yang didesak turut ditubuhkan RCI, Annuar berkata kerajaan tidak menolak namun akan kaji sentimen rakyat dan juga keperluan yang kadang kala berubah mengikut masa.
“Kalau permintaan DAP kita layan, jadi permintaan PAS pun kita kena layanlah namun kita akan mengambil kira semua aspek dalam hal ini,” tambah Annuar. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA