Monday, 9 October 2017

1.7 Juta Rakyat M'sia Tertipu Dengan 27 Skim Pelaburan Palsu.





















INILAH sebahagian kereta yang dirampas daripada suspek skim Krubal.

KUALA LUMPUR – Polis menganggarkan seramai 1.7 juta rakyat Malaysia tertipu dengan 27 skim pelaburan palsu yang menjanjikan pulangan lebih 100 peratus dalam tempoh Julai 2013 sehingga September lalu.
Dalam tempoh hampir lima tahun itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menganggarkan sindiket skim pelaburan tersebut telah mengaut keuntungan kira-kira RM4.4 bilion daripada mangsa-mangsanya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, dalam tempoh Julai 2013 hingga September lalu, pihaknya menerima lebih 2,500 laporan membabitkan 1.7 juta mangsa yang terjebak dengan kes-kes skim pelaburan palsu.
Menurut beliau, daripada 27 skim pelaburan yang dikesan, skim pelaburan JJ Poor To Rich mencatatkan kerugian paling besar iaitu membabitkan RM1.2 bilion dengan jumlah mangsa seramai 500,000 orang.
“Bagaimanapun, polis sehingga September lalu hanya menerima 14 laporan daripada mangsa yang melibatkan kerugian sebanyak RM78,660. Sebanyak 10 kertas siasatan dibuka berkaitan skim tersebut.
“Kami anggarkan skim pelaburan JJ Poor To Rich telah mengutip wang mang­sa yang ditipu sehingga mencecah RM1.2 bilion dari April 2015 sehingga Jun lalu ” kata beliau.
Acryl Sani memberitahu, kerugian kedua tertinggi dicatatkan oleh skim pelaburan Mface atau MBI International Group dengan nilai mencecah RM700 juta.
“Seramai 350,000 orang dipercayai menjadi mangsa kepada skim pelaburan Mface tetapi polis hanya menerima dua laporan setakat ini,” ujarnya.

Saturday, 7 October 2017

Ekspo Kerjaya Menipu, Libat Nama Syarikat Besar


HARAPAN palsu mendapatkan pekerjaan benar-benar menyakitkan hati kepada graduan mahupun penganggur yang sekian lama menantikan pekerjaan.

Semalam, seorang peserta Expo Kerjaya Terbesar Zon Utara 2017 di Alor Setar, Kedah telah mendedahkan pengalaman ‘manisnya’ ketika mengadiri acara yang diadakan dari 30 September hingga 1 Oktober yang lalu.
Lebih malang menurutnya, ekspo secara besar-besaran itu dikatakan telah berjaya menipu ramai pengunjung apabila mereka dikenakan pula bayaran sebanyak RM10 bagi mendapatkan borang permohonan kerja.
Gadis yang dikenali sebagai Awin itu mendakwa bahawa sebanyak 5,000 jawatan daripada syarikat terkemuka sedia menanti calon yang bertuah dan berjaya melepasi empat sesi dikendalikan oleh pihak penganjur.
Difahamkan lagi, setiap seorang perlu membeli sekurang-kurangnya lima borang supaya peluang untuk mendapatkan pekerjaan itu menjadi lebih cerah.
“Saya bukan sengaja mahu mensensasikan perkara ini tetapi saya terpanggil untuk menjelaskan situasi sebenar yang perlu dilalui orang ramai semasa hendak menghadiri expo tersebut.
“Bukan sahaja kecewa tetapi saya rasa dianiayai,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda Kewangan dari Universiti Teknologi Mara(UiTM) Kedah tersebut.
Mereka malah perlu beratur selama dua jam untuk ke sesi kedua taklimat ekspo karier itu. Difahamkan akaun Facebook penganjurnya, Jobsitu.com Malaysia hanya didaftarkan 18 Julai, iaitu tiga bulan sebelum ekspo ini diadakan.
Tiada sebarang maklumat daripada pangkalan data Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berkaitan syarikat terbabit. Walaupun akaun Facebook itu masih lagi baru, namun mereka sudah ada lebih 220,000 pengikut dalam masa singkat.
“Saya pernah pergi banyak ekspo karier sebelum ini tapi inilah kali pertama saya berdepan dengan situasi graduan perlu membeli borang untuk memohon pekerjaan.
“Ekspo karier di KL, lebih besar berbanding di sini tapi saya tidak perlu keluar satu sen pun untuk beli borang. Dari situ, saya menyedari seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena dengan ekspo ini.
“Kasihan dekat mereka yang datang dari jauh sambil ditemani orang tua dan adik-adik kecil yang terpaksa berdiri lama dalam keadaan panas terik,” katanya ketika dihubungi mStar Online.
Malah, ramai orang awam yang menghadiri ekspo itu turut meluakan rasa kekesalan mereka kerana diberikan harapan palsu mengenai pekerjaan yang ‘ditawarkan’ kepada pengunjung.
Apa yang lebih menyakitkan hati adalah apabila staf bertugas memaklumkan borang yang dibeli akan dihantar melalui pos ke alamat yang telah diberikan.
Tambahan pula, staf sendiri yang akan menjadi wakil untuk menghantar borang permohonan graduan kepada syarikat yang telah dimohon.
Tertera di poster itu menunjukkan banyak syarikat besar seperti Sime Darby, Air Asia, Grab, Nestle, Petronas, Celcom, Maybank, Tenaga Nasional, Intel, Proton dan TM.
Namun, sayang seribu kali sayang apabila syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Bhd telah menafikan penglibatan syarikat itu pada ekspo tersebut.
“AirAsia ingin mengesahkan bahawa syarikat ini tidak ambil bahagian dalam ekspo kerjaya anjuran Jobsifu.com Malaysia yang diadakan di Alor Setar, Kedah bermula 30 September hingga 1 Oktober lalu,” demikian menurut kenyataan itu.
Malah, penganjur tersebut turut menggunakan logo syarikat berkenaan tanpa kebenaran dan persetujuan syarikat penerbangan tambang rendah itu.
Orang ramai boleh membuat laporan atau berhubung dengan AirAsia menggunakan saluran komunikasi rasmi syarikat itu di www.facebook.com/airasia; www.twitter.com/airasia dan www.airasia.com/ask, katanya dipetik daripada mStar Online.
Selain itu, syarikat yang menawarkan perkhidmaran e-hailing, Grab turut menyangkal dakwaan penglibatan syarikat tersebut dalam ekspo berkenaan.
“Kami tidak membuat sebarang promosi tawaran pekerjaan ketika ini,” kata Pengurus Komunikasi Grab Malaysia, Regina Robin.
Tiada tawaran pekerjaan di Grab Malaysia, cuma yang ada hanya tawaran kod promosi bagi mengurangkan kesesakan ke lokasi tersebut di atas permintaan penganjur.
“Kami hanya diminta untuk menyediakan kod promosi bagi kemudahan pengangkutan sahaja, bukan syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan,” tambah mereka lagi.
Ternyata penipuan yang dilakukan oleh pihak penganjur merupakan satu perkara yang tidak boleh diterima kerana mereka seolah-olah mempergunakan nama syarikat besar bagi menarik minat orang awam menyertai ekspo itu.
Apa pula nasib kesemua peserta yang telah menghadiri expo penipu itu? Lepas ini anda dinasihatkan untuk lebih berhati-hati dengan iklan ekspo kerja.
Bukan apa, takut erja tah kemana, masa pun dah terbuang. Akhirnya duit juga yang dah melayang.  Lapor MYNEWSHUB.CC 

Tuesday, 3 October 2017

Jagung Hitam, Baik Untuk Pengidap Kencing Manis.


Jagung 'Kurang Manis' Sesuai Pesakit Kencing Manis

SERDANG – Penghidap kencing manis yang gemar makan jagung namun terpaksa menahan selera kerana kandungan gulanya yang agak tinggi, kini mempunyai alternatif baharu.

Ini apabila jagung hitam atau waxy corn supreme, dikenal pasti sebagai sesuai untuk diet golongan itu, dedah Pengarah Bahagian Hortikurtur Jabatan Pertanian Malaysia, Abdul Daut ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Ujar beliau lagi, baka jagung berwarna ungu kehitaman dengan nama saintifik ‘Zea May‘ itu adalah kurang manis berbanding baka jagung biasa berwarna kuning yang terdapat di pasaran tempatan dan seluruh dunia.
Kadar kemanisan jagung hitam boleh disifatkan ‘jauh lebih sedikit’ jika dibandingkan dengan jagung lain sekali gus cukup sesuai untuk penghidap kencing manis yang perlu kawal pengambilan makanan manis dalam diet mereka.
“Mengikut kajian perkiraan darjah kemanisan buah mengunakan alat ‘Brixmeter’, jagung kuning mempunyai tahap kemanisan mencecah 15 Brix berbanding jagung hitam yang hanya dalam kiraan sembilan hingga 10 Brix.
“Jagung hitam juga memiliki kadar antioksidan tinggi yang baik untuk kesihatan tubuh badan manusia,” kata Abdul di Taman Ekspo Pertanian Malaysia di sini. Untuk rekod Brix merupakan unit sukatan tahap kemanisan buah.
Tanaman jagung hitam jelasnya, lebih cepat matang dan masak berbanding jagung biasa dengan hasil boleh dituai dalam masa 60 hari berbanding baka lain yang memerlukan tempoh lebih lama iaitu antara 70 hingga 80 hari.
Bagaimanapun, Abdul berkata oleh kerana rasanya yang kurang manis, jagung hitam pada asasnya agak kurang mendapat permintaan dalam pasaran tempatan dan tidak begitu dikomersialkan oleh pekebun tanaman itu sendiri.
“Jagung hitam malahan agak sukar didapati selain kurang dikenali masyarakat di negara ini dan pada kebiasaannya hanya ditanam oleh orang persendirian di beberapa kawasan tertentu,” kata beliau. – Bernama

Syarikat Penerbangan Britain Muflis.


 REUTERS - PESAWAT Monarch Airlines dilihat di Lapangan Terbang Luton di Britain semalam.
LONDON – Syarikat pe­nerbangan Monarch Airlines menghentikan operasinya semalam sekali gus memaksa campur tangan kerajaan Britain untuk membawa pulang seramai 110,000 penumpangnya yang terkandas di luar negara.
Syarikat penerbangan Britain itu dan agensi pelancongannya memasuki fasa muflis dan firma perakaunan KPMG dilantik menguruskan situasi tersebut.
Pihak Berkuasa Pe­nerbangan Awam (CAA) menyifatkan situasi itu sebagai ‘kegagalan syarikat penerbangan United Kingdom (UK) paling besar’ sambil menambah ‘semua percutian dan pe­nerbangan yang disediakan oleh Monarch dibatalkan dan tidak lagi beroperasi’.
Menurut CAA, kerajaan telah meminta pihaknya membantu pelanggan Monarch yang berada di luar negara untuk kembali ke UK pada penghujung percutian mereka tanpa dikenakan kos tambahan.
Sementara itu, kerajaan UK berkata, ia sedang menguruskan operasi membawa pulang rakyatnya yang disifatkan terbesar selepas Perang Dunia Kedua.
“Keadaan ini sangat menyedihkan bagi pelancong Britain di luar negara dan keutamaan saya adalah untuk membantu mereka kembali ke UK.
“Itulah sebabnya saya segera mengarahkan operasi penghantaran pulang untuk menerbangkan kira-kira 110,000 penumpang yang mungkin terkandas di luar negara,” kata Setiausaha Pengangkutan, Chris Grayling dalam satu ke­nyataan.
Sementara itu, peningkatan kos dan pasaran yang semakin kompetitif terutamanya melibatkan laluan jarak dekat di Eropah menyebabkan Kumpulan Monarch mengalami kerugian berterusan,” kata rakan kongsi dan pentadbir bersama KPMG, Blair Nimmo.
Lebih 2,000 pekerja Mo­narch kini berisiko hilang pekerjaan mereka.
– AFP

Monday, 2 October 2017

Ini, Peluang Bisnes Dari Masjid, Sambutlah!


KUALA TERENGGANU – Masjid yang mempunyai lebihan dana terutama di kawasan bandar-bandar Terengganu disaran mewujudkan satu pusat perniagaan yang menawarkan pelbagai perniagaan kategori perkhidmatan kepada masyarakat setempat sebagai jihad ekonomi umat Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia & Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata antara perniagaan perkhidmatan yang boleh beroperasi di masjid ialah seperti dobi layan diri dan mencuci kereta.
“Banyak manfaat bakal diperoleh oleh pihak pengurusan masjid iaitu menjana keuntungan yang boleh dipulangkan semula kepada penduduk di mukim itu terutama golongan susah dan fakir miskin.
“Bagi pelanggan pula, mereka boleh meluangkan masa sementara menunggu pakaian atau kereta itu siap dicuci untuk mengikuti ceramah, kelas usrah atau melakukan ibadah yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai dobi khas untuk umat Islam yang menjadi kontroversi di Johor baru-baru ini.
Ghazali yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Ajil berkata perkara itu perlu dilihat dengan lebih positif tanpa melibatkan isu perkauman.
“Kewujudan perniagaan kategori perkhidmatan di masjid ini sangat tepat pada masanya terutama untuk golongan wanita yang akan berasa lebih selamat.
“Ini kerana masjid selalunya sentiasa dipenuhi ramai jemaah sepanjang masa dan ini boleh mengurangkan kadar jenayah seperti ragut dan pecah kereta.
“Selain memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak mukim, perkhidmatan ini juga sangat diperlukan oleh golongan bermusafir yang sering singgah di masjid-masjid untuk berehat.
“Keutamaan perkhidmatan adalah kepada penduduk Islam setempat namun kita tidak menghalang penduduk bukan Islam untuk turut mendapat perkhidmatannya kerana Islam itu adalah agama rahmat untuk semua manusia dan sekelian alam,” katanya. – BERNAMA

Friday, 29 September 2017

2016 Lahirkan Paling Ramai Jutawan..



BILANGAN jutawan di seluruh dunia melebihi 6 juta orang dalam tahun 2016. – Gambar Hiasan

HONG KONG – Bilangan jutawan di seluruh dunia meningkat hampir 8 peratus tahun lalu sekali gus menjadi angka tertinggi sepanjang zaman membabitkan kira-kira 16.5 juta orang dengan kekayaan terkumpul mencecah AS$63.5 trilion (RM268.6 trilion), kata firma perunding global, Capgemini dalam satu laporan yang dikeluarkan baru-baru ini.
Aset individu dengan kekayaan bersih tinggi (HNWI) yang didefinisikan oleh Capgemini sebagai mereka yang mempunyai aset boleh labur bernilai AS$1 juta (RM4.2 juta) atau lebih tinggi, menokok 8.2 peratus dalam 2016 dan dijangka melepasi angka AS$100 trilion (RM423 trilion) menjelang tahun 2025.
Menurut laporan tersebut, kira-kira 1.15 juta orang menjadi jutawan baharu pada tahun lalu.
Amerika Syarikat(AS), Jepun, Jerman dan China mencatat paling ramai jutawan dengan ketiga-tiga negara itu merangkumi hampir dua pertiga bilangan jutawan di dunia.
Di AS pula, bilangan jutawan bertambah daripada 4.46 juta kepada 4.8 juta orang, manakala jumlah jutawan di China meningkat kepada 1.13 juta berbanding kira-kira sejuta orang.
Rantau Asia-Pasifik, Eropah dan Amerika Utara menyumbang sama rata kepada peningkatan kekayaan itu dengan Rusia, Brazil serta Kanada mengubah trend penurunan bilangan jutawan yang berlaku setahun lalu, kata Capgemini.
Rusia yang dibantu pemulihan dalam pasaran sahamnya, menyaksikan bilangan jutawan di negara itu dan kekayaan mereka bertambah sebanyak 20 peratus.
Perancis mengatasi Britain dalam aspek bilangan jutawan pada kedudukan lima teratas, manakala Sweden mengambil alih tempat ke-25 daripada Singapura. – Reuters

Monday, 18 September 2017

Petronas Nafi Akan Buang 5,000 Pekerja

Petronas Catat Untung
KUALA LUMPUR- Petronas pada Sabtu menafikan dakwaan seorang blogger bahawa syarikat merancang untuk memberhentikan 5,000 pekerja pada tahun depan dalam apa yang dikatakan sebagai satu lagi pusingan “pengurangan kakitangan” di seluruh kumpulan.
Dalam satu kenyataan di sini, syarikat minyak nasional itu menafikan sepenuhnya dakwaan blogger Syed Akbar Ali di laman web OutSyed the Box.
Menurut syarikat minyak itu, proses semakan semula perniagaan kumpulan yang dijalankan tahun lepas telah membabitkan 2,300 pekerjaan seperti yang diumumkan sebelum ini dan pada masa ini tidak ada rancangan untuk melaksanakan satu lagi proses berskala sedemikian.
“Petronas, bagaimanapun, komited untuk membina budaya kerja berprestasi tinggi di mana pengoptimuman tenaga kerja dan penyelarasan berfungsi merupakan proses berterusan yang memerlukan keupayaan dan akauntabiliti yang lebih tinggi serta penilaian prestasi yang lebih ketat dalam kalangan pekerjanya,” katanya. – Bernama