Friday, 17 November 2017

Harga Minyak Dunia Terus Jatuh, Harga Minyak M'sia Naik



London: Walaupun harga minyak di stesen-stesen di Malaysia naik sebanyak 7 sen, namun, harga minyak mentah jatuh untuk hari keempat dagangan secara berturut-turut selepas simpanan minyak mentah dan gasolin Amerika Syarikat mengalami peningkatan tidak dijangka. 

Menurut Reuters, harga minyak kekal menerima tekanan berdasarkan jangkaan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) minggu ini yang membayangkan pertumbuhan lebih perlahan dalam permintaan minyak mentah global. 

Penanda aras minyak mentah global Brent LCOc1 turun 19 sen kepada AS$62.02 satu tong, selepas jatuh 1.5 peratus pada Selasa, kejatuhan satu hari terbesar dalam sebulan. 

Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) akan bermesyuarat 30 November ini dan dijangka bersetuju melanjutkan pemotongan pengeluaran yang dipersetujui sebelum ini. (IH)

Tuesday, 14 November 2017

Banyak Projek Rumah Siap Tak Terjual, Harga Dijangka Turun?



PUTRAJAYA: Kerajaan tidak menolak kemungkinan harga rumah bakal turun ekoran berlakunya trend unit kediaman siap dibina tidak terjual atau overhang yang meningkat sebanyak 40 peratus.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Lee Chee Leong berkata, sebanyak 20,807 unit kediaman bersamaan nilai RM12.26 bilion tidak terjual manakala kondominium berharga melebihi RM500,000 mendominasi overhang.


"Namun, itu terpulang kepada pihak pemaju sendiri yang perlu mengambil kira permintaan dan penawaran," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Taklimat Pasaran Awalan Harta Tanah 2017 di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Nordin Daharom.
Chee Leong berkata, pasaran hartanah tahun ini menunjukkan perkembangan yang baik walaupun berhadapan ketidaktentuan politik global dan persekitaran ekonomi mencabar.

Katanya, prestasi pasaran hartanah semasa mencatatkan penurunan pada kadar lebih kecil berbanding tahun sebelumnya.

"Untuk separuh tahun pertama 2017, jumlah bilangan transaksi direkodkan melebihi 150,000 iaitu penurunan enam peratus berbanding 12.3 peratus pada tempoh sama tahun lalu.

"Jumlah nilai transaksi pula direkodkan RM67 bilion iaitu meningkat 5 peratus berbanding penurunan 12 peratus dalam tempoh sama," katanya. (IH)

Festival Halal S'gor 2017 di Bandar Baru Bangi dijangka meriah.


Hasil carian imej untuk Festival Halal Selangor 2017
SHAH ALAM, 13 NOV: Festival Halal Selangor 2017 yang diadakan di Taman Tasik Cempaka, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi dijangka meriah dengan pelbagai tarikan yang disediakan, pada 29 November hingga 3 Disember ini.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, antaranya hampir 156 gerai jualan dibuka termasuk kira-kira 30 ‘food truck’ yang diadakan sepanjang festival itu berlangsung.
“Festival ini dirasmikan Dato’ Menteri Besar pada 30 November ini di pentas utama di Taman Tasik Cempaka. Festival ini acara tahunan dan julung kalinya diadakan di luar Shah Alam dengan tujuan mendekati segenap masyarakat dengan membawanya lebih dekat dengan mereka supaya lebih memahami objektif ia diadakan.
“Antara objektif festival ini diadakan adalah untuk mempromosikan logo halal Selangor dan premis atau syarikat yang berjaya diberikan pensijilan halal ini. Selain itu, ia mendidik masyarakat supaya lebih peka terhadap halalan toiyibban atau halal dan baik terutama sekali membabitkan makanan, barang masakan, perubatan atau alat solek,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim, di lobi Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.
Katanya, festival anjuran JAIS melalui Bahagian Pengurusan Halal Selangor itu turut menampilkan acara lain seperti Ceramah Santai Ustaz Azhar Idrus, Berbalas Pantun Bertemakan Halal, Kursus Persembelihan Halal Bukan Komesial, Bual Bicara Halal Tanggungjawab Bersama dan Sembang Santai Bersama Heliza Helmi.
“Orang ramai khususnya masyarakat di Bandar Baru Bangi jangan lepaskan peluang ini untuk bersama memahami konsep sebenar halalan toiyban,” katanya. (TKO)


Jualan ‘Hari Bujang ‘ Alibaba catat kutipan lebih AS$25 bilion



AGENSI - GAMBAR menunjukkan logo firma Alibaba di Hangzhou, China

BEIJING – Pembeli online di China membelanjakan lebih AS$25 bilion (RM104 bilion) sekali gus rekod baharu semasa promosi Hari Bujang tahun ini yang dikendalikan gergasi e-dagang, Alibaba, meningkat hampir 40 peratus berbanding tahun lalu.
Alibaba berkata, sebanyak 256,000 pembayaran sesaat diproses pada waktu puncak promosi itu kelmarin, manakala lebih 90 peratus pembelian dibuat melalui telefon bimbit.Jualan kasar ekstravaganza tahunan dikenali sebagai ‘11 Berganda’ bagi mewakili tarikh 11 November itu mencecah AS$25.3 bilion (RM105.9 bilion), kata Alibaba dalam satu kenyataan di laman webnya.
Angka itu mewakili jualan yang diproses menggunakan sistem pembayaran online Alibaba, Alipay.
Jumlah jualan keseluruhan pada hari berkenaan meningkat 39 peratus berbanding perolehan AS$17.8 bilion (RM74.5 bilion) tahun lalu.
Rekod jualan pada 2016 tersebut dipadamkan dalam tempoh kurang 14 jam.
Agensi berita rasmi China, Xinhua melaporkan bahawa lebih 140,000 jenama luar negara turut menyertai promosi jualan Hari Bujang pada tahun ini. – AFP

Saturday, 11 November 2017

Lagi Kedai Larang Bukan Muslim Masuk Tetapi…




JOHOR BAHRU – Selepas masyarakat bukan Islam kecoh dengan sebuah kedai dobi di Muar yang beroperasi secara ‘mesra Muslim’, kali ini sebuah kedai terapi kesihatan juga guna kaedah sama.

Premis milik syarikat Kyosei terletak di Larkin Perdana di sini itu mencetuskan kontroversi selepas ia menayangkan notis di pintu masuknya yang jelas menyatakan hanya orang Melayu warga Malaysia dibenarkan berurusan.
Menurut laporan akhbar China Press, kedai tersebut menjual barangan kesihatan dari Jepun dan produk rumah. Kedai itu juga dikatakan hanya menggunakan bahasa Melayu dalam menjalankan segala “aktiviti promosinya”.
Notis makluman dicetak dalam bahasa Melayu dan Mandarin turut ditampal di luar kedai tersebut dengan menyatakan: “Harap maklum bahawa kami hanya menggunakan bahasa Melayu dalam semua aktiviti promosi.
“Hanya warganegara Malaysia berbangsa Melayu dibenarkan masuk. Kami minta maaf atas segala kesulitan.” Manakala notis dalam bahasa Mandarin pula ia berbunyi: “Pelanggan Cina digalakkan untuk cari lokasi cawangan.”
Pengurus cawangan tersebut yang enggan didedahkan namanya memberitahu China Press bahawa syarikat itu sudah mempunyai ramai pelanggan Cina dan kini mula memberi fokus segmen pasaran kepada Melayu pula.
Bahkan Kyosei ada membuka cawangan di Ipoh, Perak dan Kuala Lumpur selain sekitar Johor sendiri yang hanya menggunakan bahasa Melayu untuk lebih mudah berkomunikasi dengan pelanggan daripada bangsa itu sahaja.
Tinjauan mendapati lebih 50 pelanggan Melayu memenuhi premis tersebut untuk mendengar taklimat dengan hanya perlu membayar RM1 sebelum mereka kemudian diberikan pek cenderamata berupa serbuk kopi dan biskut.
Namun beberapa pekedai bukan Melayu di premis bersebelahan pula berbelah pendapat mengenai operasi Kyosei dengan ada menyifatkan ia berbaur rasis tetapi ada anggap itu hak pemilik yang tidak salah dari segi peraturan.
Pengurusnya menjelaskan bahawa syarikatnya itu tidak mempraktikkan “diskriminasi kaum” kerana mereka tetap ada beberapa cawangan lagi di Johor dan negeri-negeri lain yang memang khusus hanya untuk pelanggan Cina.
Meskipun bimbang mengenai kewujudan kedai sebegitu di Johor yang kebanyakan penduduknya bangsa Melayu, beliau mengatakan ia merupakan strategi pemasaran syarikat dan bukan bertujuan mengasingkan pelanggan Cina.
Bulan lalu, Sultan Johor mengancam menutup sebuah kedai dobi di Muar selepas meletakkan tanda di luar kedainya yang berbunyi “Mesra Muslim” bahkan mendakwa Johor bukan negeri Taliban. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
* Video bawah sekadar hiasan

Friday, 10 November 2017

Malaysia tidak harus tunduk kepada TPP baharu. -CAP



DALAM beberapa hari lagi, Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan membuat keputusan besar bagi pihak Malaysia sama ada untuk menyertai negara lain untuk menghidupkan kembali dan menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPP) baharu tanpa Amerika Syarikat (AS).
Mereka akan bermesyuarat di Danang, Vietnam, di mana 11 negara TPP yang masih kekal (termasuk Malaysia) akan bertemu untuk bersetuju terhadap teks baharu TPP, yang mana mereka berharap akan ditandatangani di Danang oleh pemimpin politik dalam beberapa hari ini.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan untuk tidak menyertai TPP yang akan mempunyai 11 ahli (TPP-11) tanpa Amerika Syarikat (yang telah menarik diri daripada TPP). Kami kekal berpendirian bahawa tidak perlu untuk menyertai TPP apabila manfaat utama (iaitu akses kepada pasaran AS) tidak lagi diperolehi, manakala kos menyertainya akan menjadi lebih serius.
Sekurang-kurangnya, Malaysia perlu membuat tuntutan dalam perbincangan di Danang yang sedang berlangsung berhubung beberapa bahagian draf TPP yang sedia ada terutama sekali yang merosakkan kepada Malaysia perlu dibuang atau digantung.
Menurut laporan media, banyak negara daripada TPP-11 kini mencadangkan untuk “menggantung” bab atau bahagian draf TPP asal yang mereka dapati tidak munasabah, disebabkan ia ada dalam teks dengan desakan daripada Amerika Syarikat. Kini AS tidak lagi ahli TPP, bahagian teks yang dicadangkan oleh AS dan mendesaknya sebagai pertukaran bagi akses ke pasaran AS perlu dikeluarkan daripada teks TPP baharu.
Dalam konteks ini, CAP merasakan bahawa Malaysia perlu mendesak pembuangan atau pergantungan seperti berikut:

1.    Bab mengenai pelaburan yang mengandungi sistem penyelesaian pertikaian pelabur negara (ISDS) yang membenarkan pelabur asing menyaman kerajaan bagi dakwaan kehilangan keuntungan masa depan dalam tribunal asing. Banyak negara telah diminta membayar beratus juta atau berbilion dolar AS kepada pelabur asing disebabkan klausa ini. Sesetengah negara TPP-11 termasuk New Zealand kini meminta pergantungan klausa ISDS.  Malaysia juga seharusnya mendesak pergantungan itu dan tidak seharusnya berdiam diri mengenai isu ini.
2.    Bab harta intelektual juga mempunyai beberapa klausa berbahaya yang akan menjejaskan pengguna dan petani Malaysia.  Malaysia seharusnya mengambil peranan utama dalam meminta penghapusan klausa yang menjadikan mustahil atau sukar untuk menjadikan kelonggaran dalam undang-undang paten negara yang membolehkan penggunaan ubatan generik, seperti langkah terbaik baru-baru ini oleh kerajaan untuk menjadikan ubatan Hepatitis C boleh diperolehi pada kos RM1,000 bagi seorang pesakit berbanding RM300,000 yang perlu dibayar oleh pesakit.
Malaysia juga perlu mendesak supaya dihapuskan dari teks TPP yang memerlukan negara untuk tidak membenarkan undang-undang negara yang menolak paten yang diberikan bagi penemuan bukan asli atau untuk memberikan tambahan tahun bagi paten, atau klausa lain yang melewatkan atau mencegah penggunaan generik yang lebih murah.
Malaysia juga seharusnya mendesak supaya dibuang klausa TPP sedia ada yang memerlukan negara TPP untuk menyertai UPOV-1991, satu perjanjian antarabangsa yang menjadikan kesukaran bagi petani kita untuk menggunakan benih termasuk yang disimpan daripada musim penanaman semasa. Malaysia sejak berdekad enggan untuk menyertai UPOV-1991, tetapi perlu menyertainya jika teks TPP tidak diubah.
3.    Malaysia juga perlu mendesak pergantungan terhadap bab Pemerolehan Kerajaan dan Syarikat Milik Kerajaan (SOE).   Bab pemerolehan melarang atau menjadikan sukar bagi negara mempunyai dasar sendiri dalam memberikan pemerolehan kerajaan bagi projek dan bekalan produk dan perkhidmatan memandangkan TPP memerlukan syarikat daripada negara TPP lain diberikan hak yang sama sepertimana syarikat tempatan. Bab SOE memerlukan negara TPP mengenakan syarat  berhubung cara syarikat berkaitan kerajaan beroperasi termasuk dasar pemerolehan mereka, kemampuan mereka untuk memperolehi pinjaman atau ekuiti daripada kerajaan dan sebagainya. Ini menyentuh isu yang amat sensitif yang menjejaskan kedaulatan negara.  Malaysia melalui rundingan awal TPP cuba untuk menentang bab ini. Kini AS tidak lagi berada dalam TPP, Malaysia seharusnya mendesak pergantungan atau penghapusan bab ini. Konsesi yang diberikan kepada Malaysia dalam TPP asal tidak mencukupi untuk melindungi kemampuan negara untuk membuat dasar berhubung isu utama ini.
4.    E-dagang. Bab E-dagang amat kontroversi memandangkan ia melibatkan isu seperti kerahsiaan data dan sama ada negara boleh memerlukan data (yang merupakan nyawa kepada e-dagang) boleh disimpan dalam lokasi negara daripada di luar negara. Sesetengah negara TPP-11  mendesak isu sensitif ini tidak dimasukkan dalam TPP, kini penyokong utama (AS) tidak lagi berada dalam TPP. Malaysia seharusnya menyokong pergantungan bab e-dagang ini.

Malaysia seharusnya tidak tergesa-gesa bersetuju dengan teks baharu TPP-11 dalam beberapa hari ini di Danang. Banyak isu besar penting negara menjadi pertaruhan. CAP menuntut Malaysia menarik diri dari TPP terutama sekali sejak manfaat akses kepada pasaran AS kini tidak diperolehi. Tetapi sekurang-kurangnya, ia perlu berpendirian dengan tegas dan mendesak penghapusan atau pergantungan bab dan bahagian teks TPP yang bertentangan dengan kepentingan negara, termasuklah yang disenaraikan di atas. – HARAKAHDAILY 10/11/2017

PPIM Bongkar Kopi Pak Belalang Pula..



PPIM Kembali lagi, kali ini dengan Skim Kopi Pak Belalang yang telah memperdaya lebih 300 ribu mangsa seluruh Malaysia, di serbu oleh PPIM yang diketuai oleh saudara Yusuf Azmi daripada UTK PPIM. 

Skim MLM Kopi Pak Belalang yang diserbu PPIM didakwa menjalankan kutipan wang tidak berlesen dengan menjanjikan pulangan wang berganda kepada para pelabur. 


Ada yang melabur Rm5000 dan ada paling banyak sehingga Rm 3.8 juta. Ada juga laporan di mana ada pelabur yang disaman balik oleh kopi pak belalang sebanyak 17 juta.

PPIM telah memberi masa 7 hari untuk CEO Kopi Pak Belalang iaitu Dato’ Sri Dr Rozaini Hasan untuk menjelaskan tuduhan oleh mangsa-mangsa syarikat tersebut.

Sumber: airsoya.com