Tuesday 14 November 2017

Jualan ‘Hari Bujang ‘ Alibaba catat kutipan lebih AS$25 bilion



AGENSI - GAMBAR menunjukkan logo firma Alibaba di Hangzhou, China

BEIJING – Pembeli online di China membelanjakan lebih AS$25 bilion (RM104 bilion) sekali gus rekod baharu semasa promosi Hari Bujang tahun ini yang dikendalikan gergasi e-dagang, Alibaba, meningkat hampir 40 peratus berbanding tahun lalu.
Alibaba berkata, sebanyak 256,000 pembayaran sesaat diproses pada waktu puncak promosi itu kelmarin, manakala lebih 90 peratus pembelian dibuat melalui telefon bimbit.Jualan kasar ekstravaganza tahunan dikenali sebagai ‘11 Berganda’ bagi mewakili tarikh 11 November itu mencecah AS$25.3 bilion (RM105.9 bilion), kata Alibaba dalam satu kenyataan di laman webnya.
Angka itu mewakili jualan yang diproses menggunakan sistem pembayaran online Alibaba, Alipay.
Jumlah jualan keseluruhan pada hari berkenaan meningkat 39 peratus berbanding perolehan AS$17.8 bilion (RM74.5 bilion) tahun lalu.
Rekod jualan pada 2016 tersebut dipadamkan dalam tempoh kurang 14 jam.
Agensi berita rasmi China, Xinhua melaporkan bahawa lebih 140,000 jenama luar negara turut menyertai promosi jualan Hari Bujang pada tahun ini. – AFP

No comments:

Post a Comment