Friday 24 November 2017

Agensi Halal Pertama Turki Beri Khidmat Dunia Islam


ISTANBUL – Pembukaan agensi akreditasi halal pertama Turki bakal menyediakan perkhidmatan pensijilan halal kepada umat Islam di seluruh dunia, lapor agensi Anadolu pada Khamis.

Memetik kenyataan Menteri Ekonomi Nihat Zeybekci, agensi itu berkata, ia dijangka dibuka akhir tahun ini, bertujuan menyediakan perkhidmatan pensijilan kepada pasaran global bagi produk halal bernilai US$3.9 trilion.
“Permintaan penduduk umat Islam global yang berjumlah 1.8 bilion orang bagi produk halal dan pensijilannya semakin meningkat,” kata Zeybekci pada Sidang Kemuncak Halal Sedunia di sini.
Menteri itu berkata permintaan bagi produk halal, yang dihasilkan menurut undang-undang Islam seperti yang ditaksir dalam al-Quran, tidak dapat dipenuhi hanya oleh negara Islam.
“Bagaimanapun, kita boleh menghasilkan produk yang lebih baik daripada tahap hari ini,” katanya.
“Semua tugasan dalam menentukan standard, mewujudkan sistem pentaksiran dan penilaian serta prosedur pengesahan bagi produk halal perlu dilakukan oleh negara-negara Islam.
“Turki mempunyai keupayaan untuk menyediakan perkhidmatan ini kepada dunia Islam, katanya.
Bulan lepas, kerajaan Turki telah mengemukakan cadangan kepada parlimen untuk menubuhkan agensi itu, yang bakal menjadi satu-satunya di negara tersebut namun berupaya mewujudkan cawangan di luar negara.
Agensi akreditasi halal menguatkuasakan standard, melindungi pengguna produk halal dan merangsang perdagangan antarabangsa.
Dalam satu kenyataan bertulis di sidang kemuncak itu, Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata pengurusan pensijilan halal menerusi agensi tunggal adalah penting kepada umat Islam di seluruh dunia.
Sidang kemuncak itu dan Ekspo Halal Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bermula pada Khamis.
Agensi Anadolu adalah rakan komunikasi global dan lebih 200 firma serta jenama mengambil bahagian dengan penceramah terkemuka dari 80 negara akan membincangkan isu berkaitan makanan halal, farmasi dan perubatan selain kewangan Islam, pelancongan dan tekstil sehingga hari Sabtu. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment