Thursday 30 November 2017

Al Kisah Idea Besar Bos Proton &Cerita Kangkung


Al Kisah Idea Besar Bos Proton Dan Cerita Kangkung

BARU-BARU ini, netizen gempar isu ‘kata dua’ Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Nasional Sdn. Bhd. (PONSB), Dr. Li Chunrong konon asalnya tidak puas hati menu kantin di kilang automotif itu.

Maka ‘melompatlah’ pengguna media sosial yang condong pembangkang ghairah hentam warga China itu apabila ‘putar belit’ kenyataan beliau mengenai isu kangkung gagal dimasak baik di kantin Proton dengan topik lain pula!
Sekali pandang, bagi yang tidak baca habis ayat Chunrong tersebut tentu akan sangka beliau gagal mengurus kantin di syarikat itu sehingga kangkung yang mudah dimasak itu pun tidak ‘menepati’ selera ramai pekerjanya sendiri.
Bayangkanlah individu terbaik dilantik untuk ubah Proton tiba-tiba ‘kantoi’ sayur paling murah di pasar tetapi kantin syarikatnya pun tidak mampu masak, tiba-tiba ada ‘hati’ mahu lonjak imej pengeluar kereta nasional itu.
Begitulah hebatnya ‘askar maya’ anti-Proton hentam bos PONSB itu dengan harapan rakyat Malaysia bangkit marah pula kerajaan kerana memilih individu salah yang tidak dapat masak hidangan kangkung di kantin syarikat tersebut.
Opsss… Apa kena-mengena kangkung dalam isu ini? Realitinya memang tiada kaitan pun tetapi malangnya, warga Malaysia yang patriotik terhadap Proton sudah berjaya dikelirukan akibat taktik ‘spin’ bodoh pihak tertentu!
Jika baca habis kenyataan Chunrong, sebenarnya beliau hanya tegur mengenai isu kualiti dan kemudian memberi cabaran kepada pekerja Proton untuk berani berubah jadi lebih baik; bukan berpuas hati dengan tahap sedia ada.
Justeru beliau secara kebetulan mengarahkan pengusaha kantin di syarikat itu untuk cuba tambah baik makanan yang paling senang dimasak iaitu kangkung atau langsung berdepan tindakan dibuang sebelum diganti pihak lain.
Mulanya pihak pengurusan PONSB beri masa dua bulan namun Chunrong mencabar kepada dua minggu. Hasilnya amat menakjubkan apabila mutu hidangan di kantin itu akhirnya lebih sempurna dan tiada lagi rungutan pekerja!
Itulah sifat prihatin Chunrong meskipun isu ini nampak kecil tetapi ia memberi impak besar kepada staf Proton sendiri, sekali gus membuktikan mereka mampu berjaya lebih hebat berbanding selesa dengan keadaan semasa.
Inilah objektif utama perkongsian strategik asing selain dapat dana besar dari luar negara, ia membolehkan Proton yang pernah nazak suatu ketika itu untuk bangkit bukan sahaja di Malaysia, malahan menawan pasaran global.
Umum maklum kerjasama sedemikian memudahkan syarikat ditubuhkan sejak 1983 itu dapat sumber kewangan cukup untuk aktif kerja penyelidikan dan pembangunan (R&D) banyak model baharu yang diinginkan pelanggan.
Keterbukaan kerajaan terhadap langkah kerjasama DRB-Hicom dengan Zhejiang Geely Holdings Group dari China serta sejajar amalan pelbagai syarikat automotif global yang bukan trend baharu untuk terus kekal berdaya saing.
Bahkan pesaing Proton iaitu Perodua pun ada usaha sama dengan rakannya dari Jepun untuk R&D pengeluaran model terkini. Secara jujur apalah hendak malu minta bantuan daripada orang asing yang pakar dalam bidang ini.
Untuk rekod, media berbahasa Mandarin turut melaporkan sentimen positif kaum Cina terhadap usaha Chunrong menjayakan Proton dan ramai optimis ia bakal ikut jejak Malaysia Airlines mencatat laba dalam tempoh terdekat.
Kepada yang kecoh isu kangkung di kantin Proton, ternyata anda lebih minat mempolitikkan semua perkara remeh tetapi terlupa, syarikat itu sudah mula bangkit secara senyap di sebalik tohmahan bodoh itu. – Mynewshub.cc/HAA


No comments:

Post a Comment