Tuesday 7 November 2017

Sport Direct buka cawangan ke-28















SPORT Direct telah membuka cawangannya yang ke-28 di Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini.
PENJUAL barangan sukan terkenal di Malaysia, Sport Direct Malaysia (Sport Direct) telah membuka cawangan terbaharunya di Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kedai setinggi lima tingkat itu merupakan cawangan ke-28 Sport Direct selepas memasuki pasaran di Malaysia pada tahun 2011.
Pengarah Urusan Sport Direct, Paul Gibbon berkata, pembukaan kedai baharu itu dapat membantu menggalakkan masyarakat untuk terlibat dalam aktiviti sukan.
Menurutnya, menerusi penglibatan dalam sukan, ia mampu melahirkan komuniti yang mengamalkan gaya sihat dan menikmati kualiti hidup lebih baik.
“Sejak kebelakangan ini, kami dapati masyarakat Malaysia semakin aktif bersukan seperti berbasikal, mendaki, berlari dan menyertai cabaran berhalangan.
“Dengan pembukaan kedai Sport Direct ini, orang ramai boleh mendapatkan pakaian, kasut dan barangan keperluan sukan yang asli dengan lebih mudah,” katanya dalam satu kenyataan.
Turut hadir pada majlis perasmian kedai baharu itu ialah Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Vicki Treadell, Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tunku Tan Sri Imran Almarhum Ibni Tuanku Ja’afar.
 LEBIH 1,500 jenis barang sukan pelbagai jenama dijual di Sport Direct cawangan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Dianggarkan lebih 1,500 jenis barang sukan daripada pelbagai jenama dijual di cawangan baharu tersebut.
Antara jenama terkenal dunia yang boleh diperoleh di kedai seluas 7,925 meter persegi itu ialah Nike, Adidas, Under Armour, Puma, Everlast, Slazenger, Karrimor dan Lonsdale.
Menurut Gibbon, barangan yang dijual di cawangan Sport Direct terbaharu itu disusun menyerupai kedai asalnya di Britain.
Jelasnya, kedai tersebut disusun dalam 11 kategori berbeza bagi memudahkan pelanggan mencari barangan yang ingin dibeli.
“Antara kategori itu ialah The Boot Room, Racket Centre, Swim Shop, Field & Trek, The Game Room, Men Sport Lifestyle, Women Sport Lifestyle dan Kids Sport Lifestyle,” katanya.
Maklumat lanjut dan promosi terkini di Sport Direct boleh diperoleh dengan melayari laman web, www.sportdirect.com.(Kosmo!)

No comments:

Post a Comment