Thursday 9 November 2017

Jualan burkini lonjak 10 X ganda sejak larangan di Perancis -Pereka.



KUALA LUMPUR: Wanita yang mencipta burkini berkata, jualannya mencatat peningkatan 10 kali ganda sejak Perancis melarang pemakaian baju renang menutup aurat itu dan fesyen rekaannya membuka lembaran baru untuk wanita Islam bersukan.

Pereka fesyen, Aheda Zanetti berkata, ribuan wanita di Eropah – kebanyakannya bukan Islam membeli burkini ciptaannya untuk menutup aurat ketika ke pantai, manakala wanita Islam pula memakai burkini untuk bersukan secara bebas.

“Orang di Perancis (yang melarang burkini) sudah membantu perniagaan saya dan wanita yang fikir mereka tidak boleh membeli baju renang seperti ini,” kata pereka kelahiran Lubnan yang menetap di Australia lebih 40 tahun.

Zanetti berkata, ciptaannya berjaya menggalakkan lebih ramai wanita Islam menyertai sukan kerana ia memberi mereka keyakinan untuk bersukan secara sederhana, sejajar tuntutan agama.

“Semuanya mengenai hak wanita dan pilihan,” katanya kepada Yayasan Thomson Reuters.

Burkini – singkatan bahasa bagi burqa dan bikini ialah baju renang longgar dan menutup aurat, kecuali muka, tangan dan kaki.

Berpuluh bandar di Perancis menguatkuasakan larangan itu sejak Ogos 2016 dengan alasan burkini melanggar undang-undang sekularisme negara berkenaan.

Sebuah mahkamah bagaimanapun menggantung larangan itu dengan berkata, burkini tidak membawa sebarang ancaman kepada ketenteraman awam.
Larangan itu dikuatkuasakan susulan satu siri serangan maut oleh pengganas di Perancis, tetapi ia turut menimbulkan persoalan mengenai tempat yang mempunyai populasi ramai umat Islam dan Arab dalam masyarakatnya.

Ramai ahli politik konservatif dan sayap kanan menyokong larangan itu, tetapi ia mendapat tentangan aktivis kebebasan awam, wanita dan Islam. Perpecahan itu diburukkan lagi dengan rakaman polis menguatkuasakan larangan itu ke atas wanita yang sedang bersantai di pantai dipenuhi pengunjung di Nice.

Zanetti, seorang bekas pendandan rambut, mencipta baju renang itu pada 2004 bagi membolehkan wanita Islam menyertai aktiviti air dan sukan lain dengan menutup aurat mereka.

Beliau berkata, jualannya melonjak daripada purata 200 helai sebulan kepada 2,000 helai sejak larangan itu dikuatkuasakan, dengan kebanyakan tempahan datang dari Eropah.

Katanya, 40% tempahan daripada orang bukan Islam, sama ada bekas penghidap kanser, ibu yang prihatin dengan bentuk badan mereka dan wanita yang mehu melindungi kulit daripada sinaran matahari.

Pasaran Islam

Zanetti yang ciptaannya turut meliputi tudung olahraga dikenali sebagai “hijood”, bukan sekadar pereka fesyen yang bersaing untuk merebut peluang dalam pasaran pakaian Islam menguntungkan.

Nike menjadi jenama pakaian sukan pertama yang memasuki pasaran itu dengan pelancaran tudung untuk atlet wanita Islam, Mac lalu.

Jenama pakaian wanita berpangkalan di London, Aab dan rantaian pakaian Jepun, Uniqlo turut membuat rekaan untuk pasaran sederhana itu.

DKNY, Mango, Tommy Hilfiger dan Zara juga mempunyai koleksi “Ramadan”, manakala Dolce & Gabbana mereka satu siri tudung.

Ulama Islam konservatif menganggap sukan untuk wanita Islam sebagai kurang sopan, tetapi Zanetti berkata, persaingan itu memberi keyakinan wanita Islam boleh menikmati lebih banyak kebebasan.

“Mereka tidak akan melakukannya jika tidak yakin pasaran ini perlu berkembang – dan ia sedang berkembang.
“Wanita Islam mengambil bahagian dalam sukan semakin ramai,” katanya dalam kunjungan ke Malaysia baru-baru ini untuk sebuah pameran mengenai wanita Islam.

Zanetti memuji pembaharuan di Arab Saudi, tempat kelahiran Islam, dengan membenarkan wanita menyertai acara sukan mulai 2018 dan melantik ketua sukan wanita pertama di negara itu.

Penyertaan wanita dalam sukan menjadi isu di Arab Saudi, di mana wanita tidak boleh bersenam dengan lelaki dan tiada kemudahan sukan awam untuk wanita.

“Itu satu permulaan, itu hebat … pintu sedang dibuka.”

“Ada wanita di luar sana yang membina keyakinan, mempertahankan hak mereka. Masih ada ramai wanita yang perlu melakukannya, tetapi sekurang-kurangnya pintu sudah dibuka sekarang.” (TKO)

No comments:

Post a Comment