Wednesday, 31 July 2013

$ Jatuh Teruk Dalam 15 tahun Berbanding Dolar S'pura ?

Oleh RANJIT SINGH

Aktiviti jualan berterusan menyebabkan aliran keluar mata wang menjadi lemah. Gambar The Malaysian Insider, Afif Abd Halim
Aktiviti jualan berterusan menyebabkan aliran keluar mata wang menjadi lemah. Gambar The Malaysian Insider, Afif Abd Halim 

RINGGIT Malaysia mengalami kejatuhan paling rendah dalam 15 tahun apabila nilainya susut RM2.586 berbanding dolar Singapura. Setiap tahun, ringgit jatuh sebanyak 5.5 peratus, sekaligus berita gembira buat rakyat Malaysia yang bekerja di republik itu.

Aktiviti jualan berterusan yang dilakukan kerajaan Malaysia menyebabkan aliran keluar mata wang menjadi lemah," kata Pengarah Urusan, Aberdeen Asset Management’s Sdn Bhd, Gerald Ambrose kepada The Malaysian Insider.

Mengikut laporan agensi berita Bloomberg hari ini pula, sebanyak 33 peratus hutang Malaysia kepada pihak asing, dikatakan bernilai US$2.9 bilion mencapai tempoh matang esok hingga menjadi antara punca keadaan pasaran tidak menentu.

Apapun, rakyat Malaysia yang bekerja di seberang Tambah Johor sepatutnya gembira dengan perkembangan itu berikutan sebahagian pendapatan kembali kepada mereka. Bagaimanapun, kejatuhan ringgit itu yang menjadikan eksport Malaysia lebih murah, dijangka tidak memberi kesan besar berikutan permintaan sudah menurun pada separa awal tahun.

Pengukuhan dolar Singapura bakal menyaksikan lebih banyak pelaburan oleh rakyat republik itu dalam pasaran hartanah Malaysia yang sedia kala banyak didominasi mereka.

Rakyat Singapura antara warga asing yang aktif melibatkan diri dalam pasaran hartanah di Malaysia dan dipersalahkan kerana ia menyebabkan kenaikan mendadak harga hartanah di bandar utama di Malaysia.

Mengikut undang-undang Malaysia, warga asing hanya dibenar untuk membeli hartanah bernilai lebih RM500,000.

Ketua Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua pula memberitahu The Malaysian Insider, usaha untuk mengkaji secara teliti punca kejatuhan ringgit dijangka memerlukan mengambil masa yang panjang. - 30 Julai, 2013.


The Malaysia Insider

Monday, 22 July 2013

Ella Cookies: Ella Jual Biskut Kesihatan

Ella menjual biskut kesihatan bersempena Ramadan dan Hari Raya.


HALAMAN HIBURAN

PETALING JAYA: Seperti mana kebanyakan artis-artis lain berniaga pada bulan Ramadan, penyanyi Ella atau nama sebenarnya Norzila Aminudin tidak mahu ketinggalan dan turut berjinak-jinak dalam perniagaan biskut kesihatan bersempena bulan Ramadan.

Ella, 47, berkata, dia memilih untuk menjual biskut kesihatan kerana ia jarang dilakukan oleh orang lain selain sikapnya yang memang sentiasa mementingkan pemakanan sihat.

"Sebelum berani menjual biskut berkenaan Ella cuba terlebih dahulu selain menkaji bahan-bahan digunakan sebelum mengambil keputusan untuk berniaga.
"Alhamdulillah suami pun turut menyokong malah dia juga turut menyukai biskut berkenaan," jelasnya kepada mStar Online.

Biskut yang diberi nama Ella Cookies itu tampil dengan empat perisa iaitu kismis, kelapa, kurma dan badam. Ia menggunakan oat sebagai bahan utama pembuatannya.

Dalam perkembangan sama, Ella berkata, dia juga berhasrat untuk meneruskan perniagaan Ella Cookies selepas musim perayaan dengan mempelbagaikan produk yang berasaskan oat.
Jelas Ella, dia mahu mengeluarkan snek berkhasiat dan pada masa sama mendidik masyarakat tentang pemakanan sihat.

"Ella sangat optimis dengan projek ini dan berharap ia akan menjadi kenyataan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ella berkata, dia kini sedang berehat dan menghabiskan masa bersama keluarga dan suami dan akan kembali sibuk selepas Hari Raya kelak. Kata Ella, dia bakal muncul dengan beberapa siri konsert solo dan akustik, dan memberitahu tidak sabar untuk bertemu dan menghiburkan para peminatnya. Sementara itu, Ella berkata, Aidil Fitri tahun ini dia akan menyambutnya di kampung halaman suaminya di Muar, Johor.  (mStar)

Komen Weblog Ibnu Hasyim:Semoga berjaya dan berterusan hingga bukan hanya untuk hari raya sahaja. insya Allah!

Friday, 12 July 2013

Tiga rakyat Malaysia ditahan di Bangkok guna kad kredit palsu

 BANGKOK - Tiga rakyat Malaysia yang pertama kali berkunjung ke Thailand ditahan semalam kerana didakwa menggunakan kad kredit palsu untuk membeli barangan berjenama bernilai 844,700 baht (RM85,962).

Komander Polis Perlancongan, Maj Jen Polis, Roy Inkapairoj memberitahu pemberita mereka dikenali sebagai Yap Wei Lun, 28, Liew Choon Chick, 23, dan Bong Joo Soon, 30.

Mereka ditahan di sebuah kedai di Bangkok tengah ketika cuba membayar barangan yang mereka beli.
Turut ditemui pada mereka ialah sebanyak 14 keping kad kredit palsu dan empat resit kad kredit.

Inkapairoj berkata, ketiga-tiga mereka mengaku mereka mengimbas maklumat kad kredit dari Amerika Syarikat untuk membeli jam tangan, tali pinggang dan beg yang mereka serahkan kepada seorang lagi rakyat Malaysia yang sedang bersembunyi sekarang.

Mereka didakwa memasuki Thailand secara haram melalui Sadoa, bahagian selatan Thailand yang bersempadan dengan Malaysia. - Bernama

Friday, 28 June 2013

Mak nyah jual produk suntikan vitamin C

FotoPEGAWAI CPFS merampas produk vitamin C terbabit.

Kuala Lumpur: Kelicikan seorang mak nyah berusia 40 tahun menjual produk suntikan vitamin C tidak berdaftar melalui Internet sejak dua tahun lalu berakhir apabila rumahnya di Cheras, di sini, diserbu Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Selangor (CPFS), semalam.
Hasil serbuan jam 10 pagi itu, pelbagai jenis produk suntikan vitamin C bernilai RM55,750 yang disimpan dalam sebuah bilik yang dijadikan sebagai stor, dirampas.

Ketua Seksyen Pencegahan dan Kesedaran Pengguna, CPFS Halimi Mat Piah berkata, pihaknya mengambil masa sebulan untuk menjejaki suspek berikutan alamat pengirim yang digunakan berbeza dan ada antaranya palsu.
“Sebaik menerima aduan awam, kami menjalankan siasatan dan seperti biasa menyamar sebagai pelanggan sebelum membuat pembelian bagi mendapatkan alamat pengirim pada bungkusan yang diterima.

“Bagaimanapun, taktik itu gagal kerana suspek sentiasa bertukar alamat dan semua yang tertera pada bungkusan itu bukan alamat miliknya,” katanya.

Katanya, lebih merumitkan lagi apabila mereka turut menggunakan nama samaran pada akaun Facebook dan blogspot untuk mempromosikan dan memasarkan produk terbabit.

Menurut Halimi, suspek menjual produk berkenaan RM200 hingga RM350 sekotak iaitu dua kali ganda daripada harga kos.

“Ramai yang tidak tahu sebenarnya tiada satu pun vitamin C dalam bentuk suntikan yang berdaftar dengan Kementerian kesihatan Malaysia (KKM) kerana tiada jaminan kualiti, keberkesanan dan keselamatan,” katanya.
Difahamkan, suntikan vitamin C turut mempunyai kesan mudarat yang membahayakan kesihatan seperti cirit-birit, alahan, gastrik, batu karang dan masalah kegagalan fungsi buah pinggang sekiranya diambil dalam jangka masa panjang. (myMetro)

Saturday, 22 June 2013

Koleksi kereta Mainan Pun Jadi Duit, Menyamai Harga Ferrari


DUA orang kakitangan firma lelongan Vectis Auctions sedang memeriksa koleksi kereta permainan Dinky di London kelmarin. 

JOM KREATIF

LONDON - Seorang lelaki Britain mempunyai koleksi kereta mainan Dinky yang menyamai sebuah kereta Ferrari berharga £100,000 (RM496,525), lapor akhbar dalam talian MailOnline kelmarin.

Dia telah mengumpul kereta mainan itu sejak 60 tahun lalu.
Semua koleksi kereta mainan Dinky yang dikumpulkan itu masih berada dalam keadaan baik di dalam kotak asalnya.
Keseluruhan koleksi kereta mainan itu akan dilelong pada harga bermula dari £100,000 (RM496,525).

Koleksi-koleksi tersebut yang terdiri daripada kereta, trak dan treler mainan Dinky itu di simpan di dalam 80 buah kotak.
Pemilik koleksi tersebut yang mahu identitinya dirahsiakan mula mengumpul kereta permainan itu sejak dari zaman kanak-kanak lagi.
Koleksi itu akan dijual oleh firma lelongan Vectis Auctions, pada 11 Julai depan.

Seorang kakitangan firma Vectis, Nick Letherbarrow berkata, koleksi seperti itu amat jarang didapati.
"Ia merupakan satu koleksi antara yang terbaik dan mengambil masa yang lama untuk dikumpulkan," katanya. - Agensi

Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-68: Kisah-kisah Jom Kreatif (3)
E-Buku IH-68: Kisah-kisah Jom Kreatif (3)

E-Buku IH-53: 'Siri Jom Kreatif, Pelik-pelik..' (2)

E-Buku IH-53: 'Siri Jom Kreatif, Pelik-pelik..' (2)

E-Buku IH-10: 'Siri Jom Kreatif, Pelik-pelik..' (1)
E-Buku IH-10: 'Siri Jom Kreatif, Pelik-pelik..' (1)

Wednesday, 19 June 2013

Kelantan bina jaringan pelaburan Islamik


KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan meningkatkan usaha misi pelaburan dengan matlamat membina jaringan pelaburan Islamik khususnya di Timur Tengah sebagai keutamaan.

Ianya selaras dengan harapan Sultan Muhammad V yang berharap Kelantan mempergiatkan usaha menarik pelabur.

Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, berkata di samping mengukuhkan hubungan Jaringan Perdagangan Islam di sebelah timur, termasuk Persatuan Pedagang Muslim di Tanah Besar China, Hong Kong dan Taiwan.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan pada sidang Dun Kelantan petang ini.

Tegasnya, kerajaan negeri juga berhasrat membina rangkaian makanan halal dengan meningkatkan kemasukan pelabur di halal hub dan akan bekerjasama dengan pembekal makanan halal daripada negara Arab.

“Saya sendiri akan menerokai peluang bertemu pelabur Arabian Countries ini selari dengan hasrat perancangan kerajaan negeri untuk menubuhkan Sekretariat Hubungan Kelantan-Arabian Countries.

“Menerusi kerjasama ini juga akan menarik kepakaran dalam industri pendidikan, minyak, gas serta pelancongan Islam,” ujarnya.

Beliau turut memberitahu, hubungan dagang itu diharap dapat dipermudahkan memandangkan beberapa orang Adun dan bekas Adun mempunyai pakar dalam hubungan dengan negara Arab.

Pada masa yang sama, Ahmad turut mendedahkan sektor pelancongan dilihat berpotensi sehingga pengusaha di negeri itu berjaya meraih RM1.8 billion bagi pengusaha berkaitan pelancongan.

Jelasnya, ia hasil kejayaan urus tadbir Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berteraskan Membangun Bersama Islam.

Selain kejayaan lain, katanya Kelantan juga turut wujud persekitaran sejahtera yang menarik minat pusat pendidikan di negeri itu.

“Selain beberapa IPTA, kita ada IPTS dan ada yang bertaraf antarabangsa seperti Universiti Lim Kok Wing,” ujarnya.

Hari ini adalah hari terakhir sidang Dun Kelantan setelah berlangsung selama tiga hari bermula Ahad lalu.

Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dun Kelantan ke-13 tahun ini disempurnakan oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Tuesday, 18 June 2013

Kelantan teruskan Lebuh Raya Rakyat - Exco



KOTA BHARU: Lebuh Raya Rakyat Kota Bharu-Kuala Krai sepanjang 73 km tetap diteruskan kerajaan negeri, sekiranya kerajaan pusat enggan melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Anggota Exco, Hanifa Ahmad berkata, kerajaan negeri mengambil tanggungjawab terbabit memandangkan kerajaan pusat mengenepikan projek berkenaan sejak 1986 (Rancangan Malaysia Ke-5).

“Pernah semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi menerajui negara peruntukan membina lebuh raya tersebut diluluskan, namun ditarik balik kemudiannya.

“Malah Unit Perancangan Ekonomi Kerajaan Negeri (UPEN) pernah memasukkan sekali lagi cadangan membina lebuh raya tersebut pada RMK-10, namun juga ditolak.

“Maka mengambil kira kerajaan pusat enggan membinanya, kerajaan negeri pada Mei tahun lepas melancarkan projek berkenaan bagi manfaat rakyat,” katanya menjawab soalan tambahan Dr Yusnan Yusoff (PAS-Melor) pada persidangan Dun hari ini.

Sehingga kini lebih RM2 juta disumbangkan pelbagai pihak bagi mengisi dana Lebuh Raya Rakyat. Kerajaan negeri mensasarkan dana dapat dikumpul sehingga RM50 juta.

Menjawab soalan asal Mohd Fauzi Abdullah (PAS-Manek Urai) Hanifa berkata, projek berkenaan sudah dimulakan di Hutan Simpan Hulu Sat, Bukit Bakar bagi fasa pertama.

Katanya, pakej itu akan disambung sehingga ke Kampung Dusun Damar, Kuala Krai sejauh 29 km.

Manakala pakej kedua bermula dari Tunjung ke Bukit Bakar, Machang sejauh 44 km.

Difahamkan kerja-kerja yang dilakukan di tapak sekarang sepanjang 4 km meliputi penyediaan tapak dan kerja tanah. Selain itu pembinaan pejabat tapak dan kerja-kerja pembersihan kawasan.

Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd ditubuh kerajaan negeri sebagai peneraju utama projek berkenaan.

Skop pembinaan jalan dua lorong dan boleh dinaik taraf kepada empat lorong pada masa akan datang.

Hanifa juga berkata, kerajaan pusat melalui Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) bersetuju untuk bekerjasama melaksanakan projek berkenaan, di mana tender pakej 1 Kota Bharu-Kadok sudah dikeluarkan.

“ECER juga mahu menggunakan jajaran yang sama dengan pelan awal Lebuh Raya Rakyat dirancang kerajaan negeri.

“Malah pada mesyuarat yang saya hadiri bersama ECER baru-baru ini mereka menanyakan persetujuan kerajaan negeri sekiranya projek berkenaan dikendalikan sepenuhnya kerajaan pusat.

“Saya sebut kerajaan negeri bersetuju kerana projek berkenaan sememangya tanggungjawab kerajaan pusat,” katanya.

Oleh itu katanya UPEN akan menulis surat kepada Menteri Kerjaraya bagi membolehkan perbincangan lanjut diadakan. (Hrkh)