Tuesday, 18 July 2017

Kecanggihan Teknologi, Penyebab Kedai Gambar Gulung Tikar.

MUN LOONG sedih mengenangkan perniagaan Chan Sam Lock Photo and Bridal Palace yang diusahakan bersama abangnya sejak 71 tahun terpaksa ditutup.

IPOH – Kepantasan perkembangan dan kecanggihan teknologi sememangnya sesuatu yang tidak dapat dinafikan memberi banyak kebaikan serta manfaat kepada kehidupan seharian.
Bagaimanapun, di sebalik semua itu terutama kecanggihan telefon pintar menyebabkan ada pihak yang terpaksa gulung tikar kerana perniagaan kedai gambar serta studio perkahwinan milik keluarga yang diusahakan sejak 71 tahun lalu berterusan menanggung kerugian.
Premis yang tidak asing atau dianggap ‘legenda’ bagi masyarakat tempatan iaitu Chan Sam Lock Photo and Bridal Palace di Jalan Sultan Idris di sini akan memberhentikan operasi buat selamanya pada 31 Ogos ini.
Pengarahnya, Chan Mun Loong, 63, berkata, pihaknya membuat keputusan untuk menutup operasi dua bulan lalu apabila terpaksa menanggung kerugian sehingga RM200,000 setahun bagi tempoh dua tahun berturut-turut.
“Kalau dahulu, sehari boleh cetak sehingga 5,000 keping gambar, tetapi sekarang 500 keping sehari pun susah sebab ramai ambil gambar gunakan telefon bimbit. (Kosmo!)

Sunday, 16 July 2017

Kereta ‘cair’ Dihentam Ribuan Belut.

Kereta 'Cair' Dirempuh 3 Tan Belut Dari Trak Terbalik


WASHINGTON DC – Sebatang jalan raya sibuk di Oregon tiba-tiba kecoh setelah sebuah trak yang sarat mengangkut 3,700 kilogram belut terbalik, lapor media Amerika Syarikat (AS) semalam.

Insiden aneh itu berlaku di laluan 101 sebelah selatan bandar Depoe Bay, Oregon kelmarin namun menurut polis, tiada sesiapa terbunuh kecuali beberapa buah kereta dilaporkan ‘cair’ akibat hentaman ribuan belut tersebut.
Menurut akhbar tempatan The Oregonian, satu lorong jalan berkenaan terpaksa ditutup untuk kerja pembersihan manakala haiwan itu dipercayai sejenis belut yang dapat menghasilkan lendir dari kelenjar tubuh mereka sendiri.
Akibat nahas tidak diduga tersebut, belut domestik yang juga dirujuk penduduk setempat sebagai hagfish itu secara semula jadi memuntahkan lendiran kerana dalam keadaan tertekan sekali gus ‘menghancurkan’ objek sekitarnya.
Ikan berwarna agak kemerah-merahan itu memang banyak didapati di pesisir barat AS, termasuk Oregon, dan lazimnya popular dieksport ke Korea Selatan untuk dijadikan bahan makanan penduduk negara Asia tersebut.
Polis negeri Oregon dalam kenyataan menerusi akaun Twitter melaporkan trak itu memang bawa ribuan kilogram belut tersebut untuk dihantar ke sebuah pelabuhan sebelum diangkut dengan kapal menuju ke Korea Selatan.
Kemalangan itu menyaksikan anggota polis terpinga-pinga mencari dan menyelamat belut berlendir tersebut serta akhirnya mereka sekadar merakamkan gambar suasana beberapa buah kereta ‘cair’ tersadai di laluan berkenaan.
Perkhidmatan bomba Depoe Bay dilaporkan terpaksa menggunakan sebuah jentolak untuk mempercepatkan proses pembersihan jalan raya manakala ‘nasib’ haiwan itu tidak pula diketahui. – Agensi.

Bisnes Payung, Tapi Hampir 300,000 Payung Hilang Misteri.


Hampir 300,000 Payung Hilang Misteri

BEIJING – Sebuah syarikat yang berpangkalan di Shenzen baru-baru ini mengumumkan ia kehilangan sebahagian besar 300,000 payung yang disediakannya sejak beroperasi pada April lalu.

Syarikat tempatan itu, Sharing E Umbrella, merupakan sebuah firma China yang menawarkan khidmat penyewaan payung kepada orang ramai.
Dengan sejumlah deposit, pelanggan boleh menggunakan barangan yang ditawarkan untuk sewaan bagi tempoh tertentu bagi bayaran sehari dan denda sekiranya mereka gagal memulangkan semula pada waktu yang ditetapkan.
Seorang ahli perniagaan dari Shenzen mengasaskan Sharing E Umbrella sejak April lalu, mendapat inspirasi daripada kejayaan perkhidmatan penyewaan basikal.
Setakat Jun lalu, perkhidmatan yang ditawarkan beliau beroperasi di 11 bandar utama di China, termasuk Shanghai, Nanjing dan Guangzhou.
“Payung tidak seperti basikal… basikal boleh diletakkan di mana-mana, tetapi payung memerlukan pagar atau tempat untuk menggantungkannya.”
Disebabkan itu, ramai pelanggan mungkin membawa pulang payung yang disewa itu ke rumah masing-masing.
Sharing E Umbrella melaporkan kehilangan sebahagian besar 300,000 payungnya. –odditycentral/mStar Online

Saturday, 15 July 2017

Iklan Indoeskrim Ini, Cetuskan Sensasi Se Dunia,. Lihat..


IKLAN komersial daripada produk ais krim keluaran Indonesia, Indoeskrim ternyata mencetuskan sensasi dalam kalangan pengguna media sosial di seluruh dunia.

Lapor Tribunnews, klip rakaman berdurasi tiga minit itu sehingga kini menduduki tangga kelima dalam senarai trending video Youtube, yakni telah ditonton lebih sejuta kali sejak dimuat naik minggu lalu.
Bertajuk “Kisah Legenda Nusantara“, ia memaparkan cerita rekaan kononnya perselisihan di antara dua beradik bangsawan yang berebutkan makanan.
Menerusi rakaman, salah seorang pengawal dilihat melaporkan kejadian itu dengan menggunakan walkie talkie kepada seorang wanita dipercayai permaisuri, yang segera campur tangan persengketaan dua anaknya itu.

Apabila permaisuri itu gagal menghentikan pertarungan, wanita itu segera memanggil suaminya pula menggunakan telefon pintar iPhone yang dihiasi dengan cengkerang unik.
Raja yang  kebetulan sedang menunggang burung garuda, menerima panggilan kecemasan dari permaisuri lalu mengenal pasti lokasi mereka menggunakan Google Maps.
Dia kemudian menghentikan pertarungan anak-anak mereka dengan mempersembahkan kabinet yang penuh berisi ais krim.
Sehingga kini, iklan itu menerima pelbagai komen lucu daripada netizen yang rata-ratanya terhibur biarpun jalan ceritanya agak ‘pelik’ berbanding kebiasaan iklan lain.
Malah ada netizen beranggapan ia mungkin sebagai taktik strategi pemasaran syarikat yang kreatif dan unik untuk menarik minat pembeli. 

The Starling pusat beli-belah dalam taman













Persembahan The Hands Percussion menyemarakkan acara perasmian pusat beli-belah the Starling di Damansara Utama, Selangor baru-baru ini.

Aktiviti membeli-belah semakin rancak dengan pembukaan rasmi sebuah lagi pusat beli-belah baharu, the Starling di Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Bersesuaian dengan konsepnya sebagai pusat beli-belah dalam taman, suasana hutan hujan tropika cuba dihidupkan semasa pelancaran rasmi yang bertemakan Meraikan Keharmonian.
The Starling telah melalui transformasi hebat bagi sambutan itu. Replika bunga Rafflesia, bunga eksotik yang hanya dijumpai di Asia Tenggara berserta replika haiwan seperti orang utan, burung enggang dan rama-rama dihiasi untuk menaikkan lagi suasana hutan hujan tropika.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan See Hoy Chan Sdn. Bhd., Teo Soo Kiat berkata, pihaknya meraikan pelancaran besar-besaran itu selama tiga hari.
“Kami meraikan pelancaran besar-besaran the Starling, sebuah pusat beli-belah yang menyatukan kehijauan alam dengan persekitaran membeli-belah. Ia memberikan pengalaman beli-belah kepada pengunjung,” katanya.
The Starling telah dilancarkan Soo Kiat bersama Pengarah Eksekutif Kumpulan See Hoy Chan Sdn. Bhd., Teo Chiang Khai diiringi ahli-ahli lembaga pengarah Kumpulan See Hoy Chan Sdn. Bhd.
Sempena pelancaran itu, tetamu dihiburkan dengan persembahan istimewa oleh kumpulan perkusi terkenal The Hands Percussion yang telah menempa nama dengan persembahan luar biasa. Persembahan ini diperhebatkan lagi dengan kemunculan khas Jumero, kumpulan Indie akustik tempatan yang telah memenangi Anugerah Vima ‘Best Pop Song 2016’ Award baru-baru ini.
Pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan Mathew Ngau, seorang ‘sape master’ yang diiktiraf sebagai warisan negara oleh kerajaan Malaysia. Persembahan Mathew Ngau turut diiringi oleh anak muridnya, Alena Murang dan kumpulan muzik popular irama tradisi dan Borneo, At Adau.
Seiring dengan konsep pusat beli-belah iaitu keharmonian dengan alam semula jadi, barisan pemuzik yang kerap bermain pada Sarawak Rainforest Festival ini diterbangkan khas ke Semenanjung.
The Starling bukan sekadar pusat beli-belah biasa. Ia menempatkan dua taman hijau yang dipanggil Chirp Park pada aras bawah dan Sky Park pada aras bumbung. (Kosmo!)

Friday, 14 July 2017

Mamee dari Melaka ke persada dunia













Sharszany (kanan) dan Nadia Jasmon menunjukkan pelbagai produk keluaran Mamee di ibu pejabat Mamee di Subang Jaya baru-baru ini.
Kisah hebat empayar Mamee bermula lebih 45 tahun lalu. Seorang jurujual kereta terpakai tiba-tiba terjun ke dalam bidang perniagaan mi kering atas pujukan seorang rakan yang yakin bidang itu mempunyai potensi besar untuk berkembang dalam tahun-tahun mendatang.
Pang Ching Hin (kini Datuk) hakikatnya tidak mengetahui apa-apa tentang bisnes makanan apatah lagi mi kering pada waktu itu.
Namun, berbekalkan pengalaman berniaga kereta terpakai, beliau nekad memulakan kehidupan baharu bergelar tauke mi kering menggunakan jenama Lucky.
Bak kata-kata hikmah, kegagalan adalah yuran kepada kejayaan. Perniagaan kecil-kecilan mi keringnya mengalami kerugian. Jualan Lucky tidak laris di pasaran.
Namun Chin Hin enggan berputus asa. Suatu hari dia memandu kenderaan sebelum meletakkan keretanya di hadapan sebuah sekolah di Melaka. Sambil berteleku di dalam kereta, Chin Hin sebenarnya membuat pemerhatian mengenai tabiat sekumpulan pelajar di sekolah itu.
Empayar
 CHINg HIN (tiga dari kanan) bersama dengan cef popular, Cef Ismail semasa melancarkan produk Mamee Chef perisa Lontong di Kuala Lumpur pada tahun 2015.




Gelagat beberapa pelajar yang begitu ghairah menikmati mi segera mentah menangkap perhatian Chin Hin. Lantas muncul idea baharu bagi memberi nafas buat perniagaannya yang kini nyawa-nyawa ikan.
Selepas lebih empat dekad, Chin Hin tidak menyangka itulah detik awal kepada sebuah legasi yang bukan sahaja menghidupkan kembali syarikatnya, malah menjadi sebuah empayar hebat.
Malah lebih manis menggunakan maskot raksasa (monster) biru, produknya begitu dekat dan menjadi nostalgia di hati pelbagai generasi rakyat di negara ini.
“Sewaktu mula-mula berkecimpung dalam industri mi kering, ia sememangnya asing bagi kami yang tidak tahu menahu langsung selok-belok bidang ini.
“Namun saya sendiri melihat tekad ayah untuk terus berusaha hingga berjaya meskipun penerimaan jenama dan jualan dalam kalangan orang ramai pada mulanya kurang menggalakkan,” ungkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mamee-Double Decker (M) Sdn. Bhd, Tan Sri Pang Tee Chew yang juga anak sulung Chin Hin ketika ditemui Kosmo! di Subang, Selangor baru-baru ini.
Chin Hin, 86, kini merupakan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Mamee-Double Decker.
Bagi mengkomersial dan membawa tuah kepada produk mereka, jenama Lucky pada tahun 1972 ditukar kepada Mamee.
“Ayah jenis orang yang suka memerhati sekeliling. Selain idea snek mi segera, jenama Mamee juga tercetus selepas melihat anak-anak sering memanggil ibu dengan sebutan mommy.
“Dari situlah akhirnya terhasil Mamee Monster yang masyhur dan dikenali sehingga hari ini,” katanya yang turut berjinak-jinak dengan perniagaan kecil-kecilan sebelum berkembang kepada Pacific Food Products dan kini Mamee-Double Decker.
Tee Chew juga menghargai pengorbanan dan jasa ayahnya yang bersusah payah mengumpul duit untuk memastikan dia dapat melanjutkan pelajaran ke Jepun dan bekerja di sebuah syarikat mi segera di sana.
“Ayah mahu saya mengutip pengalaman di Jepun sebelum pulang ke Malaysia membantu bisnes Mamee.
“Selain saya, Mamee juga digerakkan oleh adik-beradik ayah yang lain termasuk Datuk Wira Pang Tee Nam yang menjadi Ketua Pegawai Operasi Kumpulan dan mendiang Pang Tee Suan. Hari ini bisnes Mamee turut disertai oleh generasi ketiga keluarga Pang,” ujarnya.
Kata Tee Chew, Kumpulan Mamee mempunyai lebih 2,000 kakitangan dengan kilangnya dan ibu pejabatnya di Ayer Keroh, Melaka. Mamee juga mempunyai pejabat di Subang dan Kuantan, Pahang serta memiliki kilang di Indonesia dan Myanmar.
Namun, lebih membanggakan sayap antarabangsa Mamee yang diinisiatifkan oleh anak Malaysia itu bukan setakat menjengah ke satu atau dua buah pasaran luar negara.
Katanya, selain Mamee Monster, syarikat Mamee telah membina 10 jenama dan lebih 100 produk untuk lima kategori iaitu snek, mi segera, minuman, susu kultur dan biskut.
Maskot
 CHIN HIN memulakan bisnes makanan mi kering pada tahun 1972 yang kini berkembang menjadi sebuah syarikat antarabangsa yang mengeluarkan pelbagai produk seperti Mamee Chef, minuman Cool Tea dan kerepek kentang Mister Potato.


Antara produk di bawah Mamee-Double Decker termasuklah Mister Potato yang menjengah pasaran pada tahun 1992 iaitu Mamee Chef, Perfecto, Cool Tea, Nutrigen, Corntoz, Double Decker dan terbaharu, biskut Mamee Monster Biskidz.
“Mamee Monster menjadi snek kegemaran rakyat sejak sekian lama. Jualan Mamee Monster adalah sebanyak 35 juta peket sebulan di Malaysia dengan secara keseluruhannya 60 juta peket secara keseluruhan di pasaran antarabangsa.
“Satu lagi produk utama Kumpulan Mamee ialah kerepek kentang Mister Potato. Jenama kerepek ini selepas melalui pelbagai penjenamaan termasuk kisah hebat menjadi rakan penaja Global Manchester United itu telah dijual di 100 buah negara.
“Lebih membanggakan, Mister Potato mampu menyaingi jenama kerepek kentang antarabangsa apabila kini menguasai 30 peratus pasaran di Malaysia,” kata Tee Chew.
Dalam pada itu, Ketua Komunikasi Korporat, Mamee-Double Decker, Sharszany Shahry Abu Shahriman berkata, produk Mamee Monster yang menggunakan maskot raksasa biru sememangnya sangat sinonim di hati kebanyakan rakyat Malaysia.
Kata Sharszany, pada asalnya terdapat pelbagai jenis reka bentuk dan visual yang dicadangkan sebagai maskot produk snek Mamee itu.
“Namun akhirnya, maskot monster biru dengan sebatang gigi serta berwajah comel dan kelihatan ingin dipeluk telah terpilih. Ternyata impak maskot dan Mamee Monster sangat tinggi memandangkan Mamee antara produk terawal memperkenalkan maskot.
“Maskot biru ini juga diperagakan untuk pelbagai program baik di sekolah-sekolah atau kawasan tumpuan ramai di seluruh Malaysia. Sehingga kini, monster biru ini juga sangat terkenal di Australia, Indonesia dan beberapa negara lain,” katanya menceritakan mengenai legasi maskot raksasa biru itu.
Kejayaan menjalin kerjasama dengan kelab bola sepak terkenal dunia, Manchester United selama tiga tahun dari tahun 2011 hingga 2014 pula meninggalkan impak besar kepada satu lagi produk Kumpulan Mamee iaitu Mister Potato.
“Keputusan menjenamakan semula Mister Potato dan menjadi rakan penaja Snek Rasmi Global Manchester United memperkenalkan lagi produk cip kentang kami bukan sahaja dalam kalangan pengguna di Malaysia bahkan ke peringkat antarabangsa.
“Pada ketika itu, pembungkusan produk Mister Potato menggunakan gambar tiga pemain Manchester United iaitu Wayne Rooney, Park Ji-sung and Ryan Giggs.
“Produk Mister Potato juga terpampang di papan-papan digital di sekeliling Stadium Old Trafford setiap kali perlawanan Liga Inggeris berlangsung,” katanya kepada Kosmo!.
Salah satu produk terkini keluaran Mamee ialah Mamee Monster Biskidz iaitu biskut DHA pertama di Malaysia.
Sharszany berkata, Biskidz mengandungi nutrisi-nutrisi seimbang dalam membentuk perkembangan minda kanak-kanak terutamanya yang berusia tujuh hingga 12 tahun. (IH)

Sejarah Pasar Tertua S'pura, Lahirkan Taikun Niaga.

Pasar lambak Sungei Road beroperasi di atas sebatang jalan sepanjang 200 meter.

PADA hari itu, pasar lambak Sungei Road, Rachor, Singapura tidak seperti hari-hari lainnya. Pasar jualan yang sering dihiasi dengan hiruk-pikuk ratusan penjaja dan pengunjung itu bertukar sepi.
Hanya sekitar 50 penjaja yang beroperasi pada hari tersebut berbanding 200 sebelum ini. Barang-barang jualan yang sering dilonggokkan di atas jalan raya sepanjang 300 meter itu juga tidak banyak seperti biasa.
Wajah para penjaja pula kelihatan sugul. Beberapa penjaja dilihat mengedarkan kad perniagaan kepada pelanggan setia mereka.
Kad perniagaan tersebut tertera nama, alamat dan nombor telefon gerai baharu mereka. Itulah sebahagian daripada suasana yang menyelubungi kawasan pasar lambak Sungei Road pada 10 Julai lalu.
Hari tersebut merupakan detik akhir buat pasar terbesar dan tertua di negara republik itu selepas hampir 80 tahun beroperasi di situ.
Pada Februari lalu, pihak pemerintah telah mengumumkan pasar tersebut akan ditutup untuk memberi laluan projek perumahan masa depan di kawasan tersebut.
Sebelum ini, tapak Sungei Road telah dikurangkan kepada separuh saiznya untuk memberi laluan kepada pembinaan stesen Mass Rapid Transit (MRT) Sungei Road.
Pasar yang turut dikenali sebagai pasar pencuri dan Robinson petang sering menjadi tumpuan para pelancong, pekerja asing dan penduduk tempatan pada hujung minggu.
Pasar tersebut merupakan destinasi paling ideal untuk membeli cenderamata, barangan harian dan barang terpakai pada harga berpatutan.
Kepada salah seorang penjaja, Chin Kin Bon, 70, dia berasa seperti satu kehilangan sesuatu selepas menjaja di situ sejak dua dekad lalu.
“Setelah berada di sini sejak sekian lama, sudah tentu saya sangat sedih kerana terpaksa berpindah ke tempat baharu.
“Di sini (Sungei Road) adalah tempat perniagaan yang baik kerana anda boleh berniaga tanpa perlu membayar sewa,” katanya yang menjaja barangan seperti pasu, gelang manik dan mangkuk.
Sewaktu zaman kemuncaknya, Sungei Road pernah menjadi saksi kepada kemunculan dua taikun perniagaan terkenal di Singapura iaitu Koh Sim dan Pang Lim.
Bekalan

KEBANYAKAN penjaja di pasar lambak Sungei Road dipindahkan ke Golden Mile Food Centre.

Koh Sim yang memiliki syarikat pemaju pembangunan bermula dengan menjaja barangan terpakai di Sungei Road sekitar tahun 1930-an. Beliau mendapatkan bekalan barangan terpakai dari pangkalan British di Sembawang.
Berbeza pula dengan pengasas rantaian kedai makan Koufu, Pang Lim, dia pernah menjaja buah-buahan secara haram di pasar tersebut sekitar tahun 1970-an.
Begitupun, pihak pemerintah dalam satu kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini menegaskan, aktiviti jualan seperti di Sungei Road tidak lagi dibenarkan.
Aktiviti sedemikian hanya boleh dilakukan dalam pameran perdagangan dan pasar lambak yang tidak beroperasi secara tetap. Langkah tersebut bagi mengurangkan kes-kes penipuan terhadap pengguna.
Hal ini kerana pasar Sungei Road beroperasi secara bebas sehingga membolehkan penjaja menjual barangan curi, diseludup dan haram.
Murah

PELBAGAI barangan antik boleh diperoleh di pasar Sungei Road pada harga berpatutan.


Begitupun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, para penjaja dan peniaga telah beralih kepada jualan barangan kegunaan harian, barang antik, peralatan elektrik dan telefon pintar terpakai.
Salah seorang pengunjung setia pasar lambak Sungei Road, Tengku Rollharry memberitahu, pasar tersebut memberi peluang kepadanya membeli pelbagai barangan yang sukar ditemui pada harga murah.
Jelasnya, detik paling diingati di Sungei Road ialah hubungan mesra yang terjalin bersama beberapa penjaja di situ.
“Sudah pasti saya akan merindui Sungei Road selepas hampir tujuh tahun mencari barang di sini. Saya akan merindui mereka (peniaga).
“Saya rindukan gelak tawa dan lawak jenaka mereka. Saya juga akan kehilangan tempat membeli barang pada harga sangat murah,” ujarnya.
Seminggu sebelum penutupan pasar tersebut, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) telah memindahkan penjaja Sungei Road ke gerai berkunci di Pasar Chinatown dan Golden Mile Food Centre.
Pengumuman itu dibuat setelah persatuan penjaja pasar lambak tersebut mendesak pihak pemerintah menyediakan tempat alternatif kepada penjaja.
“Saya sangat gembira dan berpuas hati kerana para penjaja sudah ada tempat untuk berniaga. Saya harap tempat baharu ini akan berjaya.
“Sekurang-kurangnya kami sudah mencuba,” ujar Pengerusi Persatuan Barangan Terpakai dan Kitar Semula, Koh Eng Khoon.
Eng Khoon yang mengambil masa selama sebulan untuk mencari tempat baharu menambah, seramai 90 daripada 200 pemilik gerai sudah berpindah ke gerai baharu.
Pihak persatuan menjangkakan kos sewa di tempat baharu sekitar S$5 (RM16) sehari bagi setiap gerai. Sebelum itu, para pemilik gerai perlu membayar deposit keselamatan sebanyak S$100 (RM311).
“Deposit ini tidak akan dikembalikan sekiranya pemilik gerai melanggar syarat yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.
“Antara syarat yang perlu dipatuhi oleh pemilik kedai ialah tidak membuang sampah merata-rata dan menjual barangan haram,” katanya.
Salah seorang penjaja generasi pertama di Sungei Road yang berpindah ke Pasar Chinatown, Tang Kong Yuen memberitahu, sejak berpindah ke situ dua minggu lalu, dia masih gagal membuat jualan seperti yang diharapkan.
“Di Sungei Road, saya boleh mendapat kira-kira S$50 (RM156) hingga S$60 (RM187) sehari tanpa perlu bersengkang mata.
“Keuntungan di sini tidak dapat menampung perbelanjaan secawan kopi saya pada setiap hari,” ujar Kong Yuen yang menjual batu permata, peralatan elektrik dan telefon bimbit terpakai.
Tambah lelaki berusia 90 tahun itu ada pihak yang memintanya membuat promosi besar-besaran bagi menarik perhatian pelanggan di Pasar Chinatown.
Begitupun, bapa kepada lima cahaya mata itu menganggap usaha tersebut tidak akan berjaya dan hanya sia-sia kerana di situ tidak ada pengunjung.
“Saya sudah membelanjakan S$450 (RM1,400) untuk membeli kabinet cermin ini. Saya tidak mahu membelanjakan wang lagi. Ia hanya merugikan saya,” ujarnya. (Kosmo!)