Friday 14 July 2017

Mamee dari Melaka ke persada dunia













Sharszany (kanan) dan Nadia Jasmon menunjukkan pelbagai produk keluaran Mamee di ibu pejabat Mamee di Subang Jaya baru-baru ini.
Kisah hebat empayar Mamee bermula lebih 45 tahun lalu. Seorang jurujual kereta terpakai tiba-tiba terjun ke dalam bidang perniagaan mi kering atas pujukan seorang rakan yang yakin bidang itu mempunyai potensi besar untuk berkembang dalam tahun-tahun mendatang.
Pang Ching Hin (kini Datuk) hakikatnya tidak mengetahui apa-apa tentang bisnes makanan apatah lagi mi kering pada waktu itu.
Namun, berbekalkan pengalaman berniaga kereta terpakai, beliau nekad memulakan kehidupan baharu bergelar tauke mi kering menggunakan jenama Lucky.
Bak kata-kata hikmah, kegagalan adalah yuran kepada kejayaan. Perniagaan kecil-kecilan mi keringnya mengalami kerugian. Jualan Lucky tidak laris di pasaran.
Namun Chin Hin enggan berputus asa. Suatu hari dia memandu kenderaan sebelum meletakkan keretanya di hadapan sebuah sekolah di Melaka. Sambil berteleku di dalam kereta, Chin Hin sebenarnya membuat pemerhatian mengenai tabiat sekumpulan pelajar di sekolah itu.
Empayar
 CHINg HIN (tiga dari kanan) bersama dengan cef popular, Cef Ismail semasa melancarkan produk Mamee Chef perisa Lontong di Kuala Lumpur pada tahun 2015.




Gelagat beberapa pelajar yang begitu ghairah menikmati mi segera mentah menangkap perhatian Chin Hin. Lantas muncul idea baharu bagi memberi nafas buat perniagaannya yang kini nyawa-nyawa ikan.
Selepas lebih empat dekad, Chin Hin tidak menyangka itulah detik awal kepada sebuah legasi yang bukan sahaja menghidupkan kembali syarikatnya, malah menjadi sebuah empayar hebat.
Malah lebih manis menggunakan maskot raksasa (monster) biru, produknya begitu dekat dan menjadi nostalgia di hati pelbagai generasi rakyat di negara ini.
“Sewaktu mula-mula berkecimpung dalam industri mi kering, ia sememangnya asing bagi kami yang tidak tahu menahu langsung selok-belok bidang ini.
“Namun saya sendiri melihat tekad ayah untuk terus berusaha hingga berjaya meskipun penerimaan jenama dan jualan dalam kalangan orang ramai pada mulanya kurang menggalakkan,” ungkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mamee-Double Decker (M) Sdn. Bhd, Tan Sri Pang Tee Chew yang juga anak sulung Chin Hin ketika ditemui Kosmo! di Subang, Selangor baru-baru ini.
Chin Hin, 86, kini merupakan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Mamee-Double Decker.
Bagi mengkomersial dan membawa tuah kepada produk mereka, jenama Lucky pada tahun 1972 ditukar kepada Mamee.
“Ayah jenis orang yang suka memerhati sekeliling. Selain idea snek mi segera, jenama Mamee juga tercetus selepas melihat anak-anak sering memanggil ibu dengan sebutan mommy.
“Dari situlah akhirnya terhasil Mamee Monster yang masyhur dan dikenali sehingga hari ini,” katanya yang turut berjinak-jinak dengan perniagaan kecil-kecilan sebelum berkembang kepada Pacific Food Products dan kini Mamee-Double Decker.
Tee Chew juga menghargai pengorbanan dan jasa ayahnya yang bersusah payah mengumpul duit untuk memastikan dia dapat melanjutkan pelajaran ke Jepun dan bekerja di sebuah syarikat mi segera di sana.
“Ayah mahu saya mengutip pengalaman di Jepun sebelum pulang ke Malaysia membantu bisnes Mamee.
“Selain saya, Mamee juga digerakkan oleh adik-beradik ayah yang lain termasuk Datuk Wira Pang Tee Nam yang menjadi Ketua Pegawai Operasi Kumpulan dan mendiang Pang Tee Suan. Hari ini bisnes Mamee turut disertai oleh generasi ketiga keluarga Pang,” ujarnya.
Kata Tee Chew, Kumpulan Mamee mempunyai lebih 2,000 kakitangan dengan kilangnya dan ibu pejabatnya di Ayer Keroh, Melaka. Mamee juga mempunyai pejabat di Subang dan Kuantan, Pahang serta memiliki kilang di Indonesia dan Myanmar.
Namun, lebih membanggakan sayap antarabangsa Mamee yang diinisiatifkan oleh anak Malaysia itu bukan setakat menjengah ke satu atau dua buah pasaran luar negara.
Katanya, selain Mamee Monster, syarikat Mamee telah membina 10 jenama dan lebih 100 produk untuk lima kategori iaitu snek, mi segera, minuman, susu kultur dan biskut.
Maskot
 CHIN HIN memulakan bisnes makanan mi kering pada tahun 1972 yang kini berkembang menjadi sebuah syarikat antarabangsa yang mengeluarkan pelbagai produk seperti Mamee Chef, minuman Cool Tea dan kerepek kentang Mister Potato.


Antara produk di bawah Mamee-Double Decker termasuklah Mister Potato yang menjengah pasaran pada tahun 1992 iaitu Mamee Chef, Perfecto, Cool Tea, Nutrigen, Corntoz, Double Decker dan terbaharu, biskut Mamee Monster Biskidz.
“Mamee Monster menjadi snek kegemaran rakyat sejak sekian lama. Jualan Mamee Monster adalah sebanyak 35 juta peket sebulan di Malaysia dengan secara keseluruhannya 60 juta peket secara keseluruhan di pasaran antarabangsa.
“Satu lagi produk utama Kumpulan Mamee ialah kerepek kentang Mister Potato. Jenama kerepek ini selepas melalui pelbagai penjenamaan termasuk kisah hebat menjadi rakan penaja Global Manchester United itu telah dijual di 100 buah negara.
“Lebih membanggakan, Mister Potato mampu menyaingi jenama kerepek kentang antarabangsa apabila kini menguasai 30 peratus pasaran di Malaysia,” kata Tee Chew.
Dalam pada itu, Ketua Komunikasi Korporat, Mamee-Double Decker, Sharszany Shahry Abu Shahriman berkata, produk Mamee Monster yang menggunakan maskot raksasa biru sememangnya sangat sinonim di hati kebanyakan rakyat Malaysia.
Kata Sharszany, pada asalnya terdapat pelbagai jenis reka bentuk dan visual yang dicadangkan sebagai maskot produk snek Mamee itu.
“Namun akhirnya, maskot monster biru dengan sebatang gigi serta berwajah comel dan kelihatan ingin dipeluk telah terpilih. Ternyata impak maskot dan Mamee Monster sangat tinggi memandangkan Mamee antara produk terawal memperkenalkan maskot.
“Maskot biru ini juga diperagakan untuk pelbagai program baik di sekolah-sekolah atau kawasan tumpuan ramai di seluruh Malaysia. Sehingga kini, monster biru ini juga sangat terkenal di Australia, Indonesia dan beberapa negara lain,” katanya menceritakan mengenai legasi maskot raksasa biru itu.
Kejayaan menjalin kerjasama dengan kelab bola sepak terkenal dunia, Manchester United selama tiga tahun dari tahun 2011 hingga 2014 pula meninggalkan impak besar kepada satu lagi produk Kumpulan Mamee iaitu Mister Potato.
“Keputusan menjenamakan semula Mister Potato dan menjadi rakan penaja Snek Rasmi Global Manchester United memperkenalkan lagi produk cip kentang kami bukan sahaja dalam kalangan pengguna di Malaysia bahkan ke peringkat antarabangsa.
“Pada ketika itu, pembungkusan produk Mister Potato menggunakan gambar tiga pemain Manchester United iaitu Wayne Rooney, Park Ji-sung and Ryan Giggs.
“Produk Mister Potato juga terpampang di papan-papan digital di sekeliling Stadium Old Trafford setiap kali perlawanan Liga Inggeris berlangsung,” katanya kepada Kosmo!.
Salah satu produk terkini keluaran Mamee ialah Mamee Monster Biskidz iaitu biskut DHA pertama di Malaysia.
Sharszany berkata, Biskidz mengandungi nutrisi-nutrisi seimbang dalam membentuk perkembangan minda kanak-kanak terutamanya yang berusia tujuh hingga 12 tahun. (IH)

No comments:

Post a Comment