Saturday 22 July 2017

Apa Uniknya Felda Lurah Bilut?

 MUZIUM Felda Lurah Bilut mempamerkan pelbagai bahan bersejarah berkaitan Felda dan peneroka.


LURAH BILUT merupakan sebuah tanah rancangan milik Felda yang terletak di Bentong, Pahang. Dibuka pada 1959, ia merupakan Felda pertama di negara ini dan dunia.
Tidak ramai yang mengetahui, Felda Lurah Bilut mempunyai keunikan tersendiri kerana mempunyai populasi peneroka daripada kaum-kaum utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India.
Berbeza daripada Felda lain, Felda Lurah Bilut bermula daripada sebuah kawasan hutan yang diteroka sepenuhnya oleh peneroka sehingga menjadi sebuah tanah rancangan seperti hari ini.
Bagi merakam kisah dan pengalaman kalangan peneroka asal di situ kepada pengunjung khususnya generasi muda maka Felda telah menubuhkan Muzium Felda Lurah Bilut pada 2005.
Pengurus Felda Lurah Bilut, Mohd. Khairul Nizam Alias berkata, Muzium Felda Lurah Bilut agak istimewa kerana ia muzium pertama yang terletak di dalam Felda.
Menurutnya, tapak muzium itu merupakan pejabat pentadbiran Felda Lurah Bilut yang dibina pada tahun 1958 dan berkonsepkan rumah Melayu tradisional.
Ubah suai
 KEUNIKAN Muzium Felda Lurah Bilut menyebabkan ia sering dikunjungi pengunjung dari dalam dan luar negara.
“Ia kemudian telah diubah suai menjadi muzium dan kini menempatkan pelbagai artifak dan bahan sejarah mengenai aktiviti dan perkembangan Felda khususnya di Lurah Bilut,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Tambah Mohd. Khairul Nizam, muzium tersebut turut memaparkan sejarah berkaitan pengasas dan pengurusan Felda serta pembangunan awal yang dilaksanakan.
“Sebahagian besar bahan pameran berkisar kepada Lurah Bilut kerana ia merupakan tanah rancangan pertama di negara ini.
“Selain peralatan pertanian dan peralatan peneroka turut dipamerkan kisah-kisah dan gambar peneroka awal di sini.
“Menariknya, kebanyakan artifak dan bahan pameran ini disumbangkan oleh peneroka sendiri,” ujarnya.
Menurutnya, selain mengenai Lembah Bilut, muzium itu juga turut mempamerkan aktiviti syarikat, anugerah dan pencapaian peneroka di seluruh negara.
“Pengunjung boleh melihat sendiri contoh rumah peneroka Felda yang asal yang mempunyai satu bilik serta pelbagai peralatan di dalamnya.
“Turut dipamerkan di sini ialah pelbagai kenderaan yang digunakan oleh pengurusan Felda seperti kenderaan pacuan empat roda dan lori tangki,” katanya.
“Selain individu perseorangan, muzium ini juga sering menerima kunjungan pelbagai kumpulan, delegasi atau rombongan dari dalam dan luar negara.
“Apa yang penting, lawatan ke muzium ini dapat mewujudkan kesedaran tentang pentingnya pemeliharaan dan pemuliharaan warisan kebudayaan dan sejarah negara.
“Pada masa sama, ia membolehkan generasi hari ini melihat dan mengetahui pelbagai kisah kepayahan generasi terdahulu yang berusaha mengubah kehidupan menjadi lebih baik,” katanya. (Kosmo!)

No comments:

Post a Comment