Tuesday 4 July 2017

Shell tarik balik iklan wanita, jadi tular selepas ‘dicabul’



KUALA LUMPUR,— Iklan produk Shell berimej seorang kakitangan wanitanya, yang didakwa “dicabuli”, ditarik balik serta-merta.

Syarikat itu juga menggesa pengguna internet agar tidak lagi menyebarkan imej-imej tidak senonoh dan berunsur seks yang digambar bersama iklan itu.

“Kami tidak bersekongkol dengan tindakan kurang adab itu, yang sama sekali tidak sejajar dengan budaya Malaysia dan nilai asas Shell,” katanya dalam kenyataan.


Semalam, suami model wanita itu, yang menular di media sosial susulan imej dicium dan diraba, dilaporkan kurang selesa melihat imej itu “dicabul.”

Namun Nor Shafila Khairusalleh, 25, bersyukur kerana suaminya memahami situasi sebenar yang harus ditempuhinya, lapor mStar Online.

Beliau tidak kisah sangat dengan aksi “nakal” pelanggan-pelanggan lelaki, termasuk cium dan peluk tetapi bimbang dengan aksi keterlaluan.

“Kalau usik sikit-sikit macam tutup mata, tarik hidung atau peluk pun saya boleh terima lagi sebab ia hanyalah poster.
“...tapi kalau ke arah mencabul atau seks, saya anggap ia melampau.
“Mereka mungkin mahu bergurau, tapi saya rasa segan (malu) sebab itu diri saya walaupun ia hanya sekeping gambar,” katanya kepada portal itu.

Namun Nor Shafila, yang bertugas sebagai penyelia di sebuah stesen minyak Shell di Perak, tidak bercadang menyaman “pencabul” posternya itu.

“Tapi kalau selepas ini ada lagi yang sengaja bergambar yang bukan-bukan semata-mata mahu viral, mungkin saya akan fikir buat sesuatu,” katanya.

No comments:

Post a Comment