Saturday 8 July 2017

Era baharu makanan tradisional Turki.

 TURKI sangat dikenali dengan keenakan hidangan kebab.


DALAM usaha mengikis stereotaip makanan segera berminyak yang dimakan pada lewat malam, cef dari Turki bekerja keras menggilap imej mereka dengan memperkenalkan kekayaan masakan negara itu.
Era baharu masakan telah menggegarkan arena makanan di Istanbul hasil inovatif yang berasaskan menu Turki.
Pada masa yang sama, ia mempunyai misi untuk memperkenalkan variasi makanan tradisional masyarakat tempatan di mata dunia.
Pada pandangan masyarakat luar, makanan Turki mengingatkan mereka kepada imej roti pita yang disumbat daging panggang dan kebiasaannya dimakan pada waktu malam.
Makanan itu telah berkembang ke Eropah barat terutamanya di Jerman dengan penambahan seperti salad dan mayonis, sekali gus menjadikan ia sebagai santapan lebih berat berbanding resipi asal.
Pengarah Le Cordon Bleu di Turki, Defne Ertan Tuysuzoglu berkata, masakan Turki sebahagian besarnya dikenali di luar negara menerusi budaya masyarakat lain dan kebab.
“Sebenarnya banyak hidangan enak yang tidak diketahui ramai seperti tulum iaitu keju tradisional yang diperam di dalam kulit kambing.
“Selain itu, pencuci mulut yang dipanggil cezerye sangat enak. Ia merupakan gabungan lobak merah dengan karamel, kacang pistasio dan kelapa,” tuturnya.
Le Cordon Bleu merupakan akademi masakan antarabangsa yang ditubuhkan di Paris dan kini mempunyai kampus di seluruh dunia.
Cef Eksekutif Restoran Istanbul Nicole, Aylin Yazicioglu memberitahu, masakan Turki tidak terkenal.
“Lebih malang apabila orang bercakap tentang masakan negara ini, semuanya memberi contoh yang tidak baik.
“Namun, sedikit demi sedikit berlaku perubahan ke arah positif dan kami akan melakukan yang terbaik untuk mengubah persepsi negatif itu,” terangnya.
Di restoran itu, pengunjung ditawarkan pelbagai menu tradisional Turki yang bertujuan untuk mempamerkan makanan terbaik negara itu kepada masyarakat luar.
“Saya percaya bahawa dalam dunia yang menjurus ke arah menu tempatan, ia telah menyedarkan kami betapa bernilainya hidangan ini dan produk-produk tradisional Turki.
“Di negara ini, semuanya boleh didapati sepanjang empat musim dan minyak zaitun merupakan aset paling berharga,” kata Yazicioglu.
Pembuka selera


Cef AYLIN ingin mengikis persepsi negatif terhadap makanan Turki dengan mengetengahkannya kepada masyarakat global.



Seorang tenaga pengajar yang telah berkhidmat selama dua tahun di Akademi Le Cordon Bleu, Arnaud De Clercq menyifatkan, masakan Turki sebagai sangat kedesaan yang memberi tumpuan kepada sos, potongan daging kecil direbus bersama sayur-sayuran dan daging dimasak berkuah dengan api sangat kecil.
Dia turut menghidangkan menu pembuka selera yang dikenali sebagai Turki meze.
“Ketika Empayar Uthmaniyyah berkembang, ia turut menyebarkan hidangan yang lazat ke serata dunia.
“Anda boleh menjumpai Turki meze di seluruh negara dan ia disesuaikan mengikut cita rasa tempatan seperti di Lebanon, Syria serta Jordan,” katanya yang pernah bekerja di Restoran Michelin Star, Perancis.
Sementara itu, cef Serkan Bozkurt dari Akademi Kulanari Chef Table iaitu sekolah memasak yang berpangkalan di Istanbul berkata, persepsi tentang masakan Turki telah berubah.
“Hari ini, restoran dan kafe yang menghidangkan masakan Turki telah berkembang ke Eropah seperti kedai roti Simit Sarayi dan kedai kopi Kahve Dunyasi yang dibuka di London.
“Terdapat banyak hidangan Turki yang sangat lazat dan ia tidak hanya terhad kepada daging serta kebab,” ceritanya. – AFP

No comments:

Post a Comment