Sunday, 19 November 2017

Minum Coca-Cola Membawa Maut Di Majlis Hari Jadi. Ini Kisahnya..


MAJLIS hari jadi adalah saat yang menggembirakan bagi individu yang diraikan, lebih meriah lagi jika ramai rakan-rakan hadir bagi meraikan bersama.

Namun begitu, kegembiaraan seorang remaja di Johor ini bertukar tragedi gara-gara tersalah minum minuman sewaktu bersama rakan-rakannya.


Lapor World of Buzz, mangsa yang hanya dikenali sebagai Ang, 17 tiba-tiba jatuh pengsan selepas meneguk secawan gelas minuman Coca-Cola bercampur dadah ekstasi di sebuah pusat karaoke, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi Khamis, Ang yang bekerja di sebuah kafe siber pada mulanya dikatakan baru selesai shift malam.

Dia kemudiannya terus menuju ke pusat karaoke bersama rakan-rakannya. Setibanya di sana, mangsa memesan minuman coklat namun entah bagaimana dia tersalah mengambil minuman salah seorang rakannya yang berisi air coca-cola.

Sejurus meneguk minuman gas bercampur pil ekstasi itu, mangsa dikatakan mengalami pening kepala sebelum muntah-muntah.

Ang kemudianya mengalami sawan sebelum jatuh pengsan di pusat hiburan berkenaan. Rakan-rakannya yang panik terus mengangkatnya untuk di bawa ke hospital.

Malangnya, Ang dikatakan telah meninggal dunia sebelum sempat tiba.

Sementara itu bapa mangsa yang merupakan seorang pemandu teksi, Hong Ruihuan, terkejut setelah mengetahui berita kematian anaknya itu kira-kira jam 10 pagi.

Menurutnya, anak sulungnya itu merupakan seorang anak yang baik dan selalu membelikan makanan kepada neneknya yang sakit.

Difahamkan, Ang pernah mencuba dadah beberapa tahun lalu namun tidak mengulangi perbuatan itu setelah sedar kesan bahayanya.

Kata bapanya lagi, anaknya itu merupakan seorang yang cemerlang di dalam akedemik namun telah berhenti sekolah gara-gara sering menjadi mangsa buli.

Bagaimanapun bapanya itu dikatakan sudah memohon untuk menyambung persekolah anaknya itu pada tahun hadapan.
- MYNEWSHUB.CC

Saturday, 18 November 2017

Baru Dua Hari Dilancarkan, Perodua Terima 6,000 Tempahan MyVi Baru


KUALA LUMPUR – Perodua Myvi serba baharu yang dilancarkan pada 16 Nov, membuat serahan pertamanya pada Jumaat kepada pelanggan pertamanya.
Myvi serba baharu itu yang menerima tempahan berjumlah 6,000 unit sehingga pukul 8.00 malam 17 Nov, memulakan serahannya seawal pukul 8.00 pagi pada hari yang sama, kata Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Syarikat kereta kompak pilihan utama rakyat Malaysia itu membuka tempahan bagi model tersebut pada 9 Nov.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh berkata syarikat itu terus komited memaksimumkan serahan kereta tersebut bagi memastikan Perodua Myvi serba baharu itu dapat diserahkan dengan cepat kepada pemilik masing-masing.
Sementara itu, Abdul Wahid berkata beliau amat berbangga menjadi pelanggan pertama membuat tempahan dan menerima serahan pertama Perodua Myvi serba baharu itu pada pagi Jumaat.- BERNAMA

Friday, 17 November 2017

MTEM: Buat aduan jika pramugari dilarang bertudung.



Pekerja syarikat penerbangan di negara ini yang didiskriminasi dari segi pemakaian boleh tampil membuat aduan kepada pihak berwajib.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) Ahmad Yazid Othman berkata perkara itu perlu memandangkan cara pemakaian tidak boleh dijadikan kayu pengukur dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik.

“Kalau ada diskriminasi keinginan untuk menutup aurat perlu diketengahkan kepada pihak berwajib, kepada persatuan-persatuan supaya dapat diambil tindakan oleh pihak berkuasa.
“Tidak relevan pakaian menutup aurat dan tidak dalam memberi perkhidmatan yang terbaik.
“Kena buat aduan supaya boleh dijadikan isu kepada pihak yang lebih tinggi,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat MTEM, Plaza Damansara.


Yazid ditanya mengenai kod pemakaian pramugari yang tidak memakai tudung. Beliau sebelum itu mengesyorkan kerajaan menggubal akta antidiskriminasi dalam sektor pekerjaan bagi memastikan majikan tidak mengambil pekerja berasaskan kaum dan agama. Katanya, akta tersebut juga bagi mengekang pekerja bertudung didiskriminasi.

“Akta ini kira tak mahu mana-mana pihak mendiskriminasikan semata-mata amalan agama seseorang atau bangsa seseorang. Realitinya kita akan perhalusi isu halus seperti di bawah karpet yang perlu ditangani,” katanya.


Yazid berkata buat masa ini pihaknya tidak bercadang untuk menyerahkan memorandum berhubung akta tersebut sebaliknya ia adalah cadangan yang mungkin boleh diperhalusi lagi.

“Kalau dipertimbangkan alhamdulillah, kita bekerjasama pihak berwajib dan NGO menekan pihak ke arah yang lebih baik,” katanya.

Sebelum ini, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) mempertahankan tindakan pengusaha hotel yang melarang pekerja wanita beragama Islam bertudung bekerja di bahagian kaunter hadapan.

Ekoran itu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) menarik balik lesen mana-mana hotel di negara ini yang bertindak demikian.
Semuanya bermula apabila Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia mendedahkan ramai kakitangan hotel mengadu mengenai diskriminasi terhadap pekerja wanita Islam dengan diarahkan menanggalkan tudung.

Sementara itu MTEM turut mendesak agar Pengerusi Persatuan Pengusaha Hotel-hotel Malaysia (MAH), Samual Cheah Swee Hee agar meletak jawatan kerana tidak memahami prinsip hospitaliti dalam sektor perkhidmatan hotel.
Selain MTEM, 15 lagi NGO menyokong agar diskriminasi terhadap wanita bertudung segera dihentikan.

Antaranya, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Persatuan Patriots Malaysia, serta Pertubuhan Pembangunan dan Inovasi Malaysia (WADI).

Harga Minyak Dunia Terus Jatuh, Harga Minyak M'sia Naik



London: Walaupun harga minyak di stesen-stesen di Malaysia naik sebanyak 7 sen, namun, harga minyak mentah jatuh untuk hari keempat dagangan secara berturut-turut selepas simpanan minyak mentah dan gasolin Amerika Syarikat mengalami peningkatan tidak dijangka. 

Menurut Reuters, harga minyak kekal menerima tekanan berdasarkan jangkaan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) minggu ini yang membayangkan pertumbuhan lebih perlahan dalam permintaan minyak mentah global. 

Penanda aras minyak mentah global Brent LCOc1 turun 19 sen kepada AS$62.02 satu tong, selepas jatuh 1.5 peratus pada Selasa, kejatuhan satu hari terbesar dalam sebulan. 

Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) akan bermesyuarat 30 November ini dan dijangka bersetuju melanjutkan pemotongan pengeluaran yang dipersetujui sebelum ini. (IH)

Tuesday, 14 November 2017

Banyak Projek Rumah Siap Tak Terjual, Harga Dijangka Turun?



PUTRAJAYA: Kerajaan tidak menolak kemungkinan harga rumah bakal turun ekoran berlakunya trend unit kediaman siap dibina tidak terjual atau overhang yang meningkat sebanyak 40 peratus.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Lee Chee Leong berkata, sebanyak 20,807 unit kediaman bersamaan nilai RM12.26 bilion tidak terjual manakala kondominium berharga melebihi RM500,000 mendominasi overhang.


"Namun, itu terpulang kepada pihak pemaju sendiri yang perlu mengambil kira permintaan dan penawaran," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Taklimat Pasaran Awalan Harta Tanah 2017 di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Nordin Daharom.
Chee Leong berkata, pasaran hartanah tahun ini menunjukkan perkembangan yang baik walaupun berhadapan ketidaktentuan politik global dan persekitaran ekonomi mencabar.

Katanya, prestasi pasaran hartanah semasa mencatatkan penurunan pada kadar lebih kecil berbanding tahun sebelumnya.

"Untuk separuh tahun pertama 2017, jumlah bilangan transaksi direkodkan melebihi 150,000 iaitu penurunan enam peratus berbanding 12.3 peratus pada tempoh sama tahun lalu.

"Jumlah nilai transaksi pula direkodkan RM67 bilion iaitu meningkat 5 peratus berbanding penurunan 12 peratus dalam tempoh sama," katanya. (IH)

Festival Halal S'gor 2017 di Bandar Baru Bangi dijangka meriah.


Hasil carian imej untuk Festival Halal Selangor 2017
SHAH ALAM, 13 NOV: Festival Halal Selangor 2017 yang diadakan di Taman Tasik Cempaka, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi dijangka meriah dengan pelbagai tarikan yang disediakan, pada 29 November hingga 3 Disember ini.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, antaranya hampir 156 gerai jualan dibuka termasuk kira-kira 30 ‘food truck’ yang diadakan sepanjang festival itu berlangsung.
“Festival ini dirasmikan Dato’ Menteri Besar pada 30 November ini di pentas utama di Taman Tasik Cempaka. Festival ini acara tahunan dan julung kalinya diadakan di luar Shah Alam dengan tujuan mendekati segenap masyarakat dengan membawanya lebih dekat dengan mereka supaya lebih memahami objektif ia diadakan.
“Antara objektif festival ini diadakan adalah untuk mempromosikan logo halal Selangor dan premis atau syarikat yang berjaya diberikan pensijilan halal ini. Selain itu, ia mendidik masyarakat supaya lebih peka terhadap halalan toiyibban atau halal dan baik terutama sekali membabitkan makanan, barang masakan, perubatan atau alat solek,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim, di lobi Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.
Katanya, festival anjuran JAIS melalui Bahagian Pengurusan Halal Selangor itu turut menampilkan acara lain seperti Ceramah Santai Ustaz Azhar Idrus, Berbalas Pantun Bertemakan Halal, Kursus Persembelihan Halal Bukan Komesial, Bual Bicara Halal Tanggungjawab Bersama dan Sembang Santai Bersama Heliza Helmi.
“Orang ramai khususnya masyarakat di Bandar Baru Bangi jangan lepaskan peluang ini untuk bersama memahami konsep sebenar halalan toiyban,” katanya. (TKO)


Jualan ‘Hari Bujang ‘ Alibaba catat kutipan lebih AS$25 bilion



AGENSI - GAMBAR menunjukkan logo firma Alibaba di Hangzhou, China

BEIJING – Pembeli online di China membelanjakan lebih AS$25 bilion (RM104 bilion) sekali gus rekod baharu semasa promosi Hari Bujang tahun ini yang dikendalikan gergasi e-dagang, Alibaba, meningkat hampir 40 peratus berbanding tahun lalu.
Alibaba berkata, sebanyak 256,000 pembayaran sesaat diproses pada waktu puncak promosi itu kelmarin, manakala lebih 90 peratus pembelian dibuat melalui telefon bimbit.Jualan kasar ekstravaganza tahunan dikenali sebagai ‘11 Berganda’ bagi mewakili tarikh 11 November itu mencecah AS$25.3 bilion (RM105.9 bilion), kata Alibaba dalam satu kenyataan di laman webnya.
Angka itu mewakili jualan yang diproses menggunakan sistem pembayaran online Alibaba, Alipay.
Jumlah jualan keseluruhan pada hari berkenaan meningkat 39 peratus berbanding perolehan AS$17.8 bilion (RM74.5 bilion) tahun lalu.
Rekod jualan pada 2016 tersebut dipadamkan dalam tempoh kurang 14 jam.
Agensi berita rasmi China, Xinhua melaporkan bahawa lebih 140,000 jenama luar negara turut menyertai promosi jualan Hari Bujang pada tahun ini. – AFP