Thursday, 29 November 2018

Lembu tenusu terbesar Australia

SAIZ Knickers yang besar menjadi tarikan kepada lembu ternakan
SAIZ Knickers yang besar menjadi tarikan kepada lembu ternakan Pearson. AGENSI

SYDNEY 28 Nov. - Seekor lembu tenusu yang mempunyai saiz badan luar biasa dan berat melebihi sebuah kereta kecil menjadi liputan akhbar-akhbar utama di Australia sebagai lembu terbesar di negara ini.
Mail Online melaporkan, lembu yang diberi nama Knickers oleh pemiliknya, Geoff Pearson itu mempunyai berat 1,400 kilogram, menjadikan haiwan berkenaan sukar untuk dieksport kerana saiznya disifatkan terlalu besar.
Kncikers juga mempunyai ketinggian 194 sentimeter atau bersamaan dengan tinggi bintang bola keranjang NBA, Michael Jordan.
Biarpun tidak boleh dieksport, Kncikers masih memainkan penting kepada tuannya.
Ini kerana, lembu-lembu ternakan Pearson sering tertarik dengan saiz Knickers yang besar dan keadaan itu secara tidak langsung memudahkan penternak berkenaan mengesan kedudukan kawanan lembunya ketika haiwan tersebut keluar meragut rumput.
“Setiap kali Knickers bangun dan mula berjalan, ratusan lembu lain akan mengikutnya dan secara tidak langsung, kami boleh mengesan pergerakan kawanan tersebut,” jelas Pearson.
Mengikut Guinness World Record, lembu terbesar di dunia seberat 2,267 kilogram manakala lembu tertinggi pula berukuran lebih dua meter.
Sementara itu, seorang pakar lembu tenusu, Rupert Mothersole berkata, terdapat pelbagai faktor menyumbang kepada tumbesaran lembu termasuk pemilihan genetik untuk pembiakan.
Jelasnya, jika seekor lembu dimandulkan pada usia muda, maka keadaan itu memberi peluang kepada haiwan berkenaan untuk membesar secara luar biasa seperti Knickers.
Purata saiz lembu biasa adalah seberat 630 kilogram dengan purata saiznya meningkat sehingga 18 peratus dalam tempoh dua dekad lalu. – AGENSI

Tuesday, 27 November 2018

Industri Fesyen: Gaya stailo patuh syariah yang lebih up-to-date.



PERKEMBANGAN industri fesyen muslimah di negara ini amat menggalakkan sehingga menarik minat ramai pereka baharu untuk tampil dengan pelbagai konsep.

Bagaimanapun kurangnya kefahaman masyarakat terhadap konsep muslimah itu sendiri membuatkan sesetengah individu menjadi 'mangsa fesyen'.

Bagi usahawan muda Era Masturah Ramlee, gaya muslimah dengan sentuhan hispter namun patuh syariah boleh memberi peluang kepada wanita berhijab untuk berfesyen.
Oleh itu eralee.rtw menampilkan koleksi casual sporty namun masih mengekalkan ciri modest khusus untuk remaja yang aktif.

"Kebiasaanya wanita berhijab memilih jubah untuk bergaya. Namun saya inginkan sesuatu yang berbeza tetapi fresh, trendy dan paling penting... patuh syariah.
"Bercakap mengenai patuh syariah sudah tentu saya sangat cerewet dalam memilih material kain yang digunakan. Saya tidak akan gunakan sesuatu yang bersifat melekap di tubuh," katanya kepada mStar Online.

eralee.rtw menawarkan koleksi pakaian uniseks dan berpotongan oversized sesuai buat semua golongan.
Dalam memenuhi etika pemakaian cara Islam, Masturah atau lebih mesra disapa Era berkata dia gemar bermain dengan sesuatu yang minimal dan monocrome..

"Dari segi pemilihan warna pula, kerana konsepnya adalah patuh syariah, jadi warna-warna juga tidak seharusnya menonjol.
"Selalunya saya akan menggunakan warna hitam, putih atau kelabu. Tetapi untuk koleksi akan datang, saya akan cuba bermain dengan warna-warna pastel dan tidak terlalu bold," katanya.

Bercerita mengenai idea dalam rekaannya, Era berkata dia gemar melancong dan menjadikan Jepun dan Korea sebagai negara pilihan dalam mencari inspirasi.

"Saya akan observe budaya masyarakat tempatan dan belajar bagaimana nak twist sesuatu benda itu supaya ia menjadi modest dan trendy.
"Kemudian saya terapkan design oversized, loose dan baggy agar ia patuh syariah," katanya.
Era turut menjadikan pereka fesyen paling berpengaruh di Jepun, Yohji Yamamoto sebagai idola dalam berfesyen.
Menurutnya, prinsip Yohji untuk 'menutup wanita' dijadikan pegangan untuk setiap rekaannya.
"Saya sangat sukakan prinsip itu. Yohji tidak akan mendedahkan bahagian yang tidak sepatutnya dalam busana yang direka.
"Sebab itu kalau anda teliti, rekaan saya juga memiliki gaya Jepun dan 'Korean street style'," ujarnya.

Menurut gadis yang memiliki Diploma Rekaan Fesyen dari Management & Science University (MSU) ini lagi, selain menjual produk, dia berhasrat untuk  mendidik masyarakat tentang cara sebenar berpakaian menurut Islam.

"Saya sendiri tidak pernah terlepas dari menerima kecaman netizen.
"Pada mereka seseorang yang berniqab tidak perlu melibatkan diri dalam fesyen.
"Saya akui ia adalah jalan yang terbaik tetapi mereka perlu faham, saya juga ada minat dan usaha saya untuk berdakwah  kepada masyarakat yang berpandangan skeptikal terhadap niqabis," katanya.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Bagus, 'Gaya stailo patuh syariah yang lebih up-to-date.' Tetapi jangan lupa 'jubah' fesyen tradisi yang paling banyak berjasa kepada Islam agama yang diredhaiAllah!
Jubah tetap mempertahankan identitinya sepanjang zaman.

i
Lupakan jubah, niqabista ini tunjuk gaya stailo patuh syariah yang lebih up-to-date

Thursday, 22 November 2018

Nekad Jual Telur Sotong, Sara Keluargan .


Alias Harun bersama peserta PJD selepas Majlis Penyampaian Cek PJD


KUALA TERENGGANU, 21 November - Nekad mahu mengubah kehidupan keluarga selepas kematian suami pada 2006, mendorong Aini Harun, 52, dari Seberang Kastam, Besut menjual telur sotong secara kecil-kecilan.

Aini berkata, ketika itu dia hilang punca pendapatan untuk menanggung empat anak yang masih kecil, hanya terlintas untuk menjual telur sotong selepas melihat kejayaan beberapa kenalan di Kuantan, Pahang.

“Saya memberanikan diri menjual produk dari Kedah itu di Terengganu berikutan tiada pesaing, selain mahu menampakkan kelainan berbanding peniaga lain.


“Alhamdulillah selepas beberapa tahun, produk yang menggunakan nama Kak Ma Telur Sotong mendapat sambutan cukup menggalakkan, mampu menjual  antara 10 hingga 15 kilogram (kg) sehari dengan nilaian RM35 sekilogram,” katanya.

Aini berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Cek Pinjaman Program Jaya Diri (PJD) di Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir merasmikan program itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Alias Harun dan Pengarah YPKT, Mohd Shafaruddin Mustaffa.

Aini turut memberitahu, dalam tempoh tertentu terutama pada Jun dan Julai, bekalan telur sotong akan terputus kerana bukan musim sotong bertelur..

“Keadaan ini menyebabkan pelanggan terdiri daripada pengusaha restoran tempatan dan individu dari Kuala Lumpur terpaksa menunggu dalam tempoh lama.

“Tidak mahu berdepan masalah itu, saya mengambil keputusan membuat pinjaman PJD dalam jumlah RM10,000 supaya dapat dijadikan modal untuk membeli telur sotong dalam kuantiti yang banyak agar bekalan untuk pelanggan tidak terputus.

“Selepas ini, saya mahu membuat tempahan sehingga 200 kg berbanding hanya 100 kg sebelum ini,” katanya yang kini kembali berumahtangga.


Sementara itu, Alias yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang berkata, YPKT merekodkan pada masa kini, seramai 2,643 peserta PJD aktif membuat pinjaman dengan nilaian RM15 juta.(Teganukita)

Katanya, program itu nyata membantu peserta kerana mengenakan syarat yang mudah iaitu penubuhan kumpulan bagi menggantikan cagaran atau penjamin yang bekerja tetap.

“Berdasarkan rekod, setiap peserta yang mengikut program itu mampu memperoleh pendapatan antara RM500 sehingga RM2,000 sebulan.

“’YPKT akan terus meningkatkan usaha melahirkan usahawan dari kalangan peserta PJD itu dengan bantuan kursus dan bimbingan yang bersesuaian.

“’Perkara ini sangat penting kerana sebahagian besar peserta yang menyertai program ini tidak pernah mendapat bimbingan keusahawanan,” katanya (Teganukita)

Wednesday, 21 November 2018

300 pelabur bitcoin rugi RM180 juta



KUALA LUMPUR 19 Nov. - Lebih 300 individu terpaksa berputih mata apabila pelaburan mata wang bitcoin tidak memberikan pulangan seperti diharapkan, malah individu yang mengasaskan skim tersebut turut melarikan ribuan bitcoin bernilai lebih RM180 juta sejak 2016.
Skim yang didakwa diasaskan tiga individu termasuk seorang produser filem pecah panggung itu bukan sahaja tidak memulangkan pelaburan mangsa, malah bertindak lebih berani dengan membuka skim lain bertujuan mencari mangsa baharu.

Seorang daripada mangsa, Mohd. Alif Basari, 27, berkata, dia mula membeli 20 bitcoin bernilai RM63,000 bermula April sehingga Julai 2016.
“Saya membeli bitcoin tersebut secara berperingkat sebelum melaburkannya dalam skim tersebut, bulan pertama dan kedua saya dapat pulangan seperti dijanji, namun selepas transaksi keempat, mereka mula main tarik tali.
“Apa saya kesalkan, saya turut mengajak rakan sekerja lain untuk melabur dan kini terpaksa berhenti kerja berikutan malu akibat mereka juga sama-sama ditipu,” kata bekas jururawat di sebuah hospital swasta itu ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Balai Polis Kajang, di sini hari ini bersama lebih 30 mang­sa lain.
Pengerusi Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil pula berkata, modus operandi digunakan skim tersebut adalah mengumpul semua bitcoin dibeli mangsa dan memberi pulangan yang dijanjikan dalam beberapa bulan pertama sebelum mula berdolak-dalik selepas empat bulan beroperasi.
“Berdasarkan aduan pi­hak kami te­rima, sehingga kini se­banyak lebih 300 mangsa terlibat de­ngan skim penipuan itu membabitkan jumlah sehingga RM180 juta, namun kita percaya ramai lagi mangsa terlibat dan kerugian sebenar adalah berbilion ringgit,” ujarnya.
Siraj menambah, MCCA turut menggesa kerajaan mewujudkan jawatankuasa khas untuk menilai kebaikan dan keburukan bitcoin sebelum merealisasikan penggunaannya di negara ini.
“Saya juga sarankan kerajaan libatkan pelbagai pihak terma­suk ahli agama serta agensi keselamatan untuk buat kajian dalam kes penipuan ini,” katanya. (Utusan)

Thursday, 15 November 2018

Lebih 92,000 perniagaan sudah daftar SST




KUALA LUMPUR, 7 Rabiulawal 1440H, Khamis – Jumlah keseluruhan pemilik perniagaan yang berdaftar di bawah sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sehingga 23 Oktober lepas, adalah sebanyak 92,682 perniagaan, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata hari ini.
Daripada jumlah itu, sebanyak 57,298 perniagaan berdaftar di bawah skim Cukai Perkhidmatan, manakala selebihnya sebanyak 35,384 berdaftar di bawah Skim Cukai Jualan.
Guan Eng berkata, pihak Kastam Diraja Malaysia tidak akan membuat sebarang pengecualian terhadap mana-mana perniagaan untuk tidak berdaftar dengan SST.
Justeru, semua pemilik perniagaan diminta segera berdaftar bagi mengelakkan sebarang tindakan. – Bernama

Monday, 12 November 2018

Dr Mahathir mahu Malaysia hasilkan dron buatan sendiri


PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melihat model dron ketika hadir pada majlis pelancaran makmal Persatuan Pembangunan UAV Malaysia (Muda) di Australian International School Malaysia, Seri Kembangan, hari ini. - Foto Mohd Yusni Ariffin


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu Malaysia meneroka teknologi baharu, termasuk menghasilkan dron buatan sendiri dan industri kepintaran buatan.
Beliau berkata, untuk mencapai status negara maju, Malaysia perlu menjadi pengeluar.
“Saya harap kita, Malaysia, tidak akan terus-menerus menjadi pengguna produk keluaran orang lain.
“Kita begitu ketinggalan dari segi itu kerana kita suka menggunakan barang yang dicipta dan dihasilkan orang lain, kita tidak menghasilkannya sendiri,” kata beliau ketika berucap pada majlis pelancaran makmal Persatuan Pembangunan UAV Malaysia (Muda) di Australian International School Malaysia, Seri Kembangan, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar dan pengasas Muda Datuk Lester Tay Kean Boon.
Perdana Menteri berkata, Malaysia perlu mencontohi China dalam menguasai teknologi yang membolehkan negara itu menjadi pengeluar utama banyak produk.
"Saya dapati, China bukan sahaja mahu menggunakan produk dari negara lain, tetapi mereka juga mahu mengeluarkan sendiri produk berkenaan. Mereka mampu menghasilkan semua jenis produk, yang selama ini kita import dari negara lain.
"Sekarang mereka melibatkan diri dalam menghasilkan kapal terbang, roket, satelit, menghantar manusia ke angkasa dan banyak lagi… jika China boleh melakuknnya, saya tidak nampak kenapa Malaysia tidak boleh," kata beliau.
Sambil menzahirkan minat beliau terhadap teknologi, Dr Mahathir berkata pembangunan teknologi boleh menambah baik kehidupan manusia, sebagai contoh, inovasi dalam pengeluaran alat kawalan jauh menjadikan televisyen lebih mudah untuk ditonton.
Beliau berkata teknologi kawalan jauh kini berkembang kepada penghasilan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) dan sekarang dron digunakan dalam peperangan dan bidang lain.
Sambil menegaskan tentang peri pentingnya memahami dan menguasai kepintaran buatan, Dr Mahathir menyuarakan harapan agar teknologi itu akan membantu melahirkan minat rakyat Malaysia untuk membangunkan, mengawal dan mengurus teknologi.
Sementara itu Tay berkata, Muda sedang berusaha menghasilkan dron buatan Malaysia pertama dan model sulungnya dijangka siap pada suku pertama tahun depan. -- BERNAMA

Monday, 29 October 2018

Perhatian! 20 Tabiat Harian Yang Sebenarnya Membuatkan Anda Pokai!


Gaji anda sudah pun masuk. Anda membuat keputusan untuk membelanja diri anda, bermakan di restoran mewah, mungkin minum secawan kopi di Starbucks, dan membeli satu lagi denim berwarna biru dalam musim diskaun ini. Dan sebelum anda mengetahuinya, anda tidak mempunyai apa-apa wang untuk hari-hari yang tinggal pada bulan itu.
Jadi, bagaimana kita sampai di sini?Kekurangan tabiat pengurusan wang.
Jika anda mengamati semua perbelanjaan anda dengan berhati-hati selama sebulan, anda mungkin berada dalam kejutan yang tidak menyenangkan untuk mengetahui berapa banyak yang anda boleh melebihkan pada perkara – yang kebanyakannya anda tidak perlu.
Tetapi jangan risau lagi. Anda boleh mengawal kecenderungan ini dan memupuk disiplin kewangan.
Berikut merupakan 20 tabiat harian yang membuatkan anda pokai pada setiap bulan. Kenal pasti yang mana satu tabiat anda, dan betulkan untuk selamatkan kewangan anda dalam ekonomi ini!
1. Makan Mewah Di Luar

Sumber Gambar: Ali Inay/Unsplash

Fokus untuk memasak di rumah. Jika anda sering makan di luar, gunakan kad kredit, yang sama ada menjana cashback atau memberi anda beberapa mata ganjaran sebagai balasan.
2. Minum Kopi Dari Kafe

Sumber Gambar: Tyler Nix/Unsplash

Jika anda peminat tegar kopi dan tidak boleh memulakan hari tanpa kopi, digalakkan untuk beli mesin kopi dan buat kopi sendiri setiap hari.
3. Beli Barang Dapur Bila Anda Lapar

Sumber Gambar: igorovsyannykov/Pixabay

Anda akan terpengaruh untuk beli barang dapur yang tidak diperlukan apabila beli belah barang dapur sewaktu lapar. Elakkan
4. Bungkus Makanan

Sumber Gambar: StockSnap/Pixabay

Nampak remeh tetapi sebenarnya banyak beza dari segi kos jika dibandingkan dengan makanan yang dimasak sendiri.
5. Sumpahan “Beli 2 Percuma 1”

Sumber Gambar: maabsnco0/Pixabay

JANGAN MUDAH TERPENGARUH. Jangan mudah terpedaya untuk membeli barangan yang tidak diperlukan terutamanya barangan dapur. Ia mungkin akan berakhir di dalam tong sampah sahaja.
6. Berhabisan Untuk Barangan Fesyen Berkelas Tinggi

Sumber Gambar Hunters Race/Unsplash

Barangan yang tidak berjenama antarabangsa pun tidak kurang tinggi kualitinya. Berhenti berbelanja lebih untuk pakaian yang boleh didapati pada harga yang murah di jenama tempatan.
7. Terikut-Ikut Trend Pakaian
Biar papa asal bergaya? Anda rasa patutkah anda menghabiskan wang gaji anda sebulan semata-mata untuk membeli kasut Nike yang dipromosikan oleh artis kegemaran anda? Fikir sekali lagi.
8. Menukar Gajet Pada Setiap Bulan

Sumber Gambar: Freepik

Melainkan perlu, tak usahlah menaik taraf gajet pada setiap bulan semata-mata ingin tampak terkini dan lebih maju daripada rakan-rakan yang lain. Ia merupakan satu bentuk pembaziran yang nyata.
9. Mempunyai Terlalu Banyak Produk Penjagaan Diri

Sumber Gambar: nikitabuida/Freepik

Mempunya lima jenis losyen yang memberikan anda kesan yang sama? Bayangkan produk penjagaan diri lain yang boleh anda beli menggunakan duit yang mampu dijimatkan daripada empat lagi losyen yang tidak perlu itu.
10. Memilih Penghantaran Ekspres

Sumber Gambar: mindandi/Freepik

Kata kunci penting. Kalau tak perlu, jangan. Jika anda tiada keperluan kecemasan untuk menggunakan penghantaran ekspres, gunakan sahaja perkhidmatan biasa.
11. Tidak Menulis Senarai Beli Belah

Sumber Gambar: picjumbo_com/Pixabay

Anda akan cenderung untuk berbelanja lebih daripada keperluan dan lebih kepada nafsu sekiranya tiada senarai ditulis
12. Wajib Beli Snek Apabila Menonton Filem Di Wayang

Sumber Gambar: Freepik

Keinginan untuk mengunyah apabila menonton wayang boleh diatasi dengan cara makan sekenyang-kenyang di rumah dan tonton wayang dengan perut yang penuh dan tenang tanpa perlu gusar bunyi kunyahan anda mungkin mengganggu penonton yang lain.
13. Bayar Saluran TV Tetapi Tidak Menggunakannya

Sumber Gambar: Freepik

Langgan segala saluran yang ada tetapi tiada masa untuk tonton ataupun tidak minat menonton? Potong kos bayaran bil setiap bulan anda dengan menukar langganan kepada asas ataupun manfaatkan saluran TV itu sepenuhnya.
14. Menggunakan Aplikasi Berbayar

Image source: Steve Johnson/Unsplash

Sekiranya terdapat alternatif lain, berhenti gunakan aplikasi berbayar dan guna alternatif tersebut untuk menjimatkan kos bulanan anda
15. Merokok

Sumber Gambar: Benjamin Sow/Unsplash

Semua sedia maklum bahawa cukai rokok di Malaysia sangat tinggi menyebabkan harganya mahal. Bayangkan jumlah wang yang anda boleh simpan dengan berhenti merokok. Jika anda merokok 10 batang sehari, anda bukan sahaja melakukan kerosakan yang paling besar kepada kesihatan anda, tetapi juga membuang tidak kurang daripada RM3,000 dalam satu tahun!
16. Langganan Gimnasium
Sekiranya anda hanya mampu hadir untuk sesi di gym pada setiap hujung minggu sahaja, pertimbangkan untuk memanfaatkan tips-tips dan latihan fizikal yang disediakan oleh jurulatih di Youtube dan Facebook dan berhenti melanggan.
17. Pembaziran Elektrik

Sumber Gambar: picjumbo_com/Pixabay

Sentiasa pastikan lampu, kipas dan pendingin hawa hanya dibuka apabila ada orang di dalam ruang tersebut.
18. Menyimpan Barangan Tidak Perlu Di Rumah
Barang-barang yang banyak memerlukan lebih banyak kos untuk menyimpan dan menguruskannya. Simpan hanya barang yang diperlukan dan penting sahaja. Barulah kemas rumah anda. Anda boleh menjual barangan anda di laman web dan aplikasi seperti CarousellCLOSETStlylesebayabumama.my (untuk perabot yang digunakan), dan sebagainya.
19. Menggunakan Perkhidmatan Teksi/Grab

Sumber Gambar: Dan Gold/Unsplash

Grab dan teksi memang nampak lebih mudah dan selesa tetapi pengangkutan awam masih lagi alternatif yang paling murah dan menjimatkan. Sekiranya tidak terdesak, pilih alternatif yang lebih menjimatkan kos.
20. Menggunakan Petrol Premium

Sumber Gambar: Freepik

Sekiranya enjin kereta anda tidak spesifik hanya untuk RON97, gunakan RON95 untuk menjimatkan kos kecuali jika anda mampu.
Dikarang oleh BBazaar Malaysia. Disiarkan secara eksklusif di MajalahLabur.com


BBazaar Malaysia (BBazaar.my) adalah sebahagian daripada BankBazaar International,pasaran utama dalam talian neutral yang membantu pengguna membuat keputusan mengenai produk kewangan seperti pinjaman, insurans, kad kredit, simpanan tetap, akaun simpanan, dana bersama dan banyak lagi. Perkhidmatan BBazaar Malaysia ditawarkan melalui platform yang selamat, mesra pengguna dan intuitif. Ditubuhkan pada tahun 2008, BankBazaar bertumpu kepada penggunaan teknologi untuk menyediakan transaksi tanpa kertas dari mula hingga akhir yang memberi keselesaan kepada pelanggan. Hasilnya adalah pemberian tawaran peribadi hingga ke peringkat individu. Dengan bantuan pasukan khidmat pelanggan yang komited dan komuniti pengguna yang semakin meningkat, BankBazaar adalah cara paling mudah untuk orang ramai mencari dan memilih produk kewangan yang tepat secara dalam talian.
BankBazaar disokong oleh pelabur global berkaliber termasuk Walden International, Sequoia Capital, Fidelity Growth Partners, Mousse Partners, Amazon dan Experian.
Di samping menawarkan produk kewangan, BBazaar Malaysia (BBazaar.my) juga menyediakan artikel yang boleh diakses di: https://blog.bbazaar.my, mengenai topik kewangan dan gaya hidup peribadi setiap hari. Artikel artikel dipermudah kan untuk semua orang dari para pemula hinggalah ke pakar. BBazaar Malaysia (BBazaar.my) percaya bahawa setiap orang perlu diberi peluang untuk belajar mengenai dunia kewangan.