Saturday 1 May 2010

Amerika umum inisiatif bantu usahawan Muslimah

30 Apr 2010: Amerika umum inisiatif bantu usahawan Muslimah. Sebahagian daripada usaha mempromosi hubungan ekonomi dengan Dunia Islam

WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Cik Hillary Clinton, kelmarin mengumumkan inisiatif perniagaan yang bakal bermanfaat bagi golongan wanita di negara-negara Islam.

Ia merupakan sebahagian daripada usaha lebih luas mempromosi hubungan ekonomi di antara Amerika dengan Dunia Islam, yang diumumkan minggu ini.

'Apa yang kami lakukan ialah membuka pintu peluang kepada lebih ramai orang, lebih ramai dari negara-negara yang majoritinya penduduk Islam dan secara khususnya, kaum wanita.

'Ini kerana pada hakikatnya, golongan wanita lebih sukar mendapatkan pinjaman dan pelaburan modal ekuiti,' kata Cik Clinton di majlis sarapan yang dihadiri usahawan wanita di sini.

Beliau antara lain berjanji memadankan usahawan wanita di negara-negara Islam dengan para peniaga Amerika yang berperanan menjadi mentor.

Para mentor ini akan menawarkan kaum wanita itu latihan sehingga enam minggu di Lembah Silicon, California.

Projek itu merupakan sebahagian daripada kempen Jabatan Negara mempromosi usahawan wanita di peringkat antarabangsa.

Ini sejajar dengan pendirian Cik Clinton bahawa usaha meningkatkan taraf kehidupan kaum wanita akan dapat membantu sesebuah negara itu keluar daripada lingkaran kemiskinan dan peperangan.

Kelmarin, Cik Clinton turut mengumumkan penubuhan dana untuk badan bukan pemerintah bagi membantu kaum wanita meraih kemajuan dalam bidang ekonomi, sosial dan politik.

Dana itu bertujuan menawarkan kaum wanita lebih banyak peluang ekonomi, menangani masalah keganasan keluarga dan memberi mereka lebih akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan.

Majlis kelmarin diadakan menyusuli langkah Presiden Barack Obama mengumumkan strategi utama dalam memperbaiki hubungan dengan Dunia Islam.

Pengumuman itu dibuat Isnin lalu dalam sidang puncak yang bertujuan meningkatkan kemajuan ekonomi di negara-negara Islam.

Semasa berucap di Kahirah, Mesir, Jun lalu, Encik Obama melahirkan harapan agar 'lembaran baru' dapat dibuka dalam hubungan di antara Amerika dengan Dunia Islam. Hubungan itu berada di paras terendah semasa pentadbiran mantan Presiden George W. Bush.

Minggu ini, Cik Clinton turut mengumumkan pelancaran program pertama di bawah Program Usahawan Sejagat di Mesir.

Program itu dikendalikan sekumpulan usahawan yang ditaja oleh Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika.

'Kami akan melancarkan program kedua kami di Indonesia dan merancang meluaskannya ke sedozen negara dalam tempoh dua tahun,' kata Cik Clinton dalam satu pertemuan dengan golongan usahawan pada Selasa lalu. -- AFP

No comments:

Post a Comment