Monday 17 January 2011

Pertimbang secara serius tenaga nuklear jana elektrik


“MALAYSIA wajar menimbangkan secara serius tenaga nuklear bagi menjana elektrik berikutan keadaan banjir yang melanda Australia sekarang menaikkan harga arang batu,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh.

“Disebabkan kekurangan gas dalam negara, kita perlu mempelbagaikan sumber penjanaan elektrik kita termasuk arang batu. “Kini dengan keadaan cuaca buruk di Australia dan Kalimantan selain cuaca sejuk di Hemisfera Utara, permintaan bagi arang batu melonjak, tetapi bekalannya terhad.

“Semakin banyak kilang yang menggunakan arang batu di tempat lain dan ini menjadikan kenaikan harga arang batu lebih 50 peratus dalam enam bulan lalu,” katanya ketika ditemui pada karnival sukan untuk kanak-kanak anjuran TNB di Kuala Lumpur, kelmarin.

Arang batu menguasai 40 peratus sumber penjanaan tenaga TNB.

AmResearch dalam laporannya baru-baru ini berkata, berdasarkan harga semasa yang berlegar melebihi AS$100 satu tan dan dengan kadar tukaran dolar AS dan RM, untung bersih TNB bagi tahun kewangan 2011 hingga 2013 berkemungkinan susut antara 28 dan 29 peratus.

Menurut firma penyelidikan itu, TNB membeli 17 peratus daripada keperluan arang batunya sebanyak 18 juta tan dalam tahun kewangan 2010 dari Australia, 71 peratus dari Indonesia dan 11 peratus dari Afrika Selatan. — Bernama

No comments:

Post a Comment